Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 06 August 2005

Konsert 08 AF3

Konsert Kemuncak Akademi Fantasia : Mawi Menuju Kejayaan !
Sememangnya tiada kejutan konspirasi yang diwar-warkan akan dilakukan oleh Astro untuk menghalang Mawi dari terus menuju puncak kejayaan. Konsert Kemuncak Akademi Fantasia 3 membuktikan Mawi sememangnya layak dinobatkan sebagai Juara pilihan pengundi SMS yang telah dibuat selama 10 minggu berturut-turut. Secara keseluruhan, konsert ini merupakan konsert yang agak hambar bila mana keputusannya sudah boleh diduga sejak awal minggu. Berdasarkan trend undian pada awal minggu menyaksikan saingan sengit antara Felix dan Mawi yang sering berubah-ubah kedudukan tempat teratas sehinggalah sebelum bermulanya persembahan konsert tersebut. Laungan Marilah Menuju Kejayaan yang selama ini dilaungkan oleh Mawi anak seorang peneroka yang pada awalnya bercita-cita untuk menjadi Bilal telah pun bertukar kepada Menuju Puncak oleh para peminatnya yang mahu melihat beliau berjaya sebagai bintang besar seni suara di Malaysia. Anda telah melaksanakan tanggungjawab anda dengan cemerlang untuk menjadikan impian pemuda dari Kulai Johor ini satu realiti. Kini Mawi telah pun berjaya !

Pengenalan Diri
Segmen pengenalan empat finalis Akademi Fantasia dibuat dalam keadaan yang hambar tanpa muzik iringan seolah-olah hilang gemerlapan bintang mereka. Mereka turun meniti anak-anak tangga dari pentas hidraulik secara kosong dan hanya diiringi dengan laungan dan sorakan para peminat mereka. Barisan pemuzik orkestra yang ada tidak dipergunakan sepenuhnya.

Pengkritik Profesional
Seperti yang semua sedia maklum, Kudsia Kahar kekal sebagai Pengkritik Tetap untuk kali terakhir di Akademi Fantasia 3. Menurutnya ini merupakan Konsert Akademi Fantasia yang terakhir akan disertai oleh beliau. Manakala Adlin Aman Ramlie dan Syafinaz merupakan pilihan panel pengkritik yang tepat untuk Konsert Kemuncak edisi tahun ini. Apa kata sekiranya tahun hadapan sekiranya kedua-dua mereka ini dilantik pula untuk menjawat jawatan Tenaga Pengajar untuk Kelas Teknikal Vokal dan Seni Persembahan. Mereka telah menunjukkan trek rekod yang baik pada musim ini.

AFVOKAL
Saya agak terkilan kerana anugerah ini diperkenalkan dengan tujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata. Saya juga agak terkilan apabila mereka hanya diadili berdasarkan persembahan mereka yang terdahulu. Adalah lebih baik sekiranya setiap daripada pelajar yang tercalon berpeluang untuk membuat persembahan pada Konsert tersebut agar mereka boleh dinilai dengan lebih objektif oleh para peminat mereka. Ya benar kemunculan sepuluh bekas pelajar Akademi Fantasia di awal Konsert akan menyebabkan konsert seperti anti-klimaks. Sememangnya Konsert Kemuncak edisi tahun ini sudah anti-klimaks sejak minggu ke sembilan lagi. Lebih mengejutkan apabila tiada persembahan pertemuan semula dilakukan di penghujung konsert sekaligus menyebabkan saya terkilan lagi. Pemenangnya ialah Mawi yang telah diumumkan di akhir konsert. Sebaliknya saya lebih suka untuk memilih Idayu. Sekiranya penglibatan juri profesional diambil kira tentunya keputusan lebih berbeza. Setidak-tidaknya keputusan ditentukan melalui 60% undian juri dan 40% undian SMS adalah lebih keputusan yang lebih berkualiti. Sudah rezeki tidak ke mana, satu jawapan escapism yang cuba digunakan untuk menolak sebarang hujah yang cuba menyangkal populariti Mawi.

AFBAIK
Tidak cukup dengan AFVOKAL, sekali lagi AFBAIK menjadi taruhan untuk Astro sekali lagi mengaut keuntungan berganda. Cubaan yang pada mulanya bertujuan untuk memecahkan undi Mawi nyata tidak menjadi. Sekali lagi kemenangan berpihak kepada Mawi. Saya mengharapkan Amylea menang dengan kategori ini. Melalui klip awal yang boleh dinilai oleh para peminat menunjukkan Marsha dengan lagu Destiny, Mawi dengan lagu Oh Fatimah, Amylea dengan lagu Don't Know Why dan Felix dengan lagu Aku Semut Merah. Saya benar-benar terkejut apabila Oh Fatimah terpilih. Apakah itu persembahan terbaik Mawi ? Saya lebih suka sekiranya Pupus terpilih untuk penilaian penonton.

Persembahan Pelajar : Pusingan Pertama
Konsert 10 AF3

Felix - Kuda Ku Lari
Sebuah persembahan yang biasa daripada Felix. Felix hilang separuh dari jiwanya pada minggu-minggu terakhir di Akademi Fantasia. Pilihan lagu walaupun ada yang menyifatkan seakan konsfirasi ke tas Felix, saya tidak menganggapnya sedemikian. Ini antara cabaran yang harus dilalui oleh Felix. Seperti kata Kudsia, Sham Kamikaze telah menaruh sepenuh kepercayaan kepada Felix untuk memberikan nafas baru kepada lagu tersebut dan secara tidak langsung khazanah muzik tempatan semakin berkembang. Saya melihat persembahannya dari sudut positif ke arah perkembangan industri muzik tempatan. Seperti musim-musim sebelum ini, kita pernah mendengar lagu Mentera Semerah Padi di R&B kan dan nyata tetap menjadi pilihan Kaer untuk didendangkan selagi ada permintaan dari peminatnya. Lama-kelamaan, muzik baru lagu tersebut akan dapat diterima peminat. Bersabarlah. Seperti lagu-lagu Tan Sri P.Ramlee yang dijazzkan oleh Sheila Majid dan ternyata sehingga kini ia masih segar bukan sahaja kepada generasi lama malah generasi baru. Mungkin satu hari nanti lagu Kuda Ku Lari ini akan terus diminati oleh anak-anak kita walaupun ia bukan versi asal tetapi pelbagai versi setelah melalui pelbagai proses transformasi zaman.

Dalam setiap persembahan Felix, upacara menarik suara adalah satu upacara ritual yang sentiasa kita ingin dengar. Sumbang, mendatar atau sempurna hasilnya ! Dalam lagu Kuda Ku Lari, teknik pernafasan memainkan peranan yang penting dalam beliau melaksanakan tugasnya. Ada empat kali beliau harus menarik nafas panjang. Saya melihat Felix agak tertekan dengan persekitarannya. Persembahan pentasnya tidak sehebat Hukum Karma tetapi jika dinilai dari aspek vokal, lagu ini lebih baik. Beliau banyak mengawal pergerakannya.

Konsert 10 AF3

Amylea - Ku Berserah
Apakah gunanya ada buaian jika sekadar untuk menjadi tempat duduk. Lebih sesuai jika digunakan Turkish Chair yang nampak jauh lebih elegan dan eksklusif. Buaian tersebut juga tidak dipergunakan sepenuhnya oleh Tenaga Produksi. Amylea boleh dibawa terbang sekiranya mahu tetapi memikirkan aspek keselamatan tentunya cadangan tersebut ditolak mentah-mentah. Sekiranya berlaku sesuatu yang di luar dugaan nanti akan wujud pula cerita-cerita konspirasi baru yang sudah semakin kronik penyakitnya dalam diri masyarakat Melayu khasnya.

Lagu Ku Berserah merupakan lagu terbaik dari Adnan Abu Hassan pada Konsert Kemuncak musim ini. Sekiranya dibandingkan dengan lagu Dambaan Pilu dan Cinta Seorang Teman, lagu ini masih agak terkebelakang. Hanya aura dari Amylea yang mampu mengangkat lagu ini untuk menjadi sebuah lagu popular.

Penghayatan Amylea untuk lagu ini juga semacam tersekat-sekat kerana pergerakannya yang terbatas angkara buaian tersebut. Saya dari awal kurang menggemari persembahan duduk di atas buaian tersebut. Amylea tidak dapat memberikan pose-pose menarik untuk melengkapkan showmanship persembahannya. Momentum persembahannya mula memuncak apabila beliau bangun dari buaian tersebut. Saya akui mesej lagu tersebut dapat juga sampai kepada saya walaupun dalam pergerakan Amylea yang agak terbatas. Persembahan nyanyiannya agak biasa dan Amylea harus bijak untuk mencari serta mencipta dinamik dalam lagu tersebut. Beliau harus berani mengambil risiko untuk memberikan kelainan kepada setiap rangkap lagu tersebut.

Konsert 10 AF3

Marsha - Manusia
Saya suka persembahan ini kerana saya fanatik Sheila Majid. Saya menyukai dengan susunan lagunya yang lebih ke arah latin. Sama seperti komen saya terhadap lagu Kuda Ku Lari, lagu ini juga perlu diberi nafas segar untuk terus subur dalam industri muzik tempatan. Bermula dengan versi Puan Sri Saloma dan melalui proses tranformasi moden ke zaman Sheila Majid dan kini kembali segar di tangan Marsha. Nescaya melodi lagu ini akan terus mekar sampai bila-bila. Bayangkan sekiranya lagu ini dikekalkan susunan muziknya sama seperti yang terdahulu tentunya Marsha akan terikat dengan gaya-gaya penyanyi asalnya. Kemunculan Sheila Majid ke Akademi Fantasia banyak membantu Marsha untuk mencari identiti dirinya dalam lagu tersebut.

Saya merasakan Marsha telah berjaya membawakan lagu ini dengan baik sekali. Saya terpegun seketika dengan persembahan pentasnya yang boleh saya sifatkan penuh dengan attitude untuk mengajak penonton untuk sama-sama mengikuti pesanannya dalam lagu tersebut. Mungkin kerana elemen auranya masih belum cukup untuk menggerakkan penonton untuk turut sama terbuai dalam lagu tersebut. Bagi yang fanatik seperti saya, ia sudah cukup baik untuk membuatkan saya sama-sama menghayati lagu tersebut. Satu yang kurang dalam persembahan Marsha apabila beliau masih was-was untuk mempraktikkan ajaran dari Sheila Majid untuk dengan berani mengajak penonton menyanyi bersamanya. Ini berbeza apabila beliau melakukannya di dalam persembahan ringkas di Imbasan Finale Akademi Fantasia.

Saya melihat Marsha sedikit berkeyakinan di pentas dengan lagu ini lebih-lebih lagi apabila berlaku kesilapan. Nampak benar wajahnya terganggu dengan kesilapan tersebut. Saya melihat Marsha mampu untuk pegi lebih jauh dengan lagu-lagu yang memerlukan attitude seksi seperti lagu ini. Aset yang dikurniakan itu boleh digunakan untuk terus popular asalkan tidak diselubungi dengan kontroversi-kontroversi busuk seperti yang melanda sepupunya. Marsha harus belajar dari kesilapan sepupunya, Linda. Aset dan bakat perlu bergerak selari dan seimbang dan jangan terlalu dibayangi elemen-elemen kontroversi yang lemau dan akhirnya memakan diri sendiri.

Konsert 10 AF3

Mawi - Seroja
Mawi hilang di sebalik kelibat Koir Kebangsaan sehingga degupan jantung para peminatnya ternanti-nanti kemunculan. Hilang beliau dalam bayangan mereka. Nampak tidak outstanding ! Susunan lagu ini tidak banyak bezanya dengan susunan lagu nyanyian jamal Abdillah. Maka secara tidak langsung tidak begitu menyerlahkan keupayaan sebenar Mawi dalam mempelbagaikan lagi bakatnya. Susunan muzik hanya ditambah mengikut keperluan muzik Koir Kebangsaan dan diadun dalam muzik orkestra. Sekiranya Kuda Ku Lari boleh dirockkan, maka Seroja boleh dipelbagaikan kepada muzik keroncong, R&B atau pun apa-apa genre muzik yang ada. Sedikit terkilan.

Saya harus akui persembahan vokal Mawi semakin menyerlah sekiranya mendapat lagu yang sesuai dengannya. Beliau belum dicabar dengan lagu-lagu yang jauh lari dari identitinya. Yang menjadi kekaguman saya, beliau nampak tidak tertekan dengan sokongan penonton dan masih menganggap persembahan di Konsert Kemuncak sama seperti persembahan biasa sahaja. Itulah kelebihan beliau apabila berjaya mengatasi tekanannya dengan cemerlang dan bertindak selamba sahaja. Kesilapan-kesilapan pada awal-awal kemunculannya ditebus dengan baik pada setiap minggu. Peningkatannya tidak mendadak tetapi naik dengan seimbang dari minggu ke setiap minggu. Kesilapan lupa lirik, tempo, melodi telah berjaya diatasi sedikit demi sedikit. Berbeza dengan Marsha dan Felix yang semakin tidak konsisten dan dibelenggu masalah-masalah yang telah dibaiki oleh Mawi.

Penghayatan beliau untuk lagu Seroja berjaya menusuk kalbu. Bantuan Koir Kebangsaan menyerlahkan lagi elemen unik dalam persembahannya. Sekiranya Atie mendapat Koir Classicom dan tidak memanafaatkan kehadiran mereka, sebaliknya oleh Mawi. Mawi telah menggunakan segala kelebihan bersama Koir Kebangsaan untuk memberikan persembahan yang lebih gah dari sudut emosinya. Mesej lagu sampai dengan jelas angkara lontaran vokalnya yang mantap. Tahap keyakinannya adalah sederhana tetapi kesederhanaan itulah yang telah menyelamatkannya dari membuat pelbagai macam kesilapan.

Ranking Pusingan Pertama
Mawi - Seroja
Amylea - Ku Berserah
Marsha - Manusia
Felix - Kuda Ku Lari

Pusingan Kedua
Konsert 10 AF3

Felix - Warkah Berlagu Pilu
Sebuah lagu yang sepatutnya menjadi lagu yang sedap di Konsert Kemuncak menjadi sebuah persembahan yang hambar dari Felix. Saya semakin gusar melihat perkembangan bakatnya di minggu-minggu terakhir beliau di Akademi Fantasia. Beliau semakin jauh tersasar. Bermula dengan klip Diari yang menyatakan bagaimana beliau tidak sukakan lagu tersebut sehinggalah kepada sessi latihan terakhir beliau di hadapan Tenaga Pengajar. Beliau tidak menunjukkan daya usaha yang gigih untuk melawan cabaran tersebut. Berbalik kepada soal sikap. Jika Mawi boleh berjaya dengan kesederhanaannya, Felix sewajarnya mengikut gaya Mawi. Kesederhanaan yang ada dalam Felix pada minggu-minggu awal di Akademi Fantasia tidak berjaya dibawa ke minggu-minggu seterusnya. Kelalaian tersebut meragut banyak aspek dalam persembahannya.

Apakah Akma menjadi punca hilangnya fokus Felix ? Ia adalah satu yang sukar untuk saya jawab kerana saya sendiri tidak tahu kebenaran cerita-cerita tersebut. Apakah corak persembahan Felix akan menjadi lebih baik sekiranya Akma ditampilkan lebih awal untuknya ? Apakah penghayatan Felix serta tumpuannya akan diberikan seratus peratus sekiranya beliau mendapat kembali separuh daripada jiwanya yang telah dicuri oleh Akma ? Terlalu banyak misteri yang belum terjawab. Apakah saya harus meletakkan kesalahan Felix di bawah nama Akma ? Tentunya sesuatu yang tidak adil. Walau bagaimana sukarnya kehidupan Felix di minggu-minggu terakhir tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk membuat kesilapan.

Sesuatu yang menarik tentang persembahan Felix apabila kemunculan Akma di atas pentas bersamanya walaupun hanya sebentar. Bagaimankan Prince Charming dan Cinderella mereka sepasang dan sedondon di atas pentas.Renungan Felix kepada Akma yang tertunduk sambil tangannya diletakkan di dada Felix. Dada saya pula yang bergoncang. Fanatik JU lah tuh ! Jelas terbayang wajah-wajah Jiwang United yang tersenyum simpul, hati mereka berbunga menantikan saat tersebut. Akhirnya ia menjadi kenyataan.

Saya tertarik dengan komen Syafinaz tentang key untuk lagu tersebut. Ya benar, pencipta lagu tersebut serta penyusun muzik untuk lagu tersebut berkeyakinan besar Felix mampu membawakan lagu tersebut dalam nada asalnya dengan baik. Percubaan untuk mencuba sesuatu yang di luar kemampuan penyanyi juga seakan boleh meranapkan peluangnya untuk terus menyerlah. Sekiranya dinilai dari aspek teknikal, tentunya Cikgu Siti Hajar juga berasa yakin dengan kebolehan vokal Felix tetapi sayangnya teknik-teknik yang diajar tidak dipraktikkan dengan berkesan. Bukan sahaja untuk Felix tetapi untuk semua pelajar dan kekecewaan tersebut telah diluahkan oleh Cikgu Siti Hajar dalam Diari Akademi Fantasia. Lagi satu nasihat Syafinaz agar Felix dapat mengambangkan lagi range vokal beliau dan ini hanya boleh diperolehi dengan mempraktikkan teknik-teknik nyanyian dengan betul.

Konsert 10 AF3

Amylea - Sweet Child of Mine
Apa yang boleh saya perkatakan terhadap persembahan Amylea hanya satu perkataan iaitu SUPERB ! Persembahannya mengingatkan saya kepada persembahan Nija dengan lagu Kenangan Pahit. Malam itu Hattan memberikan standing ovation dari atas kerusinya. Siapa yang boleh lupa. Saya tidak lupa.

Saya melihat bakat yang ada pada Amylea amat besar dan pengalamannya banyak membantu beliau untuk terus menyerlah dari minggu ke minggu. Ramai di antara kita yang seakan-akan menyalahkan pengalaman Amylea sebagai punca kepada persembahan mantapnya. Menurut mereka adalah sesuatu yang tidak adil apabila dibandingkan dengan mereka yang selama ini tiada pengalaman. Rezeki dan peluang manusia telah diberikan oleh Tuhan secara adil dan kita tidak sewajarnya menyalahkan kelebihan orang lain untuk menutup kelemahan diri kita.

Pengalaman yang Amylea ada telah dipergunakan seratus peratus untuk memberikan persembahan mantap lebih-lebih lagi dengan lagu yang sememangnya menjadi pilihan beliau. Saya paling menyukai persembahan pentasnya serta cara beliau menguasai pentas yang boleh saya sifatkan amat cemerlang. Ditampilkan kejutan untuk beliau tetapi beliau terus selesa berinteraksi dengan kejutan ciliknya. Adik penari yang pada mulanya saya sangkakan adik kepada Amylea itu telah memberikan tidakbalas yang positif dan membuatkan persembahan Amylea bertambah hangat. Adik tersebut merupakan pemain watak Ning Baizura sewaktu kecil dalam klip video Awan Yang Terpilu.

Jangan terkejut sekiranya banyak nama Amylea yang akan muncul dalam senarai Top 100 Persembahan Terbaik Akademi Fantasia kelak.

Sesuatu perkara yang ingin saya lontarkan untuk pemerhatian pembaca, mana yang lebih baik dan berkualiti : standing ovation dari pemerhati serta pengamal muzik tempatan atau pun standing ovation dari peminat pelajar ?

Konsert 10 AF3

Marsha - Untuk Terakhir Kali
Aduh ! Sayang sekali. Saya suka dengan lagu ini. Saya sudah hafal lagu ini. Saya sudah jatuh cinta dengan lagu ini. Saya berasa amat kejam apabila membandingkan lagu Untuk Terakhir Kali nyanyian Marsha dengan versi nyanyian Siti Nurhaliza. Saya terpikat dengan nyanyian Marsha. Mula terbuai dalam perasaan lagu tersebut.Sedikit demi sedikit perasaan itu mulai timbul.

Menjadi Marsha, sewajarnya tekanan bukan merupakan masalah utamanya. Sebaliknya adalah konsentrasinya. Minggu lepas juga masalah yang sama berlaku dan ia berlaku lagi pada Konsert Kemuncak. Masalah lupa lirik ini boleh saya sifatkan sebagai satu yang tidak sewajarnya berlaku lebih-lebih lagi pada konsert yang terakhir. Masalah ini apabila berlaku ia seakan merompak emosi penonton yang telah terbuai dalam mesej lagu tersebut. Tiba-tiba ia hilang. Kecewa benar saya.

Saya akui persembahan vokal Marsha untuk lagu Untuk Terakhir Kali amat bagus tetapi sayangnya penghayatan Marsha hilang separuh nyawa. Marsha seakan tidak bersedia dalam persembahannya dan tidak cuba untuk menutup kesilapannya.

Pada Konsert Kemuncak edisi kali ini, Untuk Terakhir Kali merupakan lagu terbaik yang dicipta untuk seorang finalis Akademi Fantasia.

Konsert 10 AF3

Mawi - Aduh Saleha
Sebuah lagu baru yang dicipta dengan amat bersesuaian dengan keupayaan vokal Mawi serta karisma di atas pentas beliau. Berkonsepkan world music, lagu Aduh Saleha menepati citarasa Mawi. Lagu tersebut mampu untuk pergi lebih jauh kerana popularitinya. Sekiranya dinilai dari aspek kualiti, ia adalah ciptaan M.Nasir yang biasa sahaja kerana lagu ciptaan M.Nasir yang luar biasa adalah untuk nyanyiannya sendiri. M.Nasir telah mencipta sebuah lagu yang agak catchy dan sehingga sekarang melodi lagu ini sering bermain di dalam kepala saya. M.Nasir hanya akan mencipta lagu yang berkualiti untuk nyanyiannya sahaja.

Mawi tampak selesa di atas pentas. Emosinya dalam lagu tersebut bercampur-aduk. Sekejap terbayang kesedihan di wajahnya, sekejap tersimpul senyuman di bibirnya. Karisma Mawi di atas pentas diperkukuhkan lagi dengan keupayaan beliau menari dengan baik untuk lagu ini.

Tampil segak dengan pakaian ciptaan Adnan Hassan, Mawi telah berjaya memberikan sebuah persembahan yang bertenaga. Setelah selesai semua persembahan, saya menerima apa sahaja keputusan yang telah dibuat oleh para pengundi dan akur bahawa Mawi adalah pemenang edisi tahun ini.

Pusingan Kedua
Amylea - Sweet Child Of Mine
Mawi - Aduh Saleha
Marsha - Untuk Terakhir Kali
Felix - Warkah Berlagu Pilu

Retro Juara Akademi Fantasia : Zahid dan Vince
Apakah saya sudah bersedia menerima serangan peminat Zahid dan Vince ? Ya, saya bersedia dan kemudian lupakan. Saya lebih bersedia untuk menerima dan memberi komen kepada Tenaga Produksi Akademi Fantasia agar mereka dapat menilai kembali kekurangan yang berlaku pada musim ini untuk dibaiki pada musim akan datang. Saya boleh menyifatkan persembahan ini sebagai sebuah persembahan penutup yang hambar pada sebuah konsert kemuncak yang hambar. Saya mengharapkan sepuluh bekas pelajar beraksi di atas pentas Konsert Kemuncak berbanding dua bekas Juara yang hanya sekadar tangkap muat dan tidak bersedia untuk beraksi dan menjadi contoh kepada adik-adik mereka. Sekiranya itulah contoh yang ditonjolkan oleh mereka, itulah yang akan menjadi ikutan mereka kelak. Vince tidak bersedia dalam persembahannya. Melihat lirik yang tertulis di tapak tangan. Masih ingat saya melabelkan Linda membawa toyol untuk lagu Bunga Melor ? Vince belajar perkara tersebut dari Linda nampaknya. Sayang sekali bekas Juara Akademi Fantasia perintis yang baru dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik gagal menunjukkan contoh yang baik kepada junior-junior mereka. Bagaimana pula dengan persembahan Zahid ? Itukah hasilnya yang kita bangga-banggakan tahun lepas ? Itukah hasilnya wang SMS bernilai RM15 juta yang kita berikan sebagai biasiswa kononnya untuk beliau mengembangkan bakatnya ? Lebih baik saya menonton video klipnya sahaja dari saya menonton persembahan tidak cukup masak itu. Bolehkah saya komen tentang pakaian pula ? Bolehlah, sekali saja lagi. Pakaian mereka seperti hendak ke pasar. Zahid hanya sekadar bert-shirt AFUNDI serta berjaket. Apakah itu nasib yang bakal menimpa bakal Juara Akademi Fantasia 3 kelak ? Itulah persoalannya sekarang. Maestro Talent boleh saya sifatkan sebagai air yang membajai bintang-bintang Akademi Fantasia. Di situlah mereka akan terus subur dalam persada seni tanah air. Bayangkan mee apabila terlalu lama direndam di dalam air, lama-lama ia akan kembang. Tidak ada sesiapa pun yang akan rela untuk makan mee yang telah kembang.

Konsert 10 AF3

Menuju Puncak : Keputusan
Anugerah Vokal Terbaik - Mawi
Anugerah Persembahan Terbaik - Mawi
Tempat Ke Empat - Marsha
Tempat Ke Tiga - Amylea
Naib Johan - Felix
Juara Akademi Fantasia 3 - Mawi

Belia Benci Dadah !
Ingin membuktikan bagaimana fenomena Mawi benar-benar memberikan impak kepada masyarakat Malaysia, saya ingin mencadangkan agar Tour Akademi Fantasia dibuat dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Apakah benar fenomena tersebut mampu memberikan reaksi positif kepada kaedah pencegahan dadah di Malaysia. Tahun lepas, beberapa bintang Akademi Fantasia terpilih untuk menjadi Duta Rasmi Kerajaan kepada program memerangi bahaya dadah tersebut tetapi malangnya hanya selepas sidang media hasrat tersebut terkubur. Senyap begitu sahaja tanpa ada aktiviti-aktiviti susulan. Menggunakan Mawi sebagai idola, Tour Akademi Fantasia dan PEMADAM boleh menjelajah satu Malaysia menerangkan kepada golongan belia tentang bahayanya penggunaan najis dadah. Program ini boleh diteruskan semula mengambil Mawi sebagai role-model agar para belia tidak terjebak dalam penyalahgunaan najis dadah.

Jika Zahid membuat program Roti Canai bersama ERA, apakah pula sumbangan Mawi kepada para penyokongnya. Apa kata sekiranya dibuat Qiamullail Tour dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri untuk menggalakkan para remaja mendekati agama Islam. Bukan sekadar idola mereka iaitu Mawi yang mempunyai imej yang sedemikian, tetapi juga setidak-tidaknya dapat menarik golongan remaja ini agar turut sama terpanggil mendekatinya juga. Di situ barulah boleh dinilai sama ada fenomena TsuMawi yang benar-benar melanda Malaysia memberikan impak yang besar serta reaksi positif dari masyarakat Malaysia. Dalam keghairahan mengejar keuntungan, tuntutan sosial sebegini juga perlu dilakukan. Apakah peminat-peminat Mawi dan Akademi Fantasia amnya tertarik untuk mengikut personaliti idola yang mereka puja selama 10 minggu di Akademi Fantasia.

Menurut Zulkiflee Bakar dalam artikel bertajuk "Berakhirkah fenomena Mawi ?" beliau turut berkata, "Ibarat kata, Mawi bagaikan `artis dua alam', boleh memeriahkan majlis makan malam atau konsert dengan lagu-lagu pop serta mampu menyerikan majlis berbentuk keagamaan dengan nasyid melalui suaranya yang syahdu."

"Semoga melalui populariti Mawi, AF bukan lagi akan dianggap rancangan hiburan yang melalaikan sebaliknya mampu melahirkan bintang yang boleh menjadi idola kepada remaja menuju ke arah kebaikan. Selamat berjuang, Mawi!"


Berdasarkan komen yang diberikan oleh Zulkiflee Bakar, tidak keterlaluan saya katakan bahawa Mawi mampu memikul tanggungjawab tersebut untuk mengemudi para remaja ke jalan yang lebih positif. Soalnya sekarang, berapa ramai ?

Jarum Emas: Fantasi ‘artis segera’
"Paling bingung selepas dua tiga tahun, peminat galak bertanya mana album sulung? Kelu lidah nak menjawab. Lebih haru, puluhan ‘artis segera’ dilahirkan, tetapi yang dapat sambutan di pasaran cuma album kompilasi lagu era 1980-an. Lalu baru kita sedari, mereka cuma penyanyi fantasi."

Persembahan Keseluruhan
Sweet Child Of Mine
Seroja
Aduh Saleha
Ku Berserah
Manusia
Kuda Ku Lari
Untuk Terakhir Kali
Warkah Berlagu Pilu

Nota Akhir : Jika semuanya berjalan lancar, ini juga bakal merupakan ulasan Akademi Fantasia saya yang terakhir. Melihatkan kepada perkembangan positif dalam dunia blog Melayu khususnya, sudah sampai masanya untuk saya melihat sesuatu yang lebih positif dalam perkembangan kerjaya saya. Saya mengambil keputusan untuk tidak terlibat dengan ulasan Akademi Fantasia 4 sekiranya ada. Saya akan hanya terus memberikan berita-berita perkembangan pelajar serta aktiviti kelab peminat AF1, AF2 dan AF3.