Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 27 March 2006

Alang Rentak Seribu Kembali Dipentaskan
Naskhah Seniman Negara, Datuk Syed Alwi, Alang Rentak Seribu yang pernah menemui penonton sekitar tahun 2003 lalu kini kembali dipentaskan. Karya yang pernah memenangi Anugerah Sastera tahun 1973 itu akan dipentaskan oleh para pelajar dari Jabatan Teater, Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik.

Teater Alang Rentak Seribu kali ini akan menampilkan Azhan Abd Rani sebagai pengarah pementasan. Teater ini akan dipentaskan di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur pada 31 Mac, 1 April dan 2 April 2006. Pementasan teater ini adalah projek akhir bagi pelajar semester 6 Diploma Seni Lakon dan Diploma Pengurusan Seni Jabatan Teater, Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik.

Alang Rentak Seribu yang mengisahkan tentang Alang seorang pemuda kampung yang memiliki banyak kebolehan dan bijak mengawal segala permasalahan yang timbul. Kisah bermula apabila sekumpulan rombongan dari Filem Negara datang ke kampung untuk tujuan penggambaran filem yang mengisahkan kehidupan di kampung pada ketika itu. Pelbagai kejadian berlaku yang antara lain disebabkan pertembungan nilai dan pendapat di antara penduduk kampung dan juga krew filem yang datang dari Kuala Lumpur.

Karya pertama Datuk Syed Alwi dalam Bahasa Melayu ini sarat dengan pemikiran, nilai, gerak dan budaya Melayu yang dikupas di tengah halaman dua buah rumah. Alang pula dikisahkan sebagai contoh terbaik kepada individu yang memiliki pemikiran luas dan terbuka namun masih menyanjung tinggi nilai budaya bangsa.

Pementasan kali ini diterbitkan oleh Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Selain dari itu beberapa pihak penaja juga turut serta dalam menjayakan projek ini seperti Majalah Rasmi : Klik dan Dewan Siswa, Katerer Rasmi: Siti Catering Sdn. Bhd. dan Salun Rasmi: QZR Saloon.

Peminat teater terutamanya kepada mereka yang menantikan kemunculan semula Alang Rentak Seribu boleh menonton persembahan ini pada 31 Mac, 1 dan 2 April 2006 pada jam 8.30 malam. Manakala satu pementasan matinee akan diadakan pada jam 3 petang pada 2 April ini. Masuk adalah PERCUMA.

Untuk sebarang pertanyaan dan makluman lanjut sila hubungi Pengurusan Pemasaran dan Publisiti produksi ini, Mohd Dzulfitri di talian 012-2282414 atau email done_event(at)yahoo(dot)com

Sinopsis Alang Rentak Seribu
Satu rombongan Filem Negara akan mengadakan penggambaran filem dokumentari mengenai kehidupan masyarakat kampung di kampung si Alang. Untuk melaksanakan kerja, Alang dilantik menjadi penolong pengarah. Alang diminta mencarikan heroin filem ini dari kalangan gadis kampung itu, lalu Alang memilih Mazni tanpa meminta kebenaran daripada ayah Mazni, Pak Halim. Penggambaran filem dimulakan dengan Mazni dipasangkan dengan Zulkifly Iskandar, pelakon dari kota. Ketika penggambaran berlangsung, Pak Halim balik dan mengamuk apabila melihat anaknya berlakon. Alang memujuk Pak Halim sehinggalah Pak Halim faham dan bersetuju Mazni berlakon.

Ketika penggambaran hendak disambung, Mokhtar pula membawa cerita bahawa Zulkifly cuba merosakkan Mazni. Sekali lagi Pak Halim mengamuk dan kali ini langsung tidak membenarkan Mazni berlakon. Manakala para krew filem pula diserang oleh Pak Mokhtar dan rakan-rakannya kerana mengambil gambar di kawasan kampung itu. Kerja filem terpaksa dihentikan dan pengarah mengambil keputusan supaya rombongan itu balik sahaja ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun, kedatangan Cikgu Mahazan telah mengubah keputusan itu.

Apabila mendengar segala masalah yang timbul, Cikgu Mahazan memberikan satu idea yang bernas, yang menghidupkan semula semangat mereka menyambung penggambaran. Sewaktu idea baru ini dilaksanakan, satu masalah lebih besar tercetus, yang akhirnya menimbulkan kekecohan besar kepada semua yang terbabit. Apakah masalah yang timbul? Dapatkah mereka mengatasinya dan selesaikan penggambaran filem di kampung itu ?

Saksikan Alang Rentak Seribu.
Untuk pengetahuan semua, Diploma Showcase ini merupakan gabungan dua program yang ada di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik iaitu Diploma Seni Lakon dan Diploma Pengurusan Seni. Menyedari keperluan pentingnya pengurusan di dalam sesebuah produksi teater, maka gabungan ini dianggap wajar untuk meningkatkan taraf produksi teater yang ada di Malaysia.

Kita harus melihat Puteri Gunung Ledang The Musical sebagai contoh bila mana pasukan pemasaran dan publisitinya bertindak begitu agresif dalam mempromosikan teater muzikal tersebut. Kedua-dua pasukan iaitu pasukan kreatif dan artistik serta pasukan pemasaran dan publisiti telah bergerak seiring untuk memastikan kejayaan teater muzikal tersebut dan menempa nama di persada seni teater Malaysia.

Inilah yang kurang dalam kebanyakan produksi teater Melayu khususnya. Mereka kurang tenaga untuk memasarkan teater tersebut sehingga khalayak penonton tidak mengetahui tentang produksi mereka. Berbeza dengan teater Inggeris yang boleh saya sifatkan lebih ke hadapan dalam aspek pemasaran dan publisiti. Ini yang menyebabkan teater produksi mereka dapat menemui khalayak sasaran mereka.

Dato’ Syed Alwi turut menyatakan rasa bangga beliau apabila karyanya dipentaskan oleh sebilangan pelajar universiti. Ini secara tidak langsung merupakan sanjungan terhadap karya-karya beliau. Beliau turut berbesar hati meluangkan sedikit masa sibuknya untuk menemui sekumpulan pelajar tersebut untuk berkongsi sejarah karya tersebut serta berbicara tentang kaum yang melahirkan cerita tersebut. Turut dikongsi bersama ialah tentang watak-watak yang membawa cerita tersebut. Rata-rata kebanyakan pengkarya yang ada di negara ini seperti Noordin Hassan, Datuk Rahim Razali ingin berkongsi pengalaman mereka sekiranya karya-karya mereka dipentaskan tetapi tidak dijemput.

Menurut beliau lagi, seperti kelaziman pengkarya tidak selalu diberikan perhatian apabila sesebuah pementasan yang melibatkan karya mereka. Apabila dijemput ke UITM beliau tidak menolak dan sedia berkongsi pengalamannya tentang karya tersebut agar pelajar dapat mendalami asas karya tersebut iaitu tentang asal-usulnya, latar belakang serta cerita yang dipamerkan.

Alang bersandarkan watak sebenar adik saudaranya iaitu A.Talib Jaafar. Dari watak sebenar tersebut, cerita Alang Rentak Seribu dipanjangkan sehingga menjadi sebuah skrip teater komedi yang unggul di mata masyarakat. Bukan hanya nilai-nilai positif masyarakat kampung pada waktu itu yang diketengahkan, tetapi nilai-nilai negatif yang wujud pada zaman tersebut turut dibongkar dengan jujur oleh beliau.
Melihat komitmen yang tinggi dari para pelajar, Dato’ Syed Alwi melihat kemampuan mereka besar untuk menjadi ahli seni yang lebih berjaya di masa akan datang. Ini boleh dilihat apabila sewaktu tempoh latihan, tiada pelajar yang memegang skrip dan mereka sudah boleh merasai watak tersebut untuk membina cerita serta watak mereka sendiri. Kemahiran ini jarang-jarang ada pelajar dan tidak semua pelakon profesional juga mempunyai komitmen sedemikian.

Sekiranya pelajar sudah mampu memberikan komitmen sebegini, pelakon profesional sewajarnya memberikan komitmen yang lebih tinggi terhadap kerjaya mereka. Inilah kekurangan dalam teater Malaysia apabila disiplin tidak dititikberatkan dalam sesebuah produksi.

Menonton segmen pendek dalam Alang Rentak Seribu yang dipertontonkan kepada hadirin, saya dapat melihat sedikit persamaan dari aspek perwatakan antara Adlin Aman Ramlie yang memegang watak Alang dalam pementasan tahun 2003 dengan watak Alang yang dipegang oleh Hisyamudin Ahmad. Persamaan mungkin jelas dari aspek identiti Alang itu sendiri serta pemikirannya tetapi ia amat berbeza dari segi lakonan dan emosinya. Menurut Hisyamudin lagi, beliau turut mempelajari dari pelakon yang terdahulu tetapi penonton harus menilai emosi lakonan tersebut pada hari pementasan kelak.