Anugerah Seri Angkasa
Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre
Kata orang anugerah ini menghimpunkan ke semua stesen televisyen dan stesen radio untuk bertanding merebut anugerah yang dikatakan berprestij di Malaysia. Kalau di Barat, mereka mempunyai Emmy Awards, di sini kita mempunyai Anugerah Seri Angkasa. Seperti Anugerah Seri Angkasa, Emmy Awards turut menghimpunkan hampir kesemua stesen penyiaran yang ada. Sebut sahaja semuanya ada yang terdiri daripada FOX, CBS, NBC, HBO, ABC dan USA adalah antara yang popular. Untuk Anugerah Seri Angkasa kita ada RTM, TV3, NTV7, Astro, 8TV, Best104, StarFM, AMP, Cats, IKIM dan ManisFM.
Persaingan ini telah mewujudkan sebuah persaingan yang sihat antara stesen tv yang ada dalam menghasilkan program-program yang kreatif, berkesan dan bermutu untuk memenuhi cita rasa dan keperluan penonton dan pendengar.
Apabila keputusan anugerah ini dimonopoli oleh RTM yang membolot 33 anugerah, saya terfikir apakah ini bermakna terbaik tidak semestinya popular.
Astro mengekori di tempat kedua walaupun jauh ketinggalan dengan hanya 9 anugerah. Namun demikian, kebanyakan anugerah yang dibolot Astro adalah anugerah utama iaitu Drama TV Terbaik (Hari Hari Terakhir Seorang Perempuan), Pengarah Drama TV Terbaik (Hari Hari Terakhir Seorang Perempuan), Pelakon Wanita TV Terbaik (Safura), Pengacara TV Terbaik (Aznil Nawawi), Hiburan Bersiri TV Terbaik (Macam Macam Aznil), Dokumentari TV Terbaik (Profil Seni), Talk Show TV Terbaik (Halim Othman Live), Game Show TV Terbaik (Kunci Khazanah) dan Montaj/Teaser TV Terbaik (Konsert AF3). Program realiti paling popular di Malaysia iaitu Akademi Fantasia gagal untuk merebut anugerah Program Realiti TV Terbaik sebaliknya ia dimenangi oleh Explorace (TV3). Senario ini juga membuatkan saya terfikir sejenak, apabila yang popular belum tentu yang terbaik.
Kejutan pada malam pertama apabila salah satu rancangan terbitan Astro iaitu Konsert Akustik Siti Nurhaliza, Siti Nurhaliza in Concert at Royal Albert Hall, London 2005 dan Anugerah ERA 2005 gagal menyekat Raya nite Live (NTV7) untuk kategori Muzikal Khas TV Terbaik. Lebih mengejutkan apabila set Anugerah ERA 2005 gagal menyaingi set tajaan IKEA untuk DJ@2 Episod 18 (Hos Gary) terbitan RTM.
Drama Sutun terbitan RTM yang menguasai 7 pencalonan untuk kategori drama juga pulang tangan kosong pada malam tersebut.
Pengacara pada malam kedua iaitu Aznil Nawawi dan Raja Azura sedikit sebanyak telah menyelamatkan kebosanan pada malam tersebut. Aznil Nawawi sememangnya seorang yang versatil untuk mengacarakan majlis-majlis sebegitu.
Persembahan pada malam tersebut adalah biasa sahaja. Antara yang diingati adalah persembahan duet Jaclyn Victor dan Ning Baizura. Ramai juga yang mengatakan mereka miming kerana mereka mampu untuk mengekalkan tahap stamina mereka dalam koreografi yang hebat untuk lagu-lagu tersebut. Saya yang berada di dewan merasakan mereka telah mempersembahkan lagu mereka secara langsung, tanpa miming. Pada malam pertama Jamal Abdillah sekali lagi tidak dapat melupakan tabiatnya iaitu lalok dan lupa lirik. Sewajarnya stesen penyiaran lebih berwaspada di masa akan datang kerana menerima Jamal Abdillah dalah senarai penyanyi yang akan membuat persembahan adalah satu risiko besar yang harus ditanggung oleh stesen penyiaran. Dalam keadaan separuh sedar, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Persembahan Datuk Sharifah Aini tiada nyawa apabila beliau hanya miming untuk kedua-dua buah lagunya iaitu Nourel Ain dan Bunga Tanjung. Lagu Bunga Tanjung adalah lagu yang paling susah untuk dinyanyikan dan oleh sebab itu beliau harus miming. Saya suka dengan persembahan Too Phat dan Camelia untuk lagu pertama iaitu Seiring dan Sejalan. Lagu tersebut semacam segar apabila diberikan nafas baru. Persembahan Mohram terlalu lama dengan lagu-lagu instrumental yang tidak begitu mesra di telinga penonton. Lebih menarik sekiranya Mohram digabungkan menjadi pemuzik iringan pada malam tersebut agar muzik iringan menjadi lebih segar dengan nafas baru. Walaupun tidak banyak muzik iringan digunakan kerana penyanyi lebih selesa miming dan menggunakan minus-one. Persembahan penutup dari Awie dan Amy sepatutnya menjadi lebih hangat, sayang sekali masalah audio merosakkan persembahan Amy. Amy lebih banyak menjauhkan diri daripada Awie kerana gangguan pembesar suara. Sebelum itu, M.Nasir dan Mawi mempersembahkan rangkaian lagu Kian, Lagu Cinta Lagu Jiwa dan sebuah lagu baru dari M.Nasir. Sebuah persembahan yang Perfect ! :) Perfect dalam senyum maknanya lain tau !!! Eh ! Gandingan duet tersebut bukan buat persembahan paling akhir lah ! Baru perasan. Nampaknya ada lagi yang lebih star dari duo perfect tersebut walaupun yang lebih star itu pernah dipotong rambutnya oleh Tok Mat.
Aznil Nawawi telah membuktikan yang beliau Pengacara TV Popular dan Pengacara TV Terbaik. Sutun masih sekadar popular di hati penonton, tetapi belum mampu mencapai yang terbaik. Rosyam Noor mampu membolot anugerah popular dan di Anugerah Seri Angkasa membolot anugerah Personaliti TV Versatil.
Persoalan untuk dibincangkan : apakah yang terbaik itu, belum cukup popular ? Atau yang popular belum cukup terbaik ?
Malam Pertama : Bosan
Malam Kedua : Boleh Tahan
RTM - 33 anugerah
Astro - 9 anugerah
TV3 - 4 anugerah
NTV7 - 3 anugerah
Best 104 - 3 anugerah
8TV - 2 anugerah
StarFM - 1 anugerah
AMP - 1 anugerah
0 komen