Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 24 March 2006

Ulasan Anugerah Planet Muzik 2006 : Biarlah Rahsia Mencuri Perhatian Ramai
The Max Pavilion, Singapore Expo

Entah mengapa setiap kali majlis Anugerah Planet Muzik berlangsung, tumpuan mata saya akan tertumpu kepada pengacaranya. Kal ini ia menggandingkan Aznil Nawawi dari Malaysia, Ady Rahman dan Fiza O dari Singapura manakala Nirina dari Indonesia. Sudah bertahun ia diadakan sikap pengacaranya masih sama iaitu cuba menandingi antara satu sama lain. Sikap cuba untuk menunjuk pandai, kacak, cantik, bijak sering berlegar pada skrip pengacaraan APM kali ini. Setiap kali ia diadakan pasti Siti Nurhaliza menjadi sasaran gurauan-gurauan mereka. Jika dahulu keterbukaan Ady sebagai salah seorang pengacara secara terbuka menyatakan rasa sayangnya kepada Siti Nurhaliza, kali ini rata-rata dari mereka tanpa segan-silu turut mengaitkan nama Datuk K dalam kancah pengacaraan mereka. Namun demikian sikap terbuka Siti Nurhaliza harus dipuji. Walaupun sedikit tergamam sewaktu diusik oleh salah seorang bos, rakan penyampai anugerah ketika menyampaikan anugerah utama pada malam tersebut.

Rekaan pentas APM kali ini kalau sesiapa yang pergi menyaksikan Konsert Kemanusiaan Remaja Prihatin dan Konsert Kemuncak AFTour tentu dapat melihat skrin plasma yang menggunakan konsep yang sama pada kedua-dua konsert tersebut. Nampaknya skrin plasma merupakan trend rekaan pentas walaupun telah lama digunakan dalam persembahan-persembahan MTV di peringkat antarabangsa. Menonton dari peti televisyen agak menyilaukan apabila rekaan tata cahaya tidak begitu menyerlah pada kali ini. Pada awal persembahan berlaku sedikit masalah audio sehingga terpapar montaj Siaran Tergendala Sebentar walaupun tidak sempat. Mujur masalah dapat diselesaikan dengan kadar yang agak segera. Selain daripada itu, agak sukar juga untuk penonton di rumah mengetahui siapakah yang membuat persembahan tanpa memaparkan grafik tajuk persembahan di skrin televisyen. Itu antara sebab mengapa saya hanya menulis nama artis yang membuat persembahan dan bukan tajuk lagu mereka.

Persembahan Pembukaan : VE dan AhliFiqir
Saya suka dengan persembahan pembukaan yang dijayakan oleh VE dan AhliFiqir. Saya boleh katakan VE telah menampilkan persembahan vokal yang bagus serta dibantu dengan koreograf yang cemerlang. Barisan penari latar turut memberikan persembahan yang mantap dengan gerak-gerak pantas yang tajam dan memukau. Pemilihan lagu sahaja yang disifatkan kurang mesra di telinga penonton. Namun demikian ada strategi yang dirangka oleh VE untuk mempromosikan lagu tersebut di kalangan pendengar-pendengar luar. Sama juga dengan apa yang dilakukan oleh AhliFiqir yang turut menampilkan lagu yang kurang mesra di telinga penonton. Menampilkan penari kanak-kanak pada setengah penonton akan melihatnya sebagai sesuatu yang comel tetapi idea ini sudah terlalu lapuk.

ARTIS LELAKI BARU TERBAIK
Pemenang : Ello - Ello
Pilihan SM : Ello - Ello

Satu kemenangan yang telah saya jangkakan. Ello memang kurang dikenali di rantau Malaysia dan Singapura terutamanya, tetapi beliau cukup hebat di Indonesia. Keseronokannya menerima trofi sehingga terjatuh globe dari arca tangan pada trofi tersebut. Sungguh melucukan kerana trofi tersebut nampak begitu tidak berprestij walaupun majlis tersebut dianggap berprestij kerana memartabatkan muzik rantau Malaysia, Indonesia dan Singapura.

DUO/KUMPULAN BARU TERBAIK
Pemenang : Maliq & D’Essentials - 1st
Pilihan SM : Tangga - Tangga

Dengar khabar kumpulan Maliq & D'Essentials akan bertandang ke Kuala Lumpur pada bulan September. Bolehlah peminat-peminat di Malaysia menikmati persembahan hebat mereka. Yang pasti duo/kumpulan dari Malaysia tertinggal dari sebarang pencalonan untuk kategori ini. AhliFiqir walaupun dicalonkan di AIM, bukan dari Malaysia tetapi dari Singapura.

LAGU TERBAIK SINGAPURA
Pemenang : Cinta Abadi - Untukmu Selamanya - Eka Mairina feat. Iskandar
Pilihan SM : Angguk-Angguk Geleng-Geleng - Hari Ini Dalam Sejarah - AhliFiqir feat. Mia

Sewaktu Eka Mairina dan Vince membawakan lagu Cinta Abadi, kedengaran istimewanya sangat lagu tersebut. Lagipun itulah sekadar hasil terbaik yang dipersembahkan oleh artis Singapura. Sebuah lagu yang sekali dengar sahaja dan mudah untuk dilupakan.

Tali Pinggang Aznil mampu membuatkan Ramlah Ram makan hati ! Di mana agaknya beliau membeli tali pinggang tersebut ? Di Pasar Mustaffa agaknya. Wujudkah Pasar Mustaffa ini di Singapura ? Ada sesiapa boleh pastikan ? Agaknya untuk membeli tali pinggang tersebut mesti turut disertakan dengan sebuah keyboard. Mungkin ! Jika tanpa keyboard bagaimana huruf-huruf tersebut dimasukkan ke atas panel skrin tali pinggang tersebut. Mungkin juga ada putaran huruf untuk dipilih pada tepi tali pinggang tersebut.

Persembahan 2 : Vince, Eka Mairina, Adam dan Nikki
Vince memulakan persembahan dengan lagu Janji. Sebuah persembahan yang biasa dan persembahan Vince menjadi luar biasa apabila berduet dengan Eka Mairina untuk lagu Cinta Abadi. Nampak seperti Eka Mairina pula yang menjadi penyanyi latar untuk Vince walaupun lagu tersebut adalah milik Eka Mairina. Persembahan vokal mereka sememangnya hebat dan sesuai digandingkan bersama. Lihat bagaimana Vince mengawal persembahan duet tersebut tanpa memberikan peluang kepada Eka Mairina untuk menonjolkan diri lebih darinya. EMI, album Vince seterusnya bolehlah menampilkan Eka Mairina untuk berduet dengan Vince. Kembalikan Vince seperti yang asal. Adam mempersembahkan lagu Jatuh dengan baik sampai jatuh-jatuhlah pembesar suara dia. Saya suka dengan persembahan Adam kali ini. Nampak beliau sudah pandai untuk mengawal vokalnya dengan baik. Vince, Eka Mairina dan Adam nampak begitu selesa di atas pentas. Kemunculan Nikki sememangnya saya tunggu-tunggu. Di dalam kepala saya, mengharapkan persembahan hebat seperti majlis Pelancaran Album Maharaninya tahun lepas. Malangnya hasrat tersebut tidak kesampaian. Nikki tersilap masuk dalam nyanyiannya. Persembahan vokal pada nada rendahnya agak tenggelam dalam muzik. Wajah beliau nampak agak pucat berbanding artis-artis yang lain. Adam turut membantu dalam bahagian rap yang penyanyi asalnya ialah Zahid. Rap yang didendangkan oleh Adam juga bukan rap yang asal. Adam cuba untuk menampilkan koreografi yang biasa dibawakan oleh beliau dan perlu menyerahkan mic kepada Vince. Tetapi tidak berjaya disambut oleh Vince. Melambung-lambung pembesar suara itu dibuatnya dan meneruskan dengan rap lagu KRU iaitu Mengerti. Boleh ? Sepatutnya Nikki harus menggunakan platform ini untuk memperkenalkan dirinya kepada para penonton. Beliau juga harus lebih belajar untuk bergerak di pentas dan nampak lebih selesa di atas pentas. Nampak beliau berkerut di atas pentas dan begitu keliru sekali wajahnya. Lebih baik dari menghabiskan masa bermain The Sims 2. (ketawa) Whistling yang ditunggu juga hanya muncul di bahagian akhir. Tiada yang hebat dalam persembahan Nikki dan saya terfikir bagaimana agaknya reaksi penonton apabila beliau menang selepas ini. Saya merasakan beliau lebih sesuai membawakan lagu-lagu balada yang khusus untuk mempamerkan kehebatan vokal beliau. Nikki juga harus berani untuk menonjolkan dirinya terutama dalam persembahan gabungan kerana itulah platform untuknya menonjolkan dirinya. Memberikan peluang kepada Eka Mairina untuk mencuri tumpuan adalah sesuatu yang harus dihindarkan dan tidak harus diulangi lagi. Persembahan berakhir dengan Nikki berada di hujung dan bukannya di tengah walaupun lagu tersebut adalah miliknya. Sayang sekali...

ARTIS SINGAPURA TERBAIK
Pemenang : AhliFiqir - Hari Ini Dalam Sejarah
Pilihan SM : AhliFiqir - Hari Ini Dalam Sejarah

Singapura telah pun berbangga dengan terhasilnya AhliFiqir sebagai Artis Singapura Terbaik. Pada penghujung bulan April kelak, Malaysia juga seharusnya berbangga kerana AhliFiqir tercalon dalam kategori Artis Baru Terbaik di AIM, anugerah industri muzik yang memartabatkan muzik Malaysia. Kemenangan AhliFiqir sememangnya sudah diduga kerana kehebatan mereka menjual muzik hip-hop mereka dengan baik sekali di rantau Malaysia khususnya.

ARTIS WANITA BARU TERBAIK
Pemenang : Nikki - Maharani
Pilihan SM : Adibah Noor - Terlalu Istimewa

Kegusaran saya menjadi kenyataan. Nikki menang kategori ini mengetepikan Adibah Noor, Sharifah Zarina, Eka Mairina dan Helena. Sekiranya dinilai berdasarkan album Maharani, Nikki merupakan calon terbaik untuk menang. Jika dinilai secara keseluruhan, pengalaman Adibah Noor masih mengatasi Nikki lebih jauh. Nikki harus menggunakan kemenangan ini untuk melihat lebih jauh lagi ke hadapan dan memperbaiki mana yang kurang agar kemenangannya tidak dipertikaikan. Walaupun gagal dicalonkan di AIM 13, kemenangan di peringkat rantau Singapura, Malaysia dan Indonesia sudah cukup memadai kerana skopnya lebih meluas. Oh ya ! Nikki merupakan satu-satunya calon Artis Wanita Baru Terbaik yang tidak mempunyai muzik video sewaktu pengumuman calon ditayangkan.

Persembahan 3 : M.Nasir
M.Nasir menampilkan sebuah lagu baru yang bertajuk Juita Citra Terindah. Sebagai seorang M.Nasir , saya sudah menjangkakan persembahannya akan menjadi sebegitu kerana beliau M.Nasir. Itu yang saya jangkakan. Sebuah persembahan yang penuh jiwa dan bertenaga dengan gerak-gerak penuh perasaan. Saya boleh katakan yang lagu tersebut agak cepat tertangkap di telinga. Menggunakan platform APM untuk mempromosikan lagu baru tersebut adalah strategi yang bagus.

LAGU PALING POPULAR
Pemenang : S1: Aduh Saliha : Mawi AF3
Pilihan SM : Aduh Saliha : Mawi AF3

Seperti yang sudah dijangkakan, Aduh Saliha pasti menggondol anugerah kategori Lagu Paling Popular. Namun demikian, M.Nasir sedikit terkeliru sewaktu memberikan ucapannya. Anda adalah pemenang untuk kategori Lagu Paling Popular ya, bukan Lagu Terbaik. Dunia dua kategori tersebut adalah berbeza. Tidak timbul soal siapa yang patut mengambil anugerah tersebut kerana tiada syarat khusus yang telah ditetapkan. Dan saya sudah dapat mengagak siapakah yang akan menang kategori Artis Lelaki Paling Popular.

KUMPULAN PALING POPULAR
Pemenang : G6: Peterpan
Pilihan SM : Peterpan

Nampaknya dominasi Malaysia untuk kategori popular dipecahkan oleh kumpulan dari Indonesia iaitu Peterpan. Peterpan bukan sekadar popular di Indonesia tetapi turut menempa nama di Malaysia dan Singapura. Bermula dengan lagu Mungkin Nanti, tiada mana-mana kumpulan dapat mengekang penguasaan Peterpan dalam pasaran muzik tempatan.

Persembahan 4 : Ello, Mawi dan Taufik Batisah
Ello telah menampilkan persembahan vokal yang lebih bercorak urban. Tidak ramai yang menyukainya. Khalayak Indonesia sememangnya meminati muzik sedemikian. Tidak mustahillah beliau popular di sana. Kekuatan utama Ello adalah persembahan vokalnya yang mantap. Taufik Batisah yang kini menjadi kegilaan rakyat Singapura dan sebahagian Johor terutamanya yang anti Mawi (ketawa) menampilkan kehebatan dalam aspek koreografi. Jeritan penonton Singapura sememangnya sudah dijangka. Seperti Mawi yang digilai di Malaysia, Taufik Batisah juga merupakan satu jenama kini di seberang Tambak Johor. Gerak pantas ala-ala Michael Jackson beliau tiada apa yang istimewa. Sama sahaja seperti Adam di Akademi Fantasia 2. Manakala kemunculan Mawi tidak begitu kuat jeritannya berbanding kemunculan Taufik Batisah. Mawi mendendangkan lagu Aduh Saliha dengan baik. Beliau nampak lebih selesa di atas pentas kerana lagu tersebut sudah beratus kali didendangkan. Kemuncak persembahan tersebut apabila Mawi dan Taufik Batisah digandingkan untuk lagu Gadis Melayu. Sebuah persembahan yang meledak ! Saya suka dengan gandingan mereka. Nampak macam adik dengan abang. Mereka nampak serasi berdua di atas pentas. Cara Mawi berinteraksi dengan Taufik Batisah juga memang cemerlang. Nampak Mawi selesa benar atas pentas tersebut. Nikki harus belajar dari Mawi tentang ini. Persembahan vokal Mawi dan Taufik Batisah boleh saya anggap sebagai saling melengkapkan antara satu sama lain. Kalau difikirkan dari aspek duit, vokal Mawi adalah untuk orang kampung dan kelas pertengahan manakala vokal Taufik lebih kepada kelompok urban. Kalau seorang peniaga yang mahu untung, mereka berdua harus digandingkan bersama untuk mengaut segala keuntungan dari orang kampung, kelas pertengahan dan kelompok urban. Vokal mereka mewakili dua kelompok pasaran yang berbeza dan seharusnya diberikan perhatian lebih-lebih lagi mereka memiliki fanatik yang sanggup menghabiskan duit kerana mereka semata-mata.

Persembahan 5 : Sharifah Zarina, Salma dan Gigi
Kalau persembahan ini perang vokal, Sharifah Zarina sudah menang kerana Salma gagal menampilkan persembahan vokal yang lebih baik berbanding Sharifah Zarina. Saya suka melihat bagaimana selesanya Sharifah Zarina di atas pentas. Beliau nampak begitu profesional menyiapkan persembahannya. Ternyata pengalamannya di dalam pertandingan di Malaysia membuahkan hasil. Salma membawakan lagu yang sama iaitu Langit Ke Tujuh tetapi tidak sampai dan Sharifah Zarina membawakan lagu tersebut lebih sedap. Persembahan bertenaga Gigi sememangnya sudah menjadi trend kumpulan tersebut. Dari satu hujung pentas ke satu hujung pentas Armand bergerak menguasai pentasnya. Lagi satu Thailand tiada dalam anugerah ini. Lagunya juga mungkin tentang perdamaian. Banyak kali juga perkataan tersebut disebut sambil tangannya menunjukkan isyarat PEACE ! Kalau sedap lain pula ceritanya, ini apa dia persembahkan pun saya tidak faham dan dengar dengan baik.

ARTIS LELAKI PALING POPULAR
Pemenang : M11: Taufik Batisah
Pilihan SM : Mawi AF3

Terkejut ? Saya juga terkejut. Saya sangkakan popularitinya sehingga seluruh rantau ini, tetapi sangkaan saya meleset. Kalau kalah di tangan Taufik Batisah apakah bilangan peminat Mawi kurang dari rakyat Singapura. SMS tersebut tidak lepas semalam di Karpet@15. Saya sendiri menjangkakan peminatnya akan berhabisan separuh mati untuk memastikan kemenangan Mawi. Selepas ini anugerah apa pula ? MTV Asia Awards ? Seharusnya kita tidak memandang rendah kepada peminat fanatik artis lain dan terus merasa selesa dengan kelompok sokongan yang kita ada. Jika dengan strategi yang betul dan perancangan yang teliti, pelbagai bentuk sokongan boleh dibentuk untuk memastikan kemenangan. Mungkin juga para peminat fanatik bukan Mawi telah bergabung dengan peminat fanatik Taufik Batisah di internet. Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku.

ARTIS WANITA PALING POPULAR
Pemenang : F11: Siti Nurhaliza
Pilihan SM : Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza menang lagi ! Kisah percintaannya tidak sedikit pun menggugat popularitinya di rantau Asia Tenggara. Sewaktu mengambil anugerah itu, dua pasang mata bertemu kembali. Walaupun mereka saling cuba mengelak untuk bertentang mata. Siti Nurhaliza dan Fazley berpaling antara satu sama lain. Senyum pun tidak semacam menyembunyikan sesuatu. (ketawa) Datuk K pun Datuk K lah. Sudah itu pilihannya. Berbalik kepada kemenangan Siti Nurhaliza, ini merupakan kemenangannya yang ke enam untuk kategori paling popular dan sudah dua tahun tidak berjaya untuk kategori terbaik walaupun sebelum ini ia didominasi oleh Siti Nurhaliza. Mungkin rezeki Siti Nurhaliza untuk tahun hadapan kerana beliau ada album baru tahun hadapan.

Persembahan 6 : Ajai dan Nurul
Sudah banyak kali lagu ini dipersembahkan dan persembahan mereka semakin baik. Menyampaikan lagu ini juga strategi yang bagus untuk mempromosikan album baru mereka. Apa yang boleh saya katakan tentang lagu ini ialah ia sebuah lagu yang cepat tertangkap pada telinga saya. Semakin lama semakin saya menyukai lagu tersebut.

Persembahan 7 : Ratu
Tepuk kepala ! Saya lebih rela mendengar cd sahaja untuk lagu ini. Lagu Teman Tapi Mesra memang sedap di corong radio tetapi tidak apabila didendangkan secara langsung oleh Ratu. Dengan pakaian yang kurang sesuai atau lebih manis saya katakan menjolok mata, persembahan ini menjadi persembahan paling buruk di APM edisi kali ini.

DUO/KUMPULAN TERBAIK
Pemenang : Peterpan - Original Soundtrack Alexandria
Pilihan SM : Dewa - Laskar Cinta

Ada harapan album ini terpilih sebagai Album Indonesia Terbaik di AIM 13 kelak. Walaupun tekaan saya tersasar, ini membuktikan bahawa pengaruh populariti mampu juga menjadi yang terbaik sekiranya berada di landasan yang betul. (ketawa) Walaupun bukan Dewa yang menang, album Peterpan juga baik dari segi kualitinya dan saya harus memberikan peluang kepada album ini untuk bernafas.

ARTIS LELAKI TERBAIK
Pemenang : Marcell - Marcell Repackage
Pilihan SM : Marcell - Marcell Repackage

Tampil dengan fesyen rambut seperti Mawi, Marcell nampak lebih terurus kali ini. Imejnya nampak lebih profesional dan matang bersesuaian dengan konsep muziknya yang semakin meningkat dewasa. Walaupun Vince gagal dalam saingannya ia suatu perkembangan yang positif dalam industri muzik Malaysia walaupun album tersebut tidak tercalon dalam AIM 13. Ini membuktikan namanya sebaris dengan nama-nama besar seperti Marcell dan lain-lain lagi.

Persembahan 8 : Anuar Zain, Rossa, Marcell dan Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza tampil penuh eksklusif dengan sebuah lagu baru dari album yang khabarnya akan dipasarkan pada 1 April 2006 ini. Lagu bertajuk Biarlah Rahsia adalah sebuah ciptaan Melly dan liriknya adalah hasil nukilan Siti Nurhaliza sendiri. Persembahan vokal Siti Nurhaliza tidak boleh dipertikaikan kerana beliau dengan bersahaja telah berjaya membuat seluruh dewan senyap sunyi menyaksikan persembahannya. Saya tidak tahu, mungkin senyap sunyi kerana dari rumah saya dapat melihat senario tersebut. Setiap mata tertumpu untuk mendengar setiap patah lirik yang diluahkan oleh Siti Nurhaliza dengan penuh perasaan. Satu baris dari lirik lagu tersebut yang benar-benar menyentuh perasaan saya ialah “pernahkah kau bermimpi seketika berada di tempatku...” yang menjadi permulaan dan penamat lagu tersebut. Ia cukup simbolik. Marcell pula menampilkan persembahan vokal yang bagus tetapi sebuah lagu yang kurang popular pada penonton. Beliau selayaknya dinobatkat sebagai Artis Lelaki Terbaik. Rossa muncul dengan lagu yang popular di sini iaitu Pudar. Sebuah persembahan yang biasa dari Rossa. Kemunculan bekas penyanyi lelaki paling popular sememangnya dinanti-nantikan. Saya tertunggu juga apakah lagu yang akan beliau dendangkan. Kini, sudah sampai masanya untuk Anuar Zain mencari material terbaru untuk koleksi-koleksi lagunya. Membawakan lagu Permata adalah satu idea yang jauh terkebelakang dari kebanjiran artis-artis baru yang lahir dewasa ini. Lagu gabungan yang didendangkan oleh semua artis juga semacam tidak begitu popular pada penonton.

Persembahan 9 : Dayang Nurfaizah dan Tam Spider
Dayang Nurfaizah memulakan persembahan dengan lagu Layar Impian. Saya sudah mengharapkan persembahan ini akan menjadi persembahan terbaik di APM. Sayang sekali apabila tertera perkataan keramat ini di peti televisyen.

Signal Lost Detected !

Tam Spider kembali dengan sebahagian lagu Mantera Semerah Padi dendangan asal M.Nasir dan Nur Nilam Sari dendangan asal Awie. Sakit betul hati saya apabila ini terjadi. Lebih-lebih apabila sebuah pengiktirafan sedang diberikan untuk sebuah anugerah utama.

ANUGERAH KHAS APM
Pemenang : Loloq

Saya berbangga kerana seorang penulis diangkat untuk menerima Anugerah Khas APM kali ini. Loloq seorang yang cakap lepas, tetapi cakap lepasnya bernas. Beliau seorang yang emotional lebih-lebih lagi dalam memartabatkan Bahasa Melayu. Sebelum menulis beliau mengkaji sesuatu untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Pengalamannya yang luas membolehkan beliau mempergunakannya untuk menyerlahkan daya kreativitinya melalui penulisan lirik. Dalam memberikan sesuatu yang indah pada bahasa, beliau tidak melupakan untuk menyuntik elemen kontemporari pada setiap lirik yang ditulis. Kata Loloq lagi, kalau nak hidup, ayat mesti power ! Kerjanya hanya menjual ayat.

ALBUM TERBAIK SINGAPURA
Pemenang :Hari Ini Dalam Sejarah - AhliFiqir
Pilihan SM : Hari Ini Dalam Sejarah - AhliFiqir

Mujur album ini menang di APM dalam kategori ini. Sememangnya album ini antara album yang terbaik pernah saya dengar dari aspek muzik dan produksinya. Saya sukakan muzik-muzik sebegini tetapi tidak kesemua lagu menjadi kesukaan saya. Saya lebih gemarkan muzik yang lebih ballad. Muzik dari AhliFiqir lebih moden dan elemen hip-hop yang terlampau. Yang lebih menarik apabila salah seorang ahli kumpulan AhliFiqir berkata "Semoga kepala kami tidak besar lepas menerima anugerah sebesar ini." Macam kata Loloq, ayat mesti power !

Persembahan 10 : Ferhad, Syed Azmir dan Jaclyn Victor
Ferhad memulakan persembahan dengan lagu Dealova. Tiada apa yang istimewa dalam persembahan tersebut. Persembahan vokal Ferhad pun tidak cukup mantap untuk menyanyikan lagu Dealova. Syed Azmir membawakan lagu keramat kegemaran saya Menanti Sebuah Jawapan. Siapa Syed Azmir ? Vokal beliau juga belum cukup kuat untuk membawakan lagu tersebut. Banyak yang sumbang. Gemilang versi Jaclyn Victor juga agak mendatar kerana tidak cukup memberikan impak kepada penonton. Lagi pun ia adalah versi pendek. Gabungan artis membawakan lagu Yang Terbaik Bagimu dan Cinta. Saya akui Cinta versi Jaclyn Victor amat mengagumkan !

LAGU TERBAIK
Pemenang : Dealova - Original Soundtrack Dealova - Once
Pilihan SM : Menanti Sebuah Jawaban - Padi

Dealova oleh Once muncul sebagai pemenang. Saya sedikit kecewa kerana saya suka dengan lagu Menanti Sebuah Jawaban oleh Padi. Saya boleh simpulkan bahawa lagu yang baik bertunjangkan nukilan yang baik juga. Dealova dan Menanti Sebuah Jawaban menepati syarat-syarat tersebut. Mungkin pula ada peluang untuk Biarlah Rahsia tahun hadapan ?

ARTIS WANITA TERBAIK
Pemenang : Jaclyn Victor - Gemilang
Pilihan SM : Rossa - Kembali

Kemenangan Jaclyn Victor menerusi album Gemilang benar-benar mengejutkan saya. Saya lebih merasakan album Rossa lebih baik produksinya dari album Gemilang. Tetapi kerana semangat patriotik yang unggul, saya harus memberikan sokongan kepada artis Malaysia. Semoga Jaclyn Victor akan terus mekar dalam industri muzik tempatan dan terusan menghasilkan album-album yang bermutu.

ALBUM TERBAIK
Pemenang : Senyawa - Chrisye
Pilihan SM : Senyawa - Chrisye

Senyawa bukan album yang popular tetapi yang terbaik. Anugerah Planet Muzik 2006 tamat begitu sahaja. Tiada apa yang istimewa kecuali Biarlah Rahsia. Sebuah album yang saya nanti-nantikan. Biarlah Rahsia boleh saya sifatkan sebuah lagu berhantu yang penuh dengan makna dari hati Siti Nurhaliza untuk peminatnya, wartawan, Datuk K, Dr. Fazley atau Datuk Sharifah Aini.

Biarlah Rahsia - Siti Nurhaliza
pernahkah kau bermimpi seketika
berada di tempat ku
membayangkan pahit manis berlaku
tak siapa yang tahu
mungkin nanti kau jua merasakan
berdepan dengan kata menyesatkan
tak kan ku melupakan
tiada pertimbangan
**
keheningan malam membalutkan
kepayahan jiwa meluahkan
andai kau jujur memahami
tiadaku menjauhi
***
dan kisahku yang masih panjang
menambahkan berat yang memandang
lantasku pendam ku putuskan
biarlah rahsia
semakin aku hitung dalam cinta
tiada kuasa mampu menghalangnya
hentikan kata-kata bertulangkan dusta
**
keheningan malam membalutkan
kepayahan jiwa meluahkan
andai kau jujur memahami
tiada ku menjauhi
***
dan kisahku yang masih panjang
menambahkan berat yang memandang
lantas ku pendam ku putuskan
biarlah rahsia
oooooo
***
dan kisah ku yang masih panjang
menambahkan berat yang memandang
lantas ku pendam ku putuskan
biarlah rahsia
pernahkah kau bermimpi seketika berada di tempatku...

Nota : Bait lirik "pernahkah kau bermimpi seketika berada di tempatku..." penuh simbolik dan penuh makna sekali. Sekurang-kurangnya aku sudah berada di sini. Engkau bermimpi pun belum pernah untuk sampai di sini seperti aku. Mimpi pun tidak pernah, apa tah merasa kebenarannya. Perrrghhhh...Ayat Power !

Pilihan sultanmuzaffar Special Mention !
1. Biarlah Rahsia - Siti Nurhaliza
2. Juita Citra Terindah - M.Nasir
3. Gadis Melayu - Mawi dan Taufik Batisah
4 Cinta - Jaclyn Victor
5. Cinta Abadi - Vince dan Eka Mairina
6. Langit Ke Tujuh - Sharifah Zarina
7. Layar Impian - Dayang Nurfaizah
8. Aduh Saliha - Mawi
9. Jatuh - Adam
10. Caramu - Nikki, Adam, Vince dan Eka Mairina

Ulasan Mulut Jahat :)
Seorang rakyat Singapura yang berpandangan terbuka : Pujangga Malam