Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 11 March 2006

Siri Wawancara bersama Sutun II - 3
Adek dan Lukman

S : Ceritakan sedikit tentang latar belakang diri anda ? Ceritakan sedikit tentang watak anda ? Siapa reference anda untuk watak ini ?

A : Nama Adek ialah Ku Mohd Yusri Ku Abdul Rahman dan kini berumur 22 tahun. Saya merupakan graduan Akademi Seni Kebangsaan dan bidang teater dan kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah di Universiti Malaya dan bidang Performing Arts. Adek menggunakan pengarah sebagai reference Adek kerana Adek tidak dapat mencari reference sendiri. Melalui watak Adek terdapat positif dan negatif bergantung pada pemahaman penonton. Adek hanya perlu mengekalkan perwatakan yang sama seperti dalam drama Sutun yang pertama. Jika dahulu dalam Sutun 1, ia mengisahkan kehidupan Adek di kampung dan berhadapan dengan keluarga, kini dalam Sutun 2 mengisahkan tentang kehidupan Adek di Universiti berhadapan dengan kawan-kawan.

L : Nama saya Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz dan masih belajar dalam bidang kejuruteraan di Twin Tech. Sudah dekat nak habis dah pun. Saya merupakan anak sulung dari 3 orang adik-beradik. Selainnya dua orang adik. Lukman merupakan seorang yang agak gugup dan gementar apabila berhadapan dengan perempuan. Beliau tidak mempunyai sifat kelakian lebih-lebih lagi terhadap perempuan, lalu menggunakan Adek untuk mendekati Zeta. Saya tidak mempunyai reference terhadap watak tersebut sebaliknya sering berbincang dengan Ezad berkenaan watak tersebut. Ezad meminta saya agar mencipta watak tersebut dengan sendiri.

S: Apakah persepsi penonton setelah melihat lakonan anda dalam Sutun 1 ?

A : Adek menerima banyak komen setelah mereka menonton drama Sutun 1. Rata-rata mengatakan Adek nampak matang di dalam televisyen dan lebih bersifat kebudak-budakan di luar.

S : Bagaimana pengalaman kali pertama berlakon dalam drama Sutun 2 ini ? Bagaimana anda berhadapan dengan Ezad selaku pengarah drama ini ? Apakah pengalaman paling berharga dalam Sutun 2 ?

A : Pengalaman paling berharga dalam Sutun 2 apabila mendapat ramai kenalan baru dan dapat belajar seni silat. Adek perlu bertarung dengan seorang kawan dalam Sutun 2. Abang Ezad agak senang bekerja dengan beliau. Adek banyak belajar perkara baru tentang lakonan dan drama dari beliau. Adek sangat berterima kasih atas ilmu yang telah diberikan. Ia boleh Adek sifatkan sebagai satu permulaan untuk drama-drama yang akan datang. Lebih-lebih lagi apabila Adek dapat mempelajari ilmu-ilmu penting dalam pembikinan drama seperti tatacahaya, jenis-jenis lampu dan untuk merancang shot.

L : Adegan yang pertama saya lakonkan adalah adegan bersama Adek pada jam 6 petang. Pada mulanya merasa cukup gementar namun semuanya berjalan dengan baik. Ezad merupakan seorang pengarah yang baik kerana memberikan kebebasan kepada saya untuk lebih fleksibel terhadap watak tersebut.

S : Siapakah yang menemui anda untuk watak ini ? Apa yang membuatkan anda menerima watak ini ? Tentu ada sesuatu tarikan yang membuatkan anda menerima watak ini ?

L : Ezad yang menemui saya untuk watak ini. Saya menerimanya tanpa sebarang sebab. Saya cuma menerimanya sahaja.

S : Apa persepsi anda terhadap watak-watak lain seperti Adek, Lukman, Zeta, Sabri dan 3 sekawan yang membenci Adek iaitu Nuar, Leman dan Tajul ? Apa yang anda mahu masyarakat pelajari dari watak-watak tersebut ?

L : Adek seorang yang agak kuat dan banyak membantu. Zeta pula seorang kawan yang kuat dan banyak melindungi Adek. Nuar seorang yang homophobic dan melancarkan dendam terhadap mereka yang seperti Adek. Tajul dan Leman hanyalah pengikut Nuar dan mereka kuat main-main.

S : Apakah pengajaran yang ingin anda sampaikan kepada penonton melalui watak anda ?

A : Adek tidak memaksa penonton untuk menerima kita. Ia bergantung pada penonton untuk menerima buruk atau baiknya watak tersebut. Apa yang termampu Adek sampaikan adalah jujur dari hati Adek. Sampai atau tidak bergantung pada penonton.

L : Ia dapat membuka ruang pandangan yang lebih berbeza terhadap sekelompok manusia dan harus berfikiran terbuka agar tidak mendiskriminasikan mereka. Apa yang mereka lakukan adalah kehendak mereka.

S : Sudah bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat dalam mengecap populariti kesan drama Sutun 2 ini ?

A : Adek berharap agar melalui Sutun 2 bakat Adek dapat dikembangkan lagi melalui lakonan-lakonan Adek. Semoga ia akan menjadi titik tolak penentu kerjaya Adek dalam bidang ini.

L : Sudah bersedia. Drama ini akan dikenali kerana cerita yang berbeza yang cuba diceritakan kepada penonton.

Siri Wawancara bersama Sutun II - 4
Pengarah, Ezad

Menurut Ezad, Sutun 2 mahu dijadikan sebagai education tool kepada masyarakat untuk mendekati kehidupan masyarakat yang lain. Ia adalah kisah tentang adik-adik. Pada sesetengah pandangan, kehidupan mereka penuh dengan warna-warni, keindahan, masalah sosial. Tetapi apa yang sebenarnya berlaku tidak didedahkan kepada umum kerana masyarakat menganggap ia sebagai sesuatu yang tabo untuk diketengahkan kepada pandangan masyarakat.

Kejayaan drama Sutun 1 tidak hanya berlaku di dalam negara tetapi juga turut diminta oleh kerajaan Thailand yang ingin mengalih-bahasa drama tersebut. Mereka ingin menjadikan Sutun sebagai education tool mereka di sekolah-sekolah dan di universiti-universiti.

Drama ini ditayangkan di RTM adalah sesuatu yang sukar untuk dijangkakan kerana RTM disangka akan menolak cerita drama seperti ini. Sebaliknya drama ini telah ditolak penyiarannya oleh TV3 yang lebih terbuka pemikiran mereka pada pandangan umum.

Sutun 1 turut menerima 7 pencalonan di Anugerah Seri Angkasa yang akan berlangsung 10 dan 11 Mac ini. Ini termasuklah untuk kategori Drama TV Terbaik, Pengarah Drama Terbaik, Skrip Drama TV Terbaik, Suntingan Drama TV Terbaik, Pelakon Lelaki TV Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki TV Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita TV Terbaik.

Soal menang atau kalah bukanlah menjadi impiannya kerana apa yang lebih utama apabila drama tersebut dapat ditonton oleh semua orang dan mereka mendapat sesuatu daripada drama tersebut.

Drama ini akan disiarkan pada hari Sabtu, 11 Mac 2006 di Saluran RTM1 pada jam 2 petang.