Siri Wawancara bersama Sutun II - 2
Zeta dan SabriKawan rapat Adek. Seorang dari kampung, dan seorang lagi dikenali di kampus. Mereka berkongsi masalah dan sama-sama mengharungi setiap masalah, suka dan duka bersama. Apakah Zeta bakal menjadi racun kepada Adek ? Atau apakah Sabri bakal menjadi racun kepada Adek. Sama-sama kita saksikan Drama Sutun 2 pada hari Sabtu ini, jam 2 petang di RTM 1, Saluran Infotainmen Anda.
S : Ceritakan sedikit tentang latar belakang diri anda ? Ceritakan sedikit tentang watak anda ? Siapa reference anda untuk watak ini ?
Z : Nama Zeta ialah Wan Sharmila bt Wan Mohamad dan berumur 25 tahun. Kini bekerja di sebuah firma guaman di Johor Baru dalam bahagian akaun. Zeta merupakan rakan sekampung dengan Adek. Hubungan rapatnya dengan Adek sudah lama terjalin sejak bersekolah lagi. Tidak begitu sukar membawakan watak ini kerana sememangnya latar belakang saya sudah dibiasakan dengan kawan-kawan sebegini. Saya sudah menjadi biasa dengan situasi tersebut. Saya menjadikan diri saya sebagai reference untuk watak tersebut.
KM : K’Ma Abdullah merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Malaya dalam bidang seni persembahan. Saya juga merupakan tutor di Akademi Seni Kebangsaan. Kini berumur 27 tahun. Saya banyak melibatkan diri dalam persembahan pentas dan ini merupakan drama saya yang pertama. Watak saya merupakan kawan baik kepada Adek yang mula dikenalinya sewaktu di kampus. Kami baru saling-mengenali. Berbeza dengan Zeta yang sudah mengenali Adek sejak di kampung. Sabri suka menyanyi dan Ning Baizura merupakan idolanya. Saya menjadikan kawan-kawan saya di ASK sebagai reference kepada watak ini. Imej-imej tersebut saya gabungkan hasil daripada pemerhatian saya terhadap mereka. Tidak hanya sifat serta gaya fizikal tetapi gaya percakapan juga turut saya tiru.
S : Bagaimana pengalaman kali pertama berlakon dalam drama Sutun 2 ini ? Bagaimana anda berhadapan dengan Ezad selaku pengarah drama ini ? Apakah pengalaman paling berharga dalam Sutun 2 ?
Z : Pengalaman kali pertama ini lebih menyeronokkan. Lebih-lebih lagi saya seorang perempuan manakala yang lainnya ialah lelaki. Walaupun tidak banyak beza sebenarnya. Pada mulanya merasa sedikit canggung, lama-kelamaan kami sudah menjadi seperti keluarga kerana hubungan rapat di lokasi. Abang Ezad banyak mengajar saya tentang apa itu lakonan. Agak senang bekerja dengannya.
KM : Pada mulanya saya berasa agak gementar dan takut kerana jargon-jargon yang jarang saya dengar seperti close-up, master shot, tight shot dan sebagainya. Saya tidak tahu dengan jargon-jargon pembikinan drama. Kalau teater saya faham. Adek banyak membantu kerana Adek sudah biasa dengan jargon-jargon tersebut kerana Adek telah terlibat dalam drama Sutun. Saya mudah faham apa yang Ezad mahu. Beliau seorang yang telus dan mahu melibat para pelakonnya menggunakan kreativiti sendiri untuk menghidupkan watak tersebut. Senang bekerja dengannya, lebih fun dan lama-kelamaan perasaan gementar itu hilang.
S : Siapakah yang menemui anda untuk watak ini ? Apa yang membuatkan anda menerima watak ini ? Tentu ada sesuatu tarikan yang membuatkan anda menerima watak ini ?
Z : Abang Ezad yang menemui saya untuk watak ini. Saya menerima watak ini kerana minat dan ingin mencuba.
KM : Seperti Zeta, Ezad jugalah yang menemui saya untuk watak ini. Asalnya watak ini telah diberikan kepada pelakon lain yang mampu meniru suara Siti Nurhaliza. Kalau masih ingat yang menyanyikan lagu Nirmala sebagai kejutan kepada Kefli. Malangnya beliau tidak dapat bersama kerana komitmennya yang lain. Maka skrip perlu dirombak kerana saya tidak boleh meniru suara Siti Nurhaliza kepada Ning Baizura. Sudah menjadi rezeki saya. Saya pun minat gila dengan Ning Baizura sama seperti watak Sabri yang menjadikan Ning Baizura idolanya. Saya mempunyai bakat dan kini mahu ia dikongsi dengan penonton. Tarikan kuat dari Ning Baizura dan saya akhirnya bersetuju.
S : Apa persepsi anda terhadap watak-watak lain seperti Adek, Lukman, Zeta, Sabri dan 3 sekawan yang membenci Adek iaitu Nuar, Leman dan Tajul ? Apa yang anda mahu masyarakat pelajari dari watak-watak tersebut ?
Z : Adek dan Sabri mewakili realiti zaman sekarang. Sememangnya wujud sekelompok manusia yang mempunyai sifat-sifat seperti mereka. Begitu juga dengan watak Nuar, Leman dan Tajul yang mewakili golongan pembenci watak Adek dan Sabri. Saya berharap agar penonton dapat melihat dengan jujur ke dalam dunia mereka dengan pandangan tanpa prejudis. Mereka harus faham situasi yang dilalui oleh setiap watak. Nuar contohnya mempunyai sebab untuk bertindak demikian. Begitu juga dengan Fitri.
S : Apakah pengajaran yang ingin anda sampaikan kepada penonton melalui watak anda ?
Z : Zeta merupakan kawan baik kepada Adek. Watak Zeta begitu mengambil berat tentang Adek dan persekitarannya. Watak Zeta juga seperti selesa dan berasa selamat apabila berada di sekeliling mereka.
KM : Watak Sabri membuatkan saya harus percaya kepada diri kita sendiri. Kita harus berbangga dengan kelebihan yang kita miliki dan berusaha memperbaiki kelemahan yang kita ada. Jangan merasa rendah diri apabila kelemahan kita dikutuk kerana ia tidak akan mengubah apa-apa. Jangan takut kepada malu dan tidak perlu takut terhadap apa yang akan orang perkatakan. Sekiranya perkara yang kita lakukan itu baik, kita tidak perlu takut. Sabri seorang yang berani mempertahankan Adek, Zeta dan Fitri. Sabri akan mengambil-berat terhadap masalah yang dilalui oleh rakan-rakannya dan akan cuba untuk sama-sama menyelesaikannya. Kita sama-sama mengharungi setiap masalah agar mampu untuk berdiri dengan sendirinya dan akhirnya kita maju dengan jayanya. Itulah antara inti pati watak Sabri.
S : Sudah bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat dalam mengecap populariti kesan drama Sutun 2 ini ?
Z : Orang mungkin kenal, tetapi ini hanyalah drama. Dalam tempoh jangka panjang sekiranya drama ini popular tentunya menjanjikan sesuatu yang berlainan untuk diri saya juga.
KM : Saya sudah bersedia sewaktu pertama kali menerima tawaran ini. Pertama saya harus bersedia untuk berhadapan dengan keluarga. Ibu tidak mengongkong apa minat saya lebih-lebih lagi sekiranya mesej yang ingin disampaikan adalah positif. Saya berharap agar masyarakat menjadi lebih terbuka untuk mendekati watak-watak dalam drama Sutun2 ini. Watak-watak dalam drama ini ada masalah masing-masing yang ingin mereka kongsi dengan penonton. Ada banyak pengajaran yang boleh didapati seperti tidak memencilkan diri, menerima takdir Tuhan dan berusaha dengan positif untuk mengubahnya.
S: Anda berkemampuan untuk mengajuk suara-suara personaliti. Dari mana anda dapat kemahiran tersebut ?
KM : Saya gemar menonton apa sahaja yang boleh saya tonton. Dan saya akan berulang kali menonton klip tersebut. Saya tidak meniru secara main-main sebaliknya saya menerapkan ke dalam perwatakan saya. Buat masa ini saya gemar untuk meniru gaya Ning Baizura, Fatima Al Zahra dari siri Ar-Rayyan, Anita Sarawak, Sharifah Aini, Fauziah Ahmad Daud dan beberapa lagi.
Nota : Drama Sutun tercalon untuk kategori Drama TV Terbaik bersama Anak Penarik Beca dan Bila Tsunami Melanda terbitan RTM. Dua drama lain ialah Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan (Astro) dan Neraka Cinta (TV3).
Untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki TV Terbaik, Sutun diwakili oleh Kazaruddin Saisi yang memegang watak bapa Adek. Pelakon lain yang tersenarai ialah Rusdi Ramli (Daun Ketupat Kering), Faizal Yusof (Surat Dari Bulan), Mohd Hanis Kamal (Anak Penarik Beca) dan Shahronizam (Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman).
Manakala untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita TV Terbaik pula, Sutun mencalonkan Rosnah Johari sebagai ibu Adek. Manakala calon-calon lain ialah Azean Irdawaty (Kesetiaan ) Azizah Mahzan (Darling...Aku Benci Tapi Rindu), Fauziah Nawi (Titik Titik Noda 2) dan Linda Hashim (Bila Tsunami Melanda).
Esok saya akan siarkan pula wawancara bersama Adek dan Lukman dan pada hari Sabtu menjelang Anugerah Seri Angkasa, saya akan siarkan wawancara saya bersama Ezad, Pengarah Drama Sutun 2 ini.
Kredit Foto : http://gambar.blogspot.com
0 komen