Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 13 September 2005

Bagaimana Cara Kita Melihat Sesuatu

Suka untuk saya berkongsi dengan pembaca saya tentang dua jenis penulis ulasan ini. Bukan untuk dibuat perbandingan tetapi sekadar untuk melihat sejauh mana dan sedalam mana pemikiran manusia itu berbeza-beza.

Kedua-dua artikel menceritakan tentang perjalanan cerita dari filem Janji Joni.

Sisipan artikel yang pertama ini telah ditulis oleh Dah Depan Mata: Pertaruh JANJI JONI, UNGU VIOLET di FFAP50 yang tersiar di Harian Metro.

Tapi saya tidak melihat ada keistimewaan ceritanya. Tapi ada yang kata Janji Joni berjaya sebagai ‘adventure road movie’ yang menarik dan menguji kreatitivi pengarahnya.

Apa yang dipaparkan adalah renteten peristiwa yang berlaku kepada Joni sepanjang anda menonton satu filem. Sebabnya, Joni (Nicholas) menjadi penghantar filem dan dia begitu komited dengan kerjanya hingga tidak pernah gagal dengan tugasnya.

Bagaimanapun nasibnya agak malang hari itu untuk memastikan sambungan filem sampai ke panggung pada masa ditetapkan. Bermula dengan motosikalnya dicuri orang ketika dia membantu orang tua melintas jalan, Joni terperangkap dengan drama menyambut kelahiran anak pemandu teksi itu. Dia juga pengsan ketika dalam bilik bersalin.

Apabila sedar, dia terus berlari untuk memastikan barang yang dihantar tepat pada masanya. Kali ini dia terperangkap di tengah penggambaran filem dan dia diperlukan sebagai pelakon ekstra. Kemudian dia bertemu gadis yang meminta tolong dan dia cuba membantu.

Sekali lagi dia ditipu apabila gadis itu mengambil begnya. Dia mengejar gadis itu untuk mendapatkan begnya. Dia berjaya mencarinya dengan bantuan adik gadis itu. Sekali lagi dia terjebak. Kali ini dia diperlukan sebagai pemain dram untuk sesi uji bakat kumpulan gadis itu sebagai ganjaran mendapatkan begnya.

Kisahnya tidak habis di situ. Dalam perjalanan mendapatkan begnya (sudah dijual kepada seorang seniman), mereka dikejar oleh mereka yang pernah menjadi mangsa gadis itu.

Akhirnya, Joni mendapat begnya selepas diuji seniman itu. Untuk segera sampai, Joni naik ambulans. Sekali lagi terjebak dengan pertelagahan pesakit dan rakan-rakannya hingga Joni keluar dan terus berlari dan berlari. Tapi, dia terlewat. Menarik? Entahlah.

Agak mengejutkan juga apabila filem ini turut menjadi taruhan Indonesia ke Festival Filem Asia Pasifik ke-50 (FFAP50) yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 29 September hingga 1 Oktober ini bersama filem Ungu Violet.

Apakah dua filem ini mewakili filem terbaik di Indonesia atau kerana ia ditayangkan di sini, lalu dipertandingkan? Filem ini menjadi kebanggaan Indonesia apabila menang di Anugerah MTV Indonesia Movie (MIMA) pada 5 Ogos lalu.

Janji Joni menang Filem Terbaik manakala Ungu Violet (Filem Pilihan). Nicholas dan Dian dipilih peminat untuk Aktor/Aktres Pilihan manakala Aktor/Aktres Pembantu Pilihan untuk Fauzi Baadilla (Tentang Dia) dan Mariana Renata (Janji Joni).

Apakah FFAP50 setaraf MTV saja? Saya difahamkan, karyawan Indonesia ada menghasilkan filem berat seperti GIE, Novel Tanpa Huruf R, Mengejar Matahari, Brownies, Virgin, Rindu Kami Padamu atau Banyu Biru. Semuanya tidak ditayangkan di sini.
Sisipan artikel yang kedua telah ditulis oleh Tontonfilem : Janji Joni- Now This Is What I Call A Film! yang tersiar di blog beliau dengan nama yang sama.

Joko mainkan 'reference' ini lagi pada beberapa babak waktu Joni mengejar filemnya. Babak pertama adalah perjumpaan dengan pemandu teksi (ingat filem Taksi?) Jaka.S (nota: "Jack Ass, get it?"- Azwan) yang dilakonkan oleh Barry Prima. Di sini Joko mahu membawa penonton mengingati seniman hebat ini juga waktu filem aksi Indonesia hangat di pasaran, si Arnold Schwazenager Indonesia yang popular sebagai Jaka Sembung, juga sejarah filem Indonesia kerana filem-filem aksinya memang mendapat sambutan hangat waktu (Jaka.S) 80-an. Bila isteri Jaka.S mahu melahirkan anak, Jaka.S mahukan nama Joni. Babak ini menonjolkan 'kelahiran' filem (pra-produksi) serta ideanya dan juga bermulanya perjalanan Joni.

Kemudian Joni bertemu sutradara filem seks yang dilakonkan oleh Ria Irawan, membawa kita sekali lagi pada satu zaman 'filem-filem seks' yang melanda Indonesia dengan ampuh (yang paling banyak dibuat waktu filem indonesia mula menurun kehebatannya bermula zaman 90-an. Imuda dan Nia Zlkarnain pernah berganding dalam filem sebegitu). Babak ini juga punya 'reference' pada pelakon dan kru filem, rencah pertama dalam pembikinan filem, atau dipanggil 'produksi'.

Kemudian Joni bertemu dengan budak-budak jalanan, membawa kita pada sebuah lagi zaman filem Indonesia, zaman filem-filem penghayatan kelas bawah (lihat Kemelut Hidup, Bernafas Dalam Lumpur, Bibir Mer, Taksi, dan setentunya Daun Di Atas Bantal). Di sini, Joni bersama si pencuri bermain kugiran underground untuk seketika, 'reference' pembikinan filem dalam 'lagu latar' (filem ini, secara sengaja membawa kita latar lagu-lagu soundtrack underground pemuzik Indonesia).

Selepas itu, Joni bertemu dengan seorang ahli mistik (lakonan hebat Sujiwo Tejo dari Kafir), yang juga seorang yang menyoal Joni dalam pembagai mantik falsafah, sebelum pita filemnya perlu dibakar. Di sini, Joko membawa kita pada zaman filem-filem 'supernatural' Indonesia (kalau dilihat, filem Indonesia dan Malaysia tidak perlu konsep realisme magik, kerana secara zahirnya, perkara roh dan alam adalah satu dalam budaya kita, maka kita punyai filem 'supernatural' atau 'spiritual' yang tidak perlu didefinasikan sebagai 'tahyul' atau 'fantasi', dna kita kena bangga dengan itu), termasuklah bomoh-bomoh, hantu-hantu dan wali-wali (Dari Dukun Lintah hingga ke Jelangkung). Ia juga, seperti kata Azwan, secara falsafahnya menyindir
filem-filem seni (kerana lelaki ini menyimpan barang untuk pameran seni) yang
dibuat oleh pembikin filem Indonesia (kerana Joni terpaksa menjawab dengan betul jika tidak mahu filemnya dibakar- secara halusnya, filem yang kita lihat ini dibakar!). Ia juga memberi 'reference' pada waktu 'menyunting', di mana pengarahnya (di sini Joko dan si ahli mistik, juga simbolisme pada Tuhan filem ini, yang Menentukan apa yang perlu dan apa yang tidak perlu untuk 'anak-anak'nya) dan penyuntingnya akan lihat mana bahagian filem yang perlu dipotong dan mana yang perlu dibiarkan.

Dan akhirnya, Joni bertemu dengan seorang produser yang sedang sakit, nazak kerana salah membuat penilaian (reference pada rencah terakhir pembikinan filem, si pemberi wang untuk belanja membuat filem) tentang sebuah filem yang sedang di pawagam.
Berdasarkan pendapat saya, kedua-dua artikel penting dalam memberikan gambaran jelas tentang filem tersebut. Penerimaan pembaca terhadap kedua-dua artikel tersebut tentunya berbeza. Saya boleh menganggap tulisan dari akhbar Harian Metro sebagai bacaan ringan dan sekadar untuk suka-suka tetapi menganggap tulisan dari blog Tontonfilem sebagai bacaan berat dan memerlukan penelitian utama untuk mendapat gambaran jelas tentang filem tersebut.

Bukan bertujuan untuk merendah-rendahkan kredibiliti penulis artikel pertama tetapi apa yang beliau nampak hanyalah permukaan filem tersebut. Ini berbeza dengan penulis kedua yang melihat dengan lebih dalam dari pelbagai sudut filem tersebut.

Komedi di sebalik pekerja filem oleh A.Wahab Hamzah

Yang mana satu pilihan kita ?

Dalam perkembangan lain, industri perfileman tempatan boleh menarik nafas lega apabila filem Pontianak Harum Sundal Malam II telah memenangi Anugerah Pelakon Terbaik untuk Maya Karin dan Sinematografi Terbaik di Estepona Fantasy and Terror Film Festival di Sepanyol. Filem versi 'rough cut' yang telah dibawa secara tergesa-gesa oleh penerbitnya ke sana telah menambat hati panel juri. Bayangkan versi 'rough cut' telah mampu untuk membuka mata panel juri dan memberikan kemenangan kepada filem tersebut. Bagaimana pula nanti penerimaan penonton di Malaysia terhadap versi sepenuhnya di sini ?

Siap dengan suntingan yang lebih sempurna, adunan warna yang lebih baik, adunan bunyi yang lebih berkualiti, saya tidak terkejut jika hasilnya menjadi lebih hebat. Mampukah Pontianak Harum Sundal Malam II berjaya di bumi sendiri ? Panel juri Festival Filem Malaysia bukan boleh kira sangat. Macam-macam boleh berlaku.

Sudah lama saya cari website filem Melayu yang lebih berkualiti dan serius pembuatannya macam website filem Janji Joni, Ungu Violet, Sepet sekadar menyebut beberapa nama. Saya jumpa dalam Pontianak Harum Sundal Malam II. Check it out !