Majlis Penyerahan Kereta Suzuki Swift Akademi Fantasia 3
No. Plat masih belum difikirkan
Kepenatan berada di PWTC untuk Malam Seribu Kenangan Bersama Mawi masih belum hilang. Tidur jam 2 pagi dan terjaga jam 3 pagi. Terus mata tidak boleh menikmati malam lagi. Sempat juga mengemaskinikan blog untuk acara tersebut.
Pagi Isnin, bangun seperti biasa. Sebuah lagi hari Isnin yang sama seperti hari Ahad. Kalau begini berterusan bukankah indah. Sementara ada waktu senggang ini, harus saya gunakan sebaik yang mungkin.
Semalam di PWTC sudah jumpa Mawi, hari ini jumpa lagi. Kalau Mawi penat, saya lagi penat. Sementara menunggu tetamu VIP tiba di Gazebo Subang, sempat juga saya mengalas perut di sana. (makan dalamlah hendaknya…) Acara hari ini merupakan Majlis Penyerahan Suzuki Swift untuk Juara Akademi Fantasia 3 iaitu Mawi bertempat di DRB Hicom. Majlis bermula sekitar jam 12 tengahari.
Setibanya di Ruang Legar DRB Hicom, majlis masih belum bermula. Makanya tidak ada salahnya jika terlewat menantikan tetamu VIP di Gazebo sebentar tadi. Tetamu VVIP dari Balai Berita NSTP juga masih tidak kelihatan. Hanya tiba setelah majlis bermula. Saya sudah biasa dengan keadaan tersebut.
Antara bintang Akademi Fantasia yang hadir pada tengahari itu ialah Mawi, Felix, Amylea, Marsha, Yazer dan Akma. Dengan pakaian serba putih yang menjadi konsep untuk bintang Akademi Fantasia, bintang lelaki nampak kurang menyerlah. Yazer dan Felix kelihatan seperti budak pejabat. Mawi pula kelihatan seperti hendak ke masjid. Berbanding bintang perempuan, yang nampak lebih menyerlah. Putih adalah konsep warna yang sukar untuk nampak menyerlah lebih-lebih lagi untuk lelaki. Jom pi shopping !!
Kereta Suzuki Swift 1.5 liter berwarna hitam telah pun bertukar tangan. Warna hitam menjadi pilihan Mawi kerana ia adalah warna kegemarannya. Apabila ditanya oleh salah seorang wartawan hiburan tentang signifikan warna hitam tersebut. Mawi tersenyum dan menjawab ia adalah warna pilihan saya. Wartawan-wartawan Malaysia semacam suka mengumpan Mawi dengan soalan-soalan berbentuk “leading question” yang jawapan pada fikiran mereka sudah tersedia. Paling tidak pun, mereka mengharapkan jawapan yang mereka ingin dengar untuk dikorek lagi dari dalam isi hati Mawi.
Tengahari tersebut turut diserikan dengan persembahan dari bintang Akademi Fantasia dengan lagu Hati Ini Telah Dilukai oleh Amylea, Akma, Marsha, Yazer dan Felix. Mawi perlu direhatkan walaupun ada permintaan. Saya faham dan mahu beliau berehat. Tidak dengar Mawi menyanyi pun tidak mengapa, asalkan dia dapat berehat.
Seterusnya bintang lelaki iaitu Felix, Yazer dan Mawi membawakan lagu Pupus. Lagu terakhir dari Mawi ialah lagu Nourel Ain walaupun permintaan mengharapkan beliau membawakan lagu Aduh Saliha. Cukup-cukuplah dengan lagu tersebut. Situasi diri Mawi tidak begitu mengizinkan untuk beliau membawakan lagu tersebut.
Selesai persembahan, kami beredar ke sidiag akhbar bertempat di Laman Puteri. Susulan dari sidang akhbar di PWTC semalam, banyak soalan yang dikemukan menjurus kepada personaliti Mawi yang dikatakan semakin lupa diri. Banyak laporan akhbar yang menyebut tentang sifat tersebut. Walaupun tidak diperjelaskan secara lanjut, tetapi artikel-artikel tersebut adalah berkenaan Mawi. Apabila ditanya sama ada beliau sedar tentang perkara negatif tersebut, Mawi menjawab sebagai manusia kita tidak lari dari membuat kesilapan dan beliau memohon maaf sekiranya ada yang tersinggung.
Sidang akhbar ini memberikan satu kejutan buat saya. Bintang Akademi Fantasia tidak membaca laporan-laporan yang telah ditulis tentang mereka. Apakah mereka hanya membaca yang baik-baik sahaja. Apakah masa terlalu singkat sehingga tidak punya banyak masa untuk membaca. Apakah mereka hanya diberikan keratan akhbar yang sekadar memuji mereka tetapi bukan keratan yang memberikan komen negatif ?
Saya menganggap ini sebagai satu yang di luar jangkaan saya sendiri. Mereka tidak membaca. Situasi ini jika dibiarkan terus berlaku, akan membataskan usaha kita untuk melahirkan seniman yang berilmu. Dua artikel penting yang harus mereka baca yang telah disiarkan pada minggu lepas ialah artikel Jom Semuka bertajuk “Apabila masuk AF3, semua dah jadi lalai”, iaitu wawancara dengan Cikgu Siti Hajar dan juga penulis tamu Aspirasi Ramli MS tentang “Tidak ramai artis mampu sebut perkataan dengan jelas, tepat”. Masa untuk membaca sebenarnya boleh dicari. Sementara dalam perjalanan menuju ke lokasi acara, sementara menunggu giliran membuat persembahan. Semuanya terletak kepada kemahuan diri sendiri.
Berbalik kepada soal sidang akhbar, tumpuan utama pada tengahari itu ialah Mawi. Soalan banyak berkisar sekitar kereta, hadiah, orang tersayang, lesen memandu serta perubahan sifatnya. Itu isu hangat yang sering diperkatakan sekarang.
Saya turut berada di dalam sidang akhbar di PWTC yang jelas menaikkan sedikit kemarahan Mawi sehingga ditegur oleh CEO Maestro Talents iaitu Freddie Fernandez. Hari ini kejadian tersebur diulas di dalam Harian Metro.
Siti Nurhaliza, Bintang Akademi Fantasia dan Hotlink On Tour
Selesai sidang akhbar, kami bergegas pula ke Pan Pacific Glenmarie untuk Sidang Media Hotlink Tour - Fenomena Masa Kini. Lebih mengejutkan apabila majlis turut dihadiri oleh superstar Siti Nurhaliza. Bintang Akademi Fantasia sudah selalu bertemu. Sekali sekala dapat bertemu dengan Siti Nurhaliza apa salahnya.
Berjimatlah selagi boleh, sementara bintang masih berkelip...
Suasana untuk majlis ini agak lebih santai dan lebih eksklusif. Dalam sebuah bilik yang sederhana besar, majlis berlangsung dalam suasana penuh kemesraan. Tujuan utama majlis tersebut diadakan adalah untuk melancarkan Hotlink On Tour - Fenomena Masa Kini bersama Siti Nurhaliza, ZChen, Mawi dan Bintang Akademi Fantasia 3. Ia akan bermula di Lumut dan menampilkan kesemua bintang Akademi Fantasia 3. Konsert ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada penonton untuk melihat artis kesayangan mereka secara lebih dekat dan berinteraksi melalui program-program yang telah diatur.
Felix : Duit kemenangan bolehlah pergi shopping baju !
Selain daripada itu, majlis penyerahan cek kemenangan di Akademi Fantasia turut diadakan. Yazer telah menerima RM3,000, Marsha RM4,000, Amylea RM5,000, Felix RM10,000 dan Mawi merupakan penerima paling banyak dengan jumlah RM26,000. Penyerahan cek telah dilakukan oleh Miss Chee Loo Fun, selaku General Manager & Head of Prepaid Marketing. Sebelum bermulanya sidang media ini, Kefli, Yazer dan Felix telah menghiburkan para hadirin dengan lagu Pupus. Selesai majlis penyerahan cek, bintang Akademi Fantasia mendendangkan lagu Jangan Pisahkan di hadapan para hadirin. Pemilihan lagu yang tidak sesuai dengan majlis tersebut. Persembahan bintang juga tidak begitu memberangsangkan. Lebih-lebih lagi ia dipersembahkan di hadapan Siti Nurhaliza. At least, tunjukkan yang bintang Akademi Fantasia benar-benar serius dalam bidang ini. Bintang perempuan membawakan lagu Asmara.
Nantikan kemunculan Dua Dunia bersama Too Phat
Sidang Media kali ini tertumpu kepada Siti Nurhaliza. Sedap mata apabila dapat melihat Mawi berehat sebentar dari menjawab soalan-soalan dari pihak wartawan. Siti Nurhaliza diajukan pelbagai isu tentang hubungannya dengan pihak media yang kini semakin renggang dan ada unsur-unsur pilih kasih. Selain daripada itu, Siti Nurhaliza turut mengumumkan kerjasama beliau dengan Too Phat untuk single bertajuk Dua Dunia yang akan diedarkan dalam masa yang terdekat ini.
Masa yang tersedia banyak dihabiskan dengan berbual-bual dengan bintang Akademi Fantasia. Marsha seperti biasa telah di”conquer” oleh seorang blogger tersebut. Oleh itu, saya ambillah apa yang ada iaitu Akma. Bersama Akma, saya banyak memberikan update kepada beliau tentang Jiwang United yang semakin parah nampaknya. Saya sempat menasihatkan beliau agar menghargai usaha-usaha yang telah dibuat oleh mereka kerana mereka benar-benar sedang parah dipanah asmara. Mereka itulah yang begitu menyayangi Akma. Banyak juga yang dibualkan tetapi kebanyakannya “off record”. Tersipu-sipu Akma apabila mendengar usikan-usikan Klubbkidd. Kefli banyak melayan peminat-peminat perempuannya begitu juga dengan Yazer.
Oleh kerana Klubbkidd telah membawa kami ke majlis tersebut, maka saya melancarkan kempen untuk mengundi Klubbkidd kerana beliau mengharapkan undian tersebut.
Foto selebihnya boleh dilihat di sultanmuzaffar Fotopages. Buat masa ini, lawatlah Sekadar Media Picisan dahulu. Undilah untuk beliau juga.
Jom Bikin Filem bersama Afdlin Shauki
Pernah terbaca lanjutan projek hilang akal Afdlin Shauki ? Jika belum, anda boleh membaca tentangnya di sini. Saya turut membantu dalam projek ini. Buat masa ini, sudah ada dua hosting yang nampaknya sesuai untuk projek ini. Kebetulan, kedua-dua hosting hadir untuk menaja weblog saya. Memandangkan saya sudah ada hosting penaja, maka saya menggunakan peluang yang ada untuk Afdlin Shauki. Tawaran mereka hanya meletakkan banner sahaja. Itu tidak sukar untuk dilaksanakan.
Buat masa ini perbincangan melalui email telah dilakukan dengan Afdlin sendiri. Afdlin harus mendapatkan nama yang sesuai untuk projek tersebut. Cadangan yang saya berikan ialah www.jombikinfilem.com dan www.projekhilangakal.com. Tidak tahu sama ada cadangan saya itu diterima atau pun tidak. Anda ada cadangan lain yang lebih sesuai ? Sila kemukakan di ruangan Pendapat Anda. Mana tahu jika cadangan anda diterima, nama anda akan terpapar di dalam kredit filem tersebut. :)
Setelah nama hosting diperolehi, maka saya akan memulakan kerja saya untuk merangka portal yang ingin dibuat. Saya mahu membantu industri perfileman Malaysia. Inilah usaha saya untuk melihat industri perfileman Malaysia berkembang dan mendapat sokongan yang sewajarnya dari semua pihak.
Treatment Detektif oleh Hassan Muthalib
Saya memperolehi satu dokumen treatment sebuah filem bertajuk Detektif dari Hassan Muthalib. Saya diminta untuk memberikan komen kritis tentang treatment tersebut. Saya sudah baca separuh sambil membayangkannya di dalam kepala perjalanan cerita filem tersebut. Sebuah filem yang menarik dengan tema hitam berkonsepkan noir. Itu berdasarkan pemerhatian fikiran saya. Saya akan guna masa terluang yang ada untuk meneliti perjalanan cerita dalam filem ini yang bakal disiapkan. Dalam waktu yang sama harus merangka rekabentuk baru untuk blog sendiri yang sudah hampir dua tahun tidak ditukar wajahnya.
Esok Hari Penentuan
Doakan agar segalanya berjalan dengan lancar. Saya begitu mengharapkan ia berakhir dengan kegembiraan. Apakah cuti panjang ini akan berakhir kelak ?
0 komen