Melihat Sinema Indonesia Berkarya Melalui Janji Joni
Sinema Indonesia pernah menghampiri zaman kejatuhannya. Seketika dahulu, sinema Indonesia dipenuhi dengan sinema XXX yang memualkan. Saya melihat sinema Indonesia yang kini dibarisi oleh golongan muda mula menyerlahkan kreativiti mereka lalu hasilnya sungguh di luar jangkaan. Bermula dengan Ada Apa Dengan Cinta, Arisan, Biola Tidak Berdawai, Pantai Berbisik, Mengejar Matahari, Eifel I’m In Love, Tentang Dia, Ungu Violet dan kini Janji Joni saya mula tertarik untuk melihat apa yang boleh penggiat-penggiat sinema Indonesia tawarkan kepada saya.
Filem ini tentang filem. Filem pada pandangan kita sekadar apa yang terpancar di layar putih tetapi sebenarnya lebih daripada itu. Di sebalik tayangan filem, sebenarnya ada seorang bernama Joni yang tugasnya adalah sebagai penghantar reel filem. Ini bermakna di belakang layar putih itu sedang ada seorang yang sedang bertungkus lumus untuk memastikan tayangan tidak terputus lalu mengecewakan orang ramai.
Wayang pertama yang saya tonton seingat saya ialah Dayang Suhana. Dulu-dulu saya ingatkan di belakang setiap layar putih itu, setiap pelakon akan beraksi di belakangnya. Cuba bayangkan jika ada 20 panggung wayang yang menayangkan Dayang Suhana secara serentak, ini bermakna ada 20 orang Rubiah Suparman. Atau paling tidak, Rubiah Suparman akan bertukar-tukar panggung wayang untuk melakonkan wataknya sama seperti yang berlaku dalam Janji Joni. No wonder nama bapa beliau Suparman. Imaginasi kanak-kanak saya adakalanya di luar batas imaginasi.
Tagline yang terpapar di poster Janji Joni tertera "An urban adventure" menyajikan sesuatu yang berbeza. Jika anda pernah menonton Senario Lagi, corak penceritaannya lebih kurang sama. Begitu juga dengan telefilem bertajuk Neon. Kesan satu perkara membawa kepada pelbagai masalah yang datang satu persatu.
Joni perlu menghantar reel filem dari satu panggung ke satu panggung. Beliau bertemu dengan seorang wanita cantik dan sebagai perjanjian untuk mendapatkan nama perempuan tersebut, Joni harus siap menghantar reel terakhir filem yang sedang perempuan itu tonton. Sewaktu dalam perjalanan tersebut beliau bertemu dengan seorang buta yang ingin melintas jalan. Motorsikalnya dicuri, maka bermulalah penjelajahannya ke dalam dunia bangsa Indonesia yang sebenarnya. Menaiki teksi dan bertemu pemandu teksi yang amat peramah juga membantu seorang pemandu teksi menghantar isterinya ke hospital dan melihat sendiri proses kelahiran. Sempat juga Joni pengsan sebentar dan kemudian meneruskan pencariannya. Tujuannya tersasar. Sebalik menghantar reel filem, Joni telah berusaha untuk mendapatkan motosikalnya. Seketika, beliau terserempak dengan sebuah produksi sedang menyiapkan penggambaran filem mereka. Mendengar rintihan Sang Sutradara tentang matlamat keuntungannya, mendengar rintihan pelakon baru yang jarang-jarang dapat memberikan lakonan yang terbaik juga rintihan Penolong Pengarah yang cuba meyakinkan Joni untuk terus berlakon agar konti tidak lari. Semuanya senario biasa yang berlaku dalam industri perfileman Indonesia mahu pun di Malaysia. Kerana mahu menjadi hero, Joni ditipu dan begnya yang berisi reel filem dicuri. Maka bermula pula sebuah pencarian beg reel filem tersebut. Sempat juga bermain band kerana dalam usaha pencarian beliau perlu menyelesaikan masalah yang berlaku di persekitarannya dahulu sehingga beliau bertemu dengan seorang seniman gila. Apakah Joni mampu melunaskan janjinya ?
Janji Joni bukan sekadar perjalanan dan siksa seorang penghantar reel filem, tetapi lebih daripada itu. Filem ini melihat dunia sebenar Indonesia yang semakin meruncing. Mereka golongan muda Indonesia bias bangun dan tidak mahu dibantu. Itulah mereka. Matlamat dan tujuan mereka jelas. Menurut mereka tanpa orang-orang terdahulu, mereka mampu maju.
Babak Menarik
Saya paling menyukai babak diperkenalkan jenis-jenis penonton di dalam sinema. Ada penonton spoiler yang suka membebel memberitahu adegan selanjutnya. Ada penonton yang blur, yang banyak bertanya di dalam panggung. Ada penonton yang membuat wayang di dalam panggung wayang dan wayang mereka turut ditonton oleh penonton yang mengendap. Ada penonton yang rajin mengkritik serta mencatatkan nota-nota untuk bahan tulisan seperti yang saya sering lakukan. Ada penonton yang terlalu serius menonton dan ada juga penonton yang kaki menjawab panggilan telefon. Ini jenis penonton yang tidak tahu adab di dalam sinema. Ada juga penonton yang perfectionist. Anda tergolong dalam jenis penonton yang bagaimana ?
Adegan paling akhir setelah ditayangkan credit title juga merupakan adegan paling menarik di dalam filem ini. Oleh itu kepada sesiapa yang menonton filem ini, tunggu sehingga habis credit title ditayangkan. Adegan tersebut merupakan adegan penting yang menggambarkan keseluruhan inti filem ini. Di mana letaknya jatidiri filem ini, apakah di bawa ke arah positif ataupun ke arah negatif dalam aspek pemaparan imej bangsa Indonesia itu sendiri.
Selalunya saya akan tunggu sehingga credit title selesai untuk melihat nama-nama mereka di belakang tabir sesebuah filem tetapi itulah yang jarang benar ditunggu oleh rakyat Malaysia. Mereka keluar sejurus selepas panggung diterangkan. Tanpa nama-nama yang terpapar di credit title, tiada filem tersebut. Sewajarnya kita menghargai mereka dan Janji Joni menyuruh anda menunggu sehingga credit title selesai untuk menyiapkan puzzle pada filem tersebut. Pak Hassan Muthalib juga ketinggalan untuk menyaksikan kesudahan filem tersebut kerana keluar awal semalam.
Menurut Joni, pekerjaan yang baik adalah pekerjaan yang menjanjikan kepuasan pada dirinya sendiri dan bukannya terletak pada pulangan wang ringgit. Saya masih terbayang antara kata-kata bekas bos saya iaitu Shukri Mohamed yang saya mampu melakukan kerja di tempat baru saya kerana content yang akan saya laksanakan adalah content yang bakal memberikan kepuasan sebenar kepada saya berbanding content yang saya kerjakan sekarang. Content yang akan saya usahakan adalah content yang membolehkan kedua bahagian otak saya berfungsi.
Teknikal
Saya melihat ada kelainan pada watak Joni yang dibawakan dengan berkesan oleh Nicholas Saputra walaupun imej Rangga masih begitu tebal dalam dirinya. Memang agak sukar untuk beliau membuang imej tersebut walaupun setelah beberapa tahun filem Ada Apa Dengan Cinta ditayangkan. Membawakan watak komedi sememangnya sukar, tetapi pelajar jurusan arkitek ini telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang. Kekurangan jelas pada watak Angelique yang dibawakan oleh Mariana Renata yang tampak tidak serasi dengan Nicholas Saputra. Ini berbeza apabila Joni tampil bersama Voni yang dibawakan oleh Rachel Maryam. Keserasian mereka amat terserlah.
Saya tidak pasti apakah peralatan penggambaran filem di Malaysia dan Indonesia menggunakan teknologi peralatan yang berbeza. Apabila saya menonton filem Janji Joni, mahu pun Tentang Dia atau pun Ungu Violet, saya melihat hasilnya bagus sekali. Imej yang terpancar di layar kelihatan amat cantik. Benar, sinematografi bukan sekadar cantik tetapi turut mampu memberikan makna kepada keseluruhan cerita yang dipaparkan. Beberapa adegan dipaparkan dan digabungj-alinkan dengan lakon layar lalu menghasilkan sebuah adegan yang penuh bermakna.
Ceritanya mudah sahaja. Tetapi aspek lakonan, arahan, sinematografi serta suntingan telah menceriakan filem ini. Lupakan aspek ketidak-logikan dalam filem ini, ia tetap sebuah filem yang menghiburkan.
Sinema Malaysia vs Sinema Indonesia
Kenapa komedi versi Indonesia tidak mampu memperbodohkan penonton ? Mana pergi sentuhan komedi ala P.Ramlee yang nampaknya belum ada pengganti ? Saya seorang rakyat Malaysia dan sebolehnya saya mahu menyokong industri perfileman tempatan. Masalahnya di sini, sesetengah filem Malaysia belum cukup masak untuk saya sokong. Saya tidak kata semua, hanya sebilangannya sahaja lebih-lebih lagi yang dihasilkan oleh mereka yang bertaraf Profesor Madya. Terus terang saya kecewa dengan Qaisy & Laila. Setakat tahun ini, hanya Gol & Gincu yang berjaya menambat hati saya.
Saya menaruh harapan yang besar kepada Yasmin Ahmad, Bernard Chauly, Afdlin Shauki, Bade Hj Azmi dan beberapa pengarah filem indie yang semakin meningkat naik dalam menghasilkan filem-filem yang bermutu. Saya mahu sebuah filem yang bukan sahaja berkualiti tetapi juga mempunyai nilai komersial yang tinggi.
Perkembangan filem Indonesia sudah jauh ke hadapan dan menjanjikan sesuatu yang berharga di masa depan. Lihat sahaja kepada keupayaan para sutradara muda mereka yang memiliki corak pemikiran, iltizam sinematografi dan peka kepada penonton dengan menghidangkan tontonan filem yang diingini oleh masyarakat.
Kejayaan Janji Joni
Dalam 2005 Indonesia MTV Movie Award, Janji Joni memenangi anugerah Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Paling Popular (Nicholas Saputra) dan Pelakon Pembantu Wanita Popular (Mariana Renata). Filem ini juga turut terpilih untuk Sydney Film Festival dan Pusan International Film Festival.
Janji Joni akan bertarung di Malaysia untuk Festival Filem Asia Pasifik 50 pada September ini. Apakah Janji Joni mampu menewaskan Puteri Gunung Ledang, Gangster dan Qaisy & Laila ? Jika ini terjadi, ia merupakan satu tamparan yang hebat untuk penggiat filem tempatan.
Rating : 3.5/5 bintang
Produser : http://www.kalyanashira.com/
Arisan ! : http://arisan.kalyanashira.com/
Ulasan Lain :
Sekadar Media Picisan : Ulasan Filem : Janji Joni
0 komen