Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 14 April 2003

Latarnya di mana-mana. Zamannya mungkin masa lampau atau boleh jadi masa depan yang tidak terjangkau bayangannya. Evolusi hidup yang penuh mistikal terus bergerak dan mencetus bunyi-bunyian dari alam. Unggas, manusia dan alam menjadi pemain dan penafsir. Demikianlah bahasa bunyi yang memacu satu pusingan waktu yang boleh dirasa dengan minda, tetapi tidak tersentuh dek mata. Kembara Jiwa Mohram berkonsepkan evolusi kehidupan. Ia memanifestasikan mimpi sebagai perjalanan hidup yang abstrak. Dalam mimpi, evolusi masa bersandarkan alam serta kehidupan bergerak sebagai naratif. Muzik menjadi narator kepada evolusi hidup yang mengambil fragmentasi masa dalam sehari. Kembara Jiwa Mohram cuma melampaui makna tradisional dalam konteks Melayu di Malaysia. Persembahan ini menjadi jambatan tradisional Melayu, muzik baru Nusantara dan muzik dunia.

Dua maestro dalam dunia Muzik Melayu tradisional iaitu Mohar dan Ramli berpeluang untuk berperang di Istana Budaya. Tingkah-meningkah dua maestro ini benar-benar menjadi. Mohar atau Muhardiman Ismail lahir daripada keluarga pemuzik. Sejak berusi tiga tahun lagi Mohar sudah terdedah dengan alat muzik tradisional Melayu, seruling buluh. Mohar memulakan kerjaya muzik sebagai pemuzik latar untuk beberapa artis terkenal tempatan seperti sifu M. Nasir. Antara keunikan Mohar ialah beliau akan membawa 30 seruling dalam setiap persembahannya. Ramli atau Ramli Abd Hamid meminati muzik gendang tradisional Melayu. beliau mula mempelajari kaedah bermain gendang pada majlis kenduri kahwin ketika berusia belasan tahun. ramli mengganggotai kumpulan Unit Kebudayaan Negeri Selangor yang membawa beliau menjelajah beberapa negara antaranya Greece, United Kingdom, Jepun dan Indonesia. Kepakaran beliau memalu rebana membuatkan beliau digelar sebagai "Ramli Rebana". Persembahan itu turut diserikan lagi dengan kehadiran koreografer tersohor Malaysia iaitu Aida Redza dan Abdul Jalil Ngah sebagai Pengarah Artistik dan Kreatif.

Alunan dua alat muzik tradisional itu begitu meresap ke dalam jiwa dan begitu memikat hati. Tidak puas. Tidak terasa persembahan sudah selesai. Bagai mimpi. Begitu juga yang tertulis dalam sinopsis, persembahan ini akan membawa kita ke alam mimpi dan itulah yang telah berlaku secara zahirnya. Menonton persembahan muzik mereka bagaikan berada di satu alam yang kita sendiri tidak tahu di mana. Terasa begitu unik, eksotik dan klasik. Semangat artistiknya cukup tinggi, nilai estetikanya begitu kemas apabila gabungan alat muzik tradisional bertembung dengan alat muzik moden yang membuahkan rentak dan rasa harmoni yang mencengkam dan menusuk jiwa. Alunan tiupan seruling yang masuk dengan tingkah rebana mencetuskan keserasian yang dramatik. Susunan muzik yang segar gabungan dari muzik moden dan tradisional serta gerak tari yang indah berjaya menjadikan persembahan ini bertaraf antarabangsa yang boleh dibanggakan.

Nilai eksotik terserlah apabila keseimbangan dalam unsur muzik dan gerak tari yang cukup segar dan segerak berjaya disatukan dalam sebuah persembahan sambil unsur-unsur klasik tetap tidak dilupakan walaupun gerak tari bernada kontemporari. Teknik lampu yang mengkagumkan dan set yang ringkas sangat spektakular sifatnya. Istana Budaya mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa dan persembahan ini telah mempergunakan kesemua kemudahan yang ada. Masih terbayang di dalam minda lagu Sakti yang menggambarkan di sebalik gerhana, lahir satu kesan yang mistik. Tidak berwajah cuma bayang di sebalik cahaya. Kesan lampu sewaktu lagu ini begitu terlekat di dalam otak fikiran manusia. Bagaimana digambarkan berlakunya gerhana begitu mengkagumkan. Lagu lain yang menarik ialah Orkestra Rimba Malam, di suatu tempat, satu persembahan bunyi-bunyian dari rimba bermula. manusia, haiwan dan isi alam berpesta dengan bunyi-bunyian. Iramanya begitu catchy sekali.

Dua pemuzik ini sebenarnya telah meletakkan diri mereka sebaris dengan pemuzik tersohor antarabangsa. Dalam mengejar arus kemodenan, nilai-nilai estetika seni tradisional tidak ditinggalkan dalam dunia muzik yang didominasi oleh arus muzik moden.bersama-sama idea baru dalam menyegarkan arus muzik Malaysia.

Secara keseluruhan, persembahan ini nampak ringkas tetapi padat. Hanya standing ovation dan pujian melambung tinggi yang mampu diberikan oleh penonton cerdik yang boleh dikira di dalam Panggung Sari, Istana Budaya.