Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 15 March 2004

Ramalan Anugerah Bintang Popular 2003Anugerah Bintang Popular 2003 oleh sultanmuzaffar link

Saya baru selesai menonton Buli di TGV KLCC semalam. Bergegas pulang untuk melaksanakan tugas mengemaskinikan blog kempen Sivarasa Rasiah sambil-sambil menonton siaran langsung Anugerah Bintang Popular.

Rekaan Pentas RTM
Mungkin kerana sudah terbiasa menonton rancangan terbitan ASTRO serta siaran langsung yang dikendalikan oleh ASTRO, saya dapat merasakan ada sedikit kekurangan pada rekaan pentas. Rekaan pentas kali ini nampak macam RTM. Berita Harian perlu mendapatkan bantuan dari pakar-pakar stesen TV yang lain dan melakukan sesuatu kerana sentuhan orang-orang lama ini sudah hilang bisanya. Pihak Berita Harian perlu berkerjasama dengan mereka untuk menjayakan siaran langsung anugerah paling popular ini.

Fauziah Dato Ahmad Daud dan Salih Yakub
Kehebatan Ogy mengendalikan majlis siaran langusng tersebut dan keceriaan yang ditonjolkan amat kena dengan ambience malam anugerah paling berprestij itu. Tetapi sayangnya Salih Yakub kelihatan memperbodohkan dirinya sendiri dengan jenaka Bahasa Inggerisnya. Beliau saya kira lebih sesuai dan layak untuk kekal sebagai stand-up comedian pada waktu iklan sahaja. Ogy lebih berketerampilan untuk mengendalikan majlis tersebut secara berseorangan dan ini pernah dibuktikan oleh beliau pada anugerah ini beberapa tahun yang lepas.

Seksis Anita Sarawak
Seksis Anita Sarawak juga telah berjaya memberikan satu impak permulaan yang baik tetapi tidak berjaya mengekalkan momentum siaran langsung tersebut. Persembahan beliau hebat dan sewajarnya beliau layak untuk menerima Anugerah Khas Bintang Popular.

Normala Samsuddin dan Aznil Nawawi
Normala Samsuddin tidak hadir pada malam tersebut untuk menerima anugerah tersebut. Kehilangan beliau pada majlis tersebut sekadar untuk melarikan diri dari kontroversi yang telah beliau cipta sendiri. Aznil Nawawi yang kemenangannya sudah diduga sejak awal lagi memandangkan fenomena Akademi Fantasia, Melodi serta kontroversi yang melanda antara beliau dan adik Azmin Ali.

Ziana Zain Kembali
Jika beliau digelar DIVA saya setuju. Gelaran Diva bukan untuk Misha Omar. Kemunculan beliau kembali setelah cuti bersalin amat memukau. Beliau bijak menonjolkan kecantikan beliau di atas pentas semalam. Beliau muncul dengan fesyen pakaian yang berani. Ibu beranak dua ini bijak menjaga kecantikan beliau. Beliaulah Diva yang sebenarnya.

Gedik Ella
Secara terus terang, saya suka dengan gaya Ella. Pedulikan yang Dato A. Rahman Hassan merupakan seorang artis veteran yang wajar dihormati. Ella telah beberapa kali menjadi dirinya lebih-lebih lagi siaran ini disiarkan secara langsung. Kemanjaan Ella walaupun agak keterlaluan tetapi sedikit sebanyak menimbulkan keceriaan kepada perjalanan majlis tersebut.

Tak Kenal Maka Tak Cinta
Ini merupakan antara persembahan yang saya tunggu-tunggu. Siapa yang tidak tahu lagi Siapa Dia Sebelum Daku nyanyian duo bukan Melayu paling popular sehingga sekarang. Roy yang muncul bersama Fran memang hebat. Ajai dan Nurul juga menjadi pelengkap kehebatan tersebut. Sejak akhir-akhir ini, Ajai sudah boleh menyanyi secara langsung. Gandingan mereka amat bersesuaian. Jika Roy dan Fran diberi peluang untuk muncul secara duet lebih sesuai dan lebih menghargai mereka. Roy umpamanya sanggup terbang dari Melbourne untuk menghadiri majlis tersebut.

Anuar Zain dan Legolas
Sekali lagi beliau cuba menggayakan rambut stail Legolas dalam Lord Of The Rings. Saya merasakan penampilan dengan rambut panjang amat tidak bersesuaian dengan imej beliau. Saya merasakan beliau lebih sesuai menggayakan rambut pendek mengikut gaya dalam kulit album beliau.

Siti Nurhaliza Lagi
HEBAT ! Saya amat berpuas hati dengan kemenangan beliau walaupun saingannya sengit. Kemenangan kali ketujuh ini membuktikan beliau masih tiada tandingan. Selagi beliau terus kekal dalam industri sudah pasti peminat akan menyokong kehadiran beliau. Untuk menjadi yang popular, kita mesti menjadi yang terbaik !

Anuar Zain kalahkan Yusry ?
Pertama kali beliau menang walaupun saya menjangkakan populariti Yusry akan mengatasi kehebatan vokal beliau. Agak sukar menelah selera pengundi kerana selera pengundi berbeza-beza. Ada yang mengundi berdasarkan bakat dan ada juga yang mengundi berdasarkan populariti.

Sketsa Afdlin Shauki, Rashid Saleh dan Joanna Bassey
Sebuah sketsa yang menarik dan matang. Isinya tentang formula untuk menjadikan filem Melayu meraih RM10 juta. Ketiga-tiga pelakon yang ditampilkan telah biasa beraksi di pentas teater oleh yang demikian tidak sukar untuk mereka memberikan persembahan yang baik. Untuk lebih mencantikkan persembahan sketsa mereka, pengguna pembesar suara wireless lebih sesuai digunakan agar pergerakan dan olahan tubuh mereka dapat dibuat dengan lebih lagi.

Alhamdullilah – Too Phat dan Yassin
Dalam banyak-banyak persembahan yang berlangsung semalam, hanya persembahan Too Phat dan Yassin yang lebih menonjol. Lagu Alhamdulillah yang telah diMelayukan amat menarik serta persembahan minima mereka yang jauh lebih memukau. Kebolehan Too Phat menyanyi bahagian rap amat mengkagumkan. Saya tabik dengan mereka.

Saiful Apek Bintang Paling Popular 2003
Kemenangan Saiful Apek menggondol gelaran Bintang Paling Popular 2003 agak mengejutkan tetapi saya terima kerana ia adalah pilihan pengundi. Beliau muncul di atas pentas untuk menerima dua anugerah sebelum menerima anugerah paling berprestij pada malam itu. Ucapan ringkas beliau dalam nada yang serius juga amat mengejutkan. Beliau merupakan artis komedi pertama menerima gelaran Bintang Paling Popular tersebut.

Antara petikan ucapan Saiful Apek menyebut;

wayang adalah hidup
hidup adalah wayang
skripnya sudah tertulis
direktornya hanya satu
iaitu yang berada di atas sana


Bukan Anugerah Biasa
Kecewa ! Jika saya Ketua Pengarang Berita Harian, saya akan ambil semula Anugerah Khas Bintang Popular yang dianugerahkan kepada Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini. Bukannya apa. Persembahan finale itu saya tunggu-tunggu sejak beberapa minggu yang lalu. Inilah angkara jika tidak datang latihan. Di mana sikap profesional beliau sebagai penyanyi dan penghibur ? Misha membuka persembahan dengan baik melalui lagu Bukan Cinta Biasa. Siti Nurhaliza kemudiannya muncul mengambil tempat menyanyi lagu Hapuslah Air Matamu. Saya tidak nafi, vokal beliau hebat ! Seketika kemudian kita dihidangkan dengan sebuah persembahan yang amat buruk dan tidak bersedia oleh Datuk Sharifah Aini, seorang yang negara telah kurniakan gelaran Datuk. Sikap beliau tidak menghafal lirik lagu amat mendukacitakan. Kita tidak menyuruh beliau menyelesaikan masalah pengamilan dalam Matematik Tambahan yang bukan bidang beliau. Pengurusan majlis hanya meminta beliau menyanyi dan menghiburkan penonton dengan lagu Bunga Bunga Cinta. Menyanyi dan menghibur memang kerja tetap beliau. Sepatutnya tiada masalah. Kerana kepincangan tersebut menyebabkan persembahan Misha Omar dan Siti Nurhaliza turut kucar-kacir kerana tiada persefahaman di antara mereka. Mereka tidak merancang tentang siapakah yang harus menutup kesalahan yang dilakukan oleh Datuk Sharifah Aini. Vokal jadi tenggelam timbul. Cue perlu diberikan oleh Misha Omar agar Siti meneruskan nyanyian, begitu juga sebaliknya. Misha Omar sememangnya bagus dalam kariernya tetapi belum cukup layak untuk digelar Diva. Tempat beliau wajar diambil oleh Ziana Zain.

Saya masih belum berpuas hati dengan persembahan buruk Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini. Anugerah yang diberikan oleh Berita Harian, bukan anugerah biasa !

Ulasan lain ABP2003 : Taufiq ar-Rasyidin
Ulasan lain ABP2003 : Som
Ulasan lain ABP2003 : Tok Pah Mengamuk