Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 16 March 2004

Wawancara bersama FajarWawancara bersama Fajar oleh sultanmuzaffar weblog

Pemenang Anugerah Weblog Terbaik gengjurnal.net yang kedua ini merupakan seorang yang lembut budi pekertinya. Saya bertemu pertama kali dengan beliau sewaktu Gathering gengjurnal.net yang ketiga baru-baru ini. Saya tertarik dengan gaya bahasa yang beliau gunakan. Saya sendiri tidak menyangka yang beliau bekerja dalam aliran kejuruteraan dan bukannya bidang bahasa. Itu kelebihan beliau. Ikuti wawancara saya bersama beliau.

Tentang Diri
SM: Boleh saudara perkenalkan diri saudara kepada para pembaca? Ceritakan serba sedikit tentang diri saudara, sebagai contoh; tempat di mana saudara dilahirkan, umur dan di mana saudara telah dididik satu ketika dahulu.

Terlebih dahulu, saya ucapkan terima kasih kepada suadara juga yang sudi menemuramah saya.

Saya dilahirkan di Melaka. Saya datang dari keluarga yang besar. Saya merupakan anak kelima dari tujuh orang adik beradik. Saya orang kampung, bukan dari golongan yang mewah. Hidup kami sederhana. Kehidupan saya banyak dicorakkan oleh keadaan keluarga saya yang berdarah Jawa. Di samping itu, pemikiran saya banyak dididik dari pergaulan dengan orang di sekitar saya, terutama semasa saya belajar di MRSM Taiping.

Kini, saya bekerja di aliran kejuruteraan sebagai ahli akademik. Meskipun kerjaya saya lebih menjurus kepada dunia logik yang penuh dengan teori, pengiraan, fizik dan sebagainya, jiwa saya lebih terisi dengan seni. Saya kira jiwa seni yang mengalir di dalam jiwa saya ini mungkin semulajadi. Bapa saya adalah orang yang berseni juga rupanya (itupun saya ketahui apabila saya melihat satu lukisan yang dilukis oleh beliau di sebuah rumah jiran berdekatan dengan rumah arwah nenek saya). Terus terang saya katakan, saya benar-benar kagum. Lukisan tersebut cukup cantik dan menarik. Tapi itulah satu-satunya lukisan karya bapa yang pernah saya lihat. Abang saya pun pandai melukis, walaupun dia menjurus ke bidang kejuruteraan. Bapa saudara saya pula pandai menyanyi. Saya kira, seni adalah sebahagian daripada genetik keluarga.

SM: Boleh saudara ceritakan rutin kehidupan anda ?

Apa yang menarik tentang kehidupan saya ya? Rasanya sama sahaja seperti orang lain. Setiap pagi terpaksa bangun awal dan bersiap untuk pergi bekerja. Apa yang berbeza, adalah tugas masing-masing. Tugas saya memerlukan saya berhadapan dengan pelajar setiap masa. Dulu, saya fikirkan tugas ini adalah kerja yang rileks dan mudah. Tetapi kini, barulah saya mengerti ianya adalah satu tugas yang memerlukan komitmen dan tanggungjawab yang besar. Apatah lagi terpaksa menangani karenah pelajar yang penuh dengan ragamnya. Saya perlu sentiasa bersedia. Ilmu yang saya ada masih belum cukup untuk disampaikan kepada orang lain. Oleh yang demikian, setiap hari saya terpaksa membuat bacaan untuk mempertingkatkan diri saya sendiri. Saya kena sentiasa mempersiapkan diri saya untuk mengajar. Setakat ini, saya gembira dengan tugas saya.

Di masa lapang, saya suka menghabiskan masa untuk membaca novel. Kadangkala, saya akan menulis sesuatu untuk diisi di dalam weblog atau untuk simpanan peribadi. Jika tidak, saya lebih suka meluangkan masa untuk berjumpa dengan kawan-kawan atau berjalan bersendirian di mana-mana.

SM: Siapakah tokoh yang anda kagumi menurut pendapat saudara?

Nabi Muhammad SAW. Betapa kerdilnya diri saya jika dibandingkan dengan sifat baginda yang begitu disayangi oleh Tuhan. Dalam pada itu, kasih sayang baginda lebih kepada umatnya- melimpah ruah hingga ke akhir hayat.

Selain itu, saya amat mengagumi semua guru dan pensyarah yang pernah mengajar saya. Bagi saya, orang yang memberi ilmu adalah cukup mulia di mata saya, biarpun dia garang, tak sporting dan sebagainya. Sebilangan besar daripada mereka telah mencorakkan diri saya pada hari ini. Oleh itu, saya terasa terpanggil untuk menyambung perjuangan mereka.

Saya masih ingat lagi seorang pensyarah saya yang cukup hebat dengan ilmu dan penyelidikannya, tapi dia adalah seorang yang cukup rendah diri, baik hati dan prihatin dengan pelajar. Dia menjadi role-model saya secara tidak langsung untuk memperbaiki diri saya pada setiap masa.

SM: Apakah warna kegemaran anda dan tentu ada cerita di sebaliknya ?

Saya suka warna hijau kerana terasa tenang dengan warna tersebut. Tapi, terus terang saya katakan, warna kegemaran saya sering mengikut keadaan dan mood. Baju saya banyak yang berwarna biru. Kereta saya pula berwarna silver. Kadang-kadang saya jadi orang yang praktikal tentang warna. Warna pink pun saya suka!

SM: Apakah buku yang benar-benar ingin anda miliki ataupun yang telah anda miliki ? Mengapa?

Seorang penulis pernah berpesan kepada saya, untuk menjadi penulis yang baik, kita perlu banyak membaca. Saya membaca bukan kerana ingin menjadi penulis tapi kerana minat. Saya ada banyak koleksi buku yang saya miliki. Buku-buku tersebut terdiri dari genre seram, fiksyen, drama, fantasi dan muhasabah diri. Secara peribadi, saya lebih meminati buku yang bertemakan cereka fantasi.

Koleksi buku yang saya hargai adalah The Lord of The Rings. Saya baca buku ini sebelum filemnya dikenali di seluruh dunia. Sebelum itu, saya hanya lebih berkongsi minat dengan kawan-kawan yang pernah membacanya. Selain itu, saya mempunyai buku seperti siri Harry Potter, buku fantasi karya David Gemmell, The Princess Bride, 1515 (Faisal Tehrani), Bukan Legasi Lalang (Siti Rohayu) dan lain-lain lagi.

Buku yang ingin saya miliki adalah koleksi siri Saga Artakusiad yang lengkap, karya Ahmad Patria. Siri ini terdiri dari siri 1 hingga 6, dan saya hanya memiliki 2 siri sahaja. Siri buku-buku ini sudah tiada lagi di pasaran kerana ia diterbitkan sekitar tahun 80-an. Dan sesiapa yang memiliki kesemua siri buku ini adalah satu keuntungan dan dikira bertuah. Peminat siri ini sanggup berbuat apa saja untuk melengkapkannya, termasuklah saya. Biarpun begitu, saya amat menantikan dengan penuh sabar buku ke-7 siri ini yang akan dikeluarkan tidak lama lagi yang bertajuk Legenda Numerius. Insya Allah.

SM: Apakah rancangan TV yang paling ingin anda sertai ?

Saya rasa macam nak sertai siri Survivor atau Amazing Race. Tapi, rasanya saya mesti akan terkeluar dengan lebih awal atau tidak layak langsung! Saya tiada stamina yang bagus. Kalau boleh, saya ingin mencuba siri Who Wants To Be A Milionnaire. Bukan Telebriti!

SM: Dalam satu patah perkataan, jelaskan personaliti anda ?

Sensitif.

SM: Apakah perkara paling nakal pernah anda lakukan sewaktu zaman remaja anda ?

Banyak! Ada sekali saya kena kejar keliling kampung dengan seorang nenek di kampung saya dek kenakalan saya. Nasib baik mak dan bapa saya tak tahu, kalau tak habis saya kena belasah. Bila ingat balik, rasa teruk sangat. Jahat betul sebab main-mainkan orang tua.

SM: Apakah filem Melayu yang pernah anda tonton lebih dari sekali ? Jika ada. Jika tiada, mengapa ?

Layar Lara. Filem itu sungguh unik. Lakonan pelakonnya cukup mantap dan menghiburkan. Kalau nak cerita filem Melayu yang banyak kali ditonton, sudah tentu filem Tan Sri P. Ramlee. Kemudian, filem Indonesia Ada Apa Dengan Cinta? – saya tak ingat berapa kali saya tonton filem ini. (Bolehkah saya kategorikan filem ini sebagai filem Melayu?)


Tentang Weblog
SM: Apakah definisi sebuah blog yang tidak bagus ?

Layakkah saya untuk memberi kriteria sesuatu blog itu bagus atau tidak? Bagi saya, blog ini adalah satu sifat yang cukup peribadi. Ianya terletak pada pemilik blog berkenaan tentang apa yang ingin disampaikannya. Ada yang berminat untuk menulis tentang kehidupan sehari-hari, ada yang bercerita tentang pengalaman, pengamatan tentang kehidupan, masalah dan bermacam lagi. Tapi, apabila kita menulisnya secara terbuka di ruang siber, maka penulisan haruslah ditulis dengan bijak. Jika tidak, orang akan berkata syok sendiri. Saya dapati, sesetengah blog itu terlalu peribadi hinggakan jika ada orang yang tidak bersetuju tentang sesuatu benda yang dituliskan, penulis akan terasa tercabar. Ianya seperti begini, kau sokong – kau kawan. Kau bangkang – kau lawan. Tapi, tidak semua begini. Kalau bukan penulis blog berkenaan, mungkin sesama pengunjungnya.

Secara peribadi, saya sukakan blog yang mempunyai mesej dan ada pengisian. Di samping itu, ia harus mempunyai satu karisma atau aura yang dapat menarik saya untuk kembali kepada blog berkenaan. Blog ini bagus untuk kita mengenali karektor dan peribadi seseorang dengan lebih rapat. Melalui blog, saya lebih memahami dan menghormati kehidupan orang lain.

SM: Apakah yang mendorong anda menulis blog ? Bagaimana pula saudara memulakan projek blog saudara?

Saya berkenalan dengan dunia blog ini secara kebetulan. Semuanya bermula apabila saya diberikan alamat laman web sahabat saya yang dikenali sebagai Peaqour. Dari situ, saya jadi tertarik dengan konsep yang ditulis oleh beliau, laman web yang berbentuk diari. Mula-mula memang terasa pelik, tapi saya akui saya kerap membacanya. Seperti ketagih. Melalui web ini barulah saya sedar, ada banyak lagi laman web yang menarik. Sebelum inipun, saya memang teringin untuk memiliki laman web sendiri, cuma saya belum pasti apa yang saya ingin sampaikan di dalamnya.

Kemudian, saya mendapat inspirasi untuk menulis blog apabila melihat laman web Saharil dan Anas. Sungguh cantik dan kreatif. Apatah lagi diisi dengan pelbagai kisah yang menarik. Saya benar-benar terdorong untuk menulis dan meluahkan apa yang saya rasa. Ketika itu, hidup saya dipenuhi dengan keperitan dan kepayahan menyiapkan projek penyelidikan sarjana saya. Sewaktu saya menjalankan research, ada banyak dugaan yang terpaksa dihadapi- bersendirian. Saya tidak punya ruangan yang luas untuk melepaskan ketegangan dan kesengsaraan yang saya hadapi. Dari situ, lahirlah fajaronline, yang pada mulanya lebih banyak menceritakan tentang impian dan harapan. Juga dengan kenangan, sesuatu untuk diingati.

SM: Apakah misi blog saudara yang sudah tercapai ? Anda puas hati ?

Secara peribadi, kadang-kadang saya merasakan blog saya sudah mencapai tahap tepu. Maksudnya, saya sudah tidak tahu lagi apa yang ingin diceritakan lagi tentang impian saya sekarang ini kerana hampir kesemuanya lebih bersifat peribadi. Walau bagaimanapun, dulu saya bercita-cita untuk menjadikan website saya sebagai satu ruangan untuk saya agar dapat menemukan kembali dengan kawan-kawan lain. Dan ianya berjaya. Saya cukup gembira.

Saya jarang menulis sesuatu yang sedih, dan saya cuba elakkan jika mampu. Jika adapun, ianya ditulis dalam bentuk puisi. Saya merasakan blog ini adalah satu ruangan yang cukup baik bagi saya menyampaikan ilmu dan sama-sama berkongsi pengalaman hidup. Blog saya adalah cukup istimewa. Ianya banyak menceritakan tentang siapa diri saya sebenarnya walaupun bukan secara menyeluruh. Sesuatu yang dapat saya ingati.

Dan yang lebih bermakna, saya dapat menjalin persahabatan dengan ramai insan di luar sana. Kadangkala hubungan saya dengan mereka lebih erat. Tidak dilupakan, saya bertemu dengan penulis yang saya cari-cari selama ini, Ahmad Patria Abdullah, melalui blog juga. Syukur. Saya puas hati dengan apa yang saya terima.

SM: Sehingga kini, teknologi blog semakin berkembang. Blog sudah boleh dikemaskinikan menggunakan handphone dengan gambar-gambar yang dirakam dari handphone dan sebagainya. Fotopages contohnya. Secara tidak langsung membuatkan blog yang ada di blogspot, geocities, tripod nampak terkebelakang dari segi teknologi. Apa pendapat anda ?

Ianya adalah satu perkembangan yang baik. Saya juga seronok melihat bentuk blog yang baru. Kadang-kadang kita juga penat jika hanya membaca dan membuat penilaian di kepala. Apabila melihat seperti gambar di Fotopages, ianya menjadikan kita lebih seronok. Gambar adalah benda yang lebih bersifat abstrak kerana ia mampu berkata-kata dengan banyak tanpa susunan kata yang panjang.

Saya rasa, setiap blog baik dari yang dikemaskini menggunakan handphone, PDA, Fotopages mahupun di blogspot dan sebagainya- mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Masih ada pengikut dan pembacanya selagi diterima.

SM: Apakah aspek yang paling mencabar dalam menguruskan blog anda?

Masa dan idea. Saya amat sibuk pada masa sekarang. Kadang-kadang blog saya seperti terabai pula. Bila ada masa, saya pula tiada idea. Secara jujur saya katakan, saya lebih berhati-hati dengan apa yang ingin saya tuliskan di blog saya. Saya menyedari siapa pembaca saya. Takut juga kalau apa yang dituliskan itu menunjukkan riak atau mungkin juga mengguris hati sesetengah pihak. Saya tidak suka menulis yang terlalu peribadi. Apatah lagi perkara-perkara yang sedih. Saya takut lari dari matlamat dan tema laman web saya: tentang impian dan harapan. Ada perkara dapat kita kongsikan bersama, tapi sesetengah perkara rasanya cukuplah disimpan buat diri kita sahaja. Semestinya setiap apa yang dikatakan mestilah sesuatu yang baik dan terselit rahmat, kerana apa saja yang tertulis adalah doa dari kita. Maka, mahukah kita menghimpun perkara yang sedih semata-mata?

SM: Apa makna fajar ?

Fajar dimaksudkan sebagai cahaya putih. Tapi, nama fajar bagi saya itu adalah luas ruang lingkupnya. Bercerita tentang nama ini, banyak ceritanya. Saya pernah mempertikaikan nama yang saya dapat dari mak saya. Kenapa dalam banyak-banyak nama di dunia ini, nama fajar yang mak saya pilih? Sudahlah begitu, kombinasi nama saya juga boleh membuatkan orang salah faham. Namun demikian, lama-lama saya dapat menghargai dengan nama saya. Saya sendiri merasakan nama ini ada rahmat yang saya sendiri tidak sedari.

Di dalam kehidupan, kita sering menghadapi dengan pelbagai dugaan dan rintangan. Adakalanya, kita boleh lemah dan hilang semangat untuk terus berjuang. Ianya dirasakan seperti malam gelap, yang semakin larut dan pekat. Tapi, di sebalik kepekatan dan kegelapan yang kita rasai, pasti akan ada harapan. Kerana di setiap penghujung malam pasti sejalur sinar fajar akan datang menyusul. Memberi harapan bahawa mentari akan kembali bersinar.

SM: Saya memang meminati karya-karya fiksyen sains. Apa matlamat Saga Artakusiad ?

Saudara SM pernah membaca salah satu siri Saga Artakusiad? Sebenarnya, Saga Artakusiad ini adalah sebuah karya yang diterbitkan lama dulu. Seperti yang telah saya katakan tadi, buku-buku ini adalah sukar didapati apatah lagi dibaca oleh generasi pada masa kini. Mungkin ada yang bertanyakan apa istimewanya buku fantasi Artakusiad ini. Sebenarnya, buku ini telah menambat hati saya sejak di bangku sekolah lagi. Hidup saya dibayangi dengan dunia Aurora yang penuh mistik dan magik. Penggembaraan hero yang bernama Artakus adalah amat menarik dan menyeronokkan. Melalui siri inilah saya berkenalan dengan ahli sihir, naga, jin, jembalang dan pelbagai lagi makhluk di dunia meta. Kebiasaanya, karektor sebegini hanya boleh dibaca melalui buku Inggeris sahaja. Tapi buku ini adalah merupakan perintis kisah fantasi di Malaysia. Bukan itu sahaja, pengolahan dan susunan kata yang ditulis oleh Ahmad Patria Abdullah adalah amat menarik dan indah. Malangnya siri tersebut terhenti pada siri ke-6 sahaja.

Ketika itu, saya sibuk mencari maklumat tentang siri berkenaan dan penulisnya samada di internet dan di mana saja. Saya pernah menuliskan berkenaan Saga Artakusiad di weblog saya dan saya menerima maklumbalas yang cukup mengejutkan! Barulah saya ketahui bahawa ramai peminat siri ini di luar sana. Oleh itu, saya bersama beberapa orang rakan dan peminat siri ini membuat satu projek untuk menghasilkan satu laman web dikhususkan untuk peminat dan penghargaan buat penulisnya. Tanpa disedari, usaha kami telah mendapat perhatian dari mereka yang rapat dengan Ahmad Patria sendiri. Dan akhirnya Abang Pat sendiri telah membuat kunjungan ke laman web saya, Rudy dan Elaira, di mana hampir gila saya dibuatnya kerana terlalu terkejut dan gembira. Hinggalah satu detik yang cukup bermakna di mana kami dapat berjumpa dengan penulisnya secara peribadi. Akhirnya, siri tersebut akan disambung.

Satu website khusus telah saya bangunkan di www.artakus.net bersama Elaira. Di situ, kami cuba mengumpul peminat-peminat siri berkenaan dan mereka yang berminat melalui Kelab Aurora. Website berkenaan bukan saja dikhususkan untuk kisah Artakus, tapi untuk penulisan karya fantasi Ahmad Patria yang lain. Di samping itu, diharapkan ia dapat mencungkil bakat penulisan genre fantasi Melayu di kalangan peminat-peminatnya.

SM: Saya berani mengatakan anda pejuang bahasa. Anda mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memartabatkan bahasa Melayu ke satu peringkat yang lebih tinggi. Bahasa yang anda gunakan terlalu berjiwa seni dan saya kagum dengan cara pengolahannya. Adakah anda sedang bercinta ?

Cinta itu adalah anugerah. Saya menulis bukan kerana saya sedang bercinta. Apa yang telah saya tuliskan adalah apa yang telah saya rasakan. Mungkin satu hari nanti saya akan menerbitkan buku saya sendiri. Maka, penulisan di blog adalah satu titik awal buat saya. Ah, itu cuma angan-angan saja. Lagipun, sejak dulu lagi saya amat meminati subjek Bahasa Melayu. Saya sering berlumba-lumba dengan kawan baik saya untuk menulis karangan yang bagus. Lebih-lebih lagi karangan berbentuk imaginasi. Saya cuba menulis di blog mengikut tatabahasa yang baik. Pengolahan itu mungkin dari pengalaman dan pembacaan saya. Lagipun saya bukanlah orang yang arif di dalam bidang ini.

Mungkin disebabkan oleh minat, saya suka menulis sesuatu yang indah dibaca dan didengar. Jiwa saya bersifat melankolik. Mungkin juga jiwang. Tapi rasanya itu adalah sesuatu yang bukan diminta atau dipaksa kewujudannya. Jadi, saya hanya mengekspresikan apa yang ada di dalam hati dan jiwa saya kerana setiap orang ada cara yang tersendiri untuk melahirkan apa yang mereka rasa, samada melalui lukisan, lagu, puisi dan bermacam lagi.

SM: Budaya cut & paste yang mudah apabila menggunakan komputer semakin menular. Adakah anda merasa tercabar apabila artikel atau tulisan anda diciplak ?

Semestinya. Saya tak kisah sekiranya mereka mahu cut & paste, tapi kena buat secara berhemah. Saya sendiri tidak pasti samada tulisan saya pernah diciplak. Benda sebegini lebih menjurus kepada peribadi masing-masing. Tapi, saya kira pembaca saya cukup menghormati apa yang telah saya tuliskan. Sekalipun mereka ingin menyimpannya, mereka akan memberitahu saya. Dan saya tidak pernah pula menghalang. Melainkan untuk tujuan komersil!

SM: Pernahkah anda diekori oleh peminat anda ? Jika belum, inginkah anda diekori oleh peminat anda ?

Betul ke saya ada peminat? Bukan glamour pun. Tidak, saya tidak pernah langsung diekori peminat. Lagipun saya bukanlah artis hatta orang yang terkenal sekalipun. Kelakar pula soalan ini. Sebenarnya saya rasa rimas kalau orang perhatikan saya. Ia membuatkan saya jadi curiga dan tertanya-tanya. Selalunya peminat saya akan menjadi kawan-kawan saya. Saya lebih suka begitu. Biarpun, kebanyakan daripada mereka belum pernah bersua muka secara peribadi. Tapi, saya amat menghargai mereka.

SM: Adakah anda suka apabila dikenali di khalayak umum ?

Bergantung kepada keadaaan. Sekiranya dikenali sebagai orang untuk diceritakan tentang keburukan, saya lebih suka menjauhkan diri. Tapi, apa juga yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kalau boleh, biarlah saya jadi dengan apa yang saya ada sekarang.

SM: Anda belum menghasilkan e-book. Tidakkah anda teringin untuk menghasilkannya ? Jika ya, apa matlamat anda ?

Ya, saya ingin menghasilkannya. Tapi, saya belum berkesempatan untuk melaksanakannya memandangkan tugas yang cukup sibuk. Insya Allah, saya akan menghasilkannya. Mungkin untuk dijadikan hadiah saya kepada pembaca-pembaca saya. Tapi saya belum pasti bila. Semoga saya diberi kesempatan untuk itu. Lagipun saya sedikit cerewet dengan sesuatu yang saya hasilkan. Kalau boleh, biar saya benar-benar puas hati dengan apa jua yang saya lakukan. Jadi, harapnya e-book saya nanti orang akan rasa seronok untuk disimpan dan dibaca.


Gengjurnal.net
SM: Apakah misi Geng Jurnal sewaktu anda menerajui kepimpinannya?

Saya cukup malu untuk mengakui bahawa saya menerajui kepimpinan GJ. Saya tak sumbangkan apa-apa pun. Saya sibuk dengan urusan lain. Saya lebih banyak menghabiskan masa untuk artakus.net. Saya sekadar membantu apa yang termampu. Keadaan, masa dan jarak memberi kesan yang besar untuk saya sama-sama membantu jawatankuasa yang ada. Namun, saya benar-benar kagum dengan usaha yang telah dijalankan, lebih-lebih lagi saudara Mie dan beberapa rakan yang lain.

SM: Sepuluh tahun akan datang, di mana anda ingin lihat gengjurnal.net berada ?

Saya ingin melihat gengjurnal.net menjadi satu komuniti yang disegani dan dikenali bukan sahaja melalui penulisan di blog malah melahirkannya di dalam bentuk buku yang dapat dipasarkan. Semoga komuniti ini dapat mengeratkan silaturrahim sesama penulis dan pembaca serta menjadikan kita lebih prihatin dan menghormati kehidupan orang lain. Bukan saja itu, diharapkan agar ianya dapat memberi sumbangan yang berbentuk kemasyarakatan juga. Banyak perkara yang dapat gengjurnal.net lakukan untuk membawa pemikiran masyarakat ke arah yang lebih baik, berwawasan dan maju. Insya Allah.

SM: Negara manakah yang belum saudara lawati tetapi ingin saudara lawati dan kenali dengan lebih mendalam.

Singapura yang dekat dengan Malaysia pun belum saya jejaki, apatah lagi negara lain. Kalau boleh, satu dunia mahu saya lawati. Saya tertarik dengan keunikan dan keistimewaan yang dimiliki oleh negara luar. Saya teringin untuk melawat ke Jepun, New Zealand, Swiss dan bermacam lagi. Mekah dan Madinah sudah tentu bukan.

Insya Allah, satu hari nanti weblog saya akan ditulis di luar negara. Perjuangan hidup saya masih belum selesai sebenarnya. Ini sebahagian dari impian saya.

SM: Katakanlah saudara terdampar di sebuah pulau di tengah2 sebuah lautan luas. Anda boleh pilih seorang individu yang akan menemani saudara. Siapakah individu tersebut.

Tricky betul soalan ini. Terus terang saya katakan, saya mengambil masa yang lama untuk soalan ini.

Mungkin sahabat baik saya. Atau mungkin seseorang yang ada kuasa ajaib untuk selamatkan saya! (ketawa).

SM: Dalam masa 20 tahun, dalam fikiran saudara, apa agaknya yang akan saudara lakukan nanti?

Semoga pada waktu itu, saya bahagia dan gembira dengan apa yang saya kecapi. Jika dihitung dengan material, semestinya apa yang kita miliki tidak akan cukup. Begitulah sifat manusia yang lemah. Saya boleh katakan, saya nanti mahu jadi seorang yang selesa dengan kedudukan kewangan yang kukuh, keluarga yang bahagia, harta dan sebagainya. Tapi, itu cuma keindahan dunia semata. Saya kerap mengingatkan diri untuk tidak terlalu terkejar-kejar dengan dunia. Sedangkan pada masa ini pun saya masih lagi tercari-cari di mana letaknya saya dengan fitrah sebenar sebagai seorang manusia. Impian saya tetap luas, dan setiap satunya terselit harapan. Hati saya sering berkata, setiap perjuangan itu akan ada kemanisan di penghujungnya. Biar sepayah mana pun, kita akan disediakan dengan satu ruang yang dikhususkan buat kita merenungi siapa kita sebenarnya dan menghargai dengan apa yang kita miliki.

Seperti yang selalu saya bicarakan di blog saya, ‘seluas angkasa, begitulah impian kita’. Semoga apa yang diimpikan akan menjadi kenyataan. Insya Allah. Biarpun terlalu banyak impian yang kita cipta, namun sebenarnya setiap impian itu adalah satu harapan buat kita. Menjadi pendorong dan matlamat hidup ini. Tanpanya, saya rasakan seperti kosong semata. Namun, apa yang pasti, setiap impian itu akan memerlukan perjuangan. Dan setiap pejuangan itu pula akan memerlukan pengorbanan. Terpulang kepada kita bagaimana mahu menjadikan impian kita itu menjadi realiti. Di hujungnya nanti, matlamat kita semua sebenarnya sama, mengharapkan keredhaan dan rahmat-Nya.

Nota: Tunggu siri terakhir wawancara bersama Pemenang Anugerah Weblog Terbaik Gengjurnal.net, bersama Mat Jan. Dah tengah bulan dah ni. Rasanya lepas pilihanrayalah kot !