Telefilem Ronggeng Rokiah : Kaya makna visual
Saya berpeluang untuk menonton tayangan khas telefilem Ronggeng Rokiah yang dibuat di Mini Auditorium P.Ramlee, FINAS.
Ronggeng Rokiah – teater noir karya dan arahan Dr. Anuar Nor Arai pernah dimartabatkan di Istana Budaya dan kini dipindahkan ke dalam bentuk visual di layar sebanyak dua episod telefilem.
Apa yang mampu saya katakan setelah hampir empat jam menonton telefilem ini ialah Ronggeng Rokiah di layar kaya makna visual. Lakonan yang bercara lahir penuh jujur kesan tatacahaya yang ada kelas.
Jika teater Ronggeng Rokiah memberi tafsiran yang begitu mendalam tentang senario industri perfileman Malaysia, telefilem Ronggeng Rokiah juga menggunakan tafsiran yang sama. Setiap watak telah menghidupkan watak-watak biasa dalam industri perfileman Malaysia.
Siapa Rahman Beduk, yang tidak boleh ditegur langsung, hanya tahu memukul orang ?
Siapa Tengku Hussin, bangsawan yang diharapkan dapat membawa perubahan tetapi haram ?
Siapa Aziz, kaki pukul yang akhirnya masuk polis ?
Siapa Sumiton, primadona yang dilupakan ?
Siapa Johhny, Melayu pertama menjadi Pengurus di Happy World ?
Setiap satu watak memberi gambaran tentang senario perfileman tempatan.
Noir
Kekuatan konsep noir jelas pada tatacahaya expressionistic, skema visula yang tiada arah serta sudut kamera yang senget. Konsep noir yang dizahirkan jelas pada pergerakan kamera yang bebas menggambarkan perasaan klaustrophobia. Pergerakan kamera yang terumbang-ambing memberi makna alienated feel serta penggunaan hand-held camera menjelaskan lagi bahawa masalah itu sebenarnya dirasai oleh pelakon itu sendiri. Lebih mengkagumkan aspek tatacahaya yang secara tidak langsung melengkapkan lakonan para pelakonnya. Secara jujur, pelakon Ronggeng Rokiah versi telefilem adalah lebih baik mutunya, well-defined, lebih violence, brutal dan lebih suram dari versi Istana Budaya.
Lakonan
Walaupun tidak mengekalkan pemain-pemain di Istana Budaya, aspek lakonan dalam telefilem ini tetap mantap. Ekspresi wajah para pelakon, serta solekannya jelas menampakkan kesuraman, kekalutan, kekacauan watak itu sendiri. Pada beberapa adegan yang gelap dan samar, hanya outline yang jelas kelihatan. Walaupun gelap, tanpa minda imej yang ingin dizahirkan oleh Pengarah tidak akan kelihatan. Watak Usman Players dilakonkan oleh Qhalid M. Keating dan Rokiah dilakonkan oleh Fatimah Sheikh Omar. Pertama kali beraksi di layar kerana sebelum ini mereka lebih dikenali sebagai penari. Kehebatan mereka bermain di kamera serta kesan tatacahaya yang sesuai telah melengkapkan lagi lakonan mereka. Watak Usman Players contohnya merupakan seorang “insecure loners” yang bersusah payah untuk terus hidup tetapi akhirnya kecewa. Rokiah sendiri sudah tentu seorang yang hidupnya penuh penderitaan. Hidupnya diselubungi misteri dan amat terdesak.
Visual
Telefilem Ronggeng Rokiah telah mendedahkan saya tentang habitat manusia di Singapura sekitar zaman 50an. Persekitaran mereka divisualkan dengan baik melalui telefilem ini. Keadaan Melayu Singapura ketika itu, hidup dalam kegelapan, cahaya yang suram, pergaduhan sana-sini, terlalu kusam, kotor dan kelam. Hujan juga merupakan satu simbol noir yang kuat dalam telefilem ini. Johnny Bikin Filem juga kaya dengan imej hujan.
Perhatikan dinding rumah dan dinding cabaret yang kusam, kelabu dan suram serta lorong-lorong hitam yang gelap. Manusia-manusia Melayu Singapura ketika itu hidup dalam satu suasana yang gelap. Dinding-dinding yang retak secara tidak langsung menggambarkan kesan negatif lebih-lebih lagi ia divisualkan selepas adegan Rokiah menampar Tengku Hussin.
Penggunaan warna merah dalam production design juga menggambarkan seksualiti dan keganasan. Warna merah banyak digunakan sewaktu adegan Rokiah bersama Tengku Hussin. Siapa Tengku Hussin ? Rokiah memang tidak menyukai Tengku Hussin tetapi beliau masih tidak faham-faham.Rokiah sendiri memohon untuk keluar dari neraka itu. Industri perfileman mahukan perubahan tetapi tiada apa yang mampu dilakukan oleh Tengku Hussin. Siapakah Tengku Hussin ? Rokiah tidak mahu terus-terusan dihancurkan dan menjadi makanan jembalang Happy World. Siapakah jembalang Happy World ? Yang kaya Tauke Robert tapi Rokiah miskin. Siapakah Tauke Robert ?
Sewaktu Rokiah pulang ke kampung, shot kamera di ambil dari bawah. Saya kira ia seakan menggambarkan pandangan kecil akan masa depannya. Pertunjukan bungapi sewaktu malam kemerdekaan, perayaan yang sepatutnya meriah tetapi tiada kemeriahan yang digambarkan pada layar. Hanya beberapa kereta mundar-mandir seakan-akan tiada hari besar yang sedang disambut.
Grafiti serta naga yang melingkari kabaret jelas suara bisu yang bersuara lantang dalam telefilem ini. Grafiti walau di mana-mana sahaja ia dilukis, ia tetap mewakili satu suara yang sebenarnya cuba bersuara lantang. Grafiti sebenarnya pekikan manusia yang ingin suaranya didengari. Saya amat tertarik dengan visual naga yang melingkari kabaret Happy World. Ia memberi satu makna besar. Pada satu adegan bila mana melibatkan Mak Dara, perhatikan unbalanced compositions pada tatacahayanya. Jelas ruang lakon Mak Dara digelapkan dan latarbelakangnya lebih cerah.
Pili bomba, lakaran biola, lakaran lelaki berseluar dalam serta tirai merah menonjolkan simbol phallic. Itu sekadar beberapa unsur seksualiti yang ingin ditonjolkan dalam telefilem ini. Sebenarnya beberapa simbol ini juga terdapat dalam Ronggeng Rokiah versi teater. Juga beberapa persoalan yang sering ditimbulkan tentang tango. Setiap 10 minit, mesti ada tango. Rentaknya sama, lagunya juga sama dan menimbulkan rasa bosan pada penonton. Apakah makna visual tango ? Mungkin penonton tidak bosan sekiranya adegan ranjang dipertontonkan secara terang-terangan, tetapi setelah adegan ranjang itu disimbolkan dengan tango, penonton bertukar jadi bosan. Tango berlaku di dalam bilik, latarnya tetap sebuah katil. Tafsirkan.
Pada satu adegan di hampir penghujung telefilem ini, anak ayam kelihatan berkeliaran di atas meja dan pada satu ketika Rokiah mengambil anak ayam tersebut. Saya begitu keliru. Apakah signifikan anak ayam tersebut berada di situ ? Setelah selesai tontonan dan sessi apresiasi diadakan, persoalan saya terjawab. Saya tersenyum. Memang telefilem Ronggeng Rokiah kaya makna visual. Tonton dengan minda bukan dengan mata.
Nota: Bintang Hati, hanya sekadar video muzik.
0 komen