Buli
Laman Rasmi Buli
Saya berpeluang untuk menonton Buli, buah tangan Afdlin Shauki yang telah saya puji dan kagum melalui hasil album Fuyoo !! nya. Tetapi menonton hasil seni filemnya saya merasa sedikit kecewa dengan apa yang saya tonton di layar. Saya akui kerja membikin filem bukan satu kerja yang mudah, juga memerlukan ongkos yang besar. Tanpa sokongan banyak pihak, sesuatu filem itu tidak mungkin dapat dijual atau dinikmati secara kolektif.
Tema buli telah digarap menjadi satu cerita yang menarik oleh Afdlin. Beliau menggunakan pendekatan yang lebih bebas tanpa mengecilkan skop penceritaan. Kelebihan sebagai stand-up comedian dipergunakan sebaiknya oleh Afdlin untuk me
Ia berkisar kehidupan Nordin, seorang programmer syarikat komputer Michaelsoft yang mempunyai perasaan rendah diri berjaya membina keyakinan apabila hasil kerjanya dihormati. Sayangnya kerana bentuk fizikalnya yang gemuk menyebabkan dirinya mempunyai rasa inferiority complex.
Keadaan fizikal yang gemuk dan sering dibuli rakan-rakan ketika kecil termasuk Roy (Hans Isaac) mengikis kepercayaan diri Nordin. Nasib Nordin sering tidak baik apabila Roy sentiasa mengikutinya ke mana-mana.
Apabila melangkah ke alam pekerjaan, Nordin mula mendapat keyakinan tetapi Roy muncul untuk meranapkan semuanya. Nordin sekali lagi menjadi mangsa buli Roy, memperlekehkan semua usaha Nordin dan mencuri hasil kerjanya yang akhirnya menyebabkan Nordin dibuang kerja.
Ketika berdepan dengan kemelut hidup, Nordin dipertemukan dengan Dr Ika (Nasha Aziz), seorang doktor jiwa dan atas bimbingan Dr Ika, Nordin berjaya mengembalikan kepercayaan diri.
Pengarahan
Sebuah filem yang baik bukan sekadar lakonan semata-mata. Sebuah filem yang baik merangkumi semua, baik dari segi pengarahan, fotografi, suntingan dan skripnya. Filem ini ada kesemuanya walaupun tidak baik sepanjang 2 jam filem ini ditayangkan. Saya mengatakan sedemikian kerana saya amat kagum pada separuh awal filem ini dan sedikit kecewa apabila di separuh akhir filem tersebut. Arahan Adflin yang dibantu oleh Naa Murad sebagai Penolong Pengarah sedikit pancit di separuh akhir filem ini. Arahannya sedikit tidak terarah. Begitu juga dengan teknik suntingan filem ini. Di permulaannya saya kagum dengan teknik fast-cut yang digunakan. Filem ini bergerak amat pantas dengan kesan fotografi yang baik. Pergerakan kamera yang pantas mampu menaikkan mood penontonan. Tetapi saya lama-kelamaan teknik tersebut hilang. Mewujudkan animasi tiga dimensi sekadar membuang duit. Adegan sedemikian walaupun bertujuan untuk menimbulkan kesan dramatik dan di luar dugaan sebenarnya hanya merugikan. Kesan khas pada adegan kemalangan juga kelihatan cacat-celanya. Sekadar percaya kepada kebolahan anak tempatan, saya akur dengan hasil tersebut. Masih terlalu banyak yang boleh dipelajari dan diperbaiki untul filem akan datang. Khabarnya Cilok bakal menyusul.
Lakonan
Selepas meluangkan masa hampir dua jam menonton filem ini, bagi saya Buli sebuah filem yang menghiburkan dan wajar ditonton tetapi hanya pada separuh pertama filem ini. Lakonan Afdlin agak baik pada separuh filem ini tetapi kelihatan tidak terarah pada separuh yang terakhir. Beliau seakan-akan menjadi dirinya pada separuh akhir filem ini. Nasha Aziz sebagai Dr. Ika sekadar mencantikkan filem ini. Lakonan beliau tidak seperti yang diharapkan. Beliau telah meletakkan Trauma sebagai benchmark yang terbaik untuk tahun ini dan beliau wajar mengekalkannya. Hans Issac sebagai Roy juga mampu memberikan lakonan yang lebih baik sebagai seorang antagonis. Aspek lakonan yang mampu mencuit perasaan saya telah ditonjolkan oleh AC Mizal. Beliau telah menampilkan satu lakonan yang stylistic dan telah mewujudkan kesan humor melalui postur dan mimik muka beliau. Lakonan Patrick Teoh juga menarik dengan dialog-dialog sini yang menjadi identiti watak tersebut. Watak beliau seakan parodi kepada Lim Kok Wing.
Penceritaan
Seperti kebiasaan, filem Melayu tidak dapat lari dari sub-plot yang banyak. Mungkin juga salah satu cara penyelesaian masalah pembuat filem untuk tidak membuat banyak filem, adalah dengan memasukkan banyak sub-plot dalam sesebuah filem. Pada awalnya, Buli ingin bercerita tentang masalah buli dan secara tidak langsung mengaitkan keadaan fizikal sebagai penyebabnya. Tetapi sayangnya tanpa matlamat yang jelas, Buli telah menjadi medan pertarungan dua pengaturcara perisian untuk membuktikan mereka pengaturcara asli perisian tersebut. Satu yang pasti lawak-lawak di dalam filem ini bersifat matang dan tidak membodohkan penontonnya. Sesiapa yang menyukai siri Ah-Ha sudah pasti menyukai Buli begitu sebaliknya. Komedi cara Afdlin merupakan komedi urban.
Runut Bunyi/Video Muzik
Kebanyakan lagu yang diambil untuk filem ini datangnya dari album Fuyoo! Afdlin. Tidak saya pertikaikan kesesuaiannya. Sesuatu yang menarik hati saya tentunya video muzik Waras yang menjadi lagu tema filem ini, yang telah dibuat dengan baik dan amat kreatif. Memandangkan saya hampir telah menghafal lirik lagu Waras dan saya turut menyanyi bersama-sama watak orang gila di dalam video muzik tersebut. Walaupun kelihatan murah tetapi setidak-tidaknya beliau telah menimbulkan satu kesan absurd dalam filem tersebut apabila menampilkan watak-watak dalam video klip menyanyikan lagu yang sama.
Secara keseluruhan saya meminati filem sebegini dipertontonkan kepada penonton Malaysia. Sebuah filem yang bagus dan berada pada kelasnya yang tersendiri. Buli dibikin agar dapat membuktikan yang Malaysia sebenarnya mempunyai idea-idea baru dapat pembikinan filem yang baik. Buli telah berjaya lari dari lawak bodoh filem-filem terdahulu.
Rating: Bagus !
Ulasan lain Buli : Nizam Zakaria
0 komen