Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 17 March 2004

Buli oleh Nizam Zakaria



Pada pendapat saya, sukar untuk kita mencari filem-filem Melayu kontemporari berbentuk komedi yang tidak memperlekehkan minda penonton. Sekarang, sudah sampai masa agaknya untuk kita mula dihidangkan dengan filem-filem komedi yang lebih bermutu. Maka muncullah Afdlin Shauki, seorang pelakon, penyanyi, pelawak, pengacara (saya pun tak tahu apa yang beliau belum cuba lagi) dan kini seorang pengarah filem, yang mengarahkan sebuah filem berbentuk romantik komedi (bersama Na'a Murad) yang dilakonkan dan digarapnya sendiri.

Seorang sutradara yang saya kenali, Yasmin Ahmad telah menghantar SMS kepada saya sejurus selepas beliau selesai menonton tayangan perdana filem Buli. Beliau memberitahu kepada saya dengan bersungguh-sungguh bahawa inilah filem Melayu paling kelakar yang pernah ditontonnya selepas filem Pendekar Bujang Lapok. Katanya, beliau ketawa terbahak-bahak sewaktu menonton filem ini, walau bagaimanapun, tidak semua penonton yang hadir yang ikut ketawa. Ada yang hanya duduk diam. "Mereka mungkin terkejut melihat sesuatu yang baru dalam filem Melayu." ulasnya.

Secara kasar, filem ini adalah sebuah filem komedi, tetapi entah mengapa, saya rasa filem ini bukan untuk semua penonton. Ada yang akan menyukainya dan ada pula yang tidak. Saya rasa begini kerana sejak dari awal lagi saya mengesyaki bahawa penonton Melayu agak subjektif - sukar untuk kita meneka kehendak sebenar mereka.

Bagi saya, mungkin filem ini setaraf dengan filem-filem komedi arahan Othman Hafsham seperti Adik Manja dan Mekanik yang telah dibuat dengan baik pada era tahun 80-an dahulu. Maksud saya, ia adalah sebuah komedi yang cerdik dan tidak cuba untuk membodohkan penonton, seperti yang kita saksikan dewasa ini sebelum kemunculan Buli.

Filem diterbitkan Grand Brilliance Sdn Bhd. Filem dengan kos produksi RM1.4 juta ini sememangnya mempunyai banyak kelainan.

Filem Buli ini berkisar tentang Nordin (Afdlin Shauki,), seorang pengatur cara komputer dari syarikat MichaelSoft Computer yang mempunyai masalah dengan berat badannya (saya mula merasakan filem Melayu mempunyai obsesi dengan watak-watak yang mempunyai masalah berat badan. Pada tahun lepas kita telah menyaksikan kemunculan filem Cinta Kolesterol, dan VCD Paling Comel... Tahun ini, Buli pula. Kenapa ya?).

Keadaan diri Nordin yang gemuk telah membuat dirinya dibuli sejak dia kecil lagi, terutamanya oleh rakan sekampungnya bernama Roy (Hans Isaac), yang entah mengapa akan muncul di dalam hidupnya dari kecil sehinggalah dia dewasa; semasa sekolah rendah, sekolah menengah, universiti dan di tempat kerja!.

Mungkin kerana sering dibuli, ditambah lagi dengan sifat "inferiority complex"nya, Nordin sering berfantasi untuk lari dari terpaksa berhadapan dengan masalah dirinya.

Dalam kekalutan dunianya inilah beliau diketemukan dengan doktor Ika (Nasha Aziz). Nordin jatuh hati kepada doktor Ika, walau bagaimanapun, doktor Ika sudah pun mempunyai seorang kekasih.

Dalam pada itu, Nordin terpaksa pula berhadapan dengan Roy di tempat kerjanya, yang terus membulinya, di samping cuba menciplak hasil kerjanya.

Dalam filem ini, terutamanya dalam bahagian awalnya, Afdlin banyak menggunakan adegan-adegan yang menggunakan teknik fast-cut. Saya agak terhibur melihat adegan-adegan ini dan cukup sedar, banyak telah dilakukan Afdlin untuk memastikan adegan-adegan ini dapat dilakukan dengan baik (di antaranya, menyediakan sebuah "storyboard" yang teratur dan rapi). Imej-imej yang dipersembahkan oleh Afdlin ini merupakan perbendaharaan baru dalam dunia perfileman Melayu.

Mungkin ada yang akan mengatakan filem ini terdapat banyak adegan-adegan yang tidak logik, tetapi ia telah dilakukan dengan konsisten seperti filem-filem tak masuk akal Stephen Chow (atau dikenali dengan panggilan "mo lei tau" di Hong Kong). Naratif visual filem-filem "mo lei tau" Stephen Chou unik kerana tak masuk akal, selain dari itu, pengarah komedi dari Hong Kong ini juga banyak menggunakan permainan bahasa berunsur komedi yang hanya akan difahami oleh penutur-penutur dialek Kantonis. Saya rasa perkara yang sama berlaku dalam filem Buli, di mana permainan bahasanya hanya akan difahami oleh penutur-penutur Bahasa Malaysia - tetapi jika dialih bahasakan, akan hilang unsur komedinya.

Saya rasa dalam filemnya ini, Afdlin banyak memberikan penghormatan ataupun "pay tribute" kepada beberapa sketsa yang diambilnya dari komik-komik Melayu terkenal seperti Gila-gila dan Ujang. Sebagai contoh, perhatikan adegan "menconteng arang" yang jelas 'dipinjam' dari majalah Ujang, dan juga gelagat-gelagat lucu sampingan yang kita dapat lihat berlaku di latar belakang pelakon.

Yang menarik juga tentang filem ini adalah selitan animasi 3D yang sebelum jarang-jarang cuba diterokai dalam filem Melayu. Walau bagaimanapun, saya merasakan adegan ini jika tidak diadakan, tidak apa. Langsung tidak akan mengganggu jalan cerita.

Sewaktu menonton filem Buli pada setengah jam terakhir, saya rasa filem ini seperti sudah kehilangan arah dan tumpuan. Filem ini tidak lagi tertumpu pada permasalahan berat badan dan "inferiority complex" Afdlin, tetapi kepada masalah perisiannya yang diciplak Roy dan apa yang cuba beliau lakukan untuk mendapatkan kembali kepercayaan dari majikannya, Tan Sri Micheal (Patrick Teoh). Yang lebih memeritkan lagi adalah adegan dalam wad sakit jiwa yang mempunyai banyak harapan untuk kita menginterpretasikan kepelbagaian semiotik (seperti mana yang terdapat dalam bahagian-bahagian awal filem Buli ini), tetapi akhirnya berubah menjadi sebuah muzik video yang kekurangan bajet.

Mungkin inilah masalahnya dengan filem-filem Melayu. Kebanyakan pembikin filem Melayu seperti mahu meletakkan segala-galanya dalam filem mereka sehingga hilang segala tumpuan dalam filem. Ada baiknya jika Afdlin tumpukan jalan cerita kepada masalah berat badan watak Nordin serta cara-cara untuk beliau mengatasinya. Adegan yang rompakan bank yang diketuai oleh watak penjahat yang dilakonkan oleh AC Mizal, sebagai contoh, telah mengelirukan penonton.

Di lain masa, saya harap Afdlin akan cuba meneliti skripnya dan cuba mendapatkan seorang Penyunting Skrip ("Script Editor") yang baik agar dapat mendapatkan yang terbaik dari apa yang diluahkannya melalui skripnya itu (kalau tak salah saya, sentuhannya selepas ini dipanggil Cilok, yang akan dihasilkan bersama Hans Isaac). Bahagian-bahagian yang tidak penting, perlu dibuang dan tumpuan harus diberikan kepada struktur filem dan perkembangan watak dan cerita. Komedi bukan calang-calang genre. Bagi saya, ia merupakan sebuah genre yang memerlukan penelitian yang paling terperinci kerana bukan senang untuk membuat penonton ketawa. Dengan adanya seorang Penyunting Skrip, kemungkinan tumpuan kepada penulisan yang lebih baik dapat diperah dari seorang yang berbakat seperti Afdlin.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan yang ada dalam filem Buli, saya rasa inilah filem Melayu yang telah digarap dengan baik berbanding dengan filem-filem Melayu yang saya tonton di panggung sejak kebelakangan ini. Jadi, untuk sebuah naskhah filem Melayu, saya anggap filem ini bagus, walaupun Afdlin masih mempunyai banyak lagi ruang untuk memperbaiki mutu arahannya.

Jika ditanya kepada saya adakah saya menyukai filem ini, jawapannya tidak. Jika ditanya pula kepada saya jika filem ini adalah sebuah filem yang baik, jawapan saya adalah: Filem ini adalah filem Melayu genre romantik komedi terbaik dari mana-mana filem dari genre yang sama yang banyak ditayangkan di pawagam-pawagam kita sejak kebelakangan ini. Jadi filem ini saya anggap penting. Ia penting kerana diharapkan filem ini dapat mengejutkan ramai pembikin-pembikin filem Melayu yang telah lama tidur (juga penontonnya) dan sedar bahawa kini, masa untuk filem-filem Melayu dengan lawak bodoh sudah berakhir dengan satu noktah.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memuji Afdlin kerana telah mengambil pelakon-pelakon dari pelbagai bangsa di Malaysia seperti mana yang cuba dilakukan oleh Othman Hafsham satu ketika dahulu (walaupun tidak begitu ketara, tetapi tak apa, ini satu permulaan yang baik). Pelakon-pelakon ternama seperti Sharifah Shahirah, Kartina Aziz, Hattan, Ako Mustafa, Soraya Dean, Jeslina Hashim, Jalil Hamid dan ramai lagi banyak membantu untuk membuatkan filem ini menarik, selain dari dapat menarik penonton ke pawagam. Kesungguhan dan keikhlasan Afdlin untuk menyiapkan naskhahnya ini juga jelas dapat kita lihat.

Afdlin saya harapkan akan satu hari nanti dapat membuahkan hasil yang lebih baik dengan membuat filem-filem komedi ala Woody Allen ataupun Wes Anderson dan bukan menjurus kepada komedi ala Farrelly brothers mahupun komedi "mo lei tau" Stephen Chow. Saya yakin, satu hari nanti beliau mampu membuat sebuah filem Melayu berbentuk "black comedy" yang pastinya hebat, dan yang lebih penting lagi, kelakar.

Nota: Nantikan Ulasan Buli melalui pandangan mata dan isi hati saya pula sekitar minggu ini.