Trek Selebriti: Mana Arah Akademi Fantasia oleh sultanmuzaffar dan Nizam Zakaria
Saya berkesempatan menonton sebuah rancangan terbitan ASTRO yang diberi nama Trek Selebriti. Seronok kerana dapat melihat gelagat peserta ujibakat untuk rancangan realiti Akademi Fantasia yang kini menjadi kegilaan para remaja, baik bawah umur atau pun yang terlebih umur. Semuanya berangan nak jadi penyanyi dan penghibur di negara Malaysia.
Akhir-akhir ini kita sering mendengar tentang Akademi Fantasia. Perkembangan Akademi Fantasia akan sentiasa diikuti oleh peminat-peminatnya. Akademi Fantasia yang dimaksudkan bukanlah bintang Akademi Fantasia yang kini telah pun menjadi bintang seni di Malaysia tetapi proses pencarian bakat baru untuk Akademi Fantasia musim kedua.
Satu perkara menarik yang wajar saya ulas ialah tentang matlamat penubuhan Akademi Fantasia. Akademi Fantasia seperti yang kita lihat setiap hari adalah tempat belajar. Tetapi belajar yang bagaimana? Untuk pelajar yang bagaimana? Dalam episod yang kedua, terdapat seorang peserta uji bakat yang dalam uji bakat telah mengeluarkan kenyataan kecewa yang antara lain menyebut “Akademi Fantasia adalah tempat untuk belajar”. Betul, kita kena yakin, tapi kita kena realistik juga. Saya sendiri tidak berani untuk mengeluarkan kenyataan bahawa Universiti Harvard adalah tempat untuk saya belajar dengan apa yang saya ada sekarang. Kita kena ukur baju di badan sendiri.
Jadikan Akademi Fantasia tempat yang susah untuk mendapat tempat seperti universiti-universiti yang terkemuka, contohnya Harvard, Cambridge dan Sorbonne. Para pelajar yang hendak belajar di universiti-universiti ini telah ditapis dengan teliti dan hanya pelajar-pelajar yang terbaik sahaja yang akan dipilih. Tenaga pengajar di sana juga terkenal kerana keunggulan mereka dalam bidang masing-masing dan sudah tentunya, mereka hanya mahu mengajar pelajar-pelajar yang benar-benar bijak untuk ditunjuk ajar.
Sememangnya universiti-universiti terkemuka ini susah nak masuk tetapi hasilnya bagus.
Akademi Fantasia adalah tempat untuk mereka yang mempunyai bakat besar dididik untuk menjadi lebih bagus. Sebagai sebuah sekolah seni, Akademi Fantasia disifatkan sebagai sebuah tempat untuk “the best of the best” atau “creme de la creme”.
Kita telah melihat apa yang berlaku kepada Akademi Fantasia I bila mana pelajar seperti Atie dan Nana terpilih menyertai sekolah untuk kononnya “The Best Of The Best” di Akademi Fantasia. Secara tidak langsung, kredibiliti sekolah seni seperti Akademi Fantasia dipersoalkan.
Saya juga pasti tenaga-tenaga pengajar akan bersetuju dengan pendapat saya bahawa adalah lebih senang mengajar pelajar yang berbakat, dan sebaliknya pula jika mereka terpaksa mengajar pelajar yang kurang berbakat dan tidak mempunyai motivasi untuk memperbaiki diri mereka.
Lagipun, buat apa berikan peluang belajar kepada pelajar-pelajar yang boleh dipertikaikan kualitinya? Apa yang boleh kita dapat dari persembahan yang “mediocre” dari mereka, walaupun sudah berhempas pulas diajar oleh tenaga pengajar yang unggul? Apa yang kita sebagai peminat seni tanah air dapat? Penghibur yang sederhana? Buat apa? Perkara ini jelas tidak adil kepada mereka yang benar-benar berbakat dan layak ke Akademi Fantasia. Kenapa perlu kita beri tempat yang layak diberikan kepada mereka kepada pelajar-pelajar yang sederhana ini?
Peserta uji bakat kecewa itu perlu meletakkan Akademi Fantasia di kelas yang tertinggi, tempat pelajar yang sudah bersedia untuk menjadi penyanyi berkaliber dan bukannya menganggapnya seperti Tadika tempat untuk belajar mengenal huruf. Akademi Fantasia adalah tempat untuk mereka yang sudah bagus untuk menjadi lebih bagus dan bukannya tempat untuk pelajar yang baru hendak belajar.
Berdasarkan pandangan Simon Cowell salah seorang juri untuk American Idol, setiap peserta uji bakat perlu datang dengan keadaan bersedia dan sudah sedia bagus kerana mereka perlu bertanding dengan peserta yang telah bagus. Lebih-lebih lagi mereka bertanggungjawab besar untuk menjadikan rancangan tersebut popular di mata penonton bukan sekadar sambil lewa. Bukan datang sesi uji bakat kerana suka-suka. Jika mereka merasa diri mereka belum bagus dan setanding dengan peserta sedia ada, pergi balik dan berlatih bersungguh-sungguh untuk menyiapkan diri di masa akan datang.
Sebenarnya dari sesi ujibakat, panel juri telah boleh menilai kesungguhan peserta yang datang uji bakat. Kita sebagai penonton juga boleh melihatnya. Saya beri contoh fenomena yang berlaku kepada William Hung.
Dalam sekelip mata beliau menjadi popular bukan kerana bakatnya tetapi kerana kesungguhannya serta profesionalisme yang beliau tonjolkan sewaktu menjawab setiap soalan dari panel juri. Penonton menganggap beliau sebagai hero kerana kesungguhan yang beliau tunjukkan. Sesetengah peserta uji bakat baik untuk Akademi Fantasia mahu pun American Idol tidak menunjukkan kesungguhan tersebut. Sikap negatif yang dicerminkan apabila menerima maklum balas negatif dari panel juri sebenarnya agak meresahkan dan memualkan. Semacam tiada kejujuran mereka untuk benar-benar menjadi penyanyi berbakat tetapi lebih kepada menagih populariti dan gilakan glamor.
Sayangnya, kesungguhan ini tiada pada peserta uji bakat Akademi Fantasia. Ini diakui oleh salah seorang Tenaga Pengajar iaitu Puan Siti Hajar, bila mana terdapat peserta yang kurang serius dan langsung tidak membuat persiapan sebelum datang ke sesi uji bakat. Sepanjang saya menonton Trek Selebriti, karisma peserta uji bakat seakan-akan tiada. Itu yang saya lihat.
Saya melihat adanya kesungguhan yang ditonjolkan oleh salah seorang peserta ujibakat bawah umur iaitu Nurul. Beliau benar-benar ingin menjadi penghibur tetapi masalah umur membataskan peluang beliau. Kita tentu telah melihat sedikit kebolehan beliau menyanyi. Sekiranya ada sebelas lagi peserta ujibakat seperti Nurul, sudah pasti saya akan menghadapi masalah besar untuk memberi ulasan yang seimbang kerana kesemuanya bagus-bagus belaka. Kekecewaan beliau terserlah apabila menerima keputusan tersebut. Nampak keyakinan yang tinggi dalam diri beliau yang mana beliau tahu beliau berkebolehan untuk menyanyi dengan bagus.
Saya melihat Akademi Fantasia I telah meletakkan satu benchmark dalam seni hiburan tanah air. Secara ikhlas saya ingin melihat peserta Akademi Fantasia II jauh lebih baik dari apa yang telah terhasil pada musim pertama. Alang-alang memberi ulasan, biar saya merasa terseksa untuk mengulas persembahan dua belas peserta yang terbaik dari yang terbaik itu. Bukan seperti Akademi Fantasia I yang kita sudah boleh mengagak pemenangnya walaupun setelah baru menonton dua tiga episod.
Tidak lama lagi, akan muncul pula Malaysian Idol yang akan disiarkan oleh 8TV dan secara tidak langsung memberi satu lagi pilihan kepada penonton. Jika dengan peserta seperti Akademi Fantasia I dan kualiti Malaysian Idol yang bagus tentunya saya sudah boleh mengagak penonton akan beralih ke Malaysian Idol. Formula yang bakal digunakan oleh Malaysian Idol merupakan formula yang telah digunakan oleh American Idol yang meletup satu dunia. Peserta yang hanya datang untuk uji bakat sahaja sudah mampu mempunyai peminat sendiri seperti William Hung.
Saya ada terbaca tentang nasihat Vince kepada bakal-bakal pelajar Akademi Fantasia II iaitu “Be youself and make sure you are doing it for the passion of music dan bukan untuk mencari glamour. Yang penting sekali kena ikhlas dalam apa-apa yang anda lakukan.”
Kredit Foto : yahoogroups Akademi_Fantasia
0 komen