Wawancara bersama Mat Jan
Amaran oleh SM : Gelak yang terlampau lampau, boleh memusnahkan karier anda jika ia dibuka di waktu pejabat !
Pertama kali saya bertemu beliau ialah sewaktu Gathering Gengjurnal.net. Kitorang bertanding malam tu merebut Anugerah Weblog Terbaik 2003. Mat Jan menang, aku kalah ! Wajiblah dia menang, dia kroni GJ. Tapi tak per, aku menang yang lain pasal kroni AF aku lagi banyak. Lagipun pengundi GJ dah pecah undi. hehehe...(tiga titik) ! Aku dah baca blog dia sejak dulu lagi. Aku paling suka lawak dia. Aku rasa budak ni kalau buat skrip filem lawak mesti lawaknya best gila punya gila punya gila punya gila punya gila. Entri paling terkini tentang Yusry - Pelakon Terbaik. Puas hati. Banyak soalan aku yang dia jawab dengan sempoi. Memang itu yang aku mahu. Dia kena jawab cara yang di luar tabii. (hahahaha) Macam Mat Jan tak biasa kes-kes yang luar tabii ni. Saja aku tak seriuskan entri aku kali ini sebagai tribute kepada pak lawak antarabangsa ini, Mat Jan bakal lawyer yang tidak akan menjadi ubat luput tarikh ! (Lewat sedikit kerana pewawancara dan yang diwawancara tengah demam) [Baca:demam pilihanraya]
Tentang Diri
SM: Boleh saudara perkenalkan diri saudara kepada para pembaca? Ceritakan serba sedikit tentang diri saudara, sebagai contoh; tempat di mana saudara dilahirkan, umur dan di mana saudara telah dididik satu ketika dahulu.
MJ: Assalamualaikum. Mula-mula saya perkenalkan nama saya dulu. Nama pendek: Mat Jan. Nama panjang: Mat Jaaaannnnnnnnnnnnnnnnnn. Saya dilahirkan di Alor Setar, dan dididik di Tadika Pak Omar, mengaji mukadam kat masjid Akar Peluru, sekolah rendah kat Sekolah Iskandar, mengaji Quran dengan mak saya, sekolah menengah kat Kolej Sultan Abdul Hamid, belajar memandu kat sekolah memandu Menara tepi jejambat sebelah stesen bas lama tu. Lepas tu buat A-Level kat Kolej Yayasan Pelajaran MARA, Cheras, dan masuk universiti belajar law.
SM: Boleh saudara ceritakan rutin kehidupan anda ?
MJ: Tak boleh.
SM: Siapakah tokoh yang anda kagumi menurut pendapat saudara?
MJ: Saya tidak mengkagumi mana-mana tokoh secara individu. Tapi, secara kelompok, saya mengkagumi golongan ilmuwan (orang-orang akademik). Maaf, saya tidak sanjung orang politik, walaupun gemar membaca tulisan mereka.
SM: Apakah warna kegemaran anda dan tentu ada cerita di sebaliknya?
MJ: Biru dan putih kot. Baju saya kebanyakannya biru, putih, atau biru-dan-putih. Biru itu range dari biru muda ala-Keadilan sampailah biru tua ala-BN. Tak tahulah apa sebabnya.
SM: Apakah buku yang benar-benar ingin anda miliki ataupun yang telah anda miliki ? Mengapa?
MJ: Yang ingin dan telah saya MILIKI? Kalau yang ingin dan telah saya BACA boleh? Yang ingin saya baca (kalau tak dapat miliki, dapat pinjam pun jadi): My Side of History (oleh Chin Peng). Dan Malaysia in Transition, dan Journey Through Southeast Asia (dua-dua oleh Karim Raslan). Dan Al-Maunah: Kebenaran Yang Sebenar (Zabidi Mohamad).
Yang telah saya baca, termasuk yang baca tak habis: Malay Dilemma (Dr Mahathir), Asian Renaissance (Anwar Ibrahim), Pilihanraya atau Pilihan Jalanraya? (Hishamuddin Rais), Tersungkur di Pintu Syurga (Zabidi Mohamad), Meniti Lautan Gelora (Said Zahari), dan yang tengah dok baca sekarang: Tumit Achilles (Khalid Jaafar).
Saya tak banyak baca fiksyen. Saya lebih suka baca PENDAPAT dan PENGALAMAN orang. Sejak sekolah lagi, kalau dapat nombor 1 hingga 3 dalam kelas, orang lain pilih buku cerita (fiksyen) untuk hari penyampaian hadiah. Tapi saya pilih buku Kanang (pengalaman askar Kanang anak Langkau), Debu Hiroshima (pengalaman anak Melayu di Jepun waktu Amerika bom Jepun), dan Gonzales (biografi Jeneral Tan Sri Ghazali Mohd Seth).
Sampai sekarang baca buku-buku begitu. Rugi jugak saya tak bernafsu baca fiksyen, sebab di rumah saya (di Shah Alam) ada novel karya sasterawan negara seperti Imam (Abdullah Hussain), Ummi dan Abang Syeikhul (Shahnon Ahmad), Salina (A Samad Said), dan lain-lain, milik rakan serumah.
Ada juga fiksyen yang saya suka. Saya suka ANIMAL FARM, novel satira politik oleh George Orwell. Dan antologi LCCU oleh Saharil dan Faisal.
Lepas ni, kalau boleh, nak baca lebih banyak fiksyen.
SM: Apakah rancangan TV yang paling ingin anda sertai?
MJ: Dulu, dalam tahun 2000, bila saya lihat pensyarah saya, Dr Shad Faruqi, jadi panel untuk talk-show GLOBAL (TV2), saya teringin nak jadi panel talk-show.
Tuhan makbulkan keinginan saya. Tahun 2002, saya dapat jadi panel forum untuk rancangan tv BICARA SISWA.
Dan saya dapat muncul dalam GEMILANG MALAYSIA, walaupun waktu rakaman di universiti, krew RTM tu kata itu untuk rancangan PANORAMA 1.
Saya teringin masuk kuiz jugak. Saya dapat masuk kuiz tv JUARA MINDA, kuiz antara IPT yang dikendalikan oleh Rosyam Noor. Tapi saya ditimpa kemalangan, maka tempat saya diganti oleh orang lain.
Yang teringin saya nak masuk: WHO WANTS TO BE A MILLIONAIRE?
Harap-harap Tuhan makbulkan keinginan saya yang ini.
SM: Dalam satu patah perkataan, jelaskan personaliti anda ?
MJ: Sinis.
SM: Apakah perkara paling nakal pernah anda lakukan sewaktu zaman remaja anda ?
MJ: Guna kanta pembesar dan bakar semut dengan cahaya matahari? Entah, saya budak baik, mana pernah buat benda nakal.
SM: Apakah filem Melayu yang pernah anda tonton lebih dari sekali ? Jika ada. Jika tiada, mengapa ?
MJ: Buli, Soal Hati, Ali Setan. Hanya BULI saja saya tonton dua kali di pawagam. Yang lain saya tonton di pawagam sekali saja. Lepas tu saya cari VCD dan tengok banyak kali. Saya suka drama tv Toll Gate Girl, saya ada VCD-nya, yang itu saya tengok berpuluh-puluh kali.
Saya suka tonton komedi. Romantic comedy terutamanya. Ada orang kata filem Melayu tak bagus sebab temanya sama: komedi, cinta, komedi, cinta. Tapi saya tak fikir begitu. Pada saya, tema tak penting, yang penting: CERITA. Gerak Khas The Movie temanya bukan komedi dan bukan jugak cinta, temanya kepolisan, tapi saya tak suka sebab ceritanya tak bagus. Soal Hati pulak, temanya komedi dan cinta, tapi saya suka, sebab ceritanya bagus.
Kalau cerita bagus, walaupun pelakonnya Erra Fazira, saya suka filem itu (contoh: Soal Hati). Tapi kalau cerita macam hampeh, walaupun ada pelakon hebat macam Afdlin Shauki dan Ida Nerina, saya tak suka filem tu (contoh: Gerak Khas II).
Masalah filem Melayu, pada saya, bukan tema atau pelakon, tapi CERITA.
SM: Pada pendapat saya dengan mengambil jurusan undang-undang menyebabkan anda berfikiran amat kritis. Bagaimana dengan pendapat anda?
MJ: Sangat setuju. Budak law memang kritis dan analitikal sebab kami diajar begitu. Kami berfikir macam hakim, kena dengar hujah plaintif dan defendan, atau hujah pendakwa dan tertuduh, baru boleh buat keputusan. Sebab tu saya tak boleh tolerate one-sided reports, baik dalam surat khabar atau dalam tv, baik berita politik atau rancangan hiburan sekalipun. Kalau ada dua pihak bertelingkah, mesti nak dengar atau baca, hujah kedua-dua belah pihak. Lepas tu baru buat keputusan. Membaca sejarah pun tak boleh baca satu sumber saja.
Bukan saja pada laporan berat sebelah, pada apa-apa pun yang berat sebelah, saya tak puas hati. Kadang-kadang menonton filem dan drama tv pun jika nampak perkara double-standard, yang produsernya tonjolkan sebagai perkara betul, saya jadi tak puas hati. Bila tak puas hati, kita kritik.
Bila kritik filem, atau sikap masyarakat, atau perkara lain, tak apa. Orang boleh terima. Tapi bila kritik sistem atau dasar negara, orang labelkan pro-itu atau anti-ini. Tapi hakikatnya kita kritik bukan sebab politik, tapi sebab benda tu tak sama dengan benda yang kita belajar.
Misalnya, kita belajar law, menghukum orang tanpa bicara tu salah. Tiba-tiba ada orang kata tahanan tanpa bicara tu betul. Kita kritiklah.
Analoginya macam kita belajar geografi-lah. Kita belajar Singapura terletak di selatan Semenanjung. Tiba-tiba ada orang kata Singapura terletak di utara Semenanjung. Mesti kita marah. Kita marah bukan sebab orang tu tak satu parti dengan kita, tapi sebab orang tu tak betul.
Kita belajar sejarah, negara kita merdeka pada 31 Ogos. Tiba-tiba ada orang kata negara kita merdeka pada 2 Mac. Mestilah kita marah. Sebab 2 Mac tu bukan tarikh merdeka, tapi tarikh birthday Mat Jan. Tahun depan, 2 Mac, jangan lupa beli hadiah.
Tentang Weblog
SM: Apakah definisi sebuah blog yang tidak bagus ?
MJ: Pertama: soal KULIT.
Blog berbeza dengan laman web peribadi biasa, sebab blog dibaca hari-hari. Sebagai laman yang dibaca hari-hari, dia mesti kemas dan cepat load. Jadi jangan semakkan dengan Flash movie, atau trailing cursor (bila kita gerak mouse ada huruf atau jam yang ikut), atau applet dan script yang tak perlu. Splash page pun tak perlu... terus saja ke catatan entries.
Sebab tu laman yang dibaca hari-hari, seperti akhbar (contoh: Utusan Online), dan search engine (contoh: Yahoo!), design-nya ringkas dan kemas. Dan cepat load. Cuma laman korporat yang di-update setahun sekali saja ada splash page, dan Flash movie, dan segala.
Blog yang sesak dengan script dan applet dan TRAILING CURSOR (uhh, very annoying) adalah blog yang tak bagus.
Kedua: soal ISI.
Saya tak kisah dia nak cerita apa. Dia boleh cerita pasal rutin harian, pasal filem, pasal politik, pasal makanan, pasal anak-anak. Tapi gaya tulisan tu, pada saya, yang menentukan blog itu bagus atau tidak.
Saya tak suka blog yang menceceh. Tulis panjang meleret-leret. Yang bila kita baca, kita akan rasa terseksa seperti mendengar leteran seorang ibu. Mengulang-ulang benda yang sama. Dan kita tak rasa teringin nak menggali arkibnya, membaca catatan lama-lama. Lebih teruk lagi, sudahlah tulis panjang-panjang, tak guna tanda baca yang betul pulak. Tiada noktah, tiada koma, tiada perenggan. Yang ada cuma "tiga titik" ( ... )
Contoh: "tadik ... aku pergi rumah dier ... rumah dier besar giler .... macam stadium besarnyer rumah dier ... tapik ... bla bla bla"
Tapi tak semua orang lihat kedua-dua aspek ini. Bak kata Amy Search: "Ada oranggg lihat KULIT, ada oranggg lihat ISINYA... isi dan kulittt!" (Mat Jan menyanyi sambil hangguk-hangguk kepala head-banging).
SM: Apakah yang mendorong anda menulis blog ? Bagaimana pula saudara memulakan projek blog saudara?
MJ: Yang mendorong saya adalah rasa ingin bertapak di alam cyber.
Saya kenal internet pada 1996. Zaman tu cyber cafe adalah cafe dengan tiga/empat bijik komputer di satu sudut kecil. Hari ni keadaan adalah sebaliknya: cyber cafe ada berbijik-bijik komputer dengan cafe di satu sudut kecil. Malah kadang-kadang, tak ada pun cafe! Zaman tu cyber cafe sejam RM8.00. Sekarang, dengan RM8.00, kita boleh main empat jam, atau 24 jam kalau tauke cyber cafe tu kawan kita.
Pada 1998 saya ada internet di rumah, jadinya saya ingin bertapak dalam internet. Saya belajar HTML dan pada Jun 1998, saya ada laman web sendiri, dalam Bahasa Inggeris, berjudul "The A-mfggh-C’s of Monkey Island". Laman ini tentang computer games kegemaran saya, Monkey Island.
Kemudian saya buat laman "Rimba Rekreasi Negeri Kedah", laman dwi-bahasa Melayu/Inggeris, tentang hutan lipur dan tempat peranginan air terjun di Kedah. Lepas tu laman "Syafizan Dot Net", 70% Bahasa Inggeris dan 30% Bahasa Melayu, ini personal homepage, cerita pasal saya, saya dan saya.
Lepas tu saya buat laman Kroni Cik Kiah, pasal kawan-kawan saya masa matrikulasi. Laman ini Bahasa Melayu sepenuhnya. Cumanya, bila buat laman web seperti ini, kita tidak update hari-hari, dan orang pun masuk sekali seumur hidup.
Satu hari, Saharil buat laman web baru, dalam tahun 2000. Saya memang peminat laman web lamanya yang saya jumpa pada 1997. Laman web barunya ada online log yang dia update hari-hari dan orang pun masuk hari-hari. Saya tertarik. Saya pun nyatakan hasrat saya untuk tulis blog, dan Saharil bagi contoh beberapa blog orang putih.
Maka pada 17 Jun 2000, hari pertama saya di Law Faculty, buat law degree, saya mulakan Jongkang Jongket saya. Saya maintain dua blog masa tu, sebab di laman Kroni Cik Kiah pun saya letak blog. Tapi lama-lama saya main Jongkang Jongket saja. Laman web saya yang lain semua dah pupus.
SM: Apakah misi blog saudara yang sudah tercapai ? Anda puas hati ?
MJ: Misi saya: nak berkongsi pengalaman, pengetahuan, dan pendapat. Saya rasa misi saya dah tercapai. Malah saya dapat bonus lagi dari blog ini: KAWAN. Saya dapat kawan baru yang berlainan latar belakang pekerjaan, umur, jantina, etnik (Cina ada, India belum), status perkahwinan, dan sebagainya. Saya merujuk kepada kawan-kawan yang saya kenal melalui Jongkang Jongket dan saya berjumpa mereka secara langsung. Ada antara mereka yang jadi kawan baik saya. Tak payahlah saya sebutkan nama, takut ada yang tertinggal, nanti kecik hati pulak. Itu tak termasuk yang saya berkawan secara cyber tapi tak pernah jumpa. Yang email-email dan telefon-telefon, tapi tak kenal muka, pun ada.
SM: Sehingga kini, teknologi blog semakin berkembang. Blog sudah boleh dikemaskinikan menggunakan handphone dengan gambar-gambar yang dirakam dari handphone dan sebagainya. Fotopages contohnya. Secara tidak langsung membuatkan blog yang ada di blogspot, geocities, tripod nampak terkebelakang dari segi teknologi. Apa pendapat anda?
MJ: Mengejar teknologi adalah seperti cuba menaiki bas yang sedang bergerak.
Blog di Geocities dan Tripod susah diurus, sebab perlu di-update manually. Tripod sendiri pun sedar hakikat ni maka mereka pun memasukkan ciri-ciri untuk blog dalam servis mereka.
Saya lebih selesa menggunakan enjin blog daripada meng-update secara manual. Saya pernah guna Pitas dan Diaryland. Sekarang saya guna Blogspot. Saya rasa Blogspot yang paling best.
Tentang update melalui sms dan fotopages, saya belum cuba. Saya belum mampu nak beli handphone yang ada kamera. Sekarang ni, kalau saya nak pakai handphone yang ada kamera, saya akan ikat kamera pada Nokia 3210 saya dengan getah gelang atau tali rafia.
SM: Apakah aspek yang paling mencabar dalam menguruskan blog anda?
MJ: Tiada akses internet di rumah. Maksud saya, rumah saya di Shah Alam. Kalau di Alor Setar ada akses. Sebagai langkah mengelakkan konflik, line telefon sengaja tidak dipasang di rumah sewa, sebab sejarah membuktikan bahawa kawan boleh jadi lawan sebab bil telefon tertunggak. Dan orang yang mendaftar line boleh di-blacklist oleh Telekom dan tak boleh pasang telefon kat rumah sampai bila-bila. Jadi, di Shah Alam, saya terpaksa pergi ke cyber cafe untuk menguruskan blog. Sebagai student, saya kena budget duit untuk internet ni seminimum mungkin. Computer lab di fakulti connectionnya tak boleh harap. Keduanya, masa yang terhad. Sibuk dengan tugasan, akademik dan bukan-akademik, di kampus. Kadang-kadang terpaksa abaikan blog demi pelajaran, dan kadang-kadang terpaksa abaikan pelajaran demi blog. Hahaha.
SM: Kenapa jongkang-jongket ?
MJ: Bukan saja-saja. Ada falsafah kehidupan, yang saya lihat, di sebalik permainan jongkang-jongket.
Satu: Bila main jongkang-jongket, kadang-kadang kita di atas, kadang-kadang kita di bawah. Begitulah juga kehidupan, ada naik-turunnya.
Dua: Permainan jongkang-jongket, kita tak boleh main sorang-sorang. Begitu jugalah kehidupan, kita tak boleh hidup sorang-sorang. Kita perlu bantu-membantu dan hormat-menghormati antara satu sama lain.
Tiga: Untuk permainan jongkang-jongket berfungsi, pemainnya perlu berat badan yang agak seimbang. Jika seorang sangat gemuk, dan seorang sangat kurus, cuma seorang pemain saja akan berada di atas, dan seorang lagi akan sentiasa berada di bawah. Begitu jugalah kehidupan, perlu ada keseimbangan, perlu ada keadilan. Ketidakadilan dan penindasan perlu ditentang, dan golongan tertindas perlu dibantu.
Blog Jongkang Jongket menceritakan kehidupan saya. Ada tiga falsafah ini. Contohnya, falsafah satu (kadang di atas kadang di bawah): saya pernah dapat A dalam exam, dan pernah jugak gagal. Saya menang pilihanraya kampus dan berjaya menganjurkan program, tapi saya kalah debate dan kalah main bowling.
Falsafah dua (hidup bukan sorang-sorang): saya cerita tentang pensyarah yang mengajar saya, kawan-kawan yang menghiburkan saya, keluarga yang membantu saya, dan sebagainya.
Falsafah tiga (keadilan): ada catatan saya yang berunsur penentangan terhadap penindasan dan ketidakadilan.
SM: Cara anda twist setiap cerita semasa amat mengkagumkan saya. Antaranya SMS kepada Kanser payudara MAKNA dan teknik rebonding Gandalf. Dari mana anda dapat sentuhan sinis untuk ditulis di dalam weblog anda ?
MJ: Saya kira sentuhan sinis saya, dalam atau luar blog, adalah bakat semula jadi. Dan TV memberi pengaruh besar pada kepala hotak saya.
Tentang SMS MAKNA tu. Sebenarnya reply yang kita dapat adalah rawak. Ada mesej macam "30% kanser boleh dirawat jika dikesan di peringkat awal" atau "pemakanan dan cara hidup yang sihat boleh mengelak kanser" atau "jauhi daripada asap rokok". Tetapi, secara kebetulan, saya dapat mesej pasal "kanser payudara". Jadi saya sensasikan cerita tu, saya komedikan, untuk menarik orang ramai supaya sama-sama menderma kepada MAKNA (Majlis Kanser Nasional).
Dan lagi, saya dah tahu, orang lelaki pun ada kemungkinan dapat kanser payudara, tapi peratusannya rendah. Tapi saya saja bertanya soalan itu, supaya pembaca yang tahu akan respon. Saharil dan Day-z misalnya, siap tinggalkan alamat web lagi tentang tu. Kadang-kadang, dalam majlis ilmu, kita kena tanya soalan yang kita dah tahu jawapannya, supaya, bila guru jawab, orang yang tak tahu pun boleh tahu.
Dan teknik rebonding Gandalf. Saya memang suka buat lawak iklan tv. Atau lawak rancangan tv. Dalam material kempen pilihanraya kampus pun saya guna lawak iklan tv atau rancangan tv. Rakan serumah saya dan keluarga saya tahu hobi saya ni. Bila tengok berita tv pun, saya akan buat lawak. Contohnya, kalau pembaca berita kata: "Suri rumah dibunuh dengan kejam", saya akan kata: "Dibunuh dengan kejam? Ada ke orang dibunuh dengan sopan santun? Atau dengan baik hati?". Kalau bunuh, mesti kejam.
SM: Budaya cut & paste yang mudah apabila menggunakan komputer semakin menular. Adakah anda merasa tercabar apabila artikel atau tulisan anda diciplak ?
MJ: Saya tak kisah kalau orang pinjam baju saya. Tapi saya marah kalau orang pakai baju saya dan mengaku itu baju dia. Atau dia jual baju saya tu dan dia simpan semua duitnya.
Maksud saya, saya tak kisah jika tulisan saya di-copy selagi SATU: nama saya sebagai penulis asal dikekalkan, dan DUA: tulisan yang di-copy itu digunakan untuk tujuan bukan komersial. Tetapi jika orang copy tulisan saya dan dakwa itu tulisan dia, atau tulisan saya dijual (baca: diterbitkan dalam penerbitan komersial) dan saya tidak dapat apa-apa bayaran, saya marah.
Dalam kes baju tadi, senang kita nak ambik tindakan undang-undang, sebab kita boleh buktikan baju itu milik kita, dengan mengemukakan resit misalnya. Tapi nak buktikan tulisan yang kita publish di ALAM CYBER sebagai tulisan kita, apa "RESIT"-nya?
Dari segi undang-undang, ini memang masalah sejagat. Dalam bukunya "Code and Other Laws of Cyberspace", Lawrence Lessig berkata, "For the holder of the copyright, cyberspace appears to be the worst of both worlds -- a place where the ability to copy could not be better, and where the protection of law could not be worse."
Kalau tak ada resit untuk buktikan baju tu baju kita, kita simpanlah baju tu dalam almari dan kunci. Baru susah orang nak curi.
Maksud saya, disebabkan tulisan di alam cyber mudah di-copy, dan perlindungan undang-undang susah diberi, kita kenalah lindungi sendiri tulisan kita. Kita letaklah script yang disable orang meng-select dan meng-copy tulisan kat blog kita. Baru susah orang nak copy.
Saya kata SUSAH ya, bukan tak boleh langsung. Kalau dikunci dalam almari, orang boleh curi jugak baju kita, tapi dia kena pecahkan kunci atau pintu almari dulu.
Samalah kalau letak script kat blog, dia boleh copy jugak catatan kita. Tapi dia kena tengok source dan remove script dan save as new file. Jadi susahlah sikit.
Kalau ada orang yang nak guna tulisan saya untuk tujuan bukan komersial, dia boleh minta kebenaran melalui email, atau guestbook. Saya sendiri akan copy dan kasi kat dia.
Bila dia mintak kebenaran, elemen "curi" dah hilang (sila rujuk Kanun Keseksaan), saya anggap macam dia pinjam baju saya saja. Kalau pinjam baju, ada syaratnya: jangan lupa basuh lepas pakai. Kalau pinjam catatan blog, syaratnya: letak link ke blog saya.
SM: Pernahkah anda diekori oleh peminat anda ? Jika belum, inginkah anda diekori oleh peminat anda ?
MJ: Saya kira "peminat anda" itu merujuk kepada "pembaca Jongkang Jongket". Sebab ada juga "peminat saya" yang bukan "pembaca Jongkang Jongket", hahaha! Tapi itu cerita lain.
Dalam konteks "pembaca Jongkang Jongket", ada tiga insiden, di mana saya rasa diekori dan diperhati. Ini tidak menghairankan, kerana saya mendedahkan nama sebenar, tempat belajar, dan menyiarkan gambar saya dalam blog.
KES SATU: Ada orang sign guestbook saya pakai nama "A Simple Person Living a Simple Life". Dia selalu sign guestbook cakap benda macam: "Eh, tadi I nampak you beli karipap kat Abang Mat". Ah, saya jadi rimas. Rasa macam sentiasa diperhatikan. Saya tak kenal dia sampai sudah.
KES DUA: Dia sign guestbook saya pakai nama "Soraya Soraya". Dia pun sign guestbook cakap benda macam: "Tadi I nampak you pakai Hawaiian shirt colour hijau" atau "I nampak you tidur kat meja kayu Level 5, letih ke?". Aduhh, rimasnya. Tapi lepas saya menang campus elections dan jarang-jarang update blog, ada sorang budak pompuan yang saya tak kenal datang tegur saya. Dia tanya kenapa jarang update? Dan kenapa nampak macam susah hati saja? Tak ceria macam dulu? Memang pun saya susah hati masa tu, kecewa dengan campur tangan parti politik dalam pilihanraya kampus, jadi saya luahkan segalanya kat dia. Dia kenalkan diri dia, Soraya, budak Diploma Pentadbiran Awam. Jadi saya dah kenal dia. Sekarang bukan dia yang dok perhati gerak-geri saya, tapi saya pulak yang dok perhati gerak-geri dia, hahaha! Gurau aje!
KES TIGA: Hayazi. Budak Mass Comm. Dulu sign guestbook saya macam tu jugak: "Aku nampak kau tolong tunjuk jalan kat sorang pakcik tadi bla bla...". Ahh, rimasnya! Tapi satu hari dia datang dan cakap: "Hai Mat Jan, saya Hayazi, saya nak jadi ahli sekretariat MPP bla bla...". Saya suruh dia isi borang. Tapi disebabkan exco yang in charge sekretariat tu tak berapa efficient, tenaga Hayazi dan sukarelawan lain tak dapat di-exploit sepenuhnya, hahaha! Tapi kami jadi kawan.
Kesimpulannya, saya RIMAS diekori dan diperhati, jika saya tak kenal orang itu. Tapi kalau dia datang dan kenalkan diri, itu okay.
Sekarang ni tak ada kes "diekori" atau "diperhati" lagi. Tapi ada jugak yang merimaskan saya, bila ada orang sign guestbook saya pakai nama "Junior Mat Jan" atau pakai nama lain dan tulis: "eh, kau ni senior aku!". Saya rimas sebab dia kenal saya, tapi saya tak tahu siapa dia. Manalah tahu kalau-kalau saya ada satu kelas dengan dia.
Apa? Satu kelas dengan junior? Nampak sangat pernah repeat paper, hahaha!
SM: Adakah anda suka apabila dikenali di khalayak umum ?
MJ: Sudah tentu. Saya gila glamour, hahaha!
SM: Apakah kegunaan e-book memudahkan pembacaan blog atau sekadar syok sendiri ?
MJ: Daripada respon yang saya dapat, dan bukti yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri, memang ada pembaca Jongkang Jongket yang mencetak dan menjilid e-book saya. And not to mention, yang mintak saya sign autograf kat buku tu, hahaha!
Dan ada jugak yang simpan e-book saya dalam PDA. Saya duduk sebelah Cill masa majlis GJ kat Titiwangsa dan dia baca e-book saya kat PDA dia.
E-book yang dicetak, dan disimpan dalam PDA, sudah tentulah boleh dibawa ke mana-mana. Boleh dibaca bila-bila masa. Baik di kota, di desa, atau di hutan belantara, sebagai pengguna, e-book sentiasa di pihak anda!
(See? Saya buat lawak iklan tv lagi!)
Dengan adanya e-book, blog boleh dibaca walaupun tiada akses internet. Kalau itu tidak memudahkan pembacaan blog, beritahu saya apakah dianya?
Dan hakikat bahawa ada orang download, dan cetak, dan jilid, dan baca e-book kita, membuktikan bahawa kita bukan syok sendiri. Tapi kita syok ramai-ramai.
Gengjurnal.net
SM: Apakah misi Geng Jurnal telah tercapai ?
MJ: Kalau kita tanya: kanak-kanak, apakah misi kita? Mereka akan jawab: tiada kerosakan gigi! Tapi kalau kita tanya apakah misi Geng Jurnal? Lain orang lain jawapannya. Ini yang saya sembangkan dengan Wakdin, Poad, Nazmi dan Spyz waktu minum-minum di kedai mamak. Wakdin kata GJ tak ada satu misi yang tetap.
Kalau tanya saya, saya kira misi GJ tu adalah mengumpulkan penulis blog tanahair dan menjalinkan silaturrahim antara mereka. Saya rasa misi tu dah tercapai. Dan kalau pun GJ nak pergi lebih jauh lagi, destinasi itu pada saya mestilah atas landasan minat kita yang sama iaitu: menulis. Produk kita tulisan, kalau kita boleh jual tulisan kita, tersiar dalam majalah, atau dibukukan, itu sudah cukup berjaya bagi saya.
Tapi ada orang mahu lebih daripada itu. Mahu GJ keluar dari lingkungan penulisan. Mahu GJ jadi NGO yang menawarkan khidmat masyarakat, dan sebagainya. Saya tak harapkan itu dari GJ. Kalau nak buat khidmat masyarakat, saya dah boleh buat pun melalui gerakan aktivis yang lain. Tapi kalau nak jual catatan blog, belum ada badan yang boleh uruskan.
SM: Sepuluh tahun akan datang, di mana anda ingin lihat gengjurnal.net berada ?
MJ: GJ Publishing Sdn Bhd. Terbitkan majalah sendiri macam Karangkraf, Berita Publishing atau Utusan. Sultan Muzaffar jadi editor majalah hiburan, Pakdi jadi editor majalah dakwah, Nazmi jadi editor majalah sastera, dan saya jadi editor majalah porn, hahaha!
Serious mode: kalau sepuluh tahun lagi GJ masih wujud pun, itu sudah cukup membanggakan saya. Walaupun masih seperti GJ hari ni, dari segi legal status dan aktiviti, kerana yang penting: GJ memainkan peranan merapatkan silaturrahim.
SM: Negara manakah yang belum saudara lawati tetapi ingin saudara lawati dan kenali dengan lebih mendalam.
MJ: Saya tak pernah keluar dari Malaysia. In fact, Malaysia pun saya tak habis jelajah lagi. Saya sudah sampai semua negeri di Malaysia kecuali Kelantan. Saya teringin melawat Kelantan.
Oh, saya tipu, saya pernah keluar dari Malaysia. Sekali. Masa kat Sarawak, saya pergi Tebedu dan langkah sempadan ke Entikong, Kalimantan, Indonesia.
Saya hampir-hampir pergi Korea, dah buat passport pun, lawatan pemimpin pelajar tajaan Kementerian Pendidikan. Satu universiti dua orang. Saya sudah dipilih universiti, tapi Kementerian di saat-saat akhir mahu setiap universiti hantar seorang lelaki dan seorang perempuan. Damn! Saya sangat kecewa waktu tu sebab saya tak cukup duit untuk buat pembedahan tukar jantina. Kalau tidak, dah tentu saya dah ke Korea.
Saya teringin ke Mesir, China, India, Amerika Syarikat, Perancis, Itali dan Iraq.
SM: Katakanlah saudara terdampar di sebuah pulau di tengah2 sebuah lautan luas. Anda boleh pilih seorang individu yang akan menemani saudara. Siapakah individu tersebut.
MJ: Doraemon. Doraemon boleh bekalkan apa saja yang saya nak. Lagipun, dia cute.
SM: Soalan yang sama, tetapi kini, anda dibenarkan membawa tiga buah benda, apakah benda-benda tersebut?
MJ: Tiga benda? Err, laptop, handphone dan helikopter. Helikopter digunakan untuk pulang ke tanahair untuk charge bateri handphone dan bateri laptop.
SM: Dalam masa 20 tahun, dalam fikiran saudara, apa agaknya yang akan saudara lakukan nanti?
MJ: Saya akan jadi penulis blog sepenuh masa, dan peguam sambilan.
{nyanyi} que sera sera... whatever will be, will be... the future's not ours to see... que sera sera... {/nyanyi}
Versi Mat Jan yang dia dah design siap-siap, aku tinggal copy paste jer !
0 komen