FILEM IDOLA ARAHAN AZIZ M OSMAN
DARI SUDUT REKAAN PRODUKSI, PENGARAHAN SENI & SINEMATOGRAFI
oleh HASSAN ABD MUTHALIB
hasanimasi@yahoo.com
Apabila bercakap fasal filem, kita perlu bersandarkan ilmu filem dan beberapa ilmu yang yg ada kaitan, seperti tamadun, psikologi, kemanusiaan, metafizik, falsafah dan sejarah.. Pengetahuan dalam bidang-bidang ini amat perlu bagi karyawan filem kerana ianya menjadi the raw materials yang diguna untuk melontarkan pemikiran, pandangan dan falsafah tentang alam dan manusia.
Filem sebenarnya bukan subjektif. Apakah yang subjektif tentang sekeping seluloid yang mewujudkan imej pada layar? Itu hanya satu ilusi - sebagaimana alam ini hanya wujud di dalam minda manusia. Yang subjektif itu ialah manusia.
Dalam bidang kajian filem, manusia dimerupakan spectator, dan berhadapan dengan 3 cara untuk menerima atau menilai sesebuah filem, ia itu: Preferred reading, oppositional reading dan negotiated reading.
1. Preferred reading: Penonton terhibur dengan apa yang ditontonnya, sekaligus menerima idea dan pandangan yang terdapat di dalam teks filem
2. Oppositional reading: Penonton menafikan idea dan pandangan yang dikemukakan dalam teks filem kerana ianya berlawanan dengan ilmu, ideologi atau pegangan mereka.
3. Negotiated reading: Penonton memberi pertimbangan kerana apa yang terdapat pada teks sesuatu filem mungkin ada persamaan dengan pandangan atau ideologi mereka.
Kontroversi dan polemik yang berlaku baru-baru ini mengenai filem EMBUN, terbitan Filem Negara, sebenarnya telah dilihat dari 3 kriteria ini. Kerana itu, ada yang puji habis-habis. Tidak sedikit pula yang menghentam bukan saja filem, tetapi pengarahnya sekali! Malangnya, kebanyakkan dari mereka ini tidak menggunakan ilmu filem. Mereka hanyanya mengeluarkan retorik kosong bersandarkan emosi.
FILEM & HIBURAN
Kata SALIM SAID, pengkritik filem Indonesia: .Filem yg baik adalah filem yg tidak memeningkan kepala. Jelas ramai penonton di Malaysia berpihak kepada pendekatan ini dan menerima filem-filem yang mempunyai preferred meaning. Filem-filem yang menjadi kegemaran masakini jatuh ke dalam kategori ini.
Saya telah menonton (buat kali ke-5), filem SEMAN, arahan MANSOR PUTEH. Tidak seperti ramai yang telah menontonnya, filem ini langsung tidak memeningkan kepala saya, malah saya tertarik dengan apa yang mahu diperkatakan oleh MANSOR. MANSOR PUTEH tidak main wayang. Ia bercakap tentang perkara-perkara yang benar - dan kebenaran itulah filem. Dalam hal ini, hiburan perlu dilihat dari 2 sudut: emosional dan intelektual. Intelektualiti memerlukan ilmu yang agak luar biasa. Kerana ketandusan intelektualiti, kebanyakkan filem tempatan hanyalah setakat wayang (HISHAMUDDIN RAIS memberikannya istilah filem manggar).
FILEM AZIZ M OSMAN: FILEM ATAU WAYANG?
Saya telah menonton kesemua filem AZIZ di pawagam. Jika digunakan 3 sudut pandangan yang saya sebutkan tadi, ada di antara filem AZIZ yang memenuhi kriteria preferred reading. Saya terhibur dengan XX-RAY dan beberapa filem lain seperti FEMINA. SERI DEWI MALAM amat mengecewakan kerana tidak menampakkan pemahaman mendalam tentang bidang psikologi dan fenomena psychic. Maka akhirnya filem ini menjadi amat superficial dan pretentious dan dengan itu jatuhlah ia pada kategori oppositional reading.
Setakat ini saya belum bertemu sudut yang ke-3 (negotiated reading) dalam filem AZIZ. Filem-filemnya ringan, seperti filem Taiwan yang membanjiri pawagam Malaysia pada tahun 70-an. Mungkin AZIZ mempunyai beberapa kehambatan, antaranya - memenuhi kehendak penerbit untuk menghasilkan filem yang laku di pasaran.
Filem-filem Taiwan tahun 70-an merupakan wayang yang hanya membawa hiburan ringan tanpa membawa apa-apa pemikiran atau falsafah mengenai rakyat Taiwan dan milieu mereka. Hanya bila muncul beberapa karyawan berkelulusan sekolah filem seperti ANG LEE, EDWARD YANG dan HOU HSIAO-HSIEN, maka filem Taiwan mula menjadi world class. Manusia Taiwan di dalam filem tidak lagi sebagai cardboard characters.
Apakah AZIZ setakat ini juga menghasilkan filem atau hanya wayang?
AZIZ membuat filem-filem ringan untnk memenuhi selera penonton. Namun begitu,. pendekatannya berbeza daripada penerbit dan pengarah tempatan. Ini dapat dilihat pada aspek rekaan produksi, pengarahan seni dan sinematografi. Saya akan perkatakan tentang ketiga-tiga aspek ini serta bagaimana ia digunakan di dalam IDOLA.
Sebelum itu, sedikit tentang genre & tema IDOLA.
GENRE & TEMA IDOLA
IDOLA adalah sebuah filem genre (filem arus perdana). Maka ia menggunakan segala konvensi seperti yang terdapat di dalam popular cultural forms. Ini dapat dilihat dalam bentuk plot, jenis-jenis watak, penulisan dialog, serta pemilihan kostum, prop dan setting.
Temanya sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan filem ABANG (RAHIM RAZALI, 1984), serta CROUCHING TIGER, HIDDEN DRAGON (ANG LEE, 1999). Manusia - walaupun sudah maju, berkemahiran dan berjaya - hanyalah manusia biasa, yang sering dipengaruhi emosi sehingga hilang pertimbangan seketika.
Naratif IDOLA tidaklah sampai ke tahap untuk membincangkan tentang alam dan manusia seperti kedua-dua filem ini. AZIZ terlebih dahulu perlu menyelami alam bangsanya sebelum mampu memperkatakan tentang Melayu & milieu mereka. Walaupun IDOLA agak superficial, AZIZ sedikit sebanyak menampakkan keperihatinanya terhadap bangsanya di beberapa tempat. Di antaranya:
1. AZIZ begitu yakin bahwa ilmu dan pendidikan tinggi amat penting pada zaman sekarang. Selain dari MUKHRIZ dan FARAH sendiri yang berkelulusan, DATUK dan AL-HAFIZ dari luar negara juga merupakan orang-orang yang berpendidikan tinggi.
2. AZIZ memberi komen tentang masalah ciplak karya yang sering berlaku. MUKHRIZ menyampaikan cek kepada FARAH kerana ia membantunya dalam rekaan lagu, walaupun FARAH tidak menyedarinya dan kemudian menolak pemberian MUKHRIZ.
Namun begitu, saya fikir AZIZ tersilap langkah apabila pandangannya terhadap industri hiburan, orang seni dan karya seni diluahkan secara terang-terangan melalui dialog di antara MUKHRIZ dan FARAH. Pendekatan didaktik sebegini juga terdapat di dalam 2 filemnya, FEMINA dan LT ADNAN. Watak-watak AZIZ seringkali berdakwah. Pendekatan sebegini sebenarnya mengubah bentuk filem naratif kepada filem propaganda. Filem naratif bukan alat untuk menyampaikan mesej tetapi memberi hiburan di samping melontarkan pemikiran karyawan secara tersirat. Jika dibuat dengan sebaiknya, ia akan memberi kesan kepada penonton. Seperti kata ANG LEE: There are movies that affect you so deeply that you feel you are a different person from the one who went into the theatre.
REKAAN PRODUKSI, PENGARAHAN SENI & SINEMATOGRAFI
Rupa dan bentuk sesebuah filem adalah hasil gabungan rekaan produksi dan sinematografi. Elemen-elemen asas dalam sinematografi ialah kamera, cahaya dan bayang. Ini merupakan the raw materials of cinema. Tanpa rekaan produksi yang baik, apa yang digambarkan tidak akan membawa sebarang makna. Setting, prop dan warna perlu direka atau dipilih untuk manfaatkan naratif.
Contoh:
Filem LAYAR LARA. Syot pertama menampakkan rumah kayu yang usang. Ia dibandingkan dengan Menara KL yang berada jauh di belakang. Kedua-kedua elemen ini menjadi signifier atau petunjuk bahwa penghuni rumah kayu itu sudah ketinggalan zaman. Juga, imej ini boleh membawa makna bahwa terdapat pertembungan di antara 2 generasi – yang lama dan yang baru.
Padang lalang yang sering timbul dalam karya ANUAR NOR ARAI, seperti BUKIT LALANG dan LALANG-LALANG2 DI HUJUNG KAKI, menjadi signifier bahwa segala perjuangan orang Melayu adalah sia-sia. JOHNNY BIKIN FILEM pula tiada tandingan setakat ini di segi rekaan produksi dan sinematografi, serta mempunyai pelbagai signifier tentang nasib manusia Melayu.
PEREMPUAN MELAYU TERAKHIR menggunakan beberapa setting yang penuh dengan simbolisme seperti mesjid yang terapung. Yang sebenarnya terapung ialah watak yang dimainkan oleh EIZLAN YUSOF, yang tercari-cari dirinya yang sebenar. AZRI ISKANDAR menulis ayat Al-Qur’an pada kain putih yang terbentang. Mukanya terlindung dan kita hanya melihat tangannya yang menulis. Imej sebegini menjadi petunjuk tentang diri AZRI yang tersesat daalm kepercayaan dan pegangannya. Amat jarang kita menjumpai imej-imej sebegini di dalam filem tempatan. Mungkin kerana itu DR ANUAR mengatakan bahwa pada masa ini ERMA FATIMA merupakan pengarah nombor 1 di kalangan karyawan filem.tempatan.
Penggunaan Warna di Dalam Filem
Pengarahan seni yang baik membolehkan sinematografer mengangkat imej-imejnya untuk manfaatkan naratif. Setiap satu yang dibawa melalui mise-en-scene merupakan signifier, atau petunjuk dan berkait rapat dengn cerita, watak dan tema. Begitu juga dengan warna. Warna berfungsi untuk memberi emotional impact kepada penonton.
Filem VERTIGO (ALFRED HITCHCOCK, 1950), didominasikan oleh warna merah dan hijau. Filem THE STING (GEORGE ROY HILL, 1980), lebih kpd rusty red dan leathery brown. Untuk PALOH (2003), ADMAN SALLEH meminta agar adegan flashback dipudarkan warnanya melalui teknik silver elimination di peringkat pemprosesan filem.
Dalam IDOLA, AZIZ juga bermain dengan warna pada set, prop dan kostum, agar menampakkan gaya hidup orang Melayu di kotaraya di abad ke-21. Begitu banyak perhatian diberi kepada perkara-perkara tersebut, sebagaimana AZIZ selalu memberi perhatian kepada setiap filemnya. Warna-warna kuning dan biru diulang pada setiap sekuen (warna-warna harmoni). Warna-warna ini dioffset dengan merah dan hijau (warna discordant), untuk mewujudkan efek keceriaan atau pun sebaliknya.
JIMMY sentiasa berkostum yang berwarna agak berbeza dari watak-watak yang lain. Ia memakai cermin mata hitam. Kostumnya seringkali hitam dipadankan dengan merah.dan di muka bajunya terdapat bentuk bulatan. Dalam rekaan produksi, elemen-elemen seperti ini membawa konotasi negatif dan dikaitkan dengan watak antagonis.
Warna, prop dan kostum pula perlulah nampak lebih natural, seakan-akan pakaian seharian. Dalam IDOLA, kostum, prop dan warna terlalu menonjol dan lebih merupakan product positioning. Sepatutnya pengarahan seni membantu merasakan the inner feelings, sebagaimana diperkatakan oleh ANG LEE mengenai adegan akhir dalam filemnya, CROUCHING TIGER: It is the great Chinese theme. For the Chinese audience, it’s just in our blood. You must hide your feelings. That becomes the art itself, the metaphor and the symbolism, the use of colour and framing.
POLARIZATION
Satu lagi perkara dalam rekaan produksi ialah polarization. Ini bertujuan untuk mendatangkan kontras - satu sine qua non bagi filem genre. Polarisation membantu menghapuskan the grey area dengan menampakkan dengan sejelas-jelasnya apa yang baik dan buruk, yang sesuai dan yang tak sesuai. Oleh kerana polarization dalam IDOLA begitu ketara, maka kesemua watak menjadi 2 dimensi. Tidak ada grey area. Manusia - yang sebenarnya kompleks – sudah menjadi hitam putih - cardboard characters yang hanya hidup mengikut detik-detik plot yang tersusun.
Di segi setting, AZIZ memilih 2 tempat – kotaraya metropolitan yang dikontraskan dengan sebuah resort berekabentuk Melayu tradisional. Rekabentuk Melayu tradisional, – tetapi artificial. Segala-segalanya adalah rekaan dan tidak asli. Gajah di resort ditonjol. Memang gajash sebahagian daripada alam Melayu (yang silam), tetapi kini tiada lagi. Apakah AZIZ memberi beberapa signifiers ini untuk mengatakan bahwa Melayu pada zaman ini juga begitu artificial? Itulah tafsirannya dari sudut semiotik mengikut apa yang terdapat di dalam teks IDOLA. AZIZ perlu berhati-hati apabila memilih setting untuk bercerita.
BAHASA FILEM
Imej-imej pertama dan yang terakhir di dalam filem sangat bermakna. Imej-imej yang pertama selalunya menjadi tesis pengarah, ia itu, mempersembahkan idea-ideanya secara visual tentang apakah sebenarnya yang berada di sebalik naratif. Imej-imej akhir pada kebiasaannya hampir sama dengan imej awal dan bertujuan untuk menekankan tesis di awal filem. Pendekatan ini dapat dilihat dalam filem LAYAR LARA, JOHNNY BIKIN FILEM, JOGHO, KAKI BAKAR dan beberapa filem lain yang dihasilkan oleh pengarah berkelulusan sekolah filem.
Dalam IDOLA, imej pertama adalah Kuala Lumpur di waktu senja dan imej akhir ialah gajah di waktu siang. Apakah yang mahu diperkatakan oleh AZIZ dengan susunan imej sebegini?
AZIZ perlu lebih berhati-hati dengan penggunaan bahasa filem di beberapa tempat yang lain. Contohnya: adegan MUKHRIZ dan FARAH duduk di luar chalet. Dalam adegan ini, terdapat 5 signifiers yang membawa tanggapan negatif.
1. Syot diambil dari belakang
2. Pergerakkan kamera ke atas menampakkan latarbelakang yang amat gelap
3. Begitu kontras awan dibanding dengan bumi.
4. Senja (siang) bertukar menjadi malam
5. Fade to black di akhir adegan
Makna yang dibawa oleh kelima-lima imej ini ialah: MUKHRIZ & FARAH akan menghadapi masalah atau pun berpisah – tetapi jelas ini tidak berlaku! Maka imej-imej ini mengelirukan. Begitu juga di syot terakhir: Watak-watak utama menaikki gajah dan syotnya extreme long shot (ELS). ELS adalah satu lagi signifier yang dipanggil balance thrust dan berkonotasi negatif. Apakah ia menjadi petunjuk bahwa IDOLA akan disusuli dengan IDOLA 2 di mana watak-watak itu akan menghadapi cabaran-cabaran yang lebih hebat?
Namun saya tertarik dengan 2 imej dalam IDOLA di mana pengarahan seni dan sinematografinya bertemu dengan baik sekali, ia itu:
1. Semasa FARAH dan MUKHRIZ bertukar telefon dalam pasaraya. Perbuatan menukar telefon semacam mereka sebenarnya menukar cincin Lampu kristal di belakang mereka berfungsi sebagai hiasan, seakan-akan meraikan perkahwinan mereka (figure and ground relationship). Adegan ini ialah the metaphorical scene yang tedapat pada minit ke-45 dalam filem genre keluaran Hollywood. Fungsinya ialah untuk foreshadow bagaimana cerita filem itu akan berakhir (ia itu, happy ending untuk FARAH dan MUKHRIZ).
Adegan sebegini dapat dilihat di dalam beberapa filem genre. Antaranya:
1.1 GLADIATOR (Hero dibawa untuk dijadikan gladiator. Bumi bergerak di bawahnya membuat petanda tentang kematiannya di akhir cerita)
1.2 PATCH ADAMS (Hero dihadiahkan kot putih di satu majlis keramaian. Kot putih seperti itu menjadi tanda pengiktirafan seseorang itu diterima sebagai seorang doctor dan akhirnya dia bergelar doktor).
1.3 THE WEDDING PLANNER (Hero dan heroin, yang belum jadi pasangan kekasih, duduk berdekatan dan menonton filem di mana terdapatnya adegan perkahwinan. Filem berakhir dengan happy ending untuk mereka)
2. Makan malam di chalet. FARAH kelihatan begitu menawan melalui penataan cahaya yang baik (dan bermakna). Latarbelakangnya bersinar-sinar serta berkuningan emas. Tentunya ini subjective point of view MUKHRIZ yang memerhatikannya, dan kita lihat apa yang dilihat oleh MUKHRIZ. Sekali lagi pengarahan seni dan sinematografi berfungsi melalui figure and ground relationship.
PENUTUP
Kata DR ANUAR pada sesi Bicara Filem di FINAS baru-baru ini: AZIZ tidak berkembang, walaupun telah banyak menghasilkan filem. Saya berpendapat AZIZ mempunyai bakat, komitmen serta berpotensi untuk lebih berjaya dalam bidang yang sudah diceburinya sekian lama. Mungkinkah sudah sampai masanya AZIZ mengatur langkah seperti pengarah-pengarah Taiwan pada tahun 80-an untuk menjadi seorang karyawan yang serius? Filem adalah mengenai tamadun bangsa. Mampukah AZIZ memperlihatkan tamadun bangsanya yang sebenar di layar? AZIZ perlu menghasilkan filem dalam erti kata yang sebenar dan bukan menghasilkan wayang. Dan untuk itu, AZIZ memerlukan intelektualiti.
Kertas kerja ini disampaikan di Sesi Apresiasi Filem IDOLA di Oditorium P Ramlee pada 18 Oktober, 2002.
Kredit Foto : Filem Kita
0 komen