Bagaimana Premium SMS berfungsi ?
Secara umum, tidak ramai yang mengetahui bagaimana Premium SMS berfungsi. Apa itu Premium SMS juga belum tentu anda faham dengan sebenar-benarnya. Premium SMS menjadi fenomena baru di Malaysia sejak wujudnya Akademi Fantasia pada sembilan minggu yang lepas.
Premium SMS mensyaratkan supaya dihantar pengesahan penerimaan. Jika anda sedar, setiap kali anda menghantar SMS ke talian 32999, anda akan menerima pengesahan penerimaan.
AFQA
Prosedur untuk Soal Jawab Kuiz :-
1. Anda perlu taip AFQA (RM0.15)
2. Server aplikasi membalas dengan soalan (RM0.50)
3. Anda menjawab soalan Kuiz (RM0.15)
4. Anda menerima jawapan sama ada betul atau salah (RM0.50)
Secara keseluruhan proses melibatkan kos sebanyak RM1.30 untuk hanya 1 soalan yang terjawab ! Saya pernah mencuba untuk soalan Minggu I hingga Minggu 4. Secara rambang, saya sendiri tidak ingat jumlah yang tepat. Terdapat lebih kurang 50 soalan dalam setiap minggu. Ini bermakna saya telah menjawab lebih kurang 200 soalan sebelum saya menyedari bahawa syarat peraduan mensyaratkan hanya pelanggan ASTRO yang sah sahaja yang akan layak untuk menerima hadiah Pertama iaitu wang tunai RM5000.
AFUNDI
Prosedur AFUNDI
1. Anda perlu taip AFUNDI VINCE (RM0.15)
2. Server aplikasi akan membuat pengesahan (RM0.50)
Contoh pengesahan:
Nama pelajar tiada dalam senarai undian (RM0.50)
Undian anda diterima. Undian boleh dibuat pada bila-bila masa (RM0.50)
Undian telah ditutup. Sila buat undian untuk minggu akan datang. (RM0.50)
Cuba bayangkan, ini bermakna jika anda tersilap menaip nama pun, poket anda akan tetap berkurangan kerana anda telah pun menerima pengesahan dari server aplikasi. Bagaimana pula dengan undian yang lambat diterima ? Apakah yang akan terjadi dengan undian tersebut. Jika dapat dibawa ke minggu berikutnya, tiada masalah besar yang akan timbul. Tetapi bagaimana sekiranya pelajar yang diundi telah tersingkir pada minggu tersebut. Adakah tidak diambil kira ? Apa-apa pun, pengesahan telah anda terima. Makanya RM0.65 itu telah perlu anda bayar.
AFCHAT
Sama juga dengan kes AFCHAT.
1. Anda perlu menghantar teks chat yang ingin anda siarkan di skrin TV (RM0.15)
2. Anda akan menerima pengesahan “Hanya mesej yang sesuai yang akan disiarkan” (RM0.30)
Walau apa pun yang terjadi, sama ada muncul atau tidak mesej chat anda di skrin, anda telah pun membayar RM0.45). Sekiranya tidak keluar di skrin, saya memuji tindakan ASTRO kerana sedikit sebanyak mereka telah menjalankan tanggungjawab mereka untuk mendidik rakyat Malaysia agar lebih bertanggungjawab dalam setiap perkataan yang ingin mereka lontarkan untuk pelajar Akademi Fantasia. Para pengguna teknologi tersebut perlu diajar tentang apa itu kebebasan bersuara dan lebih bertanggungjawab di masa akan datang.
Traffic Jammed yang Terlampau !
Setiap SMS yang masuk akan dihantar ke talian 32999. Untuk pengetahuan anda, walaupun nombornya hanya satu iaitu 32999, setiap SMS yang dihantar akan masuk ke Pusat SMS penyedia telekomunikasi anda iaitu samada Celcom, Maxis, Digi atau TMTouch. Kebanyakan Pusat SMS mampu memproses 300 SMS/saat atau 1 SMS setiap 10 nanosecond. Dari Pusat SMS inilah kemudiannya SMS anda di hantar ke server aplikasi di pihak ASTRO.
Secara analoginya, cuba anda bayangkan di Malaysia mempunyai empat (4) laluan lebuhraya tetapi hanya mempunyai satu (1) pondok tol. Itulah yang terjadi sebenarnya. Trafik dari empat (4) gergasi telekomunikasi di Malaysia masuk serentak ke satu impian, satu harapan dan satu destinasi.
SMS --> Telco SMS Centre --> Server Aplikasi --> Telco SMS Centre --> Penonton
Sistem ini sebenarnya ada sedikit cacat jika amanah yang diberikan kepada penonton tidak digunakan dengan bijak. Boleh juga berlaku penipuan di pihak telekomunikasi sekiranya ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuat pump-in undian kepada seseorang peserta dari nombor telefon yang sama. Mereka yang mempunyai access untuk sistem telekomunikasi boleh menghantar undian tersebut tanpa dapat dikesan oleh ASTRO kerana undian dari pengundi dibenarkan seberapa banyak yang termampu dari satu nombor telefon. Itu satu kelemahan yang perlu kita ambil kira.
Itulah senario sebenar berdasarkan pemerhatian dan pembacaan yang telah saya buat sepanjang berlangsungnya Akademi Fantasia. Maklumat dari syarikat telekomunikasi diperoleh dari rakan-rakan yang bertugas di Maxis dan Celcom.
Oleh itu, Undilah dengan BIJAK !
Sekiranya terdapat kesilapan pada maklumat di atas, sila hubungi saya agar saya dapat memperbetulkan sebarang kesilapan yang berlaku.
0 komen