Konsert Geeta Gangsa
Panggung Sari, Istana Budaya
Jumaat, 8 Ogos 2003
Album Foto Konsert Geeta Gangsa
Konsert Geeta Gangsa menampilkan ekspresi tanpa batasan apabila Gamelan mengalami evolusi menarik yang menyaksikan satu kombinasi serasi, membawa tradisi merentas modenisasi.
Alat muzik gamelan dipilih kerana ia adalah antara alat muzik terpenting dalam perkembangan seni muzik tradisional di Tanah melayu. Kreativiti para penggubah yang hebat akan menjadikan Gamelan bertindak sebagai induk yang digabungkan dengan peralatan muzik moden melalui proses asimilasi, hingga akhirnya melahirkan struktur puitis yang tersendiri.
Inilah satu ekspresimentasi yang penting terhadap perkembangan muzik Gamelan di rantau ini. Cabaran utama mereka adalah bagaimana instrumen tradisional dan moden disatukan, meskipun memiliki karakter dan fungsi yang berbeza. Semestinya satu perkara yang menakjubkan apabila dapat mendengar dan menikmati persembahan seumpama ini.
Konsert Geeta Gangsa adalah satu perjalanan menjelajah akar bangsa, juga satu proses pengembaraan minda yang akhirnya bersatu dan berinteraksi dalam satu bahasa dan satu gema.
Muzik
Muzik hasil gabungan 60 pemuzik merupakan yang paling ramai setakat ini di Istana Budaya. Penggunaan muzik tradisional gamelan dan moden menjadikan persembahan eksperimen ini amat cemerlang. Teknik bunyi yang mantap meningkatkan lagi mutu persembahan tersebut.
Rekaan Pentas
Saya puji rekaan pentas yang dengan berani menggunakan pentas hidraulik yang selalunya akan menghadapi masalah teknikal. Perbezaan aras di antara pemuzik gamelan, gong dan instrumen moden amat memberi makna.
Tatacahaya
Tatacahaya persembahan kali ini amat berjaya menarik minat saya. Teknik pencahayaan yang terancang dan memberi ilmu yang amat berguna. Sewaktu perubahan lagu, lampu spot memancarkan spotnya kepada pemain solo instrumen gamelan satu-persatu. Penggunaan cahaya yang menyeluruh di setiap inci dewan memberi impak besar kepada penonton. Mood penonton akan terbawa dengan alunan muzik gamelan yang bergema di Panggung Sari, Istana Budaya.
Overture Geeta Gangsa
Lagu pembukaan ini melaungkan semangat kesatuan yang bergema dalam bahasa muzik yang melahirkan rasa cinta mendalam kepada kesenian yang diwarisi. Setiap melodi lagu ini bercerita mengenai keindahan pusaka muzik Melayu khususnya, yang tidak akan lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Lagu ini bermula perlahan dan kemudian menjadi agak rancak. Apa yang boleh saya katakan tentang lagu ini lebih menampilkan ciri-ciri Citrawarna dari Pak Ngah, pencipta lagu tersebut.
Geliong
Lagu dalam lakonan cerita-cerita rakyat yang mengisahkan bagaimana anak raja ditukar dengan anak menteri yang berniat jahat. Beliau kemudiannya bercerita tentang alat-alat yang ada di dalam Gamelan. Bermula dengan kendang, saron, kempul, kenong, bonang, gambang, gendang dan gong.
Gambuh Menyanyi
Lagu ini adalah sebuah lagu Gamelan yang dilagukan oleh Wan Salmah Wan Sulaiman seorang penyanyi yang terkenal dengan lagu Ulek Mayang. Gambuh membawa maksud penari. Ia merupakan satu tradisi persembahan penari yang sedang menari sambil menyanyi.
Tarian Ayak-Ayak
Sebuah tarian tradisional yang ditarikan oleh Artistana dengan bentuk imitasi kepada kehidupan alam bebas yang dipenuhi oleh gerak berirama daripada unsur alam seperti unggas dengan mesej kehidupan yang ceria dan harmoni. Penggunaan skrin cyclorama yang memaparkan imej gerak perlahan penari amat baik menampilkan mood tarian yang penuh misteri. Koregorafi yang digunakan agak luar biasa dan agak sukar ditarikan.
Angin Besi
Angin Besi ciptaan Kamrulbahrin Husin bercerita tentang simbol “angin”, atau satu definisi kepada rasa minat dan kesukaan yang ada dalam diri setiap manusia kepada sesuatu perkara. Lagu ini menyarankan akan pentingnya sifat-sifat ini kerana tanpa “angin” maka akan kosonglah jiwa manusia. Penggunaan seruling dan rebab membuatkan sususan lagu ini lebih menarik. Turut ditampilkan unsur moden dengan penggunaan gitar elektrik.
Rhapsody Kenyalang
Memperdengarkan irama lagu-lagu rakyat Bumi Kenyalang yang tersendiri daripada pelbagai kaum. Menampilkan sape (The Borneon Guitar) sebagai penyokong melodi di samping iringan koir. Percantuman Sape dan alat gong, Gamelan merupakan satu penghubung seni di antara Semenanjung Malaysia dan Kepulauan Borneo, Sarawak. Lagu-lagu tradisi rakyat Sarawak seperti lagu Puteri Santubong digamelankan membuatkan lagu ini begitu unik dan berada di kelas yang tersendiri.
Mimpi
Kisah dalam lagu ini berkisar tentang pengembaraan perasaan dalam sebuah mimpi yang penuh ranjau dan duri, sehinggalah akhirnya dapat bertemu dengan kekasih hati, iaitu si tuan puteri yang cantik jelita. Lagu ini mempunyai sedikit unsur Jawa adalah ciptaan Mohd Yazid Zakaria.
Grapyak
Grapyak dalam bahasa Jawa bererti ramah dan bersahabat. Komposisi ini diilhamkan oleh semangat persahabatan antara Malaysia-Indonesia menerusi konsert bersama menggunakan medium Gamelan. Kata grapyak juga mengandungi nuansa sebagai bertemunya dua atau lebih sahabat yang asyik berdialog. Direncanakan komposisi ini alat menampilkan unsur muzikal Jawa dan Melayu (Malaysia dalam bentuk dialog bunyi. Tingkah-meningkah memberi simbol dua sahabat sedang asyik berdialog sangat menarik dan menghiburkan.
Ultra Ungu
Lagu ini memperlihatkan kita bagaimana seni muzik itu memancarkan cahaya yang tersendiri sekiranya diamati dengan mendalam. Melalui muzik, manusia dapat mencari sinar kebahagiaan mereka sendiri. Penggunaan cahaya ultra violet menampilkan unsur yang mengkagumkan. Lebih menarik, apabila cat fluorosen digunakan untuk menampilkan cahaya percikan sekaligus menemukan unsur alam semulajadi yang menakjubkan. Lagu ini merupakan ciptaan Pak Ngah. Namun begitu, teknik ini pernah beliau gunakan sewaktu Siti Nurhaliza menyanyi dalam segmen lagu Sudirman di Konsert Mega Siti Nurhaliza di Bukit Jalil serta Teater Cindai yang dipentaskan di istana Budaya.
Sayang Di Sayang
Sebuah lagu lama yang diberikan nafas baru oleh Ning Baizura dalam instrumen Gamelan. Lagu ini berkisar tentang rintihan hati seorang yang ditinggalkan teman. Suara soprano beliau amat memukau. Keunikan lagu ini terserlah apabila muzik gamelan diadun menjadi satu sususan yang mantap.
Perahu dan Ombak
Lagu ini nadinya terletak pada Raja Seruling Malaysia iaitu Mohar. Mohar berbicara tentang kehidupan manusia yang diibaratkan sebagai perahu dan ombak. Lautan yang tenang menjamin pelayaran yang selamat, tetapi sekiranya ombak mengganas hidup manusia juga akan menjadi terancam. Tiupan seruling solo oleh Mohar benar-benar menusuk kalbu. Saya amat kagum dengan persembahan beliau. Tiupan seruling beliau mampu membangkitkan fantasi yang terasa seperti berada di tepi laut.
Mimpi
Sebuah lagu popular dari album terbaru Camelia yang berkisar tentang impian dan keinginan dalam diri manusia. Lagu ini semakin bertambah unik dengan sentuhan irama Gamelan. Nyanyian Camelia yang tenggelam timbul agak meresahkan. Persembahan beliau biasa sahaja. Tiada kelainan melainkan koreografi tarian yang ada di atas pentas.
Terlanjur Sayang
Sebuah lagi lagu cinta yang menerima sentuhan Gamelan yang pastinya menambahkan lagi keasyikan melodinya. Gabungan gamelan dan elemen jazz menimbulkan unsur nusantara yang kuat sekaligus terserlah elemen moden dalam lagu tersebut. Nyanyian Camelia sekali lagi meresahkan.
Hutan Hujan I (GamelJazz)
Satu muzik aliran baru “Newstream Music” yang dipelopori oleh penggubah lagu ini sendiri. GamelJazz merupakan singkatan bagi Gamelan dalam Jazz, berkonsepkan improvisasi, iaitu di antara skala pentatonic yang dianggap bebas dan sesuai untuk dipadankan dengan penggunaan harmoni diatonic dan kromatik. Paduan daripada tiga skala berikut membentuk keunikan yang tersendiri iaitu kreativiti melodi horizontal dan harmoni vertical yang cukup menyerlah. Keindahan dan kepintaran tenunan muzik ini terbentuk hasil gabungan skala terhad pentatonic dan bentuk improvisasi bebas. Saya terpaku apabila mendengar lagu ini. Lagu ciptaan Hanafie Imam merupakan sebuah lagu yang benar-benar memukau. Walaupun unsur jazz diserapkan di dalam muzik gamelan tetapi keserasian itu ada. Lagu ini kedengaran terlalu barat melodinya tetapi berjaya diseimbangkan dengan elemen gamelan untuk unsur nusantaranya. Penggunaan clarinet dan djembe menyerlahkan unsur jazz pada lagu tersebut.
Puspasari Penawar Putri
Sebuah lagu istimewa yang menggandingkan vokal Ning Baizura dan Metalasia. Bagaimana sebuah lagu mempertemukan dua vokalis berbeza daripada segi genre dan aliran, tetapi bersatu di bawah sentuhan irama Gamelan. Kombinasi mereka, seorang soprano dan seorang progresif rock nampak ganjil tetapi sebenarnya amat cemerlang. Vokal mereka kena dan sesuai dengan lagu tersebut. Persembahan tersebut ada unsur-unsur rock opera. Satu percubaan yang saya anggap berani.
Finale Geeta Gangsa
Lagu penutup dalam persembahan ini memperlihatkan keharmonian gema muzik yang bersatu dalam satu induk iaitu Gamelan.
Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan Konsert Geeta Gangsa ini. Sebuah muzikal eksperimen yang saya kira amat berjaya. Penggunaan alat gamelan sebagai asas muzik yang mampu divariasikan untuk meluaskan kutub-khanah muzik tempatan. Penvariasian yang dilakukan wajar dipuji kerana secara tidak langsung gema gamelan telah diangkat menjadi satu identiti muzik tempatan. Saya beri 4.5 bintang untuk persembahan ini. Tahniah !
0 komen