Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 05 August 2003

Menilai Peningkatan Pelajar di Akademi Fantasia

Amaran sebelum anda membaca artikel ini :-
1. Lagu yang mereka terima bukan pilihan mereka
2. Diari Akademi hanya 30 minit, masa 12 jam 30 minit lagi tidak dapat anda tonton di skrin TV.
3. Perlakuan mereka di hadapan kamera adalah realiti sebenar di Akademi dan bukan lakonan.

Vince
" Pergilah Sayang " - Korie
" Flying Without Wingsi " - Westlife
" Belaian Jiwa " - Innuendo
" Manis " - Zainal Abidin
" Bunyi Gitar " - Allahyarham Tan Sri P. Ramlee
" Sonata Musim Salju " - Hazami
" Samrah Mentari " - Jamal Abdillah
" Rindu Bayangan " - Carefree

Lagu / Vokal
Vokal Vince sememangnya sudah terbaik dan paling cemerlang. Beliau berjaya membawa setiap lagu dengan gayanya yang tersendiri. Itu kelebihan beliau yang memahami apa itu muzik dan cuba membawa muzik dan melodi tersebut mengikut stailnya. Beri sahaja apa jenis lagu, beliau mampu membawakannya. Walaupun lagu tersebut telah di”R&B”kan, namun sedikit sebanyak beliau telah mempelbagaikan muzik di industri muzik tempatan. Namun demikian Vince sesekali kelihatan arrogant dengan cara persembahannya. Beliau seboleh-bolehnya mahu Tenaga Pengajar mengikut stailnya yang tersendiri itu. Beliau merasakan cara persembahannya lebih presentable dan sesuai dengan dirinya. Secara keseluruhan Rindu Bayangan merupakan persembahan terbaik beliau.

Tarian
Saya melihat beliau sewaktu sessi latihan seakan-akan menghadapi masalah dalam gerak tarian. Belaiu kelihatan agak kaku dan tidak pandai menari. Lebih menyedihkan apabila beliau banyak bermain sewaktu Cikgu Linda Jasmine mengajar. Beliau mengambil sikap lewa dan acuh tak acuh dengan ajaran Tenaga Pengajar. Vince sepatutnya meniru cara Burn yang tidak pandai menari tetapi terus berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki mutu tariannya. Saya kira peningkatan beliau dalam sebutan Bahasa Melayu juga tiada. Masih di takuk lama. Saya hampir pasti beliau akan berpeluang untuk merakamkan album dan album beliau nanti akan diisi dengan lagu-lagu Inggeris dan hanya sebuah atau dua buah lagu Melayu sahaja.

Lakonan / Showmanship
Interaksi beliau dengan penonton juga masih boleh diperbaiki. Beliau banyak menggunakan senyuman beliau dalam menawan hati penonton. Beliau kurang berbicara sebelum menyanyi kerana kelemahan Bahasa Melayu beliau. Showmansip beliau kita dapat lihat beliau all-out untuk sesetengah jenis lagu sahaja. Beliau turut memilih lagu untuk membuat persembahan. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan showmanship beliau yang agak terkawal dan jujur dari beliau.

Pergaulan dan Keterampilan
Beliau seorang yang senang untuk didekati. Beliau suka bergurau dengan sesiapa sahaja. Dengan penampilan yang beliau ada sekarang sewajarnya beliau sudah menjadi artis sejak dahulu lagi. Beliau berbaik-baik dengan semua pelajar walaupun kelihatan agak rapat dengan Liza.


Khai
" Perpisahan " - Revolvers
" Syair Si Pari Pari " - Zamani
" Jesnita " - Exist
" Azura " - Jamal Abdillah
" Terima Kasih " - Awie
" 6,8,12 " - Brian McKnight
" Aladin " - Spider
" Vida " - Phyne Ballerz

Lagu / Vokal
Lagu yang diterima oleh beliau agak pelbagai sejak Konsert I hingga Konsert VIII. Beliau berpeluang untuk menyanyikan dua buah lagu lama, sebuah lagu Inggeris, sebuah lagu rock, beberapa lagu pop-rock. Vokal Khai masih serasi dengan lagu rock. Beliau kelihatan gagal membawakan lagu Vida dengan baik. Beliau lebih selesa dengan lagu rock, namun demikian beliau masih cuba berusaha bersungguh-sungguh untuk menyanyikan lagu tersebut. Beliau telah berusaha bersungguh-sungguh tetapi mutu persembahannya masih tidak terbaik. Mutu vokal beliau jika diberi latihan yang secukupnya sudah pasti akan menjadi lebih baik lagi.

Tarian
Sebagai seorang lelaki, beliau amat bersungguh-sungguh untuk belajar menari dari Linda Jasmine. Beliau amat tekun sewaktu kelas Tarian di bawah kelolaan Cikgu Linda Jasmine. Beliau banyak kali diberi pujian oleh Linda akan mutu tariannya yang semakin meningkat baik.

Lakonan / Showmanship
Showmanship beliau yang paling diingati tentunya sewaktu mendendangkan lagu Aladdin. Beliau amat bertenaga pada malam tersebut. Lakonan beliau yang paling diingati tentunya sewaktu melakonkan adegan over-acting bersama Nija. Mutu lakonan Khai ada peningkatan. Interaksi beliau dengan kamera masih boleh diperbaiki. Kelipan mata saya merasakan itu habit yang agak sukar untuk diubah. Cara beliau berkomunikasi dengan penonton masih takut-takut dan tiada keyakinan.

Pergaulan dan Keterampilan
Pergaulan beliau kebanyakan terbatas dengan Rosma. Mereka agak rapat sewaktu Rosma berada di Akademi. Ini tidak bermakna beliau tidak berkawan dengan peserta yang lain. Beliau tetap berkawan dengan yang lain. Keterampilan beliau saya kira menjadi kegilaan anak gadis masa kini. Wajah iras-iras Yusry KRU yang boleh dijual di mana-mana. Nemo juga merupakan salah satu sebab Khai berjaya mendapat undian. Gelagat beliau dengan Nemo sangat mencuit hati.


Azizi
" Si Gadis Ayu " - Black Dog Bone
" Terasing " - Allahyarham Sudirman Hj. Arshad
" Truly " - Lionel Richie
" Mungkinkah Terjadi " - Spider
" She Bangs " - Ricky Martin
" Seribu Impian " - Casey
" Samba Apa Saja " - Hattan
" Gerimis Mengundang " - Slam

Lagu / Vokal
Mutu vokal beliau memang baik tetapi hanya untuk sesetengah lagu sahaja. Beliau gagal membawakan lagu Samba Apa Saja, Seribu Impian dengan baik. Kegagalan beliau mendendangkan lagu tersebut adalah kerana engkar dengan nasihat Tenaga Pengajar. Walaupun jelas kelihatan di dalam Diari Akademi beliau mengangguk tanda setuju tetapi itu tidak dilakukannya sewaktu persembahan Konsert. Beliau menyanyi seperti cara beliau menyanyi tanpa ajaran dari Tenaga Pengajar. Cara beliau menyanyi sama seperti cara beliau menyanyi di Kelab Malam sebelum mendapat ilmu beharga dari Tenaga Pengajar yang profesional. Sebagai seorang penyanyi kelab malam tentunya beliau sudah selesa dengan sesetengah jenis lagu dan mengharapkan agar lagu tersebut yang dapat “suit” dirinya dan tidak beliau yang “suit” pada lagu tersebut. Mungkin merasakan dirinya lebih tua, maka beliau bertindak sedemikian. Saya amat berharap beliau tidak berasa besar diri setelah berjaya ke Konsert Final walaupun tanpa mempraktikkan ajaran dari Tenaga Pengajar.

Tarian
Beliau memang berbakat besar dalam bidang tarian. Beliau telah melakukan yang terbaik tetapi beliau seakan-akan mempersiakan bakat tarian yang ada di dalam diri beliau. Beliau mengambil sikap sambil lewa apabila menari terutama untuk lagu Menuju Puncak. Saya melihat beliau banyak kali tersilap dan pernah juga didenda kerana melakukan kesilapan.

Lakonan / Showmanship
Showmanship beliau untuk persembahan memang mantap. Beliau berjaya meruntun hati penonton untuk lagu Truly dan Gerimis Mengundang. Namun demikian beliau gagal memanafaatkan kelebihan yang beliau ada untuk lagu Seribu Impian dan Samba Apa Saja. Cara beliau berinteraksi dengan penonton seakan-akan terpaksa. Saya merasakan tiada kejujuran di dalam interaksi tersebut. Nampak “fake”.

Pergaulan dan Keterampilan
Sikap bersendiri beliau dan menyisihkan diri dari rakan-rakan yang lain dilihat sebagai seorang yang tidak gemar bergaul. Cara Azizi berkomunikasi banyak menggunakan bahasa buku. Oleh sebab itu, cara beliau berinteraksi dengan penonton juga terikut-ikut dengan gaya bahasa buku beliau. Beliau perlu bersifat spontan di masa akan datang. Beliau telah menggunakan peluang yang ada untuk mencuri emosi penonton dengan menampilkan diri sebagai seorang abang yang cuba menjaga hati rakan-rakannya yang lain. Tetapi sedar atau tidak sedar, sikap mendahulukan adik-adik telah tiada di minggu-minggu penghujung. Jangan pura-pura ya bang !


Liza
" Sampai Bertemu " - Erra Fazira
" Sha Na Na " - Amy Mastura
" Kesetiaan " - Siti Sarah
" Dia " - Sheila Majid
" Ops...I Did It Again! " - Britney Spears
" Bagaikan Puteri " - Farra
" Bunga-Bunga Cinta " - Misha Omar
" Cinta Gila " – Juliana Banos

Lagu / Vokal
Suara Liza sememangnya tidak unik. Suara beliau merupakan klon artis-artis wanita yang telah sedia ada di industri muzik tempatan. Liza perlu melakukan sesuatu ke atas mutu vokalnya. Namun demikian jika dinilai dari minggu pertama beliau berada di Akademi sehingga sekarang, sudah nampak perubahan. Pada peringkat awal suara beliau tidak keluar, tetapi kini mutu vokal beliau telah kedengaran. Namun demikian beliau harus terus meningkatkan mutu vokal beliau. Jangan berasa selesa walaupun setelah berjaya menduduki tahkta 5 peserta terbaik di Akademi Fantasia. Anda berada di situ kerana simpati dan bernasib baik sahaja. Ada pelajar lain yang lebih berhak.

Tarian
Sebagai seorang penari di Pejabat Kebudayaan Negeri Kedah, beliau kelihatan bersungguh-sungguh mempelajari tarian baru dari Linda Jasmine. Sesetengah pelajar yang mungkin telah merasakan dirinya seorang penari yang baik, tentu berasa besar kepala dan tidak mahu mempelajari apa-apa ilmu baru. Tetapi tidak bagi Liza. Liza sebenarnya seorang penari professional yang telah bertugas dengan pejabat Kebudayaan selama 2 tahun. Gaya beliau menari kelihatan profesional tetapi Liza masih perlu memberi sedikit menelitian terhadap execution tarian tersebut. Execution yang tidak tajam adalah kerana keyakinan yang rendah dan kegugupan. Apabila masalah kegugupan telah dapat diatasi, pasti mutu tarian Liza menjadi lebih baik.

Lakonan / Showmanship
Showmanship beliau seperti yang telah saya terangkan di atas masih perlu diperbaiki. Beliau berkebolehan untuk membawakan lagu berentak rancak. Tetapi sayangnya stamina beliau yang masih tidak dapat dikawal dengan baik menyebabkan beliau kelihatan termengah-mengah dan mengganggu kelancaran persembahan tersebut. Interaksi beliau dengan penonton saya kira tidak berjaya menambat hati penonton.

Pergaulan dan Keterampilan
Beliau kelihatan pemalu tetapi sebenarnya tidak. Beliau begitu bersahaja apabila bersama Vince. Beliau sebenarnya malu tapi mahu. Liza mempunyai package yang menarik dan berjaya menarik perhatian ramai.


Nija
" Engkau Bagaikan Permata " - Siti Nurhaliza
" Menaruh Harapan " - Zaiton Sameon
" Dendam Dalam Diam " - Nora
" Setelah Aku Kau Miliki " - Shima
" Layar Impian " - Ella
" Fatalistik " - Ziana Zain
" Jelingan Manja " - Sheila Majid
" How Do I Live " - Leann Rimes

Lagu / Vokal
Vokal beliau memang tidak dipertikaikan mempunyai range yang agak tinggi. Namun demikian beliau tetap bermasalah dalam pitching lagu tersebut. Beliau perlu mencari identiti sendiri untuk terus berada di dalam industri. Pendengar muzik Malaysia sudah ada Ella dan Ziana Zain yang saya kira tidak perlu ditambah. Kelebihan beliau adalah suara yang tinggi dan perlu dimanafaatkan dengan sebaik-baiknya. Peningkatan yang beliau tunjukkan sejak minggu pertama hingga sekarang cuma pitching yang semakin baik.

Tarian
Bakat beliau dalam bidang tarian tidak banyak berkembang. Mungkin kerana tubuhnya agak keras walaupun beliau seorang perempuan. Banyak kali cuba dikoreografkan untuk menyerlahkan penampilan beliau oleh Linda Jasmine tetapi akhirnya sewaktu persembahan Konsert sebenar, koreograf tersebut ditiadakan. Nija berkemungkinan tidak yakin dengan kemampuannya untuk membuat aksi-aksi yang terlampau dalam koreograf tersebut. Nija kelihatan agak yakin apabila menari secara perseorangan dan gerak tari beliau di dalam kumpulan kelihatan tidak berapa sharp kerana terdapat pelajar yang menari dengan lebih baik seperti Nana dan Liza.

Lakonan / Showmanship
Showmanship beliau yang terbaik tentunya sewaktu mendendangkan lagu Jelingan Manja dan Layar Impian. Lagu Layar Impian merupakan lagu dari artis kegemarannya dan Jelingan Manja merupakan satu lagu yang tidak mudah untuk dibawa. Lagu berentak jazz tersebut berjaya dibawa oleh Nija dengan berjaya.

Pergaulan dan Keterampilan
Beliau seorang yang gemar berjenaka dengan rakan-rakannya. Itu kelebihan beliau. Beliau seorang yang ceria dan mempunyai penampilan humor yang agak menarik. Keunikan beliau adalah gaya rocknya yang sangat manja. Beliau memang realitinya manja dan telah ditunjukkan di kamera Akademi Fantasia. Tetapi perlu diingat kemanjaan beliau adakalanya memualkan. Beliau adakalanya menampilkan imej yang tidak tahu apa-apa. Pada saya sebagai seorang bakal artis, beliau harus kelihatan seperti seorang yang bijak. Jangan dibuka pekung di dada.


Keseluruhan
Secara keseluruhan banyak kelemahan yang boleh diperbaiki sepanjang mereka berada di Akademi Fantasia. Sedar atau tidak, tidak ada seorang pelajar pun yang datang berjumpa dengan Tenaga Pengajar untuk mendapatkan cara-cara mengatasi masalah yang mereka hadapi pada minggu tersebut. Kebanyakan mereka hanya mengangguk apabila sessi post-mortem persembahan Konsert minggu lepas tetapi usaha untuk memperbaikinya adalah tiada. Bukan sekali Liza kurang stamina apabila membawakan lagu berentak rancak, sudah banyak kali. Tetapi tiada usaha yang dilakukan untuk mengatasinya. Mereka sepatutnya bercerita kelemahan mereka dan memohon Tenaga Pengajar memberi cadangan untuk memantapkan persembahan mereka. Tidak banyak sedikit ia akan memanafaatkan pelajar lain juga.

Semoga anda membuat pilihan yang tepat !

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger