Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 21 August 2003

Tingginya Menyapu Awan

Sinopsis
Tingginya Menyapu Awan membawa permasalahan sekumpulan manusia gelandangan yang hidup dalam satu “keluarga besar” di satu penempatan setinggan di pinggir kota. Di sebalik kemiskinan, kesukaran dan kemelaratan ironisnya “keluarga” ini hidup dalam suasana harmoni, saling bergantung antara satu sama lain, sering mengambil berat masalah sesama mereka dan mempunyai perasaan kemanusiaan yang tinggi.

Seorang tua yang tidak diketahui asal usul dan keluarganya, sedang nazak dan hanya menanti masa untuk menghembuskan nafasnya yang terakhir. Namun, keingin yang kebetulan diucapkannya di hadapan “keluarga besarnya” itu, iaitu untuk meminum seteguk susu dan merasai buah segar, menyebabkan “keluarga” itu bersusah payah untuk menunaikan keinginan tersebut. Si pengemis yang sering menghadapi masalah mengisi perutnya sendiri, akhirnya berjaya mendapatkan buah anggut dan susu untuk orang tua itu. Tetapi kemunculan seorang ibu dengan seorang anak gadisnya yang terencat akal kemudiannya telah merosakkan keadaan.

Susu dan anggur yang dicarikan untuk orang tua yang nazak dihabiskan oleh si gadis yang terencat akal. Si pengemis, si buta dan rakan-rakannya kecewa sekali. Namun kehadiran kedua-dua beranak itu menimbulkan satu kejutan, apabila mereka rupa-rupanya mempunyai pertalian dengan orang tua yang sedang nazak itu. Situasi berubah seluruhnya dan watak-watak terus berkomplikasi melalui persoalan-persoalan tentang marah dan dendam, kehidupan dan kematian, syurga dan neraka, kemanusian dan kewujudan, kesilapan dan takdir….

Déjà vu
Menonton teater ini umpama déjà vu. Satu-satu kenangan muncul dalam petak fikiran. Tidak dapat tidak saya pasti akan membandingkan persembahan teater ini dengan apa yang pernah saya tonton beberapa tahun yang lampau. Dengan tajuk teater yang sama, tetapi pelakon yang berbeza latar belakang mengangkat naskah karya Malina Manja. Keistimewaan Tingginya Menyapu Awan mengangkat suasana surealisme dan menerapkan persoalan eksistensialisme yang dikatakan sebagai teras karya absurd dalam acuan realisme. Teater ini merupakan teater penilaian untuk pelajar-pelajar Tahun Kedua Jurusan Teater Akademi Seni Kebangsaan yang bakal mewarnai dunia teater Malaysia satu hari kelak.

Persoalan hidup, mati, syurga, neraka, takdia akan menjadi topik hangat sekiranya manusia dilanda kekecewaan. Itu saya kira mesej teater ini. Manusia akan mempersoalan tentang keadilan jika keadilan tidak berpihak kepada mereka. Begitu juga dengan takdir.

Pengarahan
Ahmad Yatim merupakan satu nama besar dalam bidang teater. Kehebatan beliau di pentas teater tidak wajar dipertikaikan. Sejak akhir-akhir ini beliau agak sinonim dengan pementasan teater bercorak komedi. Saya kira beliau amat berjaya mengangkat sebuah karya bermesej serius dalam nada komedi. Beliau berjaya meyakinkan saya bahawa dalam karya komedi biarlah sebuah komedi bermesej. Itu yang menyebabkan saya amat kagum dengan beliau. Sejak Alang rentak Seribu hinggalah Tingginya Menyapu Awan kerja-kerja beliau amat mengkagumkan. Mesej teater ini benar-benar mengesan untuk saya yang telah menonton teater ini sebanyak tiga kali dari kumpulan yang berbeza.

Teater ASK
Barisan pelakon Teater Tingginya Menyapu Awan

Lakonan
Keseluruhannya lakonan para pelajar Akademi Seni Kebangsaan ini agak baik. Mereka mempunyai vokal teater yang mantap. Saya harus puji lakonan Ku Mohd Yusri Ku Abdul Rahman yang memegang watak Jumal. Vokal beliau amat baik dan adakalanya vokal teater beliau nampak lebih menonjol dari pelakon-pelakon yang lain. Secara tidak langsung nampak tidak seimbang di atas pentas. Beliau merupakan memenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Festival Teater Kuala Lumpur yang berlangsung sekitar bulan April untuk teater Sidang Keadilan. Kehebatan pemegang watak Badi dan Suman juga seharusnya saya puji. Sallehuddin Abu Bakar dan Mohd Eyzendy Md Aziz mampu merentap kebencian penonton tetapi menjadi suka akhirnya kepada watak tersebut.

Sebagai pelajar Akademi Seni Kebangsaan, masih banyak yang perlu mereka pelajari. Dari segi teori, mungkin sudah banyak yang mereka pelajari, tetapi apabila beraksi di pentas mereka tidak mempraktikkan apa yang dipelajari. Contohnya disiplin pentas, saya pasti sejak di Tahun Pertama sudah dididik apa itu disiplin pentas . Pelakon-pelakon yang berlegar-legar di belakang pentas adakalanya mengganggu konsentrasi penonton. Begitu juga dengan penguasaan ruang lakon. Menghalang ruang lakon pelakon lain merupakan satu kesalahan teater yang amat besar. Mutu vokal tidak perlu saya pertikaikan. Amat baik.

Tatacahaya
Penggunaan tatacahaya yang minima amat sesuai dengan mood teater ini. Tatkala muncul watak roh, penggunaan cahaya yang menimbulkan mood seram saya kira amat berjaya. Lebih meyakinkan apabila roh di dalam rumah kayu tersebut nampak jelas dengan idea teknikal yang mengkagumkan. Saya tidak hairan jika mereka mampu melakukan sesuatu yang luar biasa untuk adegan ini kerana kesemua mereka terdidik dengan asas ilmu teater yang baik.

Produksi
Rekaan set yang dipertontonkan dalam teater ini tidak nampak setinggannya walaupun kosnya kelihatan agak besar. Terlalu sempurna untuk menjadi sebuah perkampungan setinggan di pinggir kota. Rekaan set sebuah setinggan yang saya kira masih berjaya dan diingati sehingga sekarang tentunya dari teater Tanah Bernanah.

Saya berharap agar satu hari kumpulan saya sendiri iaitu Akar Gita Estetika akan mementaskan teater ini dengan membariskan pelakon-pelakon lama yang pernah menghidupkan watak Jumal, Badi, Suman, Buta, Untung, Gayah dan Melur. Siapa yang terasa pernah menghidupkan watak-watak tersebut, sila bersedia dari sekarang.

Tahniah saya ucapkan pada kumpulan produksi teater Tingginya Menyapu Awan.

ACARA SEDANG BERLANGSUNG
Sebuah filem independen arahan NAM RON
Tajuk : GEDEBE
Lakonan : Along Md Ezendy, Zul Huzaimy Marzuki, Hairul Anuar Harun dan lain-lain
Tarikh : 15-25 Ogos 2003
Masa : 8.30 malam
Tempat : Dewan Kuliah, Tingkat 4, Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur
Tiket : RM10

ACARA AKAN DATANG
Istana Budaya mempersembahkan
Tajuk: Makyong Raja Tangkai Hati
Tarikh : 22-26 Ogos 2003
Masa : 8.30 malam
Lakonan : Zuliana Zainal, Juhara Ayob, Norsiah Mohd Yatim, Yunie Nur Letty dan lain-lain
Arahan : Norzizi Zulkifli
Tiket : RM21, RM31, RM51, RM76, RM101