Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 11 August 2003

Kemuncak Konsert Akademi Fantasia
gambar pass masuk adalah sumbangan pakukarat

Kemuncak Konsert Akademi Fantasia

Akademi Fantasia Mania
Peminat beratur di luar Dewan Wawasan Cheras seawal jam 3 pagi untuk mendapatkan pas masuk untuk menyaksikan Kemuncak Konsert. Namun demikian, oleh kerana kawalan keselamatan yang tidak diambil berat oleh pihak ASTRO menyebabkan keadaan menjadi haru-biru dan tidak terkawal. Rempuhan peminat yang datang lewat telah menyebabkan mereka yang tiba awal tidak mendapat pas masuk. Yang amat menyedihkan apabila kanak-kanak dan penonton perempuan yang menjadi mangsa. Pihak ASTRO sepatutnya lebih peka dengan keadaan ini dan sepatutnya telah mengambil langkah-langkah awal untuk memastikan perjalanan majlis berjalan dengan lebih lancar. Adakah ini yang dinamakan "ADIL" ?

Komen Keseluruhan Kemuncak Konsert
Sebagai sebuah rancangan yang baru setahun jagung umurnya, penggunaan muzik live dengan diiringi oleh band pimpinan Aubrey Suwito merupakan idea yang amat baik dan satu langkah berani yang diambil oleh ASTRO Ria. Penggunaan muzik iringan live memerlukan latihan yang banyak dan secara keseluruhan persembahan malam tersebut amat berjaya tanpa apa-apa kesilapan di bahagian muzik. Namun demikian, oleh kerana dewan yang agak besar, penggunaan kamera yang banyak menyebabkan suntingan online kamera menjadi kelam-kabut. Shot yang diambil terlalu pantas berubah menyebabkan interaksi pelajar dengan kamera tidak menjadi. Belum sempat pun hendak memandang kamera, shot telah berubah. Berbeza dengan suntingan online kamera pada Konsert 1 hingga 8 yang mana shot kamera lebih baik dan teratur. Lebih mengecewakan lebih banyak angle jauh yang diambil dan mengetepikan angle clse-up. Penaja pakaian yang terbaik sejak sepanjang Konsert Akademi Fantasia diadakan. Pelajar diberikan pakaian yang amat bersesuaian dengan imej masing-masing. Termasuklah Nana yang berpeluang untuk memakai pakaian yang benar-benar menyerlahkan ciri-ciri elegan beliau. Sewaktu keputusan diumumkan, Aznil selaku pengacara nampak sengaja melewat-lewatkan keputusan adalah sesuatu yang saya sifatkan sebaga tidak wajar. Unsur debaran beliau nampak dibuat-buat. Lebih menyedihkan apabila 2 Finalis iaitu Nija dan Liza yang tidak berjaya memenangi apa-apa tempat seakan-akan dipinggirkan. Sepatutnya pihak ASTRO mendahulukan cenderamata saguhati kepada semua pelajar dan kemudian baru diumumkan tiga tempat teratas. Sejambak bunga untuk mereka sudah cukup memadai jika mahu dibandingkan berjuta-juta SMS yang diterima setiap minggu. Idea untuk mendermakan sebahagian daripada keuntungan SMS kepada badan kebajikan adalah satu usaha murni yang wajar dicontohi oleh semua pihak swasta. Sekurang-kurangnya pihak ASTRO Ria masih mengingati mereka yang memerlukan bantuan dan rancangan ini tidak hanya bertujuan untuk mengaut keuntungan. Tahniah !

Menuju Puncak Broadway
Seperti yang dijangkakan, Menuju Puncak versi Broadway memang terbaik. Koreografi ciptaan Linda Jasmine kena dengan tempo lagu tersebut. Diperhebatkan lagi dengan kemunculan Finalis yang berpakaian menarik. Nija dengan potongan rambut baru amat menyerlah. Beliau kelihatan begitu comel. Liza juga tidak kurang hebatnya. Khai merupakan peserta lelaki yang menyerlah dari aspek pakaian. Imej rambutnya yang baru juga menarik. Namun demikian, di peringkat awal mereka masih teragak-agak dengan iringan muzik live di bawah pimpinan Aubrey Suwito.

Pengkritik Profesional
Kudsia Kahar, Eera Fazira dan Ramli MS.
Saya harus memuji keberanian Ramli MS yang menjadi pengkritik paling dibenci dalam sejarah Akademi Fantasia. Beliau sewajarnya terpilih untuk menjadi Pengkritik Tetap sepanjang Konsert berlangsung. Apa yang dikritik oleh beliau adalah kebenaran yang selama ini disembunyikan oleh pengkritik profesional yang kononnya ingin menjaga hati para pelajar. Secara keseluruhan, kesemua pengkritik telah menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan adil. Namun demikian, kedudukan sebelum bermulanya persembahan tidak diumumkan untuk menimbulkan debaran kepada peserta dan penonton.

Persembahan Pelajar
AF9Azizi
Sewaktu ditanya oleh Aznil tentang album baru, Azizi berjaya menjawab dengan penuh yakin lalu membuktikan yang Azizi tahu serba-sedikit berkenaan industri muzik Malaysia. Pada pendapat saya, sessi temubual yang dilakukan oleh Aznil sebenarnya adalah untuk menguji tahap pengetahuan pelajar tentang dunia yang bakal mereka ceburi. Seharusnya mereka perlu menjawab dengan penuh yakin dan maklumat perlu ada di hujung jari mereka.
Interaksi dengan penonton yang dilakukan oleh Azizi agak meleret. Beliau perlu belajar lagi cara untuk berkomunikasi dengan baik. Komunikasi yang baik bukan sahaja mampu berkata-kata dengan baik tetapi juga untuk mendapatkan perhatian penonton dengan spontan dan bukannya dengan tidak ikhlas.

Piramid Cinta (3.5/5 bintang)
Persembahan lagu Piramid Cinta di tangan Azizi agak baik. Beliau mempunyai suara yang unik. Penghayatan beliau untuk lagu ini juga terbaik. Idea persembahan beliau yang menggunakan konsep bayang agak lapuk dan tidak kena dengan mesej lagu.

Habis Sudah Umpanku 4/5 bintang)
Persembahan bertenaga dari Azizi ini merupakan persembahan terbaik beliau sewaktu di Akademi Fantasia. Penguasaan pentas beliau agak baik. Kawalan suara beliau dari natural ke tinggi dilakukan dengan baik. Gerak tari beliau tidak begitu sharp dan interaksi beliau dengan penari latar tidak dilakukan dengan baik. Stamina beliau sewaktu mendendangkan lagu berentak rancak ini juga baik. Namun demikian, Ramli MS memberikan ulasan yang agak membunuh kepada beliau. Beliau mengatakan Azizi tidak menjiwai lagu tersebut dengan baik. Kawalan suara vibrator beliau tidak dikawal dengan baik dan kedengaran mendatar.

AF9Liza
Sewaktu ditanya oleh Aznil tentang berapakah kutipan filem yang dilakonkan oleh Liza, beliau hanya mampu menjawab “beribu-ribu”. Ini membuktikan Liza tidak berapa tahu tentang industri perfileman Malaysia. Kutipan filem Malaysia selalunya bergerak dalam sekitar 1 juta (jika berlakon di bawah arahan Adman Salleh) hingga ke 6 juta (jika berlakon di bawah arahan Datuk Yusof Haslam). Cara Liza berinteraksi dengan Aznil juga kelihatan takut-takut dan tidak berapa yakin.

Pintaku Yang Terakhir 3.5/5 bintang)
Pada permulaannya, penghayatan beliau mendendangkan lagu ini sudah terbaik tetapi agak sedikit terganggu apabila membuka kanvas yang melindungi potret Vince. Kawalan suara beliau masih boleh diperbaiki. Showmanship beliau juga agak baik. Suara latar untuk lagu ini lebih jelas kedengaran menyebabkan suaranya tenggelam timbul. Persembahan beliau boleh menjadi lebih menarik sekiranya beliau mengurangkan pergerakan dan menumpukan terhadap potret (props) yang ada di atas pentas. Penghayatan untuk lagu ini masih belum keluar sepenuhnya.

Jangan Pura-Pura (4/5 bintang)
Menyanyikan lagu rancak memang menjadi kegemaran Liza. Showmanship beliau agak cemerlang untuk lagu ini. Begitu juga dengan koregrafi tarian yang telah direka oleh Linda Jasmine untuk beliau. Namun demikian, interaksi dengan kamera tidak berjaya dilakukan kerana kelemahan tenaga produksi dan suntingan kamera yang terlalu pantas. Oleh kerana lirik lagu ini yang berulang-ulang, tanpa mempelbagaikan corak persembahan, ia akan menjadi begitu monotonous dan flat. Lalu persembahan menjadi agak bosan. Liza perlu mempelbagaikan tone suara dan pergi ke kelas vokal untuk mendalami ilmu vokal. Beliau mempunyai suara yang gemersik yang jarang ada pada penyanyi yang ada sekarang.

AF9Vince
Sewaktu ditanya oleh Aznil tentang persembahan beliau di luar negara, Vince dengan bangga menjawab Hong Kong. Sebentar kemudian menukarkan jawapannya kepada Jepun. Apabila ditanya siapakah penyanyi Hong Kong yang turut sama membuat persembahan bersama Vince, beliau terdiam sekaligus membuktikan beliau sendiri tidak tahu siapakah yang bakal menjadi saingannya di peringkat antarabangsa kelak. Mujur beliau tidak menjawab Leslie Cheung, seorang penyanyi Hong Kong yang telah pun meninggal dunia.

Pernah (4.5/5 bintang)
Persembahan lagu Pernah bermula dengan sketsa. Namun demikian, persembahan sketsa tidak berjaya disampaikan dengan baik kerana mood penonton telah dipotong dengan aksi jenaka oleh Vince. Secara keseluruhan, suara beliau memang terbaik. Showmanship beliau juga cemerlang. Begitu juga dengan penghayatan. Beliau bijak mengawal suara tingginya dan menvariasikan vokal beliau. Teknik falsetto beliau amat cemerlang.

Tak Ingin Kehilanganmu (4/5 bintang)
Persembahannya agak baik. Namun demikian, apabila berada di nada rendah, kedengaran agak tenggelam. Showmanship beliau memang menarik untuk lagu catchy ini. Penguasaan pentas beliau dilakukan dengan berjaya. Terdapat kesilapan counting dalam lagu tersebut tetapi berjaya ditutup dengan satu persembahan yang mantap. Ramli MS menasihatkan beliau belajar teknik pernafasan yang baik untuk menyanyi. Penggunaan teknik pernafasan dari perut sedikit sebanyak akan membantu.

AF9Nija
Pengetahuan Nija tentang dunia rock Malaysia agak meluas. Beliau mampu untuk menamakan mereka yang terlibat dengan dunia rock tempatan dengan baik. Jawapannya bersahaja. Beliau agak terdiam apabila ditanya siapakah Awie oleh Aznil. Mungkin di dalam fikirannya ingin sahaja dijawabnya “bekas tunang Eera Fazira”, tetapi berjaya dikawal oleh Nija dengan baik dan Aznil selaku pengacara bijak memainkan peranannya.

Selagi Ada Cinta (4/5 bintang)
Sebutannya amat jelas untuk lagu ini. Showmanship beliau juga agak baik. Penggunaan ad-lib yang kurang menyebabkan lagu tersebut kedengaran flat dan monotonous. Ada beberapa bahagian lagu tersebut, Nija tidak sampai. Penghayatannya untuk lagu tersebut berjaya disampaikan dengan baik. Ini merupakan persembahan terbaik Nija apabila menyampaikan lagu berentak balada.

Kenangan Pahit (5/5 bintang)
Ekspresi wajahnya berubah sekelip mata. Beliau begitu enjoy membawakan lagu berentak rock. Showmanship beliau amat bertenaga tetapi terkawal. Penguasaan pentas beliau amat cemerlang. Penghayatan beliau untuk lagu ini amat baik dan penonton memberikan standing ovation kepada beliau. Ramli MS mengatakan Nija mempunyai suara yang cut through tetapi beliau perlu mendalami asas nyanyian untuk berjaya.

AF9Khai
Jawapan Khai untuk hadiah yang pernah dihadiahkan oleh peminat benar-benar tidak masuk akal melainkan jika pekerjaannya adalah sebagai seorang gigolo. Peminat di Malaysia belum termampu untuk menghadiahkan artis pujaan mereka dengan sebuah rumah dan kereta. Jawapan Khai seharusnya lebih realistik walaupun mood temuramah tersebut dibuat dalam nada jenaka. Yang sedang dinilai waktu tersebut ialah IQ mereka.

Dambaan Pilu (4.5/5 bintang)
Permulaan persembahan emosinya cuba diganggu dengan meletakkan frame gambar Rosma di atas meja. Klip perhubungan beliau dengan Rosma dimainkan di skrin pentas. Namun demikian, beliau bijak mengawal emosinya agar tidak diganggu dengan gangguan-gangguan sebegitu. Showmanship beliau juga baik. Kawalan suara beliau amat cemerlang terutamanya apabila menyanyikan lagu balada. Penghayatannya berjaya membuatkan penonton bersama-sama menantikan beliau menghabiskan lagu tersebut. Keseluruhannya ini merupakan persembahan terbaik Khai setelah Aladdin.

Seberapa Pantas (4.5/5 bintang)
Lagu rock sudah sebati dengan jiwa Khai. Tatkala mendendangkan lagu Seberapa Pantas, beliau kelihatan amat enjoy di pentas. Penguasaan pentasnya amat cemerlang. Beliau berjaya melakukan beberapa aksi akrobatik. Namun demikian, kesilapan teknikal pada pembesar suara menyebabkan penghayatannya terganggu sekaligus penjatuhkan mood persembahan beliau. Keyakinan beliau sedikit terganggu tetapi beliau tetap meneruskan persembahannya. Showmanship bertenaga beliau amat berjaya. Beliau perlu bekerja keras untuk memantapkan mutu vokal beliau.

AF9Medley Bekas Pelajar
Azza – Memori dendangan beliau tetap baik. Namun demikian saya merasakan lagu Siapalah Aku lebih sesuai didendangkan oleh beliau kerana sesuai dengan mesej lagu tersebut.
Adi – Aku Cinta Kau Dan Dia dendangannya membuatkan Tenaga Pengajar mengalirkan airmata. Beliau berjaya menambat emosi penonton dengan lagu tersebut. Nyanyian beliau sungguh cemerlang. Walaupun kebanyakan masa sewaktu menyanyikan lagu tersebut, Adi banyak memandang ke arah Finalis dan tidak kepada penonton. Vince dan rakan-rakannya yang lain dilihat menitiskan air-mata.
Atie – Hi Hi Bye Bye dendangannya agak baik berbanding persembahannya di Konsert 1 tetapi beliau masih belum boleh digilap sebagai penyanyi kerana mutu vokal beliau belum cukup mantap untuk menembusi pasaran Malaysia apatah lagi antarabangsa.
Burn – Back At One dendangannya amat cemerlang. Beliau mempunyai vokal R&B yang mantap.
Rosma – My All dendangannya bermula dengan kesilapan dan berakhir dengan kesilapan. Namun demikian, My All di tangan Rosma tetap menarik. Saya akui lagu My All nyanyian Mariah Carey bukan merupakan satu lagu yang mudah.
Nana – I Will Survive dendangannya membuatkan Cikgu Siti Hajar mengalirkan air-mata. Nana merupakan anak murid yang pernah diherdik oleh beliau dalam salah satu kelas teknik vokal kelolaan beliau. Melihatkan keyakinan Nana di pentas, beliau pastinya akan menjadi seorang penghibur serba-boleh satu hari nanti.
Sahri – Di Sudut Kamar Hatiku dendangan beliau memang cemerlang. Penghayatan beliau amat baik dan mesej lagu tersebut amat kena dengan apa yang melanda Sahri. Emosi penonton terutamanya Tenaga Pengajar benar-benar terusik apabila beliau mendendangkan lagu tersebut.
Thank You For The Music nyanyian beramai-ramai yang diketuai oleh Nana amat cemerlang. Inilah saat pertama kali Finalis dipertemukan semula dengan bekas pelajar Akademi Fantasia.

Menuju Puncak
Buat kali terakhir mereka menyanyikan lagu Menuju Puncak dengan koreografi 5 pelajar. Koreografi lagu tersebut amat menarik dan di penghujung lagu tersebut kesemua bekas pelajar turut serta menari bersama mereka. Maka Reunion Akademi Fantasia pun bermula.

AF9Keputusan
Keputusan telah pun anda ketahui. Vince dinobatkan menjadi Johan Akademi Fantasia yang pertama. Khai di Tempat Kedua dan Azizi di Tempat Ketiga. Agak tidak sukar untuk menelah selera penonton Malaysia. Jika dinilai dari segi persembahan dan sekiranya ia dinilai oleh Juri Profesional, sudah pasti Nija bakal merebut salah-satu kedudukan teratas. Namun demikian, keputusan semuanya di tangan penonton. Kemenangan Vince sekaligus membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah bijak membuat keputusan untuk Kemuncak Konsert tetapi penuh muslihat dalam menentukan keputusan mereka sewaktu Konsert 1 hingga Konsert 8. Saya dapat merasakan keputusan Konsert 1 hingga Konsert 8 merupakan fasa survival yang memerlukan kesabaran dalam menerima keputusan kejutan hasil dari silap strategi penonton sendiri. Yang terbaik tidak semestinya akan terus kekal hingga ke Kemuncak Konsert kerana mereka bisa terpancung kerana silap strategi penonton. Perjalanan majlis sewaktu Keputusan juga agak kelam-kabut kerana dengan jelas ASTRO meminggirkan Nija dan Liza selaku Finalis tanpa apa-apa cenderamata sebagai Finalis. Trofi untuk mereka hanya diserahkan sewaktu rancangan Imbasan Akademi Fantasia. Mereka sewajarnya dihargai pada malam tersebut kerana telah berjaya sampai ke peringkat akhir.

Fikirkan apakah malam-malam anda tanpa Akademi Fantasia ?
Kata-kata Aznil Nawawi yang saya boleh nobatkan Pengacara Terbaik Tahun ini serta Pengacara Paling Popular menutup Kemuncak Konsert Akademi Fantasia. Fenomena baru ini telah melanda rakyat Malaysia. Datangnya sekejap sahaja. Hanya 9 minggu umpama wabak SARS tetapi kesannya cukup kuat. Terima kasih kerana terus melanjutkan Saluran 17 sehingga 22 Ogos.

AF9Penutup Akademi Fantasia
Kedudukan Selepas Konsert
Vince 31%
Khai 28%
Azizi 17%
Nija 14%
Liza 9%

Tiada kejutan apabila melihat keputusan selepas Konsert. Hanya undian untuk Nija naik mendadak dari 11% menjadi 14% hasil persembahan mantap beliau malam itu. Namun demikian ia masih tidak dapat menyekat undian SMS dari peminat fanatik Vince dan Khai dari terus mara sehingga muncul Johan dan Naib Johan. Walaupun agak terkilan kerana Nija gagal merebut sebarang tempat, namun saya harus akur dengan selera pengundi Malaysia. Setelah menilai persembahan saya menjangkakan bahawa keputusannya adalah Khai muncul sebagai Juara, Vince mendapat Naib Johan dan Nija mendapat Tempat Ketiga. Apa-apa pun saya tetap berpuashati dengan keputusan yang ada.

Sebagai peringatan terakhir, ingatlah bawa bulan Ogos ialah bulan Kemerdekaan Malaysia dan bukannya bulan Akademi Fantasia. Dan lagu Menuju Puncak bukan lagu kebangsaan Malaysia.