Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 20 August 2003

PEJUANG GERILA ? FORCE 136
oleh Nakli
boleh dihubungi melalui e-mail

Force 136
Sempena bulan kemerdekaan, pelbagai aktiviti kesenian telah diadakan terutamanya teater. Pada tahun ini, konsep Festival Teater Malaysia telah diperkenalkan dimana pelbagai kumpulan teater mengambil bahagian. Disamping itu, terdapat persembahan fregmen monodrama dan aktiviti seni pentas yang lain seperti wayang kulit dan boria bertempat di MTC, Jalan Ampang. Saya berkesempatan menonton Pementasan Di Raja Teater Perjuangan Harimau Malaya Force 136 karya Prof. Dato Dr Wan Hashim Wan Teh oleh Teater Rimba UKM bermula dari 1hb Ogos 2003 hingga 3hb Ogos 2003 bertempat di Auditorium DBKL. Kumpulan yang dipimpin oleh Mohd Diani Haji Kasian bukan kumpulan baru dalam pentas teater, tetapi ahli-ahli dalam kumpulan sering bertukar wajah setiap tahun kerana semuanya terdiri dari pelajar-pelajar UKM. 'Patah tumbuh hilang berganti', inilah kelebihan yang ada pada Teater Rimba dimana ia masih kekal sebagai satu kumpulan yang aktif dan kreatif juga berjaya di peringkat Pekan Teater dan Festival Seni Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM). Syabas !

Teater ini telah dipentaskan untuk kali yang ke-4 dan yang ke-2 di Auditorium DBKL. Walaupun percubaan oleh pihak UKM untuk mementaskan teater sejarah ini di Istana Budaya gagal atas alasan tidak ada peruntukan dan kalendar pementasan di Istana Budaya telah penuh, ia masih diteruskan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan ditaja oleh PNB dengan kehadiran DYMM Seri Paduka Baginda Yang dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong juga Canselor UKM iaitu Yang dipertuan Besar Negeri Sembilan. Saya yakin jika pementasan ini diberi peluang di Istana Budaya, akan dapat menarik lebih ramai penonton itupun jika kalendar tahunan Istana Budaya masih terdapat kekosongan walaupun teater Alang Rentak Seribu telah dipentaskan untuk kali kedua pada tahun ini !.

Force 136
Hampir kesemua pelakon dan tenaga produksi adalah muka baru dalam seni teater dan latar pendidikan mereka adalah dalam bidang Sains, Pengurusan Perniagaan dan Pendidikan. Teater ini masih mengekalkan pelakon utama iaitu Dato' Jins Samsuddin sebagai Kolonel Fujiyama, Jalil Hamid sebagai Pengulu Keroh dan Raja Azura sebagai Bunga disamping beberapa watak pembantu seperti Prof. Madya Dr Mohamad sebagai Leftenan Kolonel Peter Dobree, Ahmad Pharmy sebagai Sarjan Ariffin, Akmal sebagai Leftenan Mohd Nor Rani dan Siti Syarina sebagai Puteh.

Kedapatan beberapa perubahan dan penambahan adegan dan babak dalam teater ini berbanding pementasan sebelumnya. Aksi pelakon tidak mengecewakan jika kita lihat dari segi pengalaman yang ada pada mereka yang terlibat. Keseluruhan persembahan yang kadang kala meresahkan emosi penonton dapat diperbaiki seperti adegan awal Harimau Malaya lakonan Prof Dato Dr Wan Hashim Wan Teh memberi ucapan kepada pejuang gerila Force 136 dengan dialog yang meleret-leret dan tidak penting seperti 'hidung mancung', babak percintaan Haryati dengan Leftenan Mohd Nor Rani, adegan siaran Radio All India di rumah Penghulu Keroh dan tayangan video Harimau Malaya berucap yang saya kira boleh diringkaskan dialognya dan aksi wakil dari Patani yang saya rasa tidak perlu ditambah dengan dialog 'sambal tempoyak'. Keletah Bunga anak kepada Batin Pisang lakonan Raja Azura sedikit sebanyak telah berjaya menghidupkan dan menceriakan suasana cerita yang pada keseluruhannya agak hambar.

Penggunaan video untuk pementasan akan memberikan kesan emosi dan klimaks jika visual yang dipaparkan menunjukkan kesan-kesan dramatik yang hebat terutamanya adegan perang. Disini dapat dilihat tidak ada kesungguhan untuk membuat kajian, ulangkaji atau rujukan untuk mendapatkan sumber visual suasana perang yang 'sebenar'. Timbul persoalan, adakah setiap babak dan adegan yang dijamukan pada penonton adalah titik peluh tenaga produksi yang rata-ratanya masih memerlukan bimbingan atau hasil kerja kreatif sang pengarah? Jika teater ini diberi peluang untuk dipentaskan sekali lagi, adalah lebih baik jika adegan perang itu dilakonkan secara 'live' di atas pentas dan ini perlu dibantu dengan pentas atau ruang lakon yang sesuai. Istana Budaya ?

Force 136
Walaupun teater ini terikat dengan fakta sejarah dan kehendak penulis skrip yang mahu mencorak pementasan ini, Mohd Diani Haji Kasian dilihat seperti tidak berupaya untuk mengawal atau mengarah teater ini dalam bentuk yang beliau kehendaki. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memberi perhatian pada aspek etika pentas, pelakon mengawal ruang, pergerakan pelakon keluar dan masuk pentas, dan karakter beberapa pelakon seperti watak Batin Pisang lakonan Anwar Mohd Zulkifli di mana aksi lucunya kadang kala dilihat seperti dibuat-buat dan kadang kala dia seperti tidak yakin dengan dialog yang dilontarkan. Beberapa faktor inilah yang saya lihat Mohd Diani Haji Kasian yang diangkat sebagai pengarah, aktivis dan pengkritik teater, gagal untuk beliau halusi dan perbaiki.

Walaupun teater ini telah dipentaskan untuk kali yang ke-4, tetapi ini tidak bermakna sang pengarah dengan sewenang-wenangnya tidak memberi perhatian asas bermain di atas pentas. Jika pada awal latihan sebelum pementasan, faktor-faktor ini diberikan perhatian secukupnya, sudah pasti teater ini dapat memberikan impak pada emosi penonton dan bukannya dilihat seperti pelakon-pelakon memberi arahan sesama sendiri dalam mengawal ruang lakon di atas pentas. Celaru !

Force 136
Disini, peranan pengarah dilihat sebagai faktor kritikal dalam menjayakan sesuatu pementasan dan bukan hanya sekadar 'melepaskan batuk ditangga'. Teater adalah kerja kumpulan dan hasil kerja tidak terletak pada seseorang individu. 'Lembu punya susu, sapi dapat nama'!.

Ulasan sultanmuzaffar: Saya pernah menonton persembahan ini sewaktu kali kedua ia dipentaskan iaitu di Auditorium DBKL. Saya merasakan ia merupakan satu persembahan yang agak membosankan dengan setiap perincian ilmu sejarah yang disogokkan kepada penonton tanpa ada elemen hiburan sekaligus melenakan mata penonton. istana Budaya pernah menghidangkan kepada khalayak Malaysia sebuah teater sejarah yang meleret-leret iaitu Merdeka, Merdeka, Merdeka. Tanpa disuntik elemen hiburan, maka mata penonton lebih mudah dibuai lena dan lebih mendukacitakan persembahan tersebut memakan masa hampir 3 jam. Penggunaan multimedia dalam teater Force 136 wajar saya puji walaupun adakalanya penggunaannya nampak tidak sesuai dengan zaman tersebut. Semangat kumpulan ini ingin mementaskan karya mereka di pentas Istana Budaya memang mengkagumkan. Semangat mereka merupakan semangat anak muda yang ingin membuktikan mereka mampu bermain di pentas bertaraf dunia itu. Terlalu banyak yang harus diperbaiki sebelum mampu berentak di pentas Istana Budaya. Mereka perlu melakukan sesuatu untuk menyuntik elemen hiburan pada satu karya sejarah seperti ini. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Cukuplah dengan Merdeka, Merdeka, Merdeka !

APA ADA DI MATICS JALAN AMPANG ?
Produksi : Teater Moden Akademi Seni Kebangsaan
Tajuk : Tingginya Menyapu Awan
Karya : Malina Manja
Arahan : Ahmad Yatim
Tarikh : 20 Ogos 2003
Jam : 8.30 malam
Tempat : Auditorium Tunku Abdul Rahman, MTC
Pelakon : Fatin Erna Siregar, Eyzerddy Aziz, Ku Mohd Yusri, Sallehuddin Abu Bakar, Ismaliza Ishak, Zulmabri Rahman dan Norsahlina Md Shah
Tiket : RM10