Mak Yong Raja Tangkai Hati
Panggung Sari, Istana Budaya
29 Ogos 2003
8.30 malam
Mak Yong Raja Tangkai Hati merupakan persembahan makyong yang pertama saya tonton. Saya tidak pernah menonton persembahan makyong sebelum ini kerana merasakan makyong merupakan sebuah persembahan yang membosankan. Undangan dari Istana Budaya saya terima dengan tangan terbuka. Semasa menanti persembahan, saya bertemu dengan salah seorang penyelidik untuk rancangan Bersama Anita terbitan Astro Ria. Kami berbual tentang Akademi Fantasia dan juga rancangan terbaru mereka iaitu Bersama Anita. Beliau turut mencadangkan kepada saya agar menulis tentang rancangan tersebut. InsyaAllah jika tiada aral saya pasti akan menulis tentang rancangan tersebut kerana merasakan dua episod yang terdahulu berkisar tentang ibu tunggal dan anak angkat amat releven dengan masyarakat.
Sinopsis
Mak Yong Raja Tangkai Hati mengisahkan pelayaran pelayaran menziarahi ayahandanya di negeri Sekota Batu bersama-sama permaisurinya, Puteri Cempaka Emas serta dua orang anaknya iaitu Malim Bisnun dan Malim Bongsu. Pelayaran dimulakan oleh Tok Wak Nakhoda dengan bantuan angin yang dititahkan Raja. Namun, setiba di Pulau Mati Anak, kapal terhenti belayar atas kuasa Puteri Bota mematikan angin.
Puteri Bota yang berdendam dengan Raja Tangkai Hati kerana tidak memperisterikannya, bertukar menjadi kumbang dan terbang ke atas kapal lalu memukau semua penumpang dan anak-anak kapal, tidak sedarkan diri kecuali Puteri Cempaka Emas dan anak-anaknya. Beliau kemudian bertukar menjadi sekuntum bunga. Di atas pujuk rayu Malim Bongsu, Puteri Cempaka Emas memetik bunga jelmaan dan dengan serta merta kembali ke bentuk asalnya. Puteri Bota dengan rakusnya menangkap dan melarikan Puteri Cempaka Emas ke suatu tempat yang tersembunyi. Permaisuri disumpah menjadi badan separuh mawas dan separuh manusia. Puteri Bota meneruskan niat jahatnya dengan berubah wajah menjadi Puteri Cempaka Emas. Naluri kedua-dua putera Raja Tangkai Hati dapat merasakan yang tubuh bonda mereka adalah jelmaan Puteri Bota dan bonda mereka sebenar sedang dalam bahaya. Mereka gagal meyakinkan ayahanda mereka dan telah dianggap derhaka lalu dicampak ke dalam laut seperti saranan Puteri Bota (yang menyerupai Puteri Cempaka Emas).
Dewa Betara Raja ternampak Malim Bisnun dan Malim Bongsu terapung di laut dan menyelamatkan mereka. Mereka dijelmakan sebagai dua butir teritik (siput) dan diletakkan di bawah kapal, menyebabkan kapal terhenti. Dewa Betara Raja pula bertukar rupa menjadi seorang tua dan menyarankan beliau boleh menggerakkan kapal dengan satu syarat. Syaratnya, kapal hendaklah dikosongkan. Kehendak orang tua ini diterima oleh Raja Tangkai Hati dan juga Tok Wak Nakhoda maka mereka meninggalkan kapal seketika. Tanpa melengahkan masa, orang tua kembali berbentuk Dewa Betara Raja dan menerbangkan dua putera raja ke Pulai Kematian. Sewaktu rombongan Raja tiba di negeri Sekota Batu, kedua putera pun bertemu bonda mereka yang terikat di pohon di Pulau Kematian. Namun, mereka tidak berupaya menyelamatkan bonda mereka tanpa darah Puteri Bota. Hanya satu jalan sahaja untuk mereka ke negeri Sekota Batu iaitu dengan meminta pertolongan Mak Ikan Jerung. Setiba di Sekota Batu, kedua putera raja berusaha untuk meyakinkan Raja Besar Sekota Batu siapa mereka sebenarnya. Keadaan semakin tegang di mana pertaruhan berlaku di antara putera-putera dan Puteri Bota. Kebenaran akhirnya terbukti apabila Puteri Bota tewas di tangan Malim Bongsu. Darah tumpahan Puteri Bota menjadi penawar sumpahan Puteri Cempaka Emas. Keluarga diraja ini berjaya bersatu kembali dan pulang bersemayam di Istana negara mereka.
Pelakon
Zuliana Zainal Abidin – Raja Tangkai Hati
Juhara Ayob – Puteri Cempaka Emas
Norsiah Mohd Yatim – Puteri Bota
Yuni Nor Letty Bachok – Malim Bisnun
Mardiana Ismail – Malim Bongsu
Roszilawati Ab Rahim – Raja Besar
Abd. Wahab Othman – Peran I
Wan Kanari Ibrahim – Peran II
Nik Sayyidah Fatihan Yazib – Raja Besar Sekota Batu
Hushairi Husain – Peran Tua Sekota Batu / Tok Wan Nakhoda
Kumaresh a/l Anggamuthu – Peran Muda Sekota Batu
Mohd Kamarulzaman Taib – Dewa Betara Raja
Shariful Akma Abdullah – Mak Ikan Jerung
Tenaga Kreatif Produksi
Prof. Dr. Ghulam Sarwar Yousof – Penilis Skrip Asal
Norzizi Zulkifli – Pengarah / Olahan Skrip
Fatimah Abdullah – Pembimbing Mak Yong & Tari
Sabzali Khan Gulihandan – Pengarah Artistik
Abdul Jalil Ngah – Pereka Tata Cahaya
Irwan Ismadi Sharim – Pereka Set / Props
Nur Afifi Mohamed Taib – Pereka Kostum
Pandangan Peribadi
Pementasan ini telah berjaya menarik minat saya untuk mengetahui lebih lanjut tentang makyong. Ia secara tidak langsung memberi perspektif baru tentang makyong. Pementasan yang cemerlang ini disokong oleh mutu lakonan dan elemen teknikal yang mantap. Rekaan pentas, kostum, muzik dan tatacahaya menjadikan persembahan ini berbeza dengan makyong yang berwajah baru tanpa meminggirkan elemen tradisionalnya. Persembahan makyong di tangan Norzizi dibawa keluar dari kepompong yang mengongkongnya satu ketika dahulu. Dahulu, makyong dianggap seni yang membosankan, lesu dan kekal dengan dialek Kelantan yang kuat.
Mengadap Rebab
Sebagaimana persembahan biasa sebuah makyong ia akan bermula dengan persembahan Mengadap Rebab. Lagu terpenting ini dimainkan semasa permulaan setiap persembahan sebagai simbol penghormatan kepada rebab dan semangat makyong. Persembahan pembukaan ini mengambil masa yang agak panjang iaitu hampir 15 minit. Secara tidak langsung persembahan ini menjadi agak membosankan walaupun ia merupakan elemen persembahan yang terpenting di dalam makyong. Apabila menonton segmen Mengadap Rebab, persepsi saya terhadap makyong mula menjadi negatif. Saya hampir tidak senang duduk memikirkan perlu duduk di bangku tersebut untuk 2 jam lagi. Namun demikian, Pengarah Teknikal dan Pereka Tatacahaya bijak mencuri tumpuan penonton dengan memberi sentuhan cahaya yang saya kira terbaik. Selain menikmati persembahan, penonton dihidangkan dengan resepi cahaya yang amat mengkagumkan. Penggunaan pentas hidraulik dan siaran multimedia sedikit sebanyak mengurangkan kebosanan segmen Mengadap Rebab.
Arahan dan Lakonan
Pujian harus saya lontarkan buat Pengarah persembahan ini. Beliau bijak menangani persembahan ini. Kalau dahulunya, persembahan makyong dianggap satu persembahan yang membosankan, lesu dan tidak bermaya, kini beliau telah mengangkat persembahan makyong menjadi satu persembahan yang telah hilang lapuknya.
Memetik tulisan Luqman Hakim di akhbar Utusan Malaysia keluaran 25 Ogos 2003, “Sebagai persembahan yang dibawa ke ruang pementasan secanggih Dewan Sari, makyung Raja Tangkai Hati perlu memperlihatkan satu revolusi dalam pementasan agar ia benar-benar diyakini.”.
Pujian wajar diberikan kepada Juhara Ayob yang beraksi cemerlang sebagai Puteri Cempaka Emas dan jelmaan Puteri Bota. Beliau beraksi begitu cemerlang. Lakonan beliau dikawal dengan baik. Pengalaman beliau bermain teater sejak 1991 telah dipergunakan sepenuhnya untuk pementasan ini. Begitu juga dengan Norsiah Mohd Yatim yang telah menggunakan pengalaman 20 tahun beliau dalam bidang seni di pentas Istana Budaya.
Suntikan humor yang digunakan di dalam persembahan ini menjadi lalu menjadikan satu persembahan makyong ini tidak membosankan. Namun begitu, adakalanya beberapa pelakon pembantu kelihatan cuba menonjolkan diri melebihi pelakon utama. Agak melucukan dengan penggunaan dialog yang menyelitkan perkataan “SMS”, “shut up”, “prepaid” dan “afundi” sebagai suntikan humor.
Aspek Teknikal
Saya terlalu kagum melihat tatacahaya yang dicipta oleh Abdul Jalil Ngah. Kesan dramatik yang diwujudkan berjaya sampai kepada penonton. Pencahayaan di satu babak terlalu spektakular saya kira. Unsur kekaguman begitu terserlah di dalam pementasan ini. Lebih mengkagumkan, ia hanyalah sebuah persembahan makyong. Saya begitu kagum.
Melihatkan penggunaan sidang video menonjolkan unsur-unsur multimedia di dalam persembahan ini. Secara tidak langsung, pementasan ini mendidik penonton tentang apa itu teknologi maklumat serta teknologi terkini yang ada di Malaysia.
Rekaan pentas yang minimal tetapi penggunaannya dimanafaatkan sepenuhnya. Pentas hidraulik yang seringkali menimbulkan masalah memberikan kerjasama yang baik untuk persembahan kali ini. Kostum juga turut memainkan peranan yang penting untuk memantapkan persembahan tersebut.
Secara keseluruhannya, kekuatan teknikal berjaya memberi satu nafas baru kepada sebuah pementasan makyong. Kekaguman teknikal berjaya dirangkumkan untuk menjadikan pementasan ini begitu cemerlang. Tahniah saya ucapkan buat Tenaga Produksi Makyong Raja Tangkai Hati !
0 komen