Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 26 August 2003

Live Music Concert - Poems For The World

Konsert Live Music “Poems For The World” dengan tema Love & Peace for All berlangsung pada 22 Ogos 2003 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur dengan menjanjikan sesuatu yang baru kepada penonton.

Konsert tersebut dibarisi nama-nama besar di dalam industri muzik Malaysia dan Indonesia selain daripada pelakon terkenal filem “Ada Apa Dengan Cinta”. Nama seperti Zainal Abidin, VE, Prof Dr. Wan Zawawi, Mahadzir Lokman, Fazley, Ruth Sahanaya, Reza Artamefia, Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra merupakan nama-nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Mereka terlalu hebat di dalam bidang masing-masing.

Komen keseluruhan
Pertama kali memasuki dewan persembahan, melihatkan rekaan set yang hambar menyebabkan hati terdetik, “apakah ini satu persembahan yang bertaraf antarabangsa ?”. Namun demikian, apabila persembahan bermula, rekaan tatacahaya yang terbaik menyebabkan dewan serta latar belakang pentas yang kosong menjadi hidup. Teknik letupan serta cahaya yang menghidupkan suasana malam tersebut. Penggunaan muzik iringan live ternyata benar-benar memukau tetapi sayangnya tirai menjadi penghalang pamdangan penonton. Kehebtan mereka tidak dapat ditonton walaupun telah memberikan persembahan yang cemerlang. Lebih menyedihkan nama pemain muzik tidak tertera di dalam buku cenderamata. Kekuatan persembahan ini merupakan permainan muzik live oleh mereka dan sumbangan mereka sewajarnya diiktiraf.

Gabungan lima unsur seni iaitu seni tari, seni teater, seni muzik, seni tampak dan seni layar dijalin menjadi satu persembahan untuk membawa makna kesedaran dan keinsafan kepada penonton.

Konsert tersebut dibahagikan kepada empat segmen yang membawa makna kemanusiaan (humanism), suara keamanan (voice of peace), cinta dan keamanan (love and peace) dan satu dunia (one world).

PFTW
Persembahan dimulakan dengan sebuah pentomin oleh kanak-kanak dari Yayasan Pendidikan Cheras. Gerak tari yang amat meyakinkan menerapkan unsur moral serta kesedaran akan peri pentingnya kanak-kanak sebagai generasi masa depan.

PFTW
Persembahan puisi oleh Prof Dr Wan Zawawi benar-benar memukau. Beliau menyanyikan lagu yang membawa lirik yang benar-benar membawa mesej kemanusiaan. Kami berjalan ke arah yang tenang, Kami melangkah dari malam gersang, Kami yang bebas dari dataran kering. Kehebatan beliau memetik gitar amat baik.

PFTW
Persembahan Zainal Abidin seorang yang layak digelar penghibur membawakan lagu Dua Dunia yang diadaptasi dari lagu tema filem Tarzan. Iringan muzik sewaktu persembahan konsert ini amat cemerlang. Kumpulan muzik berjaya membawakan lagu dengan baik sekali, tetapi sayangnya terdapat tirai yang melindung pandangan penonton dari melihat mereka beraksi cemerlang.

PFTW
Segmen suara keamanan menampilkan Mahadzir Lokman yang melagukan puisi keramat Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang iaitu Kekasih. Dalam banyak-banyak versi lagu Kekasih, inilah lagu puisi Kekasih yang terbaik pernah saya dengar.

PFTW
Reza Artamevia menyanyikan 3 buah lagu termasuk sebuah lagu bertajuk Dia dendangan asal oleh Sheila Majid. Kehebatan vokal beliau tidak wajar dipertikaikan. Lebih menarik ialah penataan cahaya yang menyerlah penampilan beliau di atas pentas. Penari iringan juga tidak kurang hebatnya yang telah dikoreografkan oleh Jecko Simpo, Siti Ajeng Soelaiman, Norjayadi Jasan dan Suhaimi Magi.

PFTW
Penantian penonton akhirnya terbalas apabila muncul Nicholas Saputra di pentas persembahan mendeklamasikan puisi bertajuk Gunung dan Sungai karya Pablo Neroba. Populariti aktor kacak ini menjadi tunjang kekuatan persembahan konsert ini.

PFTW
Seketika kemudian, muncul Dian Sastrowardoyo mendeklamasikan sajak yang bertajuk Ini Bukan Dongeng hasil karya Aspar Panturusi dengan penuh berkesan. Kekuatan persembahan Dian adalah elemen spektakular yang disuntik dalam persembahan beliau. Persembahan beliau nampak begitu cemerlang serta koreografi yang menarik. Kemunculan beliau yang diusung masuk dari luar pentas amat menarik.

PFTW
Kemunculan VE mendendangkan beberapa buah lagu saya kira merupakan satu pendedahan buat mereka. Namun demikian, mereka saya kira telah berjaya menarik segolongan peminat untuk terus menonton persembahan mereka dari awal sehingga akhir. Elemen anak muda perlu disuntik untuk persembahan sedemikian untuk menarik golongan anak muda menghargai karya seni sebegini. Tanpa mereka, agak sukar untuk melihat dewan penuh dengan penonton yang kebanyakannya dari golongan kelas atasan yang rata-rata hanya meminati Ruth Sahanaya, Zainal Abidin yang mewakili golongan penyanyi yang sudah berumur dan mempunyai nama besar dalam industri.

PFTW
VE kemudian berganding dengan Reza Artamevia mendendangkan lagu Biarkan Menjadi Kenangan sebagai mengakhiri segmen suara keamanan. Gandingan vokal mereka amat cemerlang.

PFTW
Segemen cinta dan keamanan dimulakan dengan persembahan bertenaga dari Zainal Abidin. Penyanyi yang sinonim dengan lagu Hijau ini mendendangkan lagu Garam, Gaia dan Pantun. Gaia merupakan sebuah lagu terbaru dari beliau. Kebolehan beliau berkomunikasi dengan penonton membuktikan beliau seorang penghibur yang berjaya. Bukan sekadar topik hiburan, malah beliau mampu untuk membincangkan senario ekonomi Malaysia. Kepetahan beliau berkomunikasi merupakan satu yang harus saya puji.

PFTW
Kemunculan Ruth Sahanaya memang ditunggu-tunggu. Beliau mendendangkan beberapa lagu popularnya seperti Keliru, Tak Ku Duga dan sebuah lagu siulan ramai iaitu Kaulah Segalanya. Beliau turut mendendangkan dua buah lagu terbarunya iaitu Maafkan Kepergianku dan Ku Tergoda dengan baik.

PFTW
Sebagai mengakhiri segmen cinta dan keamanan, muncul pasangan popular Nicholas Saputra dan heroinnya Dian Sastrowardoyo mendeklamasikan sajak bertajuk Tanah Airku karya penyair terkenal Indonesia Jose Rizal Manua. Mereka muncul berpakaian tradisional Jawa.

PFTW
Segmen satu dunia bermula dengan kesilapan teknikal. Masalah gangguan pembesar suara menyebabkan konsentrasi penonton terganggu. Ruth Sahanaya dan Reza Artamevia berpadu suara dengan VE menyampaikan lagu Imagine. Tanpa persediaan yang cukup, sorotan lampu spot kelihatan kelam-kabut mengikut pergerakan penyanyinya menjadikan penglihatan penonton terganggu.

PFTW
Sebelum mengakhiri persembahan segmen satu dunia, Fazley mengambil giliran untuk muncul di pentas. Saya terpinga-pinga. Di manakah hebatnya penyanyi ini yang layak untuk mengambil giliran terakhir muncul untuk membuat persembahan ? Saya tertanya-tanya. Persembahan beliau jelas tidak kena dengan konsep konsert tersebut. Itu belum diambil kira kehebatan beliau menyanyi secara live. Saya sendiri tidak dapat mengaitkan signifikan lagu Hari Minggu dan Beautiful Maria dengan segmen satu dunia. Penampilan beliau kelihatan dibuat-buat ditambah dengan persembahan di skrin yang menampilkan imej beliau sejak kecil hingga dewasa. Saya masih belum dapat mencari kesesuaiannya lagi akan kewujudan videoclip tersebut. Pakaian ala-ala The Matrix nampak memualkan dan imej di skrin lebih mendukacitakan. Namun demikian, jika beliau terpilih kerana role-model penyanyi muda yang berpendidikan tinggi, memang sewajarnya beliau layak untuk mengisi kekosongan tersebut.

PFTW
Persembahan terakhir merupakan bacaan puisi oleh YB Senator Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Amir Rifaat mewakili Yayasan Pendidikan Cheras dan Fazley.

Konsert Poems For The World merupakan sebuah konsert amal anjuran Mahligai Satu Entertainment yang bertujuan untuk mengutip dana bagi mengisi Tabung Yayasan Pendidikan Cheras. Kehadiran Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menjadikan konsert tersebut lebih bermakna.

PFTW
Lagu We Are The World menutup persembahan konsert tersebut. Seperti kekurangan lagu yang sesuai untuk didendangkan sebagai mengakhiri persembahan tersebut.

Konsert ini akan disiarkan di saluran NTV7 pada 1 September 2003.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger