Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 05 February 2004

Imbasan Akademi Fantasia
Imbasan Akademi Fantasia 01-04 oleh sultanmuzaffar

Tetamu : Puan Fatimah Abu Bakar & Linda Jasmine

Episod kali ini agak mendatar. Tiada yang menarik kecuali kemunculan Cikgu Linda Jasmine yang sentiasa kelihatan menarik baik di dalam rancangan mahu pun di luar rancangan. Selain daripada itu Cikgu Fatimah Abu Bakar yang menjadi guru seni lakon turut sama memberikan pendapat.

Apabila ditanya tentang apakah yang dinilai oleh Cikgu Fatimah, beliau menjawab agak sukar untuk memberikan jawapan. Dalam kelas beliau yang perlu dibentuk adalah karisma seseorang pelajar, cara mereka membawa diri mereka. Ada di antara aspek tersebut yang tidak boleh diajar, ia datang dengan sendirinya. Beliau memberi contoh tentang Atie yang mempunyai perwatakan yang agak unik. Cara beliau membawa diri dalam Akademi Fantasia punya karisma tersendiri.

Kelas Cikgu Fatimah agak lebih bersifat motherly. Beliau seorang yang lemah lembut dengan pelajarnya. Ini berbeza dengan kelas Cikgu Linda Jasmine yang agak tegas sewaktu sessi beliau.

Burn merupakan pelajar yang agak tidak menonjol dalam kelas tarian beliau. Bukan kerana tidak berbakat atau pun kerana mempunyai susuk tubuh yang agak besar tetapi kerana rentak dan tempo. Sesetengah orang agak sukar untuk dapat mengikut tempo satu-satu lagu.

Seperti kelas Improvisasi yang bertujuan untuk membuang rasa segan para pelajar. Para pelajar perlu dibentuk agak tidak mudah kekok apabila berhadapan dengan realiti. Suasana seronok di dalam kelas dilakukan untuk mewujudkan rasa mudah belajar kepada mereka. Apabila keseronokan itu diperoleh maka apa yang dipelajari akan lebih mudah didapati.

Aznil mengajukan soalan tentang kelas seni lakon yang sedikit sebanyak menunjukkan para pelajar dilayan seperti kanak-kanak tadika. Cara untuk membuang rasa malu dan segan adalah dengan kita kembali ke zaman kanak-kanak. Saya akui perkara tersebut. Sewaktu zaman kanak-kanak adalah satu zaman yang menyeronokkan.

Cikgu Linda Jasmine pernah kelihatan sedikit kecewa dalam kelas tariannya. Perubahan sikap para pelajar terhadap sessi pembelajaran agak mengecewakannya. Beliau menegur para pelajar berkenaan dan ada perbezaan pada hari-hari yang berikutnya.

Ini berbeza dengan kelas Cikgu Fatimah. Beliau tidak menjerit memarahi para pelajar tetapi menggunakan pendekatan psikologi yang lebih baik. Beliau akan memanggil mana-mana pelajar yang kelihatan tidak mengambil perhatian. Masa kelas seni lakon adalah sekitar waktu pagi oleh yang demikian tahap konsentrasi mereka masih tinggi berbeza dengan kelas seni tari yang agak petang menyebabkan konsentrasi mereka sudah berkurangan.

Salah satu kelebihan Akademi Fantasia ialah para pelajar berpeluang untuk bertemu dengan bintang-bintang sebenar di dalam dunia hiburan. Ia dapat membina keyakinan para pelajar apabila peluang tersebut diperolehi.

Bakat lakonan yang terserlah di dalam kelas Cikgu Fatimah agak sukar untuk dinilai sekarang. Antara pelajar yang menyerlah dan tidak mudah rasa segan ialah Atie, Nana, Vince dan Rosma. Liza yang lebih reserved dan agak pemalu tidak cepat menunjukkan reaksi untuk participate.

Dalam kelas seni tari pula, Nana antara pelajar yang senang dibentuk. Beliau kelihatan enjoy apabila menari. Begitu juga dengan Sahri yang tidak segan untuk terus mencuba melakukan tarian-tarian yang agak menarik dipersembahkan. Cikgu Linda tidak takut dengan kritikan yang mengatakan pengajaran beliau kepada Sahri akan hanya membuat Sahri menjadi bahan ketawa. Ini jelas sudah dibuktikan bahawa kebanyakan penonton menyukai persembahan Sahri.

Sewaktu Cikgu Fatimah mengajar Atie membaca lirik Save The Best For Last. Beliau mengakui, kerja-kerja motivasi adalah tugas semua tenaga pengajar. Beliau perlu memberi lebih motivasi kepada para pelajar yang menghadapi masalah.

Komen Tenaga Pengajar
Puan Linda Jasmine
Azizi
Beliau mempunyai vokal yang amat cantik dan unik. Magic ! Beliau sesuai sebagai penyanyi solo dan bukannya berkumpulan. Beliau lebih selesa berseorangan.

Liza
Banyak yang masih disimpan oleh Liza. Mempunyai bakat yang bagus tetapi tidak dipergunakan. Beliau masih tidak all-out.

Puan Fatimah Abu Bakar
Burn
Beliau mempunyai vokal yang merdu dan indah. Agak besar tubuhnya menyebabkan beliau agak segan dan malu-malu. Beliau tidak berkeyakinan tinggi dan tidak percaya mempunyai bakat yang ada dan masih meragui sejauh mana beliau boleh pergi.

Atie
Seorang yang bermenangat tinggi dan mempunyai karisma yang agak unik. Energy beliau amat berbeza dengan rakan-rakan pelajar yang lain. Seorang yang ceria. Apabila patah semangat beliau akan cuba untuk menyembunyikan kesedihan tersebut dan terus menunjukkan wajah ceria.