Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 18 February 2004

SMWawancara bersama
sultanmuzaffar
oleh
http://ayon.blogspot.com

Nama sultanmuzafar kini sentiasa bermain di bibir para pembaca dan pembikin blog terutamanya kepada para peminat Akademi Fantasia. Ianya begitu sinonim dengan beliau. Tulisan dan ulasan yang beliau hidangkan adalah amat menarik sehingga mendapat liputan meluas dari pihak media, namun kadangkala ianya mencetuskan sedikit kontroversi di kalangan segelintir para peminat fanatik akademi fantasia yang tidak berpuas hati dengan pandangan yang beliau berikan, namun saya sebagai salah seorang pembikin blog dan juga peminat blog beliau, merasakan bahawa usaha yang telah beliau lakukan adalah amatlah membanggakan dan sesuatu yang berani.

Kegigihan yang beliau tonjolkan akhirnya berbaloi apabila blog yang beliau hasilkan telah memenangi anugerah sebagai "Best Malaysian Blog" dalam "The Asia Blog Awards 2003". Tahniah diucapkan.

Secara peribadi, saya mengenali sultanmuzaffar setelah tercetusnya fenomena besar industri hiburan tempatan iaitu Akademi Fantasia, sehingga kini beliau telah banyak mengajar saya selok belok dalam membikin sebuah blog yang hebat dan beliau juga merupakan rakan "virtual" saya yang begitu banyak memberi pandangan tentang hidup secara keseluruhannya.

Dikesempatan ini saya telah berpeluang untuk mewawancara beliau. Topik perbualan saya dengan beliau lebih berkisar tentang akademi fantasia, industri hiburan juga sedikit menyentuh berkenaan peribadi beliau. Sama-sama kita amati wawancara saya bersama sultanmuzaffar.

Wawancara penuh boleh didapati di http://ayon.blogspot.com.

3) Ceritakan rutin kehidupan harian anda serba ringkas, dan apakah pekerjaan yang anda lakukan sepenuh masa?

SM: Bangun pagi terus online sebentar dan kemudian bergegas ke pejabat. Seharian di pejabat, petang saya pulang. Waktu malam saya akan menonton televisyen sekiranya ada rancangan yang menarik perhatian saya. Buat masa ini saya menonton CSI:Crime Scene Investigation, Survivor All-Stars, American Idol dan Imbasan Akademi Fantasia. Sekiranya ada, saya akan pergi menonton wayang atau teater. Hujung minggu saya akan banyak menghabiskan masa di rumah sahaja. Saya bertugas sebagai Jurutera Multimedia Kanan di salah sebuah syarikat multimedia tempatan. Tugas saya banyak melibatkan diri dengan komputer. Buat rekabentuk laman internet serta membuat penyelidikan tentang teknologi terkini dalam e-pendidikan.

4) Untuk menjadi penghibur yang hebat apakah ciri-ciri yang perlu ada, dan adakah rancangan seperti akademi fantasia merupakan platform terbaik untuk mengenengahkan bakat-bakat baru? Di mana hilangnya taring Bintang RTM?

SM: Untuk melabel seorang penyanyi dan penghibur merupakan satu tugas yang agak berat. Pada pandangan saya, ciri-ciri seorang penghibur yang hebat ialah mereka yang mampu mengumpan perhatian penonton untuk menonton persembahan mereka dari minit pertama sehingga minit terakhir. Mereka juga harus mempunyai skil berkomunikasi yang terbaik dan mampu merapatkan jurang perbezaan antara beliau dan penonton atau peminat beliau.

Saya tidak bersetuju dengan soalan yang menyatakan Bintang RTM telah hilang taringnya. Bintang RTM tidak pernah hilang taringnya, cuma minat orang ramai untuk menyertai pertandingan tersebut semakin berkurangan. Apabila minat semakin berkurangan, secara tidak langsung peserta yang bertanding dalam pertandingan tersebut tidak berkualiti kerana tidak banyak pilihan yang ada. Perkara yang sama berlaku kepada Akademi Fantasia musim pertama. Adakah peserta yang terpilih untuk AF musim pertama benar-benar berkualiti ? Pada pendapat saya tidak berkualiti kerana tidak ramai yang sedar wujudnya pertandingan tersebut pada waktu itu menyebabkan peserta yang terpilih hanya di kalangan yang biasa-biasa sahaja. Untuk musim kedua saya mengharapkan persaingan lebih terbuka dan agak sengit kerana bilangan yang menyertai ujibakat agak ramai. Bertaring atau tidak saya letakkan pada kualiti peserta dan kualiti pertandingan itu sendiri. Bintang RTM masih mampu menyediakan platform untuk menghasilkan seorang penyanyi yang baik dan yang kekal sehingga kini. Akademi Fantasia belum cukup matang untuk membuktikan hal ini kerana hasilnya masih belum cukup masak.

5) Siapakah peserta kegemaran anda dalam akademi fantasia musim yang pertama dan kenapa anda memilih beliau?

SM: Saya meminati semua. Pada pandangan saya setiap seorang daripada mereka mempunyai keterampilan masing-masing. Mereka mempunyai identiti masing-masing. Selain daripada bakat saya lebih suka melihat seorang artis itu mempunyai asas yang kukuh dalam ilmu muzik serta taraf pendidikan yang tinggi. Itulah keunikan Akademi Fantasia, pelajar dari pelbagai latarbelakang digabungkan menjadi satu keluarga dan penonton dihidangkan dengan segala keunikan masing-masing. Keunikan pelajarlah yang memaku penonton dari awal sehingga akhir untuk menikmati rancangan ini. Vince dengan vokal beliau, Azizi dengan suara jantannya, Burn dan Nana dengan sensasi percintaan mereka, Azza dengan kemanjaannya, Liza dengan baju pinknya, Rosma dan Khai juga sensasi percintaan mereka, Sahri kerana kemontelan serta suaranya baik, Adi kerana sifat poyonya, Nija kerana kenakalannya dan Atie kerana air matanya.

6) Jika di lihat dari pencapaian para graduan akademi musim pertama, siapakah yang anda rasakan mampu pergi lebih jauh dalam bidang seni, dan kenapa anda berpandangan begitu?

SM: Vince mempunyai kelebihan dari segi mutu vokal dan pakej yang mampu menarik perhatian penonton dan pembeli kaset. Saya akan beli kaset beliau kerana terpegun dengan penguasaan Bahasa Melayunya. Amat baik sekali. Beliau mempunyai impian yang jauh dalam bidang muzik dan memberikan komitmen yang tinggi kepada perkembangan kerjayanya. Selain daripada itu beliau dibantu rapat oleh kakaknya dan ini secara tidak langsung kerjayanya dirancang dengan baik.

9) Siapakah artis malaysia yang paling anda sanjungi dan kenapa?

SM: Sheila Majid. Saya membesar dengan lagu beliau. Dari Pengemis Muda hinggalah Ku Mohon. Dari zaman beliau bersih dari sebarang gossip sehinggalah kepada zaman keruntuhan rumahtangga beliau bersama Roslan Aziz. Saya tetap meminati beliau. Saya tidak akan ketinggalan menyaksikan persembahan konsert beliau jika ada kesempatan. Walau sehebat mana pun Siti Nurhaliza mengumpul anugerah, saya tetap meminati Sheila Majid.

11) Peristiwa yang tidak pernah anda lupakan ketika berada bersama kelompok insan seni?

SM: Pengalaman berlakon sebagai Leman dalam teater Rumah Kedai Jalan Seladang dengan Akar Gita Estetika. Ia merupakan teater yang pertama saya terlibat secara langsung. Memegang peranan utama agak mencuakkan saya. Saya tidak pandai berlakon lebih-lebih lagi dalam waktu yang sama saya perlu mempelajari asas bermain teater. Teknik-teknik seperti kaedah melontarkan suara, tindakbalas terhadap pelakon lain serta menjaga stamina di atas pentas perlu saya pelajari dalam waktu yang singkat. Saya sebenarnya tidak gemar menghafal dialog. Mujur dialog untuk Leman tidak banyak dan watak beliau hanya sebagai seorang pendengar yang baik dan tidak banyak bercakap. Berlakon bukan merupakan perkara yang paling saya suka tetapi kerana ingin membantu rakan saya lakukan juga. Kadang-kadang bila sudah panik macam-macam boleh berlaku seperti bilamana dalam satu adegan saya keluar dari pentas lakon melalui dinding rumah. Memang melucukan.

14) 5 perkara yang paling anda gemari dan 5 perkara yang anda benci?

SM: Suka: Main SMS, surf internet, menonton teater, menonton wayang, mengambil gambar
Benci : Traffic jam, pemandu Malaysia yang berlagak, busy-body, network down, lalat

15) Kejayaan besar yang telah anda capai sepanjang kehidupan anda dan kesilapan paling besar yang anda telah lakukan?

SM: Setelah 30 hari mencari cinta, saya menjumpainya.

16) Adakah minat seseorang itu sebagai contohnya seni dan hiburan, mencerminkan keperibadian seseorang itu yang sukakan kehalusan dan kelembutan?

SM: Sensitif lebih tepat. Orang seni ini jiwanya agak sensitif. Mereka mudah terasa.

21) Hidup adalah suatu perjalanan yang amat sukar dan berliku, bagaimanakah anda mengemudi hidup anda, sekiranya anda berada dalam situasi yang kacau?

SM: Go with the flow !

22) Anda mempunyai wajah yang kacak dan menarik, tidakkah anda merasakan bahawa dengan kelebihan yang ada pada anda membolehkan anda terjun kedalam dunia seni dengan lebih serius dan sepenuh masa bukan hanya sebagai pengkritik sahaja?

SM: Saya lebih cenderung untuk berada di belakang tabir. Lebih privacy.

23) Dalam lima patah perkataan, perjelaskan personaliti anda?

SM: I donno what to say !

Terimakasih Muzz kerana telah memberikan kerjasama yang amat baik. Di harap blog anda akan terus menjadi perhatian ramai. Sama-samalah kita layari sultanmuzaffar dan terus memberi sokongan kepada beliau.