Diari Akademi Fantasia Minggu 02 Episod 03
Secara jujur setelah selesai menonton Diari ini saya tidak tahu apa yang harus diulas. Tidak banyak komen yang boleh diberikan. Tetapi sekiranya dinilai dari aspek menghiburkan, diari ini sebuah diari yang agak menghiburkan.
Masing-masing giat berlatih lagu masing-masing setelah ditegur tentang prestasi mereka pada minggu lepas. Antara persembahan latihan yang saya ingat ialah Elliza, Idayu, Felix dan Mawi. Elliza menyanyi di depan cermin. Idayu sambil mencuba gerak tarinya. Memang agak sedap suara beliau. Felix sambil bergelek membawakan lagu Berjuta Batu. Mawi turut dibantu oleh Felix untuk lagunya.
Cikgu Siti Hajar agak tegas pada kelas hari ini. Beliau menegaskan yang pengalamannya berada di dalam industri selama lebih 15 tahun membuatkan beliau mempunyai satu harapan terhadap pelajar-pelajarnya. Sekiranya pelajar-pelajar beliau tidak dapat melaksanakannya dengan baik, akan menyebabkan beliau sedikit tidak sabar.
Beliau menekan betapa pentingnya hissing, bubbling dalam mendalami asas-asas teknik vokal. Latihan dibuat untuk setiap pelajar. Felix contohnya masih menahan vokalnya dan vokalnya tidak dilontarkan sepenuhnya.
Dalam kelas Cikgu Adnan, pelajar diajar tentang low tone dan multi tone. Semua pelajar diasuh tentang seberapa rendah vokal mereka boleh capai. Menurutnya lagi, Felix, Mawi dan Yazer antara pelajar yang mempunyai vokal yang tinggi. Mampu mencapai note-note yang tinggi.
Dalam Kelas Tarian, Cikgu Linda membantu pelajar tentang counting dan timing. Dengan menggunakan muzik, pelajar dikehendaki cuba memasukkan diri mereka ke dalam muzik tersebut. Ada di antara pelajar yang tidak dapat mengira dengan betul. Mawi berkali-kali mencuba untuk mendapatkan timing yang betul.
Pengetua M.Nasir terkejut besar apabila Mawi memilih untuk meneruskan irama pop nasyid apabila keluar daripada Akademi Fantasia kelak. Tetapi di dalam Akademi Fantasia, setiap pelajar akan diuji dengan pelbagai jenis lagu. Baik irama Malaysia, pop, R&B, rap, balada dan jika bernasib malang mendapat lagu keroncong. Memang sukar tetapi itulah cabaran Akademi Fantasia. Bob berjaya membawakan lagu Alhamdulillah dengan baik, begitu juga dengan Adam dengan lagu Keroncong Untuk Ana di Akademi Fantasia. Kita tentu masih ingat, bagaimana Nana menangis kerana mendapat lagu Halaman Cinta yang nyata bukan forte beliau. Apa pula kejutan yang akan berlaku dari aspek pemilihan lagu pada musim ini.
Frasa Kukikiskukukakikakakkukikiskukukakikakakku diulang-ulang oleh pelajar untuk latihan tumpuan. Setiap pelajar harus mempunyai imaginasi untuk bercerita di dalam kepala lalu secara mudah mampu memberikan tumpuannya terhadap frasa tersebut. Berimaginasi secara kreatif membolehkan minda berfunsi dengan baik. Perkara yang sama juga untuk lirik lagu. Setiap pelajar harus bercerita kepada minda masing-masing tentang cerita di sebalik lirik lagu mereka dan ini membolehkan mereka menghafal lirik lagu dengan mudah.
Segmen ekspresi agak melucukan dengan setiap pelajar harus melakukan ekspresi suka, marah, takut, bosan, sedih, gembira dan lain-lain lagi. Sekali lagi saya suka melihat bagaimana Cikgu Marlia menyiksa Felix dan Mawi.
Diari Akademi Fantasia Minggu 02 Episod 04
Pertambahan dua alat baru di dalam Akademi mengejutkan saya. Akademi Fantasia menjadi sesuatu yang berbeza dari musim-musim yang sebelumnya. Kali ini terpasang dua buah kamera di dalam asrama pelajar lelaki dan perempuan. Kamera tersebut turut terpasang dengan pembesar suara di ruang tamu asrama. Selain 14 kamera tersembunyi yang ada di dalam Akademi, 2 kamera pengakuan di dalam Akademi dan kini 2 kamera di asrama.
Agak sukar juga untuk para pelajar bergossip sesama mereka kecuali di dalam bilik tidur. Kamera tersebut telah merakamkan kerisauan Marsha yang masih tidak berapa sihat. Marsha jelas masih kurang yakin dengan dirinya dan lebih-lebih lagi dalam keadaan dirinya yang masih belum sihat sepenuhnya.
Agak seronok apabila dapat melihat Mawi dan Marsha mencuba menari di dalam Kelas Tarian. Sememangnya pergerakan Mawi agak keras. Lebih keras berbanding Felix. Tarian Mawi membolehkan tarian Felix nampak kelihatan lebih baik walaupun kedua-duanya keras. Agak sepadan dan lucu melihat Mawi dan Marsha cuba mengejar rakan-rakannya dalam gerak tari tersebut. Mereka harus dibantu oleh rakan-rakan mereka. Harus ada inisiatif untuk mengikuti kelas tambahan bersama rakan-rakan mereka.
Cikgu Ee menasihatkan mereka agar lebih alert. Akma dan Amy turut membantu Marsha mendapatkan stepnya. Mereka telah memberikan semangat kepada Marsha untuk mendapatkan stepnya.
Saya merasa gembira kerana Cikgu Siti Hajar kembali dalam Kelas Nada Suara. Beliau telah mengajar tentang cara pernafasan dan sebutan sambil membuat ekspresi wajah. Sewaktu kelas tersebut, Marsha menangis di bawah kerana masih kurang semangat dalam kelas tarian.
Cikgu Ee menasihatkan Marsha agar mencontohi Felix yang pada mulanya tidak tahu menari tetapi masih ingin belajar. Bezanya, Felix tidak menangis tetapi telah mencuba untuk melakukan yang terbaik. Hasilnya boleh dilihat di dalam Konsert minggu lepas.
Marsha menghadapi masalah yang besar sekiranya terus menangis tetapi tidak berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk memperbaiki kelemahannya. Beliau harus membuktikan yang beliau sememangnya layak berada di Akademi Fantasia.
Lebih seronok apabila melihat sesi di dalam Kelas Seni Persembahan. Pelajar mula menyerlahkan diri mereka tanpa rasa segan silu. Semacam kemasukan Mawi dan Marsha membawa satu aura baru ke dalam Akademi Fantasia.
Permainan “Alphabet Circle” mengajar mereka tentang bagaimana menangani perasaan gemuruh. Semakin dekat bola itu bergerak ke arah mereka. Sepatutnya mereka lebih tenang dan fokus kepada melaksanakan tugas mereka dan bukannya semakin kelam-kabut ingin menghabiskan tugasan mereka.
Permainan kedua menekankan tentang aspek fokus dan memberikan tumpuan. Masing-masing menampilkan gaya ditembak yang melucukan dan menarik. Keceriaan di dalam Diari semakin dirasai. Sifat-sifat pelajar semakin menyerlah. Keceriaan mereka juga semacam keceriaan yang sebenar-benarnya.
Sembang bersama Cikgu Siti Hajar
Amylea, Akma dan Idayu duduk bersama Cikgu Siti Hajar mendapatkan nasihat beliau tentang kualiti. Cikgu Siti Hajar menyarankan kepada mereka agar mengajar penonton tentang erti kualiti. Setiap pelajar harus melakukan persembahan mereka dengan berkualiti tanpa perlu menghiraukan aspek personaliti dan fizikal.
Sesi ini amat penting kepada penonton agar mereka tahu yang mereka harus menilai kualiti pelajar. Tugas pelajar adalah untuk mempersembahkan yang terbaik. Ajar penonton erti kualiti dan nescaya mereka akan menghargainya. Tidak kiralah seandainya bentuk fizikal tidak menepati kehendak penonton, tetapi pelajar harus meneruskan persembahannya dengan menampilkan kualiti.
Mereka harus menganggap fizikal sebagai cabaran mereka untuk terus melakukan yang terbaik. Saya melihat Amylea, Idayu mempunyai kualiti yang baik tetapi mereka merasa rendah diri dengan kelebihan fizikal dan personaliti yang ada pada pelajar yang lain. Ini secara tidak langsung menyebabkan tumpuan mereka terganggu. Idayu nampak tidak terganggu sangat kerana telah menampilkan persembahan yang cemerlang. Ini berbeza dengan Amylea yang jelas terganggu.
Astro.TV
Anda boleh melihat mereka, tetapi tidak sebaliknya ! Saksikan karenah pelajar di dalam Akademi. Saksikan mereka di dalam Diari Xtended, siaran Diari Akademi selama lebih 4 jam dari siaran biasa sehari.
0 komen