Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 29 June 2005

Diari Akademi Fantasia Minggu 05 Episod 05

Diari Akademi Fantasia Minggu 05 Episod 06
Happy Birthday Aidil ! Hari ini hari lahir Aidil yang ke 21. Aidil mengucapkan kata-kata rindu kepada ibunya dan keluarganya melalui kamera. Semua orang tahu hari ini hari lahir Aidil tetapi semua orang buat-buat tidak tahu. Memang nampak suram juga wajah Aidil sambil-sambil beliau berbasikal sebelum waktu sarapan. Yang lain-lain selamba saja makan tanpa menghiraukannya.

Namun demikian, mereka kemudiannya dikejutkan dengan sekotak hadiah. Pelajar lain mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Aidil. Yang pelik apabila kotak hadiah tersebut adalah untuk Felix. Felix sendiri terkejut kerana hari lahirnya ialah pada 3 April. Felix membuka kota hadiah tersebut dan ada seekor semut merah. Memang nampak Aidil tersenyum pahit. Kasihan sungguh. Tidak cukup dengan itu, setiap pelajar lain diminta untuk mencari kotak hadiah yang lain yang ada di dalam rumah tersebut. Semua mendapat sebuah tetapi tiada untuk Aidil. Memang boleh terjejas emosi Aidil sekiranya mengambil serius tentang perkara tersebut.

Kelas Tarian Cikgu Ee
Agak sukar juga koreograf yang direka untuk lagu Reza. Setiap pelajar diajar untuk sama-sama belajar sebuah tarian Melayu. Setiap pelajar memberikan kerjasama yang baik. Kalau dulu Felix dan Mawi sukar untuk menari. Kali ini mereka yang beria-ria. Semacam ada yang tidak kena dengan tarian Kefli. Tidak seperti yang diajar oleh Cikgu Ee pada beberapa hari lepas. Lagu untuk Marsha juga memerlukan mereka menari. Nampak ok juga tarian Marsha.

Selesai latihan, Cikgu Ee turut mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Aidil. Sekali lagi semua pelajar buat-buat tidak tahu sahaja.

Kelas Seni Persembahan Cikgu Marlia
Saya suka dengan gaya Aidil membawakan lagunya. Saya rasa kalau Aidil lebih banyak bergerak dan berikan pergerakan-pergerakan reggae tentunya lebih menarik. Lagu Senyuman Ragamu juga merupakan sebuah lagu yang agak rancak dan memerlukan penyanyi bergerak dan menguasai pentas. Lebih-lebih lagi jika dapat menarik perhatian penonton untuk menari bersama-samanya.

Persembahan Amy masih biasa lagi kerana masih di peringkat awal. Persembahan vokalnya juga masih ada yang sumbang-sumbang. Amy harus merasai menggunakan pengalaman bercintanya untuk menghayati lagunya. Lagu tersebut lagu Sheila Majid dan tentunya merupakan cabaran yang besar untuk memuaskan hati saya sendiri. Seiingat saya Sheila Majid menyanyikan lagu ini dengan perasaan yang agak gembira kerana ia menceritakan pengalamannya bercinta yang melibatkan dua tempat.

Yazer masih belum merasai cinta untuk lagunya iaitu Takdir Penentu Segalanya. Cikgu Marlia menyepitkan rambutnya ke belakang. Sudah beberapa konsert, rambut Yazer adakalanya mengganggu persembahannya. Ekspresi wajahnya tidak jelas kelihatan.

Felix memerlukan lebih banyak bantuan pelajar perempuan dalam persembahannya. Terlalu banyak bantuan seakan-akan mengundang lebih banyak kesilapan dalam persembahannya dan mampu mengganggu persembahannya. Lagu tersebut agak rancak dan sekiranya tidak dikawal dengan baik, persembahan Felix akan menjadi sedikit serabut.

Sekiranya apa yang ditonton dalam persembahan latihan untuk Kefli berlaku dengan baik tentunya ia bakal menjadi sebuah persembahan yang amat baik. Penghayatannya perlu jitu untuk lagu ini.Aksi-aksi yang jarang-jarang kita lihat akan dapat ditonton. Tentunya aksi-aksi tersebut akan memberikan momen persembahan yang tidak akan dilupakan. Nyanyiannya masih jelas sumbang di beberapa bahagian. Kefli tidak sustain note tersebut dengan baik.

Marsha perlu mewujudkan suasana cabaret dalam persembahannya. Tanpa aksi-aksi eksi seperti yang dilakukan oleh Akma, tetapi sekadar aksi yang tidak keterlaluan untuk dipersembahkan. Kalau lebih menarik, sekiranya dijelmakan suasana penari joget zaman-zaman Lantai T.Pinkie di atas pentas. Tentu ia akan menimbulkan nostalgia kepada zaman tersebut.

Seksa juga apabila melihat Mawi dilibas-libas dengan shawl oleh Cikgu Marlia untuk memberikan mood sakit kepada Mawi. Tidak cukup dengan libas, Cikgu Marlia turut mencubit-cubit Mawi. Cikgu Marlia masih belum berpuas hati dengan kualiti persembahan dan penghayatannya. Menurut Mawi bukannya tidak boleh nampak penghayatan sakit, tetapi apabila sakit, liriknya hilang. Logik juga. Mawi mampu membawakan lagu tersebut dengan baik. Nampak kesungguhan beliau. Kali ini nampak Mawi serius untuk belajar mungkin juga kerana Felix tiada berdekatan untuk mengganggu konsentrasinya.

Kelas Teknikal Vokal Cikgu Shahrul
Entah. Tidak tahu pelajaran apa yang mereka pelajari. Apa motif mereka mempelajarinya juga tidak diberitahu.

Aidil tidak memberitahu tentang hari lahirnya kepada sesiapa. Tetapi mereka tahu juga. Aidil mengucapkan rasa rindunya dan turut mengucapkan I Love You kepada ibunya dan keluarganya. Beliau turut mengucapkan rasa rindunya kepada ayahnya sekiranya ayahnya menonton kerana ayahnya tiada Astro.