Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 02 July 2005

Konsert Akademi Fantasia 05 : Kefli Memukau Hadirin, Penyingkiran Dua Pelajar, Amy dan Reza Dari Akademi Fantasia

Konsert 05 AF3

Saya tabik dengan peningkatan mendadak yang ditunjukkan oleh Kefli. Lagu Berhenti Berharap memang sukar untuk dibawakan tetapi telah berjaya dilaksanakan oleh beliau dengan cemerlang. Penghayatannya jelas berada di tahap paling maksimum.

Penyingkiran dua pelajar tidaklah mengejutkan kerana masanya telah tiba. Ia pasti akan berlaku dan ianya berlaku di Dataran Putrajaya. Kedua-dua orang pelajar merupakan calon terbaik untuk disingkirkan kerana persembahan mereka yang tidak banyak bezanya sejak bermula Akademi Fantasia. Minggu ini saya benar-benar berpuas hati dengan keputusan yang telah dicipta oleh para pengundi.

Kedudukan Undian Sebelum Konsert
Mawi 26%
Felix 19%
Yazer 7%
Aidil 7%
Akma 6%
Marsha 6%
Amy 6%
Amylea 6%
Ekin 6%
Reza 5%
Kefli 5%

Pengkritik Profesional
Kudsia Kahar kembali semula dengan komen-komen positif beliau. Saya pasti beliau akan menjadi sasaran peminat-peminat Mawi pada minggu yang mendatang ini. Itu pendapat beliau. Mamat Khalid kehadirannya adalah untuk menyuntik elemen sinis dan komedi (sama seperti Felix) dalam setiap komennnya. Manakala komen Ning Baizura boleh ditambah komen-komen teknikal berdasarkan pengalamannya sebagai artis dan juga juri profesional. Sayang sekali tips dari Ning tidak diperolehi oleh para pelajar pada minggu ini.

Persembahan Pelajar
Konsert 05 AF3

Akma - Camar Yang Pulang 6.4/10
Saya menyukai persembahannya dengan kelebihan vokal yang beliau ada, ianya telah dipergunakan sepenuhnya untuk lagu tersebut. Gaya beliau dilenggokkan berdasarkan kreativitinya yang tersendiri. Beliau menyanyi dengan selamba sahaja. Walaupun membawakan lagu balada, saya menyukai pergerakan-pergerakan minimal yang dilakukan oleh beliau di atas pentas. Ini berbeza dengan Felix yang sekaan kehilangan arah sewaktu menyanyikan lagu Memori Bahagia. Akma juga telah memberikan penghayatan dan ekspresi wajah yang baik. “You have very confident !” hahahhahaha ! Keyakinan Akma juga berada di tahap yang paling tinggi. Peningkatan yang ditunjukkan oleh Akma agak tidak konsisten.

Konsert 05 AF3

Aidil - Senyuman Ragamu 6/10
Saya enjoy menonton persembahan Aidil. Saya melihat usaha kreatif yang ingin beliau persembahkan. Bermula dengan baik dengan persembahan vokal yang agak sederhana. Oleh kerana lagu ini merupakan sebuah lagu yang agak rancak, maka keupayaan sebenar vokalnya tidak begitu terserlah. Penguasaan pentasnya juga baik serta interaksinya dengan penonton. Saya menyukai gaya yang beliau tampilkan pada lagu tersebut. Beliau menghayati lagu tersebut dengan sederhana dan nampak beliau enjoy membawakan lagu itu. Ada peningkatan pada persembahan Aidil bilamana beliau nampak lebih berkeyakinan dan ada usaha untuk menyanyi berbanding sebelum ini.

Konsert 05 AF3

Marsha - Bossanova 7.9/10
Beliau sudah semakin dewasa, jika tidak perangai, paling tidak vokal beliau. Saya semakin menyukai tone-tone yang ada pada vokal beliau dalam lagu-lagu yang berbeza setiap minggu yang lepas. Beliau mempunyai tone suara yang unik dan disulami dengan teknik improvisasi yang dilakukan oleh beliau pada setiap lagu. Saya dapat melihat usaha kreatif tersebut dan hasilnya membanggakan. Beliau nampak berkeyakinan dalam bahagian tarian pada minggu ini. Saya nampak beliau mempunyai style beliau yang tersendiri. Sifat-sifat manja itu semakin hilang apabila beliau menyanyi. Itu yang membezakan beliau dengan pelajar lain. Peningkatan yang ditunjukkan oleh Marsha amat besar.

Konsert 05 AF3

Amy - Antara Anyer Dan Jakarta 3/10
Seawal minit pertama lagu Antara Anyer Dan Jakarta sahaja sudah tidak kedengaran. Beliau nampak berusaha untuk menjadikan lagu tersebut seperti lagunya sendiri tetapi tidak menjadi dan kesampaian. Permulaan yang membosankan kerana tidak jelas kedengaran. Beliau juga mempunyai satu sifat suka memotong-motong lirik lagu.Penghayatan beliau untuk lagu ini juga tidak konsisten dan jauh benar tersasar. Persembahan vokalnya hancur. Amy seperti kurang daya penarik untuk terus berada di Akademi Fantasia. Persembahannya sering tidak konsisten. Perkara yang kita akan ingat tentang beliau adalah cerita-cerita sensasi dan bukannya persembahan vokal beliau yang cemerlang.

Konsert 05 AF3

Reza - Ala Emak Kahwinkan Aku 4/10
Sketsa sebelum persembahan Reza bermula agak panjang dan meleret-leret. Bunyi kompang juga terlalu panjang. Persembahan silat juga agak keterlaluan dalam cubaan untuk membayangi persembahan Reza. Persembahan vokal Reza agak biasa dan lebih banyak mendatar. Pengulangan pada baris lirik tidak dijayakan dengan kreatif oleh Reza. Saya melihat beliau agak berkeyakinan di pentas pada minggu ini. Penguasaan pentasnya cemerlang. Beliau juga telah menghayati lagu ini dengan baik. Ada attitude yang kena telah ditampilkan dalam persembahannya. Saya meletakkan persembahan Reza sebagai persembahan terbaik beliau. Beliau menunjukkan sedikit peningkatan pada minggu ini. Setidak-tidaknya, Reza keluar dengan bermaruah pada minggu ini.

Konsert 05 AF3

Yazer - Takdir Penentu Segala 5/10
Benar, saya suka dengan tone suara beliau. Saya boleh kira yang persembahan ini baik dari segi penghayatannya serta ekspresi wajah Yazer itu sendiri. Saya dapat mendengar vokal Yazer dengan lebih jelas pada minggu ini dan serak-serak itu tiada pada minggu ini. Kekurangan besar pada persembahan Yazer pada minggu ini ialah teknik persembahannya. Sekadar berdiri dan tiada usaha telah dilakukan untuk menambat hati penonton. Beliau seolah-olah hilang tumpuan yang lebih terfokus pada minggu-minggu awal di Akademi. Persembahannya di awal-awal minggu lebih menyerlah berbanding pada minggu ini.

Konsert 05 AF3

Amylea - Hak Milik Kekal 7/10
Lagu yang tidak sedap menjadi sedap di tangan Amylea. Ini pernah berlaku apabila Zahid membawakan lagu Warna Kehidupan. Tiba-tiba lagu Warna Kehidupan menjadi begitu sedap sekali dan ini pasti berlaku untuk lagu Hak Milik Kekal. Amylea mempunyai mutu vokal yang mantap. Sambil menari, persembahan vokal beliau tidak terjejas. Itu yang amat mengkagumkan saya. Sebutannya lebih baik lagi pada minggu ini. Penguasaan pentasnya kurang sedikit kerana beliau tidak banyak menguasai pentas untuk berinteraksi dengan penonton mahupun kamera. Stamina beliau baik untuk lagu-lagu sebegini. Saya melihat beliau agak konsisten berbanding pelajar lain.

Konsert 05 AF3

Mawi - Beautiful Maria 4.3/10
Mawi memulakan persembahannya sambil duduk di atas bangku. Satu percubaan yang baik lagi minima. Saya kurang memberikan perhatian kerana seawal minit pertama sudah silap masuk. Masalah utama beliau ialah tempo yang kacau bilau. Saya nampak penghayatan beliau yang agak terfokus untuk persembahannya. Ekspresi wajah beliau juga jelas nampak kesakitan yang ditanggung. Beliau turut mempraktikkan apa yang telah diajar oleh Pengetua M.Nasir. Di penghujung lagu beliau agak terkejar-kejar kerana kesilapan tempo lagi. Satu percubaan yang baik. Saya lebih menyukai versi latihan dalam Diari Xtended bersama Cikgu Fatimah Abu Bakar. Saya melihat kekalutan yang terjadi pada persembahan Mawi ada sangkut-pautnya dengan sokongan yang terlampau yang diterima oleh beliau setiap kali beliau menyanyi. Konsentrasinya terganggu dengan sorakan yang tidak kena pada masanya. Tumpuannya terjejas dan fokusnya hilang. Jumlah undian yang diterima oleh Mawi tidak bersesuaian dengan jumlah peningkatan yang telah beliau tunjukkan.

Konsert 05 AF3

Ekin - Let’s Get Loud 5.4/10
Wow ! Memang Ekin benar-benar lepas geram dengan lagu tersebut. Beliau menguasai pentas dengan berjaya. Tahap keyakinannya juga amat tinggi. Saya menyukai step-step tarian yang dibawakan oleh beliau. Cara beliau berinteraksi dengan penonton juga harus dipuji. Kekurangan utama pada persembahannya adalah masalah sebutan yang sering berlaku kepada penyanyi yang membawakan lagu Inggeris. Namun demikian saya tetap berpuas hati dengan mutu vokalnya yang hebat pada keseluruhan lagu tersebut. Ada peningkatan besar yang ditunjukkan oleh beliau berbanding pada minggu lepas setelah persembahannya dikritik hebat oleh Syafinaz. Kali ini jauh berbeza persembahannya.

Konsert 05 AF3

Kefli - Berhenti Berharap 8/10
Saya terpaku. Saya terdiam seketika. Persembahan terbaik pada malam ini merupakan dari seorang yang persembahan vokalnya agak tidak konsisten sejak 4 minggu yang lepas. Kefli telah memberikan persembahan vokal yang terbaik pernah beliau berikan. Lagu ini bakal menjadi lagu trademark beliau selepas musim Akademi Fantasia kelak seperti lagu Mentera Semerah Padi dan Januari oleh Kaer. Dengan sekadar berdiri sahaja, setiap mata dan hati tertumpu terhadapnya. Jarang benar penyanyi yang dapat menguasai hati penonton dan Kefli telah berjaya melakukannya. Emosinya terganggu sebelum persembahan ? Ya benar, emosi Kefli pasti terganggu walaupun sedikit setelah dipermainkan oleh Aznil dengan kejutan yang tidak menjadi. Tetapi itu bukan alasan untuk Kefli TIDAK memberikan yang terbaik. Sebaliknya, Kefli terus bangkit dan membuatkan penonton terpukau. Ada juga yang menangis. Penghayatan beliau amat cemerlang. Aksi yang paling saya tunggu-tunggu tentulah pada penghujung lagu tersebut bila mana beliau merebahkan dirinya. Saya merasakan aksi tersebut tidak sedramatik yang saya jangkakan. Saya mengharapkan yang aksi tersebut akan menjadi lebih dramatik. Peningkatan yang mendadak dari Kefli sewajarnya diberikan pengiktirafan. Apakah cukup sekadar 13% undiannya sekarang berbanding 30% yang diterima oleh Mawi ?

Konsert 05 AF3

Felix - Hari Ini Dan Semalam 7.4/10
Saya seperti mahu tidak mahu sahaja mengulas lagu Hari Ini Dan Semalam dendangan Felix. Kesan persembahan Kefli masih terlekat di sanubari. Saya merasakan lagu ini terlalu mudah untuk Felix. Felix harus diberikan lagu yang lebih mencabar pada minggu akan datang. Saya kagum menyaksikan persembahan Felix dengan penguasaan pentas dan keyakinan beliau di atas pentas. Persembahannya nampak bersahaja. Felix harus memperbaiki mutu vokalnya kerana beliau tidak menggunakan sepenuhnya kredibiliti yang ada pada vokal beliau. Saya akui persembahannya agak konsisten dan sering mendapat tempat yang tinggi kerana personaliti beliau yang menyenangkan. Saya merasakan sudah sampai masanya Felix mengurangkan lawak-lawak slapstik yang lama-kelamaan pasti memualkan. Beliau harus tampil dengan lebih matang dan dewasa.

Kemunculan seniman veteran Wahid Satay dengan pakaian yang sama dengan Felix. Selamba saja mereka apabila bertemu buat pertama kalinya.

Menuju Puncak
Keputusan penyingkiran pelajar menyaksikan Amy dan Reza menjadi pasangan pertama tersingkir dari Akademi Fantasia. Ia bukan merupakan kejutan yang mengejutkan tetapi sekadar kejutan yang sudah sampai masanya. Lambat laun ia pasti berlaku dan ianya berlaku di hadapan puluhan ribu penonton di Dataran Putrajaya. Sudah tiba masanya mereka tersingkir. Amy yang sudah hilang fokus dan persembahannya yang tidak konsisten menjadi pilihan untuk tersingkir lebih awal. Manakala Reza, walaupun memberikan persembahan yang baik tetapi personaliti beliau yang sedikit kurang menyenangkan telah menjerat dirinya sendiri. Kini, tinggal sembilan pelajar yang akan meneruskan kemaraan mereka di dalam Akademi Fantasia yang semakin besar cabarannya.

Ranking sultanmuzaffar
Kefli - Berhenti Berharap 8/10
Marsha - Bossanova 7.9/10
Felix - Hari Ini Dan Semalam 7.4/10
Amylea - Hak Milik Kekal 7/10
Akma - Camar Yang Pulang 6.4/10
Aidil - Senyuman Ragamu 6/10
Ekin - Let’s Get Loud 5.4/10
Yazer - Takdir Penentu Segala 5/10
Mawi - Beautiful Maria 4.3/10
Reza - Ala Emak Kahwinkan Aku 4/10
Amy - Antara Anyer Dan Jakarta 3/10

Imbasan 05 Akademi Fantasia
Tidak akan dikemaskinikan kerana tidak berkesempatan untuk menonton siaran ulangan di Saluran 15 kerana perlu menghadiri Majlis Terima Kasih Aznil Hj Nawawi di Shah Alam. Dimohon pembaca yang menonton agar dapat merakamkan ulasan mereka di ruangan Pendapat. Terima kasih.

Di Shah Alam saya berpeluang untuk bertemu dengan rakan-rakan media yang hadir di majlis tersebut. Selain daripada itu, saya juga berpeluang untuk bertemu dengan Reza, Amy dan Elliza.

Kedudukan Undian Selepas Konsert
Mawi 23%
Felix 19%
Yazer 9%
Kefli 8%
Amylea 7%
Marsha 7%
Ekin 6%
Akma 5%
Aidil 5%
Amy 5%
Reza 5%

Potluck di Dataran Putrajaya
Suasana di Dataran Putrajaya sungguh meriah dengan hampir 30,000 penonton. Saya mengambil peluang untuk bertemu dengan sahabat-sahabat jentik yang saya kenali sejak Akademi Fantasia 1, 2 dan 3. Kami berkelah di padang rumput berhampiran layar di bahagian kanan pentas. Antara yang hadir pada malam itu ialah wink, badrul, linb, Cikanos, izreen, Abang Mosha dan keluarga, Kak Aidid dan keluarga, Leen, waiem, Chail, CKin dan AkuGafi (dari Brunei), OrangKampung, NHK dan elkapitan. Saya memang amat gembira apabila dapat bertemu dengan keluarga AF yang saya kenal sejak AF1 dan AF2. Ckin dan AG, telah terbang dari Brunei untuk bersama-sama. AF3, ada yang berani ? Maaf sekiranya ada yang tertinggal. Kami berada di lautan peminat Mawi yang rata-rata membawa sepanduk dan banner-banner yang besar. Sesekali waiem dengan beraninya mengeluarkan sepanduknya. Kami lebih berbangga kerana rata-rata kami mempunyai minat yang berbeza tetapi boleh duduk setikar dan makan setupperware bersama-sama. Ada yang minat Reza yang masak digelakkan apabila Reza tersingkir. Ada juga yang minat Marsha, KA dengan praaapnya, saya dengan Felix, yang lain-lain seperti biasa meminati Mawi. Itu yang lebih menyeronokkan sebenarnya. Perbezaan minat tetapi boleh berinteraksi secara waras.

Majlis Pembukaan Linda Jasmine Dance Studio
Di sana, pertemuan lebih meriah apabila bintang AF1, AF2 dan AF3 bertemu. Ada Vince, Nija, Atie, Khai, Rosma, Adi, Fitri, Anding, Bob, Reza, Fuad, Amy dan Elliza. Sudah lama tidak bertemu Atie dan Nija. Memang banyak yang dibualkan. Juga sempat berbual mesra dengan Reza. Hahahahhaha ! Memang berbeza perwatakannya dengan apa yang kita lihat di dalam Akademi. Tetapi biasalah, ini kali pertama bertemu.

Gambar boleh diperolehi di fotopages sultanmuzaffar. Akan dikemaskinikan secepat mungkin.

fotopages hakimamir untuk gambar Linda Jasmine Performance Studio Launching !