Akademi Fantasia Hari Ketiga Minggu Ketujuh
Tiru Macam Saya
Kelas Lakonan mereka ditugaskan untuk meniru gaya rakan sesama pelajar. Setelah hampir tujuh minggu bersama tentunya ada gelagat yang boleh mereka tiru. Inilah masanya untuk mereka bergelak-ketawa melihat gelagat masing-masing meniru perlakuan Nija, Vince. Sungguh melucukan.
Kelas Tarian
Kelas Tarian kali ini agak meletihkan kerana mereka perlu mempelajari koreograf tarian untuk lagu Hindustan. Saya akui sukar untuk menyanyi sambil menari. Lebih sukar jika menyanyi lagu yang bahasanya asing dengan lidah kita dan perlu menari dalam masa yang sama. Untuk melatih koreograf sudah memerlukan ketekunan yang mendalam dan selepas ini perlu mempelajari lenggok bahasa pula. Cabaran ini benar-benar mencabar keupayaan pelajar Akademi.
Khai Lemah Semangat
Khai kelihatan agak lemah semangat apabila rakan karibnya tersingkir minggu lepas. Mujur ada Nija yang cuba untuk memulihkan semangat Khai. Khai sewajarnya tidak lemah semangat kerana itu adat pertandingan. Khai mungkin terlalu yakin yang Rosma akan kekal sehingga Konsert Akhir tetapi itu tidak menjadi kenyataan. Sewajarnya ini boleh dijadikan pengajaran kerana populariti itu tidak berpanjangan. Ada ketika kita akan tidak disukai orang. Tetapi sebagai manusia, kita perlu meneruskan hidup,
Kelas Vokal
Ini merupakan kali pertama mereka berlatih lagu bahasa asing yang akan didendangkan di Konsert minggu ini. Lagu Les Ketchup dan lagu Bole Chundiyan merupakan lagu yang asing dengan lidah para pelajar. Walaupun lagu tersebut popular di Malaysia tetapi untuk mempelajari dan menghafal lirik dalam masa yang singkat memang menyesakkan fikiran. Tetapi jika ingin menjadi penghibur itu lah yang perlu dihadapi oleh mereka. Takkan nak menyanyi lagu Melayu saja, sekali sekala mesti juga menyanyi lagu orang putih.
Layar Lara dan Seniman Aziz Sattar
Layar Lara merupakan filem kesukaan saya. Saya menonton tujuh kali di pawagam dan merakamkan empat siri filem Layar Lara Director’s Cut yang disiarkan semasa musim Raya di ASTRO. Filem ini mesejnya agak berat dan terlalu menarik untuk dilupakan. Bujang Lapok. Perlukah saya bercerita tentang filem ini ? Semua orang tahu siapa Bujang Lapok. Filem ini ditayangkan lagi sebelum menerima kehadiran tetamu istimewa Seniman Aziz Sattar. Filem ini mengisahkan tentang artis-artis veteran yang dipinggirkan. Kita masih menonton filem mereka tetapi dalam masa yang sama kita tidak menghargai jasa mereka. Nasihat untuk pelajar Akademi yang populariti tidak akan kekal. Seni, sejauh mana masa depannya. Sejauh mana seni dapat menjamin kebahagiaan hidup ? Kehadiran Seniman Aziz Sattar memang menggembirakan pelajar Akademi. Bukan selalu peluang ini mereka perolehi. Adalah lebih baik sekiranya peluang sebegini juga diperolehi Azza, Adi, Atie, Burn dan Rosma agar mereka dapat berkongsi sama pengalaman seniman yang telah berkecimpung dalam dunia seni selama 52 tahun. Pada zaman dahulu mana ada Akademi. Semua penggemar seni tiada ilmu tetapi terus berjuang untuk meneruskan kerja seni. Pak Aziz turut menasihatkan pelajar agar jangan ada iri hati dengan orang lain. Jangan kita keji pendapat orang lain kerana mereka juga ada bakat mereka tersendiri. P.Ramlee contohnya tidak pernah pandang rendah pada orang lain kerana katanya Allah tidak beri kita segala-galanya. Setiap perjuangan itu akan ada penderitaan. Kelainan itu terlalu penting agar kita dapat capture perhatian penonton. Saya hampir tersentuh apabila Vince memohon kebenaran untuk memeluk Seniman Aziz Sattar. Terlalu banyak ilmu yang mereka peroleh semalam dan ilmu itu lebih bermanafaat sekiranya dapat dikongsi bersama-sama pelajar-pelajar yang tersingkir.
Vince dan Nija
Vince dengan Nija, jangan gaduh-gaduh. Tak baik. Nanti bila salah seorang tersingkir, kita akan rasa menyesal dengan apa yang telah kita lakukan.
0 komen