TEATER KOMEDI ALANG RENTAK SERIBU
Panggung Sari Istana Budaya sekali lagi riuh dengan gelak ketawa apabila anda datang menonton teater komedi - Alang Rentak Seribu, sebuah karya bahasa Melayu pertama Dato' Syed Alwi yang telah berjaya memenangi Hadiah Karya Sastera pada tahun 1973.
Saksikanlah telatah lucu pertembungan adat resam desa dan kota ketika rombongan Filem Negara mengadakan penggambaran filem dokumentari di kampung Alang.
Barisan Pelakon
Adlin Aman Ramli, Khatijah Tan, Ismail Din, Zul Huzaimy Marzuki, Kartika Mohammad, Yalal Chin, Mohamed Ali Osman, Mislina Mustaffa, Rosdeen Suboh, Bohari Ibrahim, Faridah Yusop, Rasdi Daud dan M. Nasri Ayob.
TIKET :
RM21, RM31 & RM 51 (25-31 Julai 2003)
RM17, RM25, RM41, (27 Julai 2003- Matineee)
MASA :
8.30 pm : 25 - 31 JULAI 2003
3.00 pm : 27 JULAI 2003
SINOPSIS :
Sebuah drama komedi karya Syed Alwi – penerima Anugerah Seni Negara 2002. Drama ini pertama kali dipentaskan oleh Kumpulan Seni Teater Malaysia di Kuala Lumpur pada 1973 dan kemudian memenangi Hadiah Karya Sastera Malaysia. Kali ini ia dipersembahkan dengan gabungan artis-artis ternama tanah air
Apabila unit filem dari Filem Negara, di kebawah arahan Ahmad Yatim, Pengarah dan Pelakon yang mendapat pendidikan teater dari National Institute of Dramatic Arts (NIDA) Australia.
Kisah lucu ini berlaku disebuah kampung di Perak di awal 1970-an.
Diketuai oleh pengarahnya, AMN Nordin datang ke kampung tersebut untuk memulakan penggambaran, tidak sedikit pun terlintas difikiran mereka bahawa kedatangan mereka akan mencetuskan huru-hara yang lebih lucu dan dramatik dari kisah cerita yang hendak mereka filemkan. AMN Nordin dan orang-orangnya telah dikejar dan dibelasah oleh Pak Mokhtar dan Andak kerana menghina dan biadap pada tuan dan penunggu tanah sebab tidak minta izin sebelum memulakan kerja, tak tahu akan selawat dan jampi serapah bagi menolak bala kepada penduduk di situ, dan kerana menuduh orang kampung berbohong, kuno dan kolot.
Maka terletak pada bahu Alang Khalid, pendekar dan hero kampung serba boleh untuk mendamaikan salah faham antara AMN Nordin yang tidak fahan cara hidup dan adat resam orang kampung dengan Pak Mohktar dan Andak yang tidak faham cara hidup dan cara bekerja orang Bandar.
ALANG RENTAK SERIBU- Paparan hidup, budaya Melayu
Utusan Malaysia, 19 Feb 2003
Oleh : Luqman Hakim
Majoriti masyarakat penonton berpendapat komedi adalah lawak jenaka. Ini tanggapan konversional apabila ditonton di filem dan televisyen. Bagaimana jika ingin menyaksikan komedi di pentas teater? Apakah akan ada kelainan?
Teater Alang Rentak Seribu merupakan komedi yang dihasilkan dengan pengertiannya sendiri. Namun, teater ini bukan bicara komedi hanya untuk bergelak ketawa sebaliknya mengetengahkan nada dan bahasa berbicara Melayu dalam pengertian dan sudut yang berbeza.Lihatlah dunia dan kehidupan Melayu era pasca peristiwa 13 Mei pada lewat 1960-an dan awal 1970-an. Ia menzahirkan pertembungan antara dua manusia Melayu iaitu dari kampung dan Bandar yang mempunyai perbezaan sikap dan pemikiran.
Siapa kata orang kampung tidak cerdas dan ligat pemikirannya atau bersifat kekampungan? Watak Alang adalah seorang lelaki Melayu yang dibesarkan dalam suasana dekad-dekad awal selepas merdeka. Lelaki yang cukup sederhana penampilannya. Tetapi memiliki kebijaksanaan sendiri ketika berdepan dengan masyarakat sekeliling. Inilah watak transisi antara pengaruh kehidupan desa dan pengaruh moden Bandar.
Era awal 1970-an dilihat sebagai satu dimensi baru dalam pembentukan masyarakat Melayu selepas pengalaman pahit untuk merdeka sehingga membawa kepada peristiwa berdarah 13 Mei. Alang, Mokhtar, Mazni, Abdul Malik, Halim, Badariah adalah manusia Melayu kampung yang dibesarkan dalam suasana Melayu yang hampir bersedia menerima kemasukan pengaruh luar.
Lihat saja kostum Halim yang berbaju kot, pada masa yang sama berpakaian Melayu yang lengkap dengan kain sampinnya. Demikian juga halnya dengan Mokhtar. Mereka adalah wakil kepada orang Melayu kampung ketika berdepan dengan perubahan luar. Sebaliknya pula dengan watak-watak Zulkifly Iskandar, Cikgu Mahazan, AMN Nordin dan krew-krew filem dari Filem Negara yang mewakili kumpulan Melayu yang berfikiran moden. Malah signifikannya peranan guru (Cikgu Mahazan) dalam masyarakat yang mana dia dihormati.
Teater ini berbicara dalam komedi yang mengambil nada kehidupan dan pergaulan masyarakat Melayu sebenarnya. Lupakanlah dialog-dialog kasar jika ingin melihat komedi di dalam teater ini.
Pementasan ini memperlihatkan hidup dan Budaya Melayu sebenarnya. Ia memperkatakan mengenai sesuatu yang rutin dan sebahagian daripada hidup harian mereka. Tutur bicaranya adalah kehidupan santai dalam hidup orang Melayu. Lantaran itu komedinya tidak mengejek atau bersifat terlalu sinikal. Komedinya adalah tutur Melayu, tetapi ia disampaikan dengan hemah yang tinggi. Petah bicaranya adalah hakikat bahawa dalam masyarakat yang kampungan dan tertutup daripada pengaruh luar, ia memiliki kebijaksanaan kerana lafaz kata-kata bukan mainan.
Naskah ini juga mengajak khalayak untuk menyedari hakikat antara kehidupan susila di kampung dengan penerimaan idea moden di Bandar. Di kampung hidupnya dilingkungi dengan peraturan tersendiri. Ia barangkali tidak praktikal dan dilihat sebagai karut. Tetapi pada masa yang sama ia sebenarnya menuntut kesabaran dan pemahaman bahawa setiap nilai yang ditolak dan sesuatu idea baru tidak boleh dipaksa untuk dibuang dan diterima.
Sebab itu ada asasnya penduduk kampung yang didalangi Mokhtar begitu marah dengan perbuatan pengarah filem dan krewnya yang cuba mengambil gambar suasana kampung kerana ia dikatakan membawa masalah iaitu menggangu penunggu sesuatu kawasan.
Seorang yang bersifat modenis dan terbuka kepada dunia luar akan melihat perkara seumpama ini sebagai suatu yang tidak berasas dan tidak sewajarnya menjadi gangguan, namun ia bukan alas an untuk mengkritik secara melulu dan bermusuhan.
Teater Alang Rentak Seribu ini wajar ditonton oleh masyarakat Melayu yang suka bergaduh dan berkelahi sesama sendiri. Ia berbicara mengenai masalah demi masalah daripada soal enggan membenarkan anak berlakon filem hingga kepada soal ketayap. Setiap pertelingkahan biarpun sengir dan menimbulkan pergaduhan akhirnya dapat diselesaikan. Ia menunjukkan bahawa dalam masyarakat itu ia tidak berupaya untuk berdepan dengan sesuatu masalah secara berterusan.
0 komen