Imbasan Akademi Fantasia Minggu ke-4
Pelajar yang tersingkir dari dua orang kini menjadi tiga sejak semalam. Hari ini Atie termasuk di kalangan mereka yang tersingkir.
Be Yourself
Klip menayangkan bagaimana menjadi diri sendiri. Dipertontonkan gelagat para pelajar. Sebenarnya inilah yang paling menarik perhatian, kita dapat melihat gelagat sebenar mereka di Akademi Fantasia. Memang melucukan.
Kedudukan Undian setelah Konsert IV
Nija 12%
Burn 12%
Vince 11%
Rosma 11%
Azizi 11%
Khai 10%
Sahri 10%
Nana 9%
Liza 8%
Atie 7%
Agak menarik bukan kedudukan undian setelah Konsert IV. Kesimpulan yang boleh dibuat ialah telah berlaku komplot untuk menyingkirkan Atie. Melihatkan kedudukan undian sebelum Konsert IV bermula, Nija dan Burn menduduki tangga dua terakhir. Selepas Konsert IV kedudukan mereka melonjak di tangga pertama dan kedua. Di sini dengan jelas telah berlaku usaha atau dengan kata lain komplot secara tidak dirancang oleh semua pengundi untuk menyingkirkan Atie. Untuk menyingkirkan Atie, ialah dengan menghantar seberapa banyak undian kepada peserta yang terbawah dari Atie. Oleh itu para pengundi perlu menghantar undian untuk Burn dan Nija. Oleh kerana undian yang dihantar terlalu banyak dengan niat untuk menyingkirkan Atie, maka secara tidak langsung telah melonjakkan kedudukan mereka hingga ke tangga pertama dan kedua.
Berbeza dengan Sahri, walaupun persembahannya cemerlang dan mendapat tepukan paling gemuruh dari penonton, tetapi undian untuk beliau hanya 10% sahaja. Faktor yang menyebabkan undiannya sedikit adalah kerana beliau membuat persembahan yang terakhir dan masa untuk penonton menghantar undian adalah sangat terhad jika penonton menghantar undian setelah meilai persembahannya. Faktor talian SMS yang amat sibuk juga memainkan peranan yang penting menyebabkan undian untuk Sahri tidak membuat peningkatan yang mendadak walaupun persembahan beliau amat gemilang. Faktor ini perlu diambil perhatian oleh pihak ASTRO kerana berlaku ketidakadilan untuk peserta terakhir. Jika Konsert IV sudah mencatatkan rating yang tinggi dan menyebabkan talian menjadi terlalu sibuk, cuba fikirkan apakah yang akan berlaku apabila Konsert Akhir nanti. Sudah tentu talian menjadi terlalu jammed dan ini pernah berlaku sewaktu undian Persembahan Terbaik untuk Juara Lagu 2001. Saya sendiri yang mengundi untuk Nija setelah selesai persembahannya tetapi pengesahan undi diterima hanya setelah Konsert IV tamat.
Sewaktu mengendalikan rancangan yang memerlukan interaktiviti dan maklumbalas yang pantas dari penonton, kecekapan pengendalian talian telekomunikasi perlu ditingkatkan. Ini cadangan saya dan amat berharap ia dapat diambil tindakan segera kerana dalam Konsert IV Sahri telah menjadi mangsa.
Atie
Atie mempunyai peluang yang cerah di dalam bidang lakonan dan bidang nyanyian bukan bidangnya. Bakat lakonan boleh digilap lebih lagi tetapi kalau suara tiada nilai komersial tidak dapat diubati. Saya harus tabik kepada Atie yang terpilih berlakon di bawah arahan Faisal Tehrani untuk teater bertajuk Tivi. Tidak semua pelakon filem/drama boleh berlakon teater, dan mendapat pendedahan awal di dalam bidang lakonan teater merupakan pengalaman paling berharga buat Atie terutamanya di bawah arahan seorang penulis Novel 1511 iaitu Faisal Tehrani. Jika mempunyai asas lakonan di dalam teater anda sudah pasti mampu untuk berlakon pada mana-mana filem atau drama sekalipun. Semoga Atie terus berjaya menjadi seorang pelakon serba-boleh.
0 komen