Konsert IV Akademi Fantasia - Tiada lagi Atiesophrophobia - Muncul Sahri Mania !
Selamat Tinggal Atie !
Sandarkan Pada Kenangan
Persembahan pembukaan dipersembahkan dengan sangat menarik. Gabungan duet yang menjadi dengan menyanyikan lagu yang sedang popular iaitu Sandarkan Pada Kenangan. Idea ini wajar dilakukan kerana setelah sebulan penonton mengenali mereka jadi adalah tidak perlu untuk mereka memperkenalkan diri lagi. Di mana-mana kini, penonton bercerita tentang Akademi Fantasia. Bercerita tentang Atie, tentang Adi, tentang lamb-chop Nija dan tentang Nana dan Burn. Itu topik hangat rakyat Malaysia kini.
Sponsor pakaian
Melihatkan cara mereka berpakaian pada Konsert IV jelas menampakkan kematangan dan mungkin juga pihak penaja mula datang mencurah-curah. Rancangan ini menjadi kegemaran rakyat Malaysia kini walaupun tiada tinjauan rambang dibuat mengenainya. Hanya andaian saya. Hits ke weblog ini sahaja naik mendadak sehingga 1300 hits sehari kerana Akademi Fantasia.
Kedudukan sebelum Konsert IV
Vince 14%
Nana 12%
Rosma 11%
Khai 11%
Azizi 10%
Atie 9%
Sahri 9%
Liza 8%
Nija 8%
Burn 8%
Hasil dari kedudukan undian sebelum Konsert IV berlangsung masih membuktikan bahawa paras rupa dan populariti masih menjadi faktor utama undian peminat. Namun demikian, persembahan pelajar di Konsert IV berjaya mengubahkan kedudukan tersebut. Pengkritik pada minggu ini masih mengekalkan Kudsia Kahar dan penampilan muka baru iaitu Pak Ngah seorang komposer lagu irama Malaysia yang tersohor dan pelakon Abang 92, iaitu Azhar Sulaiman.
Vince (4/5 bintang)
Saya merupakan penggemar muzik Zainal Abidin dan Sheila Majid di zaman-zaman solonya dengan lagu Hijau, Inayah, Raungan Harimau dan Ikhlas sewaktu bersama Roslan Aziz Production (RAP). Pada awal-awal minggu keempat saya sendiri kurang berkeyakinan yang Vince mampu untuk membawakan lagu ini. Bukan calang-calang penghibur yang mampu membawakan lagu Zainal Abidin dan Sheila Majid dengan baik. Setelah tiga konsert berlangsung, Vince menerima lagu yang lebih sesuai dengan mutu vokalnya, iaitu jenis R&B dan pop. Setelah menonton persembahannya malam tadi beliau sudah membuktikan yang vokalnya memang versatile. Beliau mempunyai identiti sendiri. Kawalan suaranya mantap dan tiada unsur Zainal di dalam lagu ini. Namun demikian showmanship Vince untuk persembahan kali ini masih terikat dengan gaya Zainal Abidin. Yang paling menarik tentunya kerjasama dari rakan-rakannya di dalam menjayakan showmanship gerak Zainal Abidin di pentas. Itu kelebihan Akademi Fantasia, mereka dilihat seakan-akan tidak bertanding. Kawalan emosi Vince juga wajar dipuji, kerana beberapa ketika sebelum persembahan, bapa Vince diundang untuk naik ke pentas. Vince mampu untuk mengawal emosinya dan terus membuat persembahan. Yang pasti lagu Manis telah membuktikan beliau mampu pergi jauh dan latihan perlu diteruskan untuk meningkatkan mutu vokalnya. Penaja pakaian untuk Vince juga peka dengan genre muzik yang dibawakan oleh Vince. Tahniah !
Nija (3/5 bintang)
Lagu Setelah Aku Kau Miliki ialah lagu killer jika dapat kepada penyanyi yang silap. Bukan sahaja Nija yang kelihatan agak gugup, Shima iaitu penyanyi asal lagu ini juga resah apabila membawakan lagu tersebut sewaktu Juara Lagu beberapa tahun dahulu. Wajah Nija nampak agak nervous mungkin kerana terlalu memikirkan bahagian tinggi lagu tersebut lantas mencantas konsentrasi beliau. Namun demikian beliau mendapat tepukan gemuruh apabila menyanyikan key tinggi. Pak Ngah selaku pengkritik tetap berjaya mengesan satu dua bahagian yang pitchingnya agak sumbang dan menasihatkan Nija agar terus mempelajari teknik-teknik nyanyian dari Siti Hajar.
Khai (3/5 bintang)
Pertama sekali, style rambut Khai sangat menarik dan perlu dikekalkan. Jelas menampakkan kekacakan beliau. Penghayatan Khai untuk lagu Azura memang baik. Showmanship beliau masih sama seperti minggu-minggu yang lalu. Beliau mempunyai vokal yang unik lebih-lebih lagi jika membawakan lagu berentak rock. Namun demikian latihan perlu ditingkatkan terutamanya apabila membawa lagu bernada tinggi. Khai masih bermasalah membawakan lagu bernada tinggi dan adakalanya pitchingnya tidak sampai dan bernada sumbang. Jika menyanyi dan berlakon bukan pilihan Khai, anda boleh memilih untuk menjadi model tetapi kena tegapkan badan sikit.
Liza (3/5 bintang)
Pakaian Liza jelas sangat sesuai dengan dirinya. Menyanyi sambil menari memang diakui sukar dan persembahan semalam Liza kelihatan begitu berkeyakinan tinggi. Penghayatan beliau terhadap lagu Dia boleh dirasakan. Persembahan Liza merupakan persembahan terbaik beliau sepanjang berada di Akademi Fantasia. Showmanship beliau dan rakan-rakannya juga bagus. Liza perlu lebih berlatih apabila menyanyikan lagu bernada rendah. Adakalnya suaranya tidak kedengaran apabila menyanyikan lagu yang bernada rendah. Vokalnya bagus, yang perlu dilatih hanya teknik sahaja.
Burn (3/5 bintang)
Burn cuba untuk memberikan nafas R&B untuk lagu ini dan ternyata berjaya tetapi sewajarnya improvisasi yang ingin dilakukan perlu dilakukan dengan kemas bukan setakat menambah-nambah. Pada verse awal ada berlaku sedikit kesilapan yang mana kesilapan tersebut telah diulang semula walaupun setelah diajar oleh Adnan Abu Hassan di dalam Kelas Vokal beberapa hari yang lalu. Kesilapan tersebut diulangi. Sewaktu kemunculan Ruffedge sebagai penyanyi latar, Burn kelihatan agak tergamam dan terkejut namun demikian penghayatannya berjaya diperolehi semua dengan pantas. Persembahan semalam membuktikan kualiti suaranya yang terbaik. Yang menakjubkan persembahan tersebut dilakukan tanpa melalui apa-apa proses latihan. Itulah Akademi Fantasia. Kejutan demi kejutan.
Nana (3.5/5 bintang)
Menyanyikan lagu Inggeris tidak bermakna perlu memakai pakaian yang seksi. Saya menyukai style berpakaian Nana. Sponsor pakaian beliau nyata faham benar yang Nana seorang yang cute dan ada attitude serta ada pengikut tersendiri. Penguasaan Bahasa Inggerisnya mantap. Beliau berjaya untuk menghayati setiap baris lirik untuk lagu tersebut. Seperti yang pernah diulas oleh Kudsia Kahar pada Konsert III minggu lepas, seorang penyanyi perlu juga untuk mempelajari cara satu-satu perkataan itu disebut(diction) agar pendengar memahami maksud yang ingin disampaikan dan bukan hanya membaca lirik. Lagu I Will Survive berjaya dipersembahkan oleh Nana dengan cemerlang. Beliau boleh menari dengan baik dan showmanship yang gemilang dan interaksi beliau dengan penonton kelihatan agak matang. Stamina beliau juga agak baik dan perlu ditingkatkan untuk lebih berjaya. Kata Pak Ngah, lagu ini mudah, maka improvisasi perlu dilakukan untuk mempelbagaikan style persembahan.
Azizi (3/5 bintang)
Persembahan Azizi tidak semantap persembahannya minggu lepas. Lagu Mungkinkah Terjadi dendangan asal Kumpulan Spider kelihatan agak tidak sesuai dengan vokal Azizi tetapi beliau telah cuba memberikan sentuhannya dalam membawakan lagu tersebut. Azizi mempunyai identiti tersendiri yang kelak mampu untuk menjadi dirinya sendiri satu hari kelak.
Rosma (4/5 bintang)
Kita telah dihidangkan pada minggu lepas bagaimana resahnya Rosma apabila mengetahui perlu membawa lagu ini. Lagu ini memang sukar dan ini diakui sendiri oleh penyanyinya iaitu Noraniza Idris yang membuat kunjungan mengejut ke Akademi dan juga Pak Ngah selaku komposer lagu tersebut. Rosma mempunyai suara yang bagus dan boleh menyanyi. Showmanship beliau juga menjadi dan kelebihan Rosma sudah tentu lirikan matanya. Keyakinan beliau untuk membawakan lagu ini benar-benar berada di tahap yang paling tinggi dan ditambah dengan penghayatan beliau. Beliau masih muda dan banyak yang perlu dilatih untuk lebih berjaya.
Atie (2/5 bintang)
Sponsor pakaian untuk Atie juga menarik. Kena dengan susuk tubuh Atie. Tetapi pakaian sahaja tidak mencukupi. Saya sedar dan faham bagaimana susahnya apabila perlu menyanyi dan menari pada masa yang sama. Di dalam waktu yang sama kita perlu menghafal step tarian dan menghafal lirik lagu. Memang sukar. Keyakinan Atie membawakan lagu mudah ini benar-benar jatuh. Wajah cerianya yang kita tonton sepanjang minggu di Akademi hilang sewaktu berada di pentas untuk Konsert IV. “Tiba-tiba spagetti ini jadi masam”, meminjam salah satu dialog dalam Abang’92. Wajahnya tidak langsung menampakkan keceriaannya. Apabila tekanan semakin bertambah, maka penghayatan beliau terhadap lagu Jendela Hati menjadi kucar-kacir. Tempo lari dan pitching yang tidak kemas. Beliau nampak terlalu nervous.
Sahri (4.5/5 bintang)
Memang agak sukar untuk mencari penaja pakaian yang sesuai untuk Sahri. Namun demikian itu bukan penghalang untuk Sahri memberikan persembahan yang paling cemerlang di Konsert IV semalam. Tidak mustahil selepas Konsert IV, undian untuk Sahri akan naik dengan mendadak. Sahri Mania melanda Dewan Percubaan UPM semalam. Beliau menerima tepukan paling gemuruh sepanjang konsert berlangsung. Kata Aznil, beliau sendiri tidak pernah mendapat tepukan sebegitu gemuruh sepanjang 12 tahun beliau menjadi pengacara rancangan. Apa lagi yang perlu diperkatakan berkenaan Sahri ? Vokal beliau cukup mantap terutama dalam mengawal nada tinggi. Pitching beliau terbaik. Showmanship beliau yang dibantu oleh beberapa orang rakannya benar-benar mampu membuatkan penonton menangis. Penghayatan beliau menyanyikan lagu sedih sangat berjaya. Sahri berjaya membawakan lagu Tekad lebih baik dari penyanyi asalnya iaitu Hazami. Suara Sahri kedengaran lebih matang dan lantang. Lontaran vokal bertenaga dan tidak cuba ditahan-tahan (baca: dikepit). Seluruh dewan terpukau dengan persembahan Sahri. Sahri telah berjaya meyakinkan pengundi bahawa paras rupa dan bentuk badan bukan tiket untuk menjadi penghibur yang berjaya. Namun demikian, latihan demi latihan perlu dibuat agar dapat meningkatkan lagi mutu vokalnya.
Keputusan
Keputusan siapa yang tersingkir sudah pun kita ketahui. Atie menjadi peserta ketiga tersingkir dari Akademi Fantasia. Terus terang saya katakan agak terkejut dengan keputusan ini kerana pada ulasan hari kelima, saya menjangkakan yang Nija akan tersingkir. Ini adalah kerana saya cuba untuk mengikut selera penonton yang sukakan sesuatu yang cantik lalu mengabaikan mereka yang berbakat. Keputusan minggu ini membuktikan yang saya silap dengan mengandaikan penonton akan terus mengundi mereka yang cantik dan kacak. Pada Konsert IV, penonton sudah mula mengenal yang mana permata, yang mana batu, yang mana kayu dan yang mana intan.
Kawalan emosi Atie kali ini nampak agak matang dan waras. Wajah-wajah kesedihan para pelajar lebih bersifat kesedihan kerana wajib berpisah dan bukannya kesedihan yang bersifat dipaksa berpisah. Tiada adegan “ala Kassim, ampunkan mak Kassim” pada Konsert kali ini. Atie mempunyai peluang yang besar di dalam bidang lakonan dan pengacaraan. Bidang nyanyian bukan untuk Atie. Atie sudah pun mengukir nama di dalam bidang lakonan teater dengan berlakon di bawah arahan Faisal Tehrani untuk teater bertajuk Tivi. Saya pasti Atie mampu untuk menjadi pelakon yang baik jika diberi bimbingan yang baik.
Nantikan minggu hadapan akan kemunculan Sahri-Mania !
0 komen