Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 27 July 2003

Konsert Akademi
Konsert VII Akademi Fantasia: Superb ! Mengkagumkan !

Saya menyaksikan Konsert VII Akademi Fantasia bersama beberapa orang rakan rapat di rumah mereka kali ini.Antaranya ialah Nizam Zakaria dan beberapa orang lagi untuk mencukupkan kuota. Selain hasil dari pandangan saya sendiri, saya turut merakamkan pandangan mereka dalam ulasan saya kali ini.

Bole Chudiyan
Dalam sedar atau pun tidak sedar, sebenarnya segmen lagu bonus ini mengajar para pelajar apa itu miming. Sering kali kita mendengar penyanyi Malaysia miming apabila menjayakan sesuatu persembahan. Bukan hanya penyanyi Malaysia menggunakan teknik miming, penyanyi di Barat seperti Michael Jackson, Britney Spears juga khabarnya menggunakan cara yang sama dalam satu-satu persembahan. Miming perlu jika persediaan tidak cukup. Walaupun koreograf nampak menarik, tetapi dengan menggunakan teknik miming secara tidak langsung telah mematikan lagu tersebut. Lagu tersebut tidak diberi jiwa dengan seadilnya. Namun demikian, jika diberi latihan yang cukup saya pasti satu hari kelak mereka mampu menyanyikan lagu berbahasa Hindi tanpa miming. Saya sedar, apabila bilangan pelajar menjadi semakin sedikit dari satu minggu ke satu minggu, maka bilangan tugasan menjadi bertambah berat dan masa menjadi semakin sedikit. Tidak mengapa, di masa akan datang saya berharap agar anda mendapat peluang untuk membuktikan kebolehan masing-masing untuk menyanyikan lagu Hindi secara live.

Kedudukan Sebelum Konsert VII
Vince 18%
Khai 16%
Sahri 15%
Azizi 14%
Nija 13%
Nana 13%
Liza 13%

Pengkritik
Pada minggu ini Kudsia Kahar kekal sebagai pengkritik tetap dan dibantu oleh Hattan yang pernah mendendangkan lagu Sekuntum Mawar Merah dan penyanyi asal lagu Samba Apa Saja dan Pengarah Urusan Positive Tones Ahmad Izham Omar sebagai pengkritik jemputan.

Nana
Persembahan
Nana (3/5 bintang)
Nana telah memberikan persembahan yang terbaik beliau walaupun tidak sehebat persembahan beliau sewaktu mendendangkan lagu I Will Survive. Menjadi peserta pertama merupakan kelebihan kepada Nana yang membolehkan pengundi mempunyai masa yang panjang untuk mengundinya. Kelebihan vokal Nana tidak dipergunakan sepenuhnya pada malam itu. Adakalanya pitching suara beliau tidak sampai dan kedengaran mendatar. Sesekali kelihatan mukanya yang risau dan tidak senyum. Oleh kerana itu keluar statement dari Hattan, “anda perlu buat dan keluarkan secara sejujur-jujurnya”. Menyanyi sambil menari memang saya akui sukar ditambah pula jika lagu tersebut bukan favourite Nana. Jelas kelihatan stamina beliau yang agak menurun dan energy lagu tersebut tidak dapat dihayati oleh penonton. Gerak tarian Melayunya nampak keras dan dibuat-buat. Banyak yang perlu dipelajari oleh Nana dan Nana perlu menumpukan kepada bidang vokal. Beliau harus mempelbagaikan kelebihan vokal yang ada dalam diri beliau. Persembahan beliau agak baik tetapi sayangnya persembahan pelajar lain lebih baik.

Azizi
Azizi (3.5/5 bintang)
Saya agak kecewa dengan persembahan Azizi pada malam ini. Di minit awal persembahannya, beliau telah secara jujur mendedahkan kelemahannya sendiri di hadapan penonton. Harus diingat, sebagai seorang penghibur profesional, mereka harus cuba untuk menutup setiap kelemahan yang ada di dalam diri mereka dan jangan didedahkan. Secara tidak langsung akan menghilangkan keyakinan penonton. Satu ketika dahulu sewaktu belajar Public Speaking, saya diajar agar tidak memulakan ucapan dengan “Saya agak nervous hari ini dan topik yang akan….”. Ayat ini akan hanya menjatuhkan keyakinan pendengar terhadap isi ucapan kita. Azizi harus mencontohi Atie yang bijak menutup kelemahannya sewaktu mendendangkan lagu “Save The Best For Last”. Aziz mempunyai mutu vokal yang baik dan kelebihan beliau ialah mainan suara dengan cara tersendiri terutamanya di bahagian nada tinggi. Showmanship beliau pada malam ini tidak sehebat konsert-konsert sebelumnya. Vokal beliau tidak dilontarkan dan apa yang didengar oleh penonton tidak cukup jiwa(soul)nya. Penggunaan ruang pentas wajar dimanafaatkan kerana lagu ini berentak agak rancak dan memerlukan seseorang penyanyi menari ikut rentak lagu. Saya akui beliau mempunyai mutu vokal yang sedap untuk didengar.

Liza
Liza (3.5/5 bintang)
Pertama kali saya dapat mendengar mutu vokal Liza. Beliau telah melontarkan vokalnya di tahap yang paling tinggi. Namun begitu interaksi beliau dengan kamera masih gagal dipraktikkan. Beliau kelihatan masih takut-takut. Saya mengakui memang sukar untuk membawakan lagu Bunga-Bunga Cinta dendangan asal Misha Omar. Lagu ini bermula dengan rendah dah berakhir dengan key yang tinggi. Namun demikian Liza berjaya memukau dengan persembahan yang saya kira agak cemerlang. Peningkatan mutu vokal beliau amat jelas dari minggu pertama sehingga minggu ke tujuh. Beliau boleh menari dengan baik dan semalam beliau telah membuktikan yang beliau boleh menyanyi dengan cemerlang. Beliau mempunyai package untuk terus berjaya. Saya masih di dalam dilema sama ada untuk memilih beliau atau pun Nija mewakili salah satu pilihan saya ke Top 5.
Liza

Vince
Vince (4/5 bintang)
Persembahan Samrah Mentari versi Vince amat perfect. Beliau bijak mengawal suaranya. Setiap patah perkataan dilontarkan dan penonton menerima setiap butir perkataan dengan jelas dan memahami maksud lagu tersebut. Namun begitu beliau mengambil langkah selamat dengan tidak mempelbagaikan showmanshipnya. Beliau tidak beraksi sehebat lagu Bunyi Gitar. Showmanshipnya seakan dikawal kerana takut melakukan kesilapan. Tarian samrah memang agak sukar untuk seorang yang bukan berbangsa Melayu. Namun demikian saya puji persembahan beliau. Mesej lagu tersebut sampai kepada penonton. Persembahan Vince agak cemerlang kali ini kerana lontaran vokal beliau dan keunikan suaranya mendendangkan lagu Samrah Mentari tanpa meniru stail penyanyi asal lagu tersebut iaitu Jamal Abdillah.
Vince

Nija
Nija (4.5/5 bintang)
Jelingan Manja versi Nija berjaya dipersembahkan dengan cemerlang. Melihatkan sessi latihan beliau saya merasa risau kerana attitude beliau masih tidak kelihatan untuk mendendangkan lagu tersebut. Malam tadi, beliau telah membuktikan yang beliau mampu menyanyikan lagu berentak jazz. Showmanship beliau ternyata berjaya memukau. Ekspresi mata beliau dengan penonton berjaya dilakukan dan interaksi dengan kamera sungguh cemerlang. Lontaran vokal beliau ternyata seksi dan kelebihan tersebut harus digunakan untuk masa akan datang. Beliau beraksi dengan gayanya tersendiri malam tadi dan persembahan beliau ternyata hebat.

Sahri
Sahri (5/5 bintang)
Saya puji kawalan emosi beliau. Beliau diasak dengan permainan emosi sejak awal kemunculannya lagi. Sahri dipertontonkan dengan klip yang melihatkan beliau kesedihan setelah menerima ucapan semangat dari pelajar-pelajar yang telah tersingkir. Kemudian, hampir separuh lagu didendangkan, ibubapanya dibenarkan untuk bertemu dengan Sahri untuk Sahri menyampaikan ucapan Selamat Hari Lahir kepada bapanya dan di akhir lagu dewan dikejutkan dengan kemunculan penyanyi asal lagu tersebut iaitu David Arumugam dari kumpulan Alleycats. Walaupun diasak dengan mainan emosi ini beliau ternyata profesional dalam mengawal emosi beliau dan terus mendendangkan lagu tersebut dengan cemerlang. Seluruh dewan kesedihan apabila menyaksikan ibubapanya dibenarkan untuk bertemu dengannya dan seluruh dewan menjadi gempita apabila melihatkan kemunculan David Arumugam mendendangkan lagu Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi bersama-sama Sahri. Sahri bijak menggunakan versatiliti suaranya untuk mencantikkan lagu lama ini. Saya benar-benar berbangga dengan beliau. Dari note pertama sehingga note terakhir beliau telah berjaya memukau seluruh hadirin dan penonton terutamanya Ahmad Idham Omar. Persembahan ini merupakan persembahan terbaik Sahri setakat ini.
Sahri

Khai
Khai (4/5 bintang)
Persembahan Khai sungguh bertenaga sesuai dengan lagu rancak iaitu Aladdin. Showmanship beliau sungguh baik beliau begitu selesa mendendangkan lagu tersebut. Beliau kelihatan begitu enjoy mendendangkan lagu Aladdin. Stamina beliau saya akui berada di tahap yang tertinggi dan beliau tidak kelihatan letih setelah selsai mendendangkan lagu tersebut. Beliau berjaya mengawal mutu vokal suaranya sambil mengekalkan showmanship bertenaga. Beliau bernasib baik kerana mendapat lagu yang benar-benar sesuai dengan jiwanya. Beliau benar-benar menjiwai lagu tersebut dan persembahan all-out ini mendapat tepukan gemuruh penonton. Sketsa yang dipersembahkan juga mampu memancing perhatian penonton. Oleh kerana terlampau enjoy mendendangkan lagu tersebut beliau telah mengajak Aznil untuk turut sama menari. Saya merasakan tindakan ini tidak sesuai dilakukan dan walaupun Aznil bersikap sporting, beliau harus bijak mengawal keseronokannya agar tidak terlalu over-act.

Hanya Memuji
Saya menyukai lagu ini dan keharmonian lagu ini menjadi apabila didendangkan oleh pelajar Akademi Fantasia. Showmanship mereka juga ternyata menarik. Namun demikian step koreografi yang sama untuk lagu-lagu yang sebelumnya agak membosankan. Cikgu Linda Jasmine perlu mereka satu koreografi baru agar menampilkan unsur kelainan dalam setiap Konsert.

Tenaga Pengajar
Asereje Les Ketchup
Persembahan pelajar untuk lagu ini juga menarik. Nana telah banyak menyelamatkan lagu ini dengan showmanship yang berjaya. Lagu ini tidak perlu koreograf baru kerana sememangnya lagu ini mempunyai koreografnya tersendiri. Di akhir lagu, para pelajar telah mengajak semua penonton untuk sama-sama menari dengan mereka. Satu persembahan yang menceriakan walaupun beberapa minit selepas itu salah seorang akan tersingkir dan air mata mula bercucuran.

Nana
Keputusan
Kesemua pelajar telah menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan berjaya. Persembahan mereka di Konsert kali ini merupakan Konsert yang terbaik setakat ini. Pilihan menjadi semakin sukar kerana yang tinggal semakin berbakat dan terdapatnya peningkatan dalam ilmu dan persembahan mereka. Namun demikian keputusan harus dibuat. Teori kemeluatan penonton ternyata berjaya kali ini. Penonton sudah mula merasakan tertipu dengan Nana. Sebenarnya Nana telah “cheat death” sebanyak dua kali. Nana sememangnya sudah pulang sejak dua minggu yang lalu tetapi berjaya diselamatkan oleh Burn dan Rosma. Publisiti meluas yang diterima oleh Rosma di dada-dada akhbar juga menyebabkan pengundi mula sedar yang mereka silap strategi. Secara tiba-tiba Akademi Fantasia menjadi Mania ! Satu Malaysia tahu apa itu Akademi Fantasia. Ke mana perginya wartawan hiburan semasa berlabuhnya Tirai Akademi, Konsert 1 hingga ke Konsert 6 ? Mungkin mereka tidak pernah menjangka yang satu hari kelak Akademi Fantasia akan menjadi sepopular ini, atau mungkin ketika itu mereka terlalu sibuk menguruskan Perkahwinan Puteri Cinderella Melayu sehingga mengekori mereka terbang ke Sweden untuk mendapatkan skop yang lebih dibeli pembaca. Saya amat berharap agar para wartawan Malaysia ada sedikit rasa belas terhadap tulisan-tulisan yang telah disiarkan di dalam medium-medium yang berbeza ini. Mereka seharusnya tidak mencedok hasil tulisan yang telah disiarkan sekadar untuk kepentingan diri sendiri. Lakukan sedikit homework dan budaya cut & paste sewajarnya dihindarkan.

Siti Hajar
Banyak perkara yang cuba dibuktikan oleh ASTRO semalam menggunakan Aznil Haji Nawawi sebagai perantara. ASTRO cuba membuktikan tiada wujudnya konspirasi penggiliran penyingkiran pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Dan akhirnya minggu ini Nana disingkirkan walaupun minggu lepas Rosma yang tersingkir. ASTRO juga ingin membuktikan bahawa peserta yang terakhir membuat persembahan masih kekal di Akademi walaupun kesesakan trafik ke server SMS belum tentu dapat menampung kesesakan yang terlampau. ASTRO juga ingin membuktikan peserta pertama yang membuat persembahan boleh disingkirkan walaupun masa untuk pengundi mengundi beliau agak panjang dan bilangan undi untuknya akan meningkat. Yang pastinya saya amat berharap agar ASTRO menjawab pertanyaan bagaimana undian untuk Khai tiba-tiba naik mendadak sehingga 26% pada awal pagi hari Ahad. Adakah ini undian untuk Khai yang diterima sebelum tamatnya Konsert 7 atau pun peratusan undi dari pengundi-pengundi fanatik Khai yang terus mengundinya setelah selesai Konsert 7 ? Awal juga pengundi Khai mengundi ! Saya yakin tiada wujudnya konspirasi dalam keputusan Akademi Fantasia ini. Kegemparan yang diwujudkan kononnya pelajar digilirkan mengikut jantina adalah satu yang palsu dan tidak boleh diterima akal kerana semuanya terletak di tangan anda. Penggiliran yang berlaku hanya secara kebetulan kerana itulah pilihan anda.


Imbasan Akademi

Nana
Kedudukan Selepas Konsert VII
Liza 17%
Azizi 16%
Vince 16%
Khai 14%
Sahri 14%
Nija 12%
Nana 11%

Dinilai dari segi persembahan, penonton masih memberikan undi simpati untuk Liza untuk menyingkirkan Nana. Tetapi malangnya Nana tidak berjaya untuk “cheat death” untuk kali ketiga. Persembahan Liza tidak sehebat persembahan Sahri dan Nija, jauh sekali buah hatinya Vince. Persoalan yang harus difikirkan, wajarkah Sahri mendapat hanya 14% undian ? Khai terselamat kali ini kerana beliau berada di tahap yang agak selesa sebelum Konsert 7 bermula.

Saya sendiri sukar untuk menjangkakan siapakah yang layak dinobatkan sebagai Juara kerana ini undian SMS. Saya sendiri tidak menjangkakan yang Liza akan merebut takhta kejuaraan di Konsert 7 minggu ini. Jangan terkejut bila di Konsert Final nanti bukan Vince yang akan membawa pulang Vitara tersebut. Sesiapa sahaja mempunyai peluang yang sama untuk mendapat undian SMS. Mungkin Sahri, mungkin Azizi, mungkin Khai, mungkin Nija dan mungkin Liza. Segalanya mungkin kerana undian terletak di tangan anda.