Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 05 July 2003

Diari Akademi
Akademi Fantasia Jumaat 4 Julai 2003

Kecederaan Atie
Setelah hari kelima, minggu keempat baru kita dapat melihat persiapan Atie dengan lagu Jendela Hatinya. Koreografi tariannya menarik hasil tunjuk ajar Cingu Linda. Oleh kerana inginkan kelainan, Atie sedikit tercedera semalam. Mujur tidak ada apa-apa kecederaan berat yang berlaku ke atasnya. Tindakan Khai yang mengambil kesempatan sangat memalukan.

Fitness set
Akademi mendapat penajaan baru iaitu fitness set iaitu dua buah basikal. Kemudahan fitness set tersebut seharusnya dimanafaatkan oleh semua pelajar untuk meningkatkan stamina mereka terutamanya Sahri dan Burn. Adalah lebih baik menggunakan fitness set tersebut daripada mereka cuba melakonkan adegan-adegan yang nampak tidak real. Tidak banyak sedikit dapat meningkatkan kesihatan diri untuk mereka.

Sandarkan Pada Kenangan
Saya tidak sabar untuk menonton persembahan ini. Satu gabungan yang menarik dan tentunya memberikan satu impak yang besar kepada mereka kerana salah seorang daripada mereka akan tersingkir selepas persembahan di Konsert IV itu.

Noraniza Idris
Kemunculan Noraniza Idris penyanyi lagu Tingting ke Akademi benar-benar mengejutkan Rosma. Seawal hari pertama, Rosma sudah tidak berkeyakinan membawakan lagu tersebut. Noraniza Idris menasihatkan beliau agar membawakan lagu tersebut dengan caranya tersendiri dan tidak mengikut gaya penyanyi asalnya. Lagu tersebut memang agak sukar dan ini diakui sendiri oleh beliau. Kebolehan Rosma menyanyikan lagu tersebut benar-benar mengkagumkan Noraniza sendiri sewaktu mendengar nyanyian Rosma di luar pintu. Rosma berkebolehan menyanyikan lagu asli dan tradisional dengan baik.

Pelajar perempuan berbaju kurung
Saya mengaku menghantar satu undian untuk Atie setelah melihatnya muncul memakai baju kurung. Sungguh cantik dan menawan. Beliau memakai baju kurung tradisional teluk belanga. Agak jarang baju kurung tradisional ini kelihatan sekarang. Di situ kelebihannya, nampak begitu ayu sekali. Berbeza dengan kemunculan empat rakannya yang lain. Mereka nampak biasa sahaja.

Lamb-chop
Sebenarnya saya tidak menggemari adegan ini. Sangat memalukan kerana dalam ketawa saya sebenarnya memtertawakan bangsa saya sendiri. Mungkin ada di antara kita yang tidak mengenali apa itu lamb-chop, tidak fasih berbahasa Inggeris, tidak tahu menyebut dengan betul perkataan Chicago tetapi itu bukan salah mereka. Tidak tahu apa itu lamb-chop bukan tiket untuk menjadi seorang penghibur dan sewajarnya adegan itu patut ditiadakan. Memang saya akui adegan itu nampak begitu real dan tidak nampak dibuat-buat. Memang Nija begitu jujur memberitahu yang dia tidak tahu apa itu lamb-chop. Sangat real dan jujur. Kejujuran itu lebih baik dari menipu. Saya puji sikap anda.

Secara analogi dan kebetulan, Nija juga mungkin juga telah dihidangkan dengan makanan terakhirnya di Akademi tersebut. Saya tidak bermaksud untuk menyamakan Nija dengan banduan hanya bermaksud untuk menyamakan menu lamb-chop Nija dengan menu terakhir banduan di Bilik Akhir. Hanya sebagai analogi. Sudah menjadi kebiasaan yang banduan di Bilik Akhir akan diberikan kelebihan untuk memilih menu terakhir mereka sebelum mereka dibawa ke tali gantung. Dan mungkin Nija telah diberikan satu hidangan sebelum penyingkiran Konsert IV malam ini oleh pihak penganjur. Satu perancangan atau kebetulan ? Siapa tahu.