Akademi Fantasia Hari Pertama Minggu Keenam
Forum Peserta sama dengan Forum AF
Tugasan pertama mereka pada minggu ini agak menarik. Mereka perlu mengacarakan satu rancangan untuk melihat keterampilan mereka menjadi pengacara atau pun sebagai peserta forum. Segmen pertama, Khai terpilih sebagai pengacara rancangan dan Liza, Nija dan Sahri sebagai peserta forum. Tajuk yang dikendalikan oleh Khai bertajuk “Untuk menjadi seorang artis, bakat atau pun paras rupa ?”
Sedar tidak sedar itulah yang juga kita perdebatkan di dalam Forum Akademi Fantasia yang menjadi medan kutuk, keji, maki, hamun di antara kita. Dan yang lebih kelakar sebagai penghibur masa depan, mereka juga bertelagah sesama sendiri. Masing-masing ingin mempertahan hujah masing-masing sehingga moderator dipinggirkan. Sahri mempertahankan bahawa terdapat sebilangan penghibur yang mempunyai bakal tetapi tidak popular (seakan-akan mengaitkan dengan dirinya sahaja) dan Nija mempertahankan bakat adalah penting dan rupa hanyalah bonus. (mungkin Nija beraskan beliau bakal popular hanya bersandarkan bakat). Ini Malaysia sayang, paras rupa tetap merupakan faktor utama untuk menjadi penghibur yang hebat di Malaysia. Walaupun kedua-duanya agak penting pada saya tetapi tidak kepada semua peminat muzik. Ada di kalangan mereka yang menggemari penyanyi tersebut dan akan membeli album mereka atau menonton konsert mereka walau sebagaimana buruk pun kualiti album tersebut ataupun nyanyian mereka.
Penilaian lagu
Lagu gabungan adalah lagu Jika (Melly Goeslaw dan Arri Lasso) dan One Sweet Day (Mariah Carey dan Boyz II Men)
Nana – Hapuslah Air Matamu dendangan asal Datuk Sharifah Aini
Lagu ini sekali lagi akan menguji kawalan vokal rendah Nana. Tugas berat menanti beliau kerana harapan penonton untuk melihat beliau bersemangat membawakan lagu Halaman Cinta gagal dipersembahkan. Harap-harap beliau menitiskan airmata membawakan lagu ini bukan kerana gagal membawakan lagu ini dengan baik tetapi kerana membawakan lagu ini dengan penuh penghayatan.
Vince – Sonata Musim Salju dendangan asal Hazami
Vince tiada masalah membawakan lagu ini. Beliau perlu menghayati lagu ini dan membawa penonton terbuai dengan perasaannya. Lagu ini lagu popular dan Vince perlu melakukan sesuatu agar feel lagu tersebut sampai kepada penonton.
Liza – Bagaikan Puteri dendangan asal Farra
Sekali lagi Liza diuji dengan lagu yang memerlukan beliau menari. Saya pasti akan membandingkan kehebatan tarian Farra untuk lagu ini dengan koreografi oleh Linda Jasmine. Saya berharap beliau mampu membawakan lagu ini dengan baik.
Khai – Six Month, Eight Days and Twelve Hours dendangan asal Brian McKnight
Saya sendiri tidak pernah mendengar lagu ini. Khabarnya berentak agak perlahan. Ini kali pertama Khai mendapat lagu Inggeris dan satu cabaran untuk beliau bila mana penonton ternanti-nanti bilakah beliau akan membawakan satu lagu Inggeris. Lagu berentak R&B ini memang kedengaran tidak sesuai dengan vokalnya tetapi sesuatu boleh dilakukan dan perlu digayakan dengan cara tersendiri.
Rosma – Sinaran nyanyian asal Sheila Majid
Sheila Majid merupakan penyanyi kesukaan saya. Sejak album pertama beliau diedarkan sehinggalah sudah bersuami baru saya masih mengikuti perkembangan beliau. Setiap konsert beliau tidak pernah saya tinggal sekalipun memerlukan saya pulang ke Malaysia. Ini lagu legenda beliau dan Rosma bakal menghadapi tugas berat untuk meyakinkan penonton. Showmanship perlu nampak lebih attitude dan beliau perlu mengekalkan kecomelan lagu ini.
Azizi – Seribu Impian nyanyian asal Casey
Lagu ini sesuai dengan vokal Azizi. Beliau harus bijak melakarkan showmanship yang baik untuk persembahan ini. Silap haribulan lagu ini bakal kembali popular kerana persembahan Azizi seperti lagu Biru nyanyian Jai yang tiba-tiba disedari oleh pendengar muzik.
Sahri – Raikan Cinta dendangan asal M.Nasir
Sahri juga bakal menggegarkan pentas dengan lagu ini. Lagu ini lebih kurang sama genrenya dengan lagu Salsabila iaitu berirama Timur Tengah. Attitude M.Nasir berbeza apabila menyanyi. Penghayatan beliau terhadap lagu begitu mendalam kerana beliau pencipta lagu tersebut. M.Nasir cukup kurang berpuas hati apabila mesej lagu tersebut tidak sampai kepada penonton. Mesej lagu tersebut begitu mendalam. Pada saya, Sahri perlu membuat kajian tentang penghayatan terutamanya apabila menyanykan lagu bermesej seperti lagu-lagu nyanyian M.Nasir.
Nija – Fatalistik dendangan asal Ziana Zain
Lagu bernada tinggi ini bakal menguji vokal Nija. Setiap minggu beliau akan diuji denagn lagu key tinggi. Kali ini lagu rancak bernada tinggi. Beliau perlu mengawal vokal agar pitching tidak lari. Apa yang saya dengar di minggu-minggu lepas sudah agak baik namun demikian beliau masih dikatakan tidak berjaya dari segi pitching. Saya bukanlah seorang yang arif dalam bidang muzik dan akur dengan pandangan Pengetua tentang itu.
Nasihat Adnan Abu Hassan kepada mereka “The song will not complement the singer, but the singer must complement to the song.” Sebagai penghibur mereka sepatutnya mampu untuk membawakan apa sahaja jenis lagu.
0 komen