Mentaliti Penonton : Sejauh Mana Mereka Bersedia untuk Akademi Fantasia
Saya banyak menerima komen tentang gelagat penonton yang bersorak kegembiraan tatkala Aznil mengumumkan nama Nana tersingkir minggu ini. Di dalam email terbaru dari Adifashla juga turut melahirkan perasaan kecewa beliau melihatkan gelagat penonton yang bersorak kegembiraan. Ini turut dikongsi bersama dengan pelajar-pelajar yang telah tersingkir dan Tenaga Pengajar juga.
Keseronokan penonton di Dewan Percubaan adalah intepretasi hati mereka. Namun demikian mereka harus sedar yang menyokong Nana dan yang mengundi Nana adalah mereka juga. Bukan salah Nana yang menyebabkan beliau terus kekal di Akademi Fantasia, juga bukan salah Nana yang menyebabkan Rosma tersingkir dari Akademi. Anda pengundi Malaysia yang telah diletakkan kepercayaan 100% oleh ASTRO untuk mengundi.
“Adakah anda gembira dengan keputusan yang telah anda buat ?” kata Aznil.
Saya gembira. Kegembiraan saya menyebabkan ada rakan-rakan saya yang tersinggung. Begitu hebat pengaruh Nana sehingga mampu menyebabkan sebuah persahabatan jadi renggang. Saya gembira kerana pertandingan ini menuntut seorang peserta terkeluar setiap minggu. Saya tidak gembira kerana beliau telah tidak diberi peluang untuk terus mempelajari ilmu baru di Akademi. Saya gembira kerana saya harus memilih lima pelajar yang terbaik di kalangan yang terbaik. Saya gembira Nana tersingkir kerana Nana bukan pilihan saya. Saya tidak gembira sekiranya penonton terus menghina dan mencaci beliau. Saya gembira kerana semua peserta telah memberikan persembahan yang terbaik pernah mereka persembahkan. Saya gembira kerana persembahan peserta lain lebih hebat dari persembahan Nana. Saya gembira kerana 2 undian saya untuk Liza diterima oleh ASTRO. Saya tidak gembira kerana 3 undian saya untuk Liza, 4 undian saya untuk Sahri, 4 undian saya untuk Nija dan 4 undian saya untuk Khai tidak diterima oleh ASTRO untuk Konsert 7.
Saya akui rakyat Malaysia belum bersedia untuk Akademi Fantasia.
Undian Bonus sewaktu Persembahan Konsert
Penonton mempunyai 6 hari untuk membuat pilihan tetapi mengapa penonton seakan-akan tidak dibenarkan mengundi setelah menonton persembahan mereka ? Adalah tidak adil sekiranya saya tidak dibenarkan untuk memberi undi bonus kepada Sahri, Nija dan Khai yang telah mempersembahkan satu persembahan yang bertenaga. Pengundi harus diberi peluang untuk memberi undi bonus setelah menilai persembahan mereka.
Format Pertandingan dan Lesen Hak Penyiaran
Akademi Fantasia harus kekal dengan format undian SMS sehingga penonton Malaysia benar-benar faham bagaimana menilai bakat. Tambahan pula ASTRO terikat dengan syarat perlesenan program ini yang dibeli dari Mexico. Mereka tidak boleh menukar sewenang-wenangnya. Lihat sahaja Roda Impian. Segala formatnya terus kekal setelah berpuluh tahun rancangan itu ke udara.
SMS dan Bakat
Penonton di Malaysia masih belum dapat menilai bakat seseorang serta keunikan seseorang bakal penghibur tersebut. Mereka terlalu banyak disogokkan dengan cerita-cerita sensasi tentang mereka. Saya sendiri turut menyelitkan cerita-cerita sensasi tentang mereka kerana saya tahu apa yang suka dibaca oleh pembaca Malaysia. Pembaca Malaysia sukakan sesuatu yang sensasi dan bukannya bersifat ilmiah. Jadi secara tidak langsung weblog ini menjadi salah satu pilihan untuk pembaca kerana weblog ini lebih menjurus ke arah dunia hiburan. Kita lihat sahajalah internet, apakah keyword kegemaran rakyat Malaysia ? “Siti Nurhaliza bogel, artis terlampau, video Nasha Aziz” Terimalah hakikat itu yang anda suka search di internet.
AF@17
Saya mengucapkan tahniah kepada ASTRO kerana memulakan saluran 17 khas untuk Akademi Fantasia. Agak mengecewakan saluran ini saya anggap seperti saluran budak-budak sekolah rendah. Terlalu cetek pemikiran mereka yang menggunakan chat di saluran ini untuk mengutuk peserta-peserta di Akademi Fantasia. Chat di saluran 17 merupakan Komuniti AF versi TV.
Cadangan
Saya ingin mencadangkan sekiranya rancangan ini ada musim Kedua, saluran ini boleh dikekalkan dengan menyiarkan siaran langsung kelas-kelas yang mereka hadiri untuk beberapa jam. Aktiviti harian mereka juga boleh disiarkan secara langsung. ASTRO boleh juga menggunakan konsep 24/7 live feed video di Internet menggunakan laman web rasmi Akademi Fantasia sebagai perantara. Ini telah dilakukan oleh CBS di Amerika Syarikat untuk rancangan The Big Brother 4. Sumber kewangan boleh diperolehi daripada penyiaran iklan di bawah 24/7 live feed video tersebut. Saya akui bandwidth di Malaysia belum mampu untuk menampung “live feed video” tersebut tetapi sekurang-kurang mereka boleh mencuba.
Konsert Final
Ramai yang bertanyakan saya tentang perjalanan Konsert Akhir Akademi Fantasia. Terus terang saya katakan, saya sendiri tidak mengetahuinya kecuali yang tersiar di dada-dada akhbar. Khabarnya Konsert Akhir akan berlangsung di Dewan PGRM, Cheras pada 9 Ogos 2003. Format pertandingan masih belum difikirkan kerana perlu diingat rancangan ini ialah reality tv, oleh itu sepatutnya tiada satu skrip pun yang akan dijadikan panduan. Tetapi tentunya idea persembahan telah ada di dalam fikiran Penerbit. Khabarnya 8-10 Ogos 2003 akan berlangsung Karnival ASTRO di PWTC. Jadi adalah lebih baik sekiranya Konsert Akhir Akademi Fantasia dilangsungkan di Dewan Merdeka, PWTC. Tempat tersebut lebih eksklusif dan mampu menampung bilangan penonton yang agak besar. Khabarnya juga, para peserta perlu menyanyikan beberapa buah lagu di Konsert tersebut. Idea menjemput pelajar-pelajar yang telah tersingkir membuat persembahan agak baik.
Undian Terkini & Undian Selepas Konsert
Undian tersebut tiada bezanya. Sama sahaja. Undian dibuka 24 jam. Sistem komputer akan merakamkan keputusan undian terkini sepanjang hari dalam minggu tersebut dari hari Ahad jam 1 pagi sehingga Sabtu jam 8.30 malam. Undian tersebut adalah undian yang diterima oleh setiap pelajar. Semasa Konsert berlangsung, undian terkini tidak disiarkan. ASTRO tentu mempunyai sebab untuk tidak menyiarkannya. Apa yang tersiar di awal Konsert adalah kedudukan undian sebelum Konsert bermula. Keputusan undian selepas Konsert hanya tersiar sewaktu rancangan Imbasan Akademi. Keputusan itu merupakan kedudukan pelajar selepas menerima undian dari penonton yang menyaksikan persembahan mereka.
0 komen