Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 22 July 2003

Diari Akademi
Akademi Fantasia Hari Pertama Minggu Ketujuh

Dualah tiga boleh kucari
Manakan sama abang seorang


Bait pantun yang disyairkan oleh Rosma sewaktu sessi ujibakat disiarkan semula malam tadi sebagai mengingati Rosma yang telah disingkirkan pada Konsert 6 Sabtu lalu. Begitu mendalam maksud syair itu sendiri. Tiada siapa yang dapat menandingi kehebatan beliau. Sayangnya beliau tersingkir pada Konser 6 minggu lalu. Kini tiada lagi Rosma di Akademi. Yang tinggal hanya kenangan.

Mood Diari Akademi dibuka dengan peringatan tegas dari Aznil yang mengharapkan agar penonton mengundi pelajar yang patut dikekalkan di Akademi. Kenapa baru sekarang diperingatkan ? Bukankah sejak dahulu lagi peringatan sebegini wajar diingatkan selalu ? Kita kena sedar, rakyat Malaysia pentingkan rupa dan mengetepikan bakat. Bukahkah masyarakat kitalah yang telah meletakkan filem Sembilu arahan Yusof Haslam dan Mami Jarum arahan Razak Mohidin sebagai pengarah filem tersohor dan meminggirkan filem Paloh arahan Adman Salleh.

Hampir kesemua pelajar melahirkan rasa sedih kerana Rosma telah disingkirkan dari Akademi. Nana yang mengetahui kelebihan Rosma memuji kualiti vokal Rosma dalam keadaan yang cuba-cuba untuk mengalirkan air-mata tetapi tidak keluar. Liza kelihatan selamba memohon maaf jika ada perkara yang menyinggung perasaan Rosma selama ini. Mungkinkah Liza yang dimaksudkan oleh Rosma sewaktu Sidang Meja Makan satu ketika dahulu ? Nija agak biasa juga, mungkin sedih, mungkin ceria. Mungkin juga sudah sifat semulajadi Nija yang sebegitu. Mungkin mereka merasa sedikit lega dengan ketiadaan Rosma. Berbeza dengan pelajar lelaki yang rata-rata sedih dengan ketiadaan Rosma. Khai cuba untuk menyembunyikan kesedihannya dan cuba mengalihkan tumpuan kamera kepada Nemo. Vince nampak begitu sugul. Sahri bercakap sambil menahan sebak dan Azizi menasihatkan Rosma agar terus tabah dan menerima keputusan yang dibuat.

Sewaktu sessi menilai semula persembahan yang lepas, Cikgu Linda Jasmine menasihatkan pelajar agar mencontohi Sahri yang tahap energy dan keyakinannya begitu tinggi. Apabila keyakinan tinggi, maka seseorang pelajar itu akan kurang membuat kesilapan. Puan Fatimah menasihatkan pelajar agar menguatkan semangat dan tidak mudah terganggu dengan penonton. Gangguan sebegitu memang akan wujud kelak dan harus dielakkan.


Lagu Baru
Nija – Jelingan Manja (Saloma/Sheila Majid)
Saya membayangkan Rosma yang membawakan lagu ini. Bagaimana ya ? Namun begitu, saya yakin Nija mampu membawakan lagu ini dengan baik. Attitude apabila membawakan lagu ini kena benar-benar kelakar dan ceria. Lagu ini agak simple, tone suara lebih biasa dan tidak perlu menarik tinggi vokal. Nija boleh menjadikan Sheila Majid sebagai role-model untuk membawakan lagu ini tetapi jangan sampai meniru gaya penyanyinya. Nija merasakan lagu ini agak mencabar untuk dibawa olehnya kerana range vokal untuk lagu ini agak rendah dan Nija memang bermasalah membawakan nada rendah. Itu kerisauannya.

Vince – Samrah Mentari (Jamal Abdillah)
Saya begitu gembira apabila Vince terpilih untuk membawakan lagu ini. Gembira kerana lagu ini akan mempelbagaikan versatilitinya membawakan pelbagai ritma lagu. Saya amat berharap agar Vince dapat membawa lagu ini dengan stailnya sendiri. Lagu berentak samrah ini memang sukar untuk dibawakan kerana sambil menyanyi kena menari. Lagu ini bukan lagu keroncong, Vince. Lagu ini berentak samrah. Sekurang-kurangnya ada ilmu baru yang Vince perolehi hari ini. Saya merasakan Vince mampu membawakan lagu ini kerana melihatkan kebolehan Vince melakukan rap solo sewaktu menyanyikan lagu Tiada Lagi Cinta. Saya menasihatkan agar Vince tekun membuat latihan dan jaga diction dan pronunciation Melayu lagu ini dengan betul.

Liza – Bunga Bunga Cinta (Misha Omar)
Liza kelihatan agak gembira apabila menerima lagu ini. Gembira ? Dalam hati siapa yang tahu. Wajar saya puji sifat Liza, walaupun menerima lagu yang tidak disukai olehnya tetapi beliau menganggapnya sebagai cabaran yang perlu ditempuhi. Lagu ini terlalu tinggi untuk seorang penyanyi selamba seperti Liza. Namun begitu dalam masa satu minggu pelbagai kejutan boleh berlaku. Saya mengharapkan sesuatu yang outstanding dari Liza pada minggu ini.

Nana – Desa Tercinta (Nora)
Nana tidak pernah mendengar lagu ini. Agaknya muzik jenis apa yang diminati oleh Nana ? Ini merupakan kali pertama Nana terpilih untuk membawa lagu berirama Malaysia. Saya sungguh berpuas hati apabila Nana menerima lagu ini. Kelebihan vokal Nana boleh dipergunakan untuk lagu ini. Lagu ceria ini memang sesuai dengan sifatnya. Saya akui dari minggu ke minggu baru lagu semakin sukar.

Khai – Aladdin (Spider)
Khai amat suka apabila menerima lagu ini. Saya menasihatkan Khai agar menjaga staminanya. Khai perlu beraksi pantas dan rancak di atas pentas apabila membawakan lagu ini. Jika stamina Khai menurun, persembahan akan kelihatan tidak bertenaga. Lagu pop-rock ini memang sesuai dengan vokal Khai. Saya mengharapkan satu persembahan yang benar-benar bertenaga. Sila contohi Sahri yang telah memberikan energy kepada lagu Raikan Cinta.

Sahri – Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi (Alleycats)
Saya amat berpuas hati apabila Sahri menerima lagu ini. Lagu slow ini amat sesuai dengan vokal Sahri. Lagu lama ini memang lagu legenda yang diingati sehingga sekarang. Penghayatan lagu ini jika berjaya dibawa dengan baik akan memberikan kesan yang begitu mendalam kepada penonton.

Azizi – Samba Apa Saja (Hattan)
Lagu berirama Latin and blues ini amat sesuai dengan vokal Azizi. Showmanship Azizi juga akan diuji untuk lagu ini. Saya pasti Azizi mampu membawakan lagu ini. Stamina Azizi juga telah diuji sewaktu lagu She Bang dan beliau berjaya mengharungi ujian tersebut.

Lagu Bonus – Les Ketchup, Bole Chundiyan, Hanya Memuji
Lagu bonus pada minggu ini menggunakan bahasa asing yang jarang kita sendiri gunakan. Kedua-dua lagu memerlukan showmanship yang menarik. Sudahlah menyanyi menggunakan bahasa yang asing dari kebiasaan dan dalam masa yang sama perlu menari. Ini merupakan satu cabaran yang hebat untuk pelajar. Saya tabik dengan Akademi Fantasia yang mewujudkan segmen ini untuk mempelbagaikan kebolehan pelajar-pelajar di Akademi Fantasia. Tahniah.

Diari Akademi pada minggu ini ditutup dengan peringatan waras dari Aznil Nawawi. Jika minggu-minggu sebelumnya, peringatan Aznil hanya menjurus kepada meminta agar pengundi menggasak talian SMS tanpa berfikir(yang penting duit masuk !), kini nadanya begitu berbeza setelah tersingkirnya Rosma dari Akademi Fantasia. Beliau mengingatkan pengundi agar mengundi dengan BIJAK.

1 Responses to

  1. Anonymous Says:
  2. welcome to the wow power leveling, cheap service site,WoW Gold buy cheap wow gold,wow gold,world of warcraft buy wow power leveling
    ow gold

     
Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger