Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 20 July 2004

Akademi Fantasia IIDiari Akademi 07-03-04

Keluhan Cikgu Fauziah Nawi
Mas memohon maaf kerana tidak memberikan yang terbaik sewaktu persembahan konsertnya minggu lepas. Kekesalan pada gurunya amat terasa kerana menganggap Mas boleh melakukan yang terbaik. Namun demikian, Mas telah mencuba sehabis baik. Sayang sekiranya Mas tidak menggunakan kelebihan dan peluang yang ada. Menurut Mas beliau masih malu dan gugup. Cikgu Fauziah menerangkan mengapa mereka marah dengan Mas kerana pada anggapan mereka Mas tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh.

Pada bahagian seterusnya, Nurul kelihatan seperti baru sahaja menangis. Mas cuba menegurnya tetapi dijawab dengan agak tinggi oleh Nurul yang menyatakan yang beliau tidak OK. Cikgu Fauziah bijak memujuk hati Nurul lalu mempelawanya untuk disuap. Menurut Nurul beliau kesedihan bukan kerana lagu.

Kelas Cikgu Siti Hajar
Kaer hanya berjaya apabila ada satu note sahaja tetapi apabila banyak beliau seakan hilang. Bob walaupun berjaya tetapi ada sedikit lari tonenya. Beliau perlu melontarkan vokalnya dan bukan menyimpannya kerana terlalu berhati-hati. Zahid berjaya melakukannya dengan baik. Adam tidak mampu untuk melontarkan vokalnya ke hadapan. Mas pula diajar satu note ke satu note oleh Cikgu Siti Hajar. Untuk pengetahuan semua, ini minggu ke tujuh bukan minggu pertama.

Lagu Bonus
Pengetua Ramli MS melakukan pembahagian lirik untuk lagu Dua Insan dan Kita Insan Biasa. Cara nyanyian mereka masih tiada harmoni dan masih terlalu awal untuk dinilai.

Kelas Seni Persembahan Cikgu Fauziah Nawi
Kelas yang agak biasa dan terlalu rutin. Tidak banyak pembaharuan yang berlaku di dalam kelas ini hari ini. Agak membosankan lebih-lebih lagi mata melawan mengantuk selepas seharian sibuk mengendalikan satu majlis sebentar tadi.

Sewaktu kehadiran Uji Rashid ke Akademi Fantasia, beliau tidak berkesempatan untuk menyerahkan cenderamata kenangan untuk para pelajar. Hari ini beliau mewakilkan kepada Cikgu Mahani untuk menyerahkan cenderamata darinya kepada pelajar. Setiap seorang menerima satu. Mas menerima cenderamata yang paling besar dan berwarna merah.

Kelas Imej bermula yang menekankan tentang bagaimana mereka harus membawa diri mereka. Cara berpakaian, penampilan mereka, juga adab di meja makan akan diberi tunjuk ajar oleh Cikgu Mahani. Perkara pertama yang dilakukan ialah cara berjalan. Zahid seorang yang jenis berjalan tunduk dan telah ditegur oleh Cikgu Mahani. Bob perlu berjalan dengan lebih sasa. Begitu juga dengan pelajar perempuan seperti Nurul, Linda dan Farah yang ada kesilapan mereka masing-masing.

Membina imej bukan bermakna kita bertukar menjadi orang lain tetapi hanya untuk menjadikan diri kita lebih baik dari sekarang.

Nasihat Encik Julian
Mereka dinasihatkan oleh Encik Julian agar menjaga berat badan. Mereka bersarapan pagi. Zahid makan, Adam makan, Bob makan, Kaer makan dan Linda pun makan. Kecuali Farah, Nurul dan Mas yang sedang diet.

Kelas Vokal Cikgu Siti Hajar
Latihan Zahid menyanyikan lagu Cinta Sakti tidak ada yang menarik. Beliau ditegur agar tidak terlalu menyimpan vokalnya dan tidak melontarkan vokalnya dengan betul. Cikgu Siti Hajar menasihatkan beliau tentang jenis orang yang suaranya ke bawah, sekarang tidak boleh menyanyi lagi.

Linda belajar beat untuk lagu Akan Ku Tunggu. Seperti lagu Tak Tahan Lagi, Linda seakan-akan punya masalah tempo. Lagu ini memang rancak dan agak laju. Linda perlu beri perhatian kepada tempo dan beat.

Persembahan latihan Kaer juga biasa. Seperti kebiasaannya beliau akan cuba untuk menukar lagu tersebut mengikut citarasanya yang tersendiri tanpa mahu mendalami melodi asal lagu tersebut. Menurut Siti Hajar, beliau mahu Kaer mengetahui melodi asal lagu tersebut dan kemudiannya baru mereka akan benarkan untuk Kaer menukar melodi. Alasan Kaer beliau telah cuba untuk menyanyi tetapi tidak boleh ikut melodi asal lagu tersebut. Alasan tersebut tidak diterima oleh Cikgu Siti Hajar.

Nurul perlu memahami makna perkataan-perkataan asas bahasa Inggeris lagu tersebut agar emosinya kena dengan lirik lagu tersebut.

Di kesempatan tersebut, Cikgu Siti Hajar turut mengajar tentang bubbling. Juga perkara asas dalam nyanyian yang perlu dibiasakan oleh para pelajar. Farah tidak menghadapi masalah besar dalam note yang tinggi. Cikgu Siti Hajar menegur Mas yang masih tidak mampu untuk melakukan seperti apa yang dikehendaki oleh beliau. Teknik pernafasannya salah. Beliau bertanya adakah Mas melakukan latihan yang diarahkan olehnya di rumah. Mas menjawab tidak buat.

“Kenapa tidak buat ? Suara sudah bagus ?” jawab Cikgu Siti Hajar.

Cikgu Siti Hajar masih tidak berpuas hati kerana tahu Mas boleh melakukannya tetapi beliau tiada kesungguhan.

Setelah ketiadaan Zarina, Farah menjadi tempat rujukan Nurul dan Mas. Ini secara tidak langsung akan dapat menaikkan saham Farah. Itupun sekiranya pengundi Nurul dan Mas mengenang jasa baik Farah.

Kaer berlatih lagu Bunga Pujaan seorang diri, begitu juga Linda.

Adam harus melakukan sesuatu kepada teknik lontaran vokal beliau. Beliau masih menyimpan vokalnya. Menurut Cikgu Siti Hajar, Adam harus mengeluarkan semua suaranya untuk lagu ini untuk mengetahui mana yang kurang untuk diperbaiki.

Nurul memohon tunjukajar dari Linda untuk koreografi lagu Lucky. Sambil Adam meningkatkan staminanya untuk lagu Smooth Criminal. Kaer mendapatkan tunjukajar dari Zahid

Nurul didenda untuk membasuh pinggan mangkuk kerana dikatakan memecahkan cawan di dapur. Walaupun tanpa bukti yang kukuh beliau didenda oleh Encik Julian.