Konsert VII Akademi Fantasia : Selamat Pulang Ke Ulu Langat
Secara keseluruhan persembahan Konsert VII agak membosakan. Tiada elemen kejutan yang mampu mengumpan perhatian penonton kecuali kejutan buat Zahid. Kesilapan teknikal sewaktu mengumumkan Kedudukan Sebelum Konsert tidak sepatutnya berlaku kerana ia adalah rutin pada setiap konsert sejak Konsert I Akademi Fantasia I hinggalah Konsert VII Akademi Fantasia II. Jika dibandingkan Konsert VII Akademi Fantasia I dan II memang jauh bezanya. Tidak menyeronokan dengan persembahan yang terbaik dari setiap pelajar kecuali keceriaan Nurul apabila diumumkan tersingkir pada ahkir konsert.
Satu lagi kesilapan besar pihak penerbitan ialah apabila pengumuman oleh Floor Manager tentang lesen membuat aksi “mengeluh” kepada Pengkritik Profesional sekiranya penonton tidak bersetuju dengan mereka. Sebaliknya lesen tersebut telah disalahgunakan oleh penonton dengan mem”boo” komen bernas oleh Kudsia Kahar. Satu kesilapan yang besar apabila meletakkan sepenuh kepercayaan kepada penonton untuk melakukan sesuatu.
Kedudukan Sebelum Konsert
Mas 15%
Adam 14%
Linda 14%
Zahid 14%
Kaer 13%
Bob 12%
Farah 11%
Nurul 9%
Pengkritik Profesional
Zainal Abidin telah melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada beliau dengan cemerlang. Beliau telah bercakap tulus dari hatinya untuk perkembangan pelajar dan kebaikan pelajar itu sendiri. Kebanyakan komen yang diberikan oleh beliau dipersetujui oleh para penonton. Tetapi tidak bagi Saiful Apek yang rata-rata komennya hanya menyebut sempoi. Saya sendiri sudah bosan dengan perkataan tersebut disebutkan berulang-ulang kali sehinggakan persembahan pelajar yang agak buruk juga diberikan taraf sempoi. Adakah makna sempoi itu sesuatu yang buruk ? Saiful Apek seakan hilang arah dan tidak tahu apa yang perlu dikomen. Beliau sewajarnya memberikan komen tentang persembahan pelajar. Saya agak bersetuju dengan Kudsia Kahar pada minggu ini. Beliau nampaknya seakan sudah berputus asa setelah melihat persembahan pelajar yang agak buruk pada minggu ini. Saya tidak nampak kenapa perlunya ada sokongan boo dari para penonton yang menonton secara langsung. Insiden ini berlaku sejak minggu lalu bila mana Floor Manager memberikan lesen kepada penonton untuk mengeluh jika dan hanya jika ada komen yang tidak memuaskan hati mereka. Mengeluh dan mem”boo” adalah dua perkara yang jauh berbeza. Saya dapat measakan inilah silapnya apabila ASTRO memberi lesen kepada penonton untuk melakukan sesuatu. Mereka akan silap menggunakan peluang yang ada. Mereka akan menganggap tindakan tersebut satu hak dan bukannya satu kelebihan yang telah diberikan oleh ASTRO.
Persembahan Pelajar
Nurul – Lucky 3.2/10
Nurul terlalu berhati-hati ketika membuat persembahan. Sebuah lagu Inggeris yang attitude disampaikan dengan biasa sahaja oleh Nurul. Sebutannya telalu berhati-hati, tidak jelas dan agak meleret. Idea persembahannya bagus tetapi tidak dapat membantu mencantikkan persembahannya kerana nyanyiannya jelas tidak cemerlang. Vokal beliau agak mendatar. Saya cuba memetik kata-kata Roslan Aziz dalam Malaysian Idol yang pernah menyatakan “beliau menyanyi lagu Inggeris macam orang Jawa menyanyi lagu Inggeris.” Tahap keyakinannya juga agak baik pada minggu ini dan stage presense beliau juga terbaik. Beliau pandai menyesuaikan diri dengan keadaan ruang yang ada serta menambat hati melalui sketsa yang dipersembahkan. Menyanyi sambil dijulang merupakan kejutan dari beliau.
Bob – Salam Terakhir 6.5/10
Persembahan Bob tidaklah sebaik mana. Nada rendah beliau agak kurang bertenaga. Walaupun hanya berdiri dan tidak bergerak, persembahan beliau tetap menarik. Keyakinannya tinggi. Satu yang menyerlah tentang beliau ialah vokal beliau yang mantap. Beliau bijak menjaga pitchingnya dengan baik. Menurut Zainal Abidin beliau harus bijak mencipta kreativiti pada melodi lagu tersebut. Ini kerana persembahannya menepati melodi asal lagu tersebut. Penghayatan beliau juga bagus serta ekspresi wajah yang kekal sehingga tamat lagu tersebut.
Linda – Akan Ku Tunggu 6/10
Beliau agak terganggu dengan masalah teknikal yang berlaku di awal persembahannya. Jelas beliau nampak gugup dan tidak selesa dengan kejutan yang beliau terima. Persembahannya diiringi oleh dua gitaris hebat iaitu Sham Kamikaze dan Man Kidal. Tetapi sayangnya beliau gagal untuk menggunakan kejutan yang ada untuk mengumpan perhatian penonton. Sham Kamikaze dan Man Kidal sebenarnya terlalu profesional dan telah mencuri sedikit pesona bintang yang ada pada Linda. Tumpuan penonton telah teralih kepada mereka berdua setelah Linda membiarkan mereka memberikan persembahan yang memukau dan menyanyi di belakang mereka. Pergerakannya terbatas dan beliau agak kaku menguasai pentas. Persembahan vokalnya tidak seperti yang diharapkan kerana beberapa masalah pitching pada hujung-hujung note yang tidak dijaga dengan baik. Beliau agak bertuah kerana menerima kejutan tersebut.
Kaer – Bunga Pujaan 5/10
Saya semakin tidak menyukai dengan persembahannya. Beliau terlalu ghairah menukar gaya melodi lagu tersebut sehingga hilang originaliti lagu tersebut. Beliau harus meningkat latihan pada note rendah vokal beliau yang tidak jelas kedengaran serta ditambah lenggok-lenggok R&B yang tidak perlu. Penghayatan beliau agak biasa sahaja dan hasilnya lagu tersebut kedengaran mendatar. Tumpuannya jelas kacau kerana masih melakukan kesilapan terlupa lirik. Saya dapat merasakan tekanan yang hebat dari minggu ke minggu juga tekanan tidak dibenarkan meneruskan rutin sehariannya sebelum ini. Wajahnya menjelaskan segala-galanya. Kedudukannya yang menurun dari minggu ke minggu jelas mengganggu tumpuannya. Beliau harus bijak dan menggunakan akal untuk mengawal kemarahannya dan sekaligus harus bijak menutup kelemahannya. Jangan biarkan kemarahannya menguasai dirinya. Menurut Kudsia Kahar, jiwa Kaer tidak lagi menumpukan sepenuh perhatiannya kepada persembahannya pada setiap minggu. Mungkinkah juga Kaer sendiri telah lupa tanggungjawabnya sebagai pelajar setelah dinobatkan yang beliau bakal Juara oleh Kudsia Kahar ? Oleh itu, siapakah punca sebenar masalah ini ?
Farah – Jangan Kau Mimpi 7/10
Beliau mempunyai vokal yang hebat. Koreografnya juga bagus pada minggu ini serta beliau bijak menguasai pentas. Beliau nampak ceria dan bertenaga menyanyikan lagu tersebut. Beliau mempunyai attitude yang baik untuk lagu sebegini. Seperti biasa teknik pernafasannya perlu dijaga untuk lagu sebegini. Pada minggu hadapan beliau diharapkan dapat menumpukan perhatian kepada teknik berkomunikasi beliau dengan penonton bukan sekadar melalui percakapan tetapi juga melalui gerak tubuh beliau. Beliau tidak bersungguh-sungguh mengucapkan terima kasih kepada penonton pada akhir persembahannya serta breep breep yang dibuat tidak bersemangat.
Zahid – Cinta Sakti 8/10
Beliau bercita-cita untuk makan malam bersama Misha Omar dan makan cekodok bersamanya. Di layar ditayangkan halaman rumah Zahid di Gombak dan muncul Misha Omar di hadapan rumah Zahid. Zahid jelas cemburu dengan tayangan tersebut. Misha masuk menemui ibu dan bapanya. Misha berkesempatan untuk masuk ke dalam bilik Zahid untuk melihat-lihat dan berbaring di katil Zahid. Jeritan cemburu penonton membuktikan segala-galanya. Ada juga teddy bear di dalam bilik beliau. Misha menampal poster untuk Zahid siap ditandatangani oleh beliau. Berbalik kepada persembahan beliau, Zahid mempunyai vokal yang power. Penguasaan pentas yang hebat dan bertenaga. Penghayatannya juga kekal sehingga tamat. Interaksi kamera juga baik dan bijak mencuri perhatian kamera. Beliau tahu apa yang perlu dilakukan olehnya di atas pentas. Tahap keyakinan beliau amat tinggi dan semakin tinggi dari minggu ke minggu.
Mas – Tamparan Wanita 1/10
Beliau tidak menyanyikan lagu ini dalam nada yang betul. Igauan Ramli MS menjadi kenyataan. Penyanyi latar telah menyanyikan lagu ini dalam nada yang betul tetapi tidak Mas. Saya harus memuji ahli-ahli kumpulan Elite yang berjaya menyanyikan lagu Tamparan Wanita ini jauh lebih hebat dari Mas. Oleh itu cuba anda bayangkan di mana kedudukan Mas jika dibandingkan dengan Elite. Saya amat berharap peminat fanatik Mas dapat membaca makna di sebalik baris ayat tersebut. Itupun sekiranya mereka tidak slow learner juga seperti Mas. Pitchingnya berterabur. Beliau menyanyi ikut suka hati sahaja. Beliau harus menajamkan pendengarannya agar dapat mendengar nada lagu tersebut dengan betul. Penampilan beliau di pentas jelas tercari-cari kamera dan mahu dirakam oleh kamera. Beliau bijak menguasasi pentas dengan showmanship yang agak bertenaga. Sesekali tarian beliau mengingatkan saya tentang pengalaman saya melewati laluan di daerah Red Light Amsterdam. Rata-rata penyokong menyokong kenyataan Zainal Abidin tentang Mas.
Adam – Smooth Criminal 3/10
Menyanyi menggunakan head mic merupakan satu perkara yang sukar kerana amat sukar untuk mengawal vokal dalam nyanyian. Beliau kelihatan agak gugup setelah terlupa lirik. Sebutan Adam tidak jelas dan penonton tidak dapat menghayati mesej lagu tersebut. Adam harus memperbaiki mutu vokal beliau. Penampilan beliau di atas pentas sudah bagus dan memikat penonton untuk terus menonton tarian beliau walaupun nyanyiannya sumbang. Adam seharusnya mencipta tarian yang berbeza dari Michael Jackson kerana Adam agak sukar untuk menukar cara nyanyian Michael Jackson dalam lagu tersebut.
Medley Dua Insan/Kita Insan Biasa 4/10
Beberapa kali Kaer terlupa lirik dan Mas kelihatan menenangkan perasaan Kaer ketika itu yang agak kerisauan. Medley ini tidak begitu cemerlang seperti yang diharapkan. Dua Insan tidak begitu baik berbanding Kita Insan Biasa. Sebuah medley yang biasa dan tidak menyengat.
Menuju Puncak : She Is Not That Lucky !
Aznil sememangnya hebat menggunakan kata-kata. Bermula dengan mewujudkan unsur suspens apabila mengumumkan tajuk lagu memainkan peranan yang penting pada penyingkiran kali ini. Penggunaan Salam Terakhir dan Smooth Criminal memang memberikan unsur suspens kepada penonton. Adakah pelajar ini bakal mengucapkan Salam Terakhirnya atau pun ada unsur Smooth Criminal yang dirancangkan untuk menyingkirkan pelajar ini. After all, she is not that Lucky! Nurul. Adrenalin penonton baik di rumah mahu pun di rumah sudah terlalu tinggi apabila mendengar Salam Terakhir dan Smooth Criminal dan menjadi lega apabila mendengar Lucky. Nurul beredar dari Akademi Fantasia dengan keriangan dan keceriaan yang jelas bukan seperti apa yang kita tonton hari-hari dalam Diari Akademi. Beliau mungkin merasakan yang bebannya sudah berjaya beliau tinggalkan di dalam Akademi dan keluar untuk mencari perjuangan baru di luar yang cabaran dan tekanannya jauh lebih hebat. Rata-rata penonton dan Aznil sendiri agak terkejut melihat perubahan mendadak Nurul yang tampak begitu ceria di bawah pentas berbanding di atas pentas. Farah kelihatan yang paling jujur menitiskan air mata kerana temannya ke tandas sudah tersingkir dari Akademi. Kaer juga kelihatan agak stress menyaksikan penyingkiran Nurul.
Persembahan Terbaik SM
Zahid – Cinta Sakti 8/10
Farah – Jangan Kau Mimpi 7/10
Bob – Salam Terakhir 6.5/10
Linda – Akan Ku Tunggu 6/10
Kaer – Bunga Pujaan 5/10
Medley Dua Insan/Kita Insan Biasa 4/10
Nurul – Lucky 3.2/10
Adam – Smooth Criminal 3/10
Mas – Tamparan Wanita 1/10
0 komen