Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 27 July 2004

Novel Bersiri Akademi Impiana: Bahagian 33



31.Si gadis terus memandu keretanya pada malam itu. Dia dapat melihat wajah si jejaka yang sugul. Si jejaka hanya mendiamkan dirinya. Hanya sesekali dia bersuara meminta si gadis agar jangan membawa keretanya terlalu laju. Si gadis kemudian cuba menenangkan fikiran si jejaka dengan memainkan kompilasi lagu-lagu lama tahun awal 80-an yang terdapat dalam koleksi cekera padatnya.

32.Lagu demi lagu dari cekera padat itu berkumandang memecahkan suasana hening pada malam itu. Kemudian, sewaktu lagu seorang penyanyi popular pada era tersebut dimainkan, tiba-tiba si Jejaka meminta agar lagu tersebut dihentikan. Si gadis menurut sahaja dalam perasaan kehairanan, kerana sebelum ini, lagu-lagu yang dibawa oleh penyanyi lain langsung tidak dipedulikan jejaka. Tanya si gadis:

“Kenapa awak tak suka dengan lagu tadi?”

“Saya ada sebab saya sendiri...”

“Saya cukup minat dengan lagu-lagu nyanyian Saliza Malik ni. Mak saya pun minat... Sekarang dia jadi pelakon pulak, kan?”


Si jejaka tidak menjawab. Dia memandang kosong ke luar tingkap kereta. Suasana malam agak gelap. Entah apa sahaja yang sedang direnungkannya pada ketika itu. Si gadis menambah lagi dengan harapan sekurang-kurangnya si jejaka akan terhibur dengan celotehnya pada malam itu:

“Kawan saya, dia ni wartawan hiburan... Dia pernah menemu ramah Saliza Malik untuk majalahnya. Ye lah, dia kan tiba-tiba jadi popular sejak dua tiga tahun lepas bila dia mula jadi spokesperson untuk produk kecantikan Layla Los Angeles. Kawan saya ada tanya dia... Mengapa wajah dia tiba-tiba sahaja makin muda. Bentuk hidung dan dagunya pun dah berubah. Dia kata berkat air sembahyang. Tapi kelakar lah kan, not like we are all stupid tak tahu apa tu botox dan kegunaannya. Macam lah kita semua tak pernah tonton rancangan Extreme Makeover tu semua!”

“Hmmm...”

“Bila kawan saya sempat juga tanya... Ke mana dia menghilang sebelum wajah dia ni tiba-tiba jer jadi semakin cantik. Dia kata pergi umrah. Tapi bila selidik punya selidik, rupa-rupanya dia pergi ke New York buat pembedahan plastik.”

Si jejaka mengeluh. Dia memandang ke arah si gadis, seolah ada sesuatu yang ingin diberitahunya kepada si gadis. Hatinya berat untuk memberitahu, tetapi dirasakannya dia perlu memberitahu kepada si gadis perkara yang lama terbuku di dalam hatinya:

“Saya minta maaf jika saya suruh awak berhenti dari terus memainkan lagu Saliza Malik tadi. Saya tahu lagu tu pernah popular satu ketika dahulu dan sebab lagu tu, sampai sekarang orang akan kenang dia sebagai artis popular tahun 80-an. Ada pula orang yang anggap dia diva seperti kawan saya Gundutz dan abang Linus. Tapi saya memang tak suka dengannya!”

“Kenapa?”

“Sebab dia pernah tinggalkan saya dan bapa saya semata-mata kerana nak kejar impiannya sebagai seorang penyanyi--”

“Saya tak faham--”

“Dia ibu saya, Salina. Ibu saya yang tidak pernah saya kenali... Dia tinggalkan saya ketika saya berumur 2 tahun. Dia ke KL sebab nak jadi penyanyi. Bila terkenal, kami terus dilupakannya, seolah-olah saya dan bapa saya tak pernah wujud di dalam hidupnya. Kemudian dia minta cerai dari bapak saya supaya dia dapat menjadi isteri kedua Datuk Hassan tokoh korporat yang terkenal tu. Cuba awak bayangkan... Saya membesar tanpa mengenali kasih sayang seorang ibu sepertinya.”

“Saya mintak maaf. Saya tak tahu hal ni...”


33.Si gadis memandang ke arah wajah si jejaka. Dia sedang menggosok-gosok wajahnya berkali-kali dengan kedua belah telapak tangannya. Si jejaka kemudian memeluk tubuhnya sambil berkata:

“Sebab itulah agaknya saya tak suka dengan penyanyi ni semua. Mereka sanggup buat apa sahaja asalkan mereka jadi glamor dan terkenal. Ada yang sanggup tinggalkan anak sendiri semata-mata nak jadi penyanyi. Yang sanggup menipu dan berbohong tu jangan cerita lagi lah!”

“Apa yang ibu awak lakukan memang salah--”

“Sebab itulah saya tidak mungkin boleh maafkan dia. Saya pun tak tahu apa yang dia dapat dengan jadi penyanyi tu sampai sanggup tinggalkan bapa saya di kampung. Awak tahu tak? Malu bapak saya dibuatnya! Sampaikan ada orang tuduh dia tak pandai jaga bini sendiri!”

“Yang sudah tu sudah...”

“Saya telah ke KL dengan tujuan untuk satu hari nanti saya akan dapat bertemu dengannya.”

“Tapi kenapa?”

“Saya dah cakap dulu... Saya nak tahu mengapa dia lakukan ini semua kepada saya dan bapa saya.”

“Saya mungkin boleh membantu--”

“Bagaimana?”

“Saya kenal dengan director yang buat infomercial Layla Los Angeles dengan dia. Mungkin dia boleh membantu. Kalau tak, saya boleh tanya kawan saya wartawan hiburan tu...”


34.Si jejaka mengangguk. Dia nampak kelesuan. Perjalanan untuk ke Muar semakin dekat. Dia memikirkan tentang keadaan bapanya di sana. Timbul pula rasa kesal yang amat mendalam di dalam jiwanya. Katanya kepada si Gadis:

“Saya tak sepatutnya berada di KL bila saya tahu dia sakit di kampung. Ini semua salah saya.”

“Rahmat... Ini bukan salah awak. Dah takdir dia sakit. Awak tak boleh buat apa-apa kecuali berdoa agar dia cepat sembuh.”


35.Si jejaka mengeluh. Matanya kosong memandang ke arah jalan yang gelap di hadapannya. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dari kocek seluarnya. Dia ingin melihat jika Timah ada menghantar mesej kepadanya seperti mana yang selalu dilakukan kepadanya. Tidak ada sebarang mesej yang diterimanya. Perasaan kecewa yang amat sangat mula menyelubungi dirinya...

**


Timah kelihatan sugul sewaktu sedang menonton rancangan Akademi Impiana pada malam itu. Dia langsung tidak berkata-kata mahupun menjamah mee goreng yang telah dimasak oleh Gundutz.

Timah langsung tidak memberi sebarang komen sewaktu Gundutz memberitahunya bahawa pelajar yang paling diminatinya, Khir terkena alergi gatal-gatal di kulitnya kerana terlalu banyak makan udang pada hari sebelumnya.

Timah masih terus diam walaupun Sia kelihatan seperti mahu dihumban oleh Puan Siti Hawa sewaktu beliau mengajarnya menyanyi dengan betul.

Setiap kali Gundutz dan Linus berceloteh, mereka akan memandang ke arah Timah, seolah-olah menunggu Timah untuk membalas kata-kata mereka. Tetapi Timah terus mendiamkan dirinya.

Gundutz dan Linus kini rasa seperti ada sesuatu yang yang tidak kena kerana Timah tidak mahu melayan celoteh mereka seperti selalu.

Sejurus selepas rancangan Akademi Impiana selesai, Timah terus meminta dirinya lalu keluar dari rumah Gundutz. Wajahnya jelas nampak sedih. Seperti dia kehilangan sesuatu yang berharga di dalam dirinya.

“Dia tahu ke?” tanya Linus kepada Gundutz.

“Tahu apa ni nok?” tanya Gundutz kembali. Dia menekan butang kawalan jauhnya untuk menonton saluran MTV.

“Pasal Rahmat ler. Kan dia balik kampung dia semalam.”

“Hem tak bagitahu dia lah nok. Dia tengah mengamuk dengan si Rahmat--”

“Baguslah dia tak tahu... Haruslah dia hangin kalau dia dapat tahu Rahmat pergi balik kampung dengan Salina, kan?”

“Tu lah sebab hem tak nak masuk campur hal orang ni, nyeh.” Gundutz menukar saluran TVnya sekali lagi. Kali ini ke saluran @15. “Eh, kenapa si Rahmat balik kampung tiba-tiba ni nok?”

“Bapak dia sakit... Si Salina pulak temankan dia ke sana. Kan mak dah cakap pagi tadi!”

“Hem, tak dengar sangat apa ko bebelkan. Ye lah, pagi tadi hem sibuk dengan kerja boss hem bagi. Serabut kepala hem!”

“Apa-apa pun... Mak rasa si Timah ni ada masalah dengan si Rahmat.”

“Ye lah, Rahmat makan luar! Mana dia tak mengamuk!”

“Jahatnya molot kau nok! Mana ko tahu? Main sedap molot jer kan?”

“Alah nok... Kalau dah jantan. Boleh percaya ke?”

“Entahlah... Tapi Rahmat tu baik budaknya. Bukan sebarang-sebarang mat rempit. Mak tahu dia sayang kat si Timah tu. Kalau tak, dia tak akan susah-susah hantar si Timah tu pergi kerja tiap-tiap malam.” Kata Linus. Dia mengambil majalah Media Riadah yang menonjolkan gambar Fyrul, Adlina, Indra dan Lina Yasmin pada bahagian kulit hadapan dengan tajuk-tajuk bahan cerita seperti: “Bukan semua pereka fashion itu gay” dan “Adlina dan Indra akui hubungan mereka memang rapat”. Majalah tersebut dibelek-beleknya sambil tersenyum. “Si Rahmat tu boleh pergi jauh. But I think he has to sort out his life first... Macam banyak sangat masalah budak tu!”

Si Gundutz menaikkan kedua belah bahunya seolah dia tidak ingin tahu perihal Rahmat. Dia duduk sebelah Linus sambil membaca isi majalah Media Riadah yang langsung membuatnya ketawa berdekah-dekah. Terutamanya pada bahagian artikel di mana Fyrul seboleh-bolehnya menafikan desas-desus yang mengatakan bahawa dirinya gay seperti mana yang diperkatakan di beberapa laman serta forum di dalam Internet...