Diari Akademi Fantasia 05-03-04
Melalui mata kita boleh berkata-kata. Azri Iskandar ialah seorang pelakon yang matanya boleh berkata-kata menyampaikan dialognya. Melalui mata juga, pandangan dapat dibuat dan fokus dapat ditumpukan. Selain daripada itu, persembahan unplugged dengan gitar dan piano lebih fokus kepada muzik.
Kelas Cikgu Fauziah Nawi : Loghat
Berdasarkan lagu Anita Sarawak dan Ismail Haron, mereka perlu melakonkan babak sepasang suami dan isteri.
Zahid dan Zarina banyak menggunakan loghat Kedah. Zahid agak konsisten dalam penggunaan loghat Kedah tetapi tidak kepada Zarina. Ikut suka sahaja. Hang jadi cek, cek jadi hang, ayaq jadi air. Sebuah lakonan yang baik. Di penghujung mereka menyanyi lagu Seiiring Dan Sejalan.
Bob dan Farah tidak memberikan lakonan yang memberangsangkan. Di penghujung mereka menyanyikan lagu Keliru. Nurul dan Anding menggunakan loghat Penang dengan baik. Ia bermula dengan baik tetapi lama kelamaan menjadi loghat Kedah, Sarawak, Kelantan dan macam-macam lagi. Mas dan Kaer membawa imej sepasang suami isteri urban. Tidak menjadi. Sebuah kelas yang banyak merepek. Segala macam loghat ada, Penang, UK, Sarawak, Kelantan.
Adam dan Johnny Sakit
Adam dibawa klinik hari ini kerana tidak sihat dan dinasihatkan agar berehat. Masalah utama Johnny ialah tidak boleh zoom. Ia hanya boleh berpusing ke kiri dan kanan serta atas dan bawah.
Menuju Puncak
Kerana tidak mengikuti kelas Linda Jasmine dengan bersungguh-sungguh, Kaer dan Zahid telah didenda.
Kaer Pemuda Thai
Saya sudah mula bosan dengan watak terencat akal yang cuba dibawa oleh Kaer. Ini sudah kali yang entah ke berapa kali dibawakan watak sedemikian. Kaer berusaha keras untuk menampilkan imej cute yang kononnya akan mengumpan undi penonton. Di minit awal lakonannya, beliau agak bersahaja dan jelas watak pemuda Thai tersebut tetapi ia tidak konsisten dan wataknya berubah menjadi seperti tidak betul pula. Farah juga mampu menjadi pelengkap kepada watak tersebut tetapi imej Kaer seakan-akan cuba menenggelamkan imej Farah.
Ada sesiapa Peminat Fanatik Kaer yang boleh membuat satu banner tertulis "Kaer, Please Stop It ! We Hate The Retarded Character !"
Johnny dan Jenny Sakit
Saya melihat Johnny dan Jenny sebagai satu pembaharuan yang ada di dalam Akademi Fantasia II. Mewujudkan emosi dan fizikal kepada dua kamera itu secara tidak langsung memberi sedikit emosi kepada para pelajar. Pelajar berkomunikasi dengan kamera berpandukan emosinya. Ilmu-ilmu lakonan dapat dipraktikkan. Jenny sedang bersedih dan Johnny sedang demam panas.
Setidak-tidaknya, dengan adanya kamera itu para pelajar yang bijak menggunakan strategi boleh mempergunakan kamera tersebut untuk memancing undi.
Zahid, Bob, Anding, Kaer dan Adam menyanyi lagu Sejahtera Malaysia di hadapan kamera.
Kelas Siti Hajar : mamemimomu
Mereka harus membuat mamemimomu dalam rentak yang agak laju. Kesilapan yang dilakukan adalah tidak bersungguh-sungguh menghasilkan sebutan itu dan tenaganya tidak seimbang. Memang meletihkan untuk menjadi seorang penyanyi.
Jika dapat menghasilkan vokal yang nyaring, salah satu tandanya ialah mereka mempunyai lelangit yang berlekuk. Perempuan mempunyai lelangit lebih lengkung kerana mereka menghasilkan vokal melalui head tone.
Adam tiada
Bob ada
Anding tiada
Zahid ada
Linda ada
Farah ada
Mereka sama-sama melihat lelangit Linda yang agak dalam dan tinggi.
Linda : Bunga Melor
Improvisasi lagu Bunga Melor di tangan Linda kedengaran agak mendayu. Yang menarik apabila kita dapat melihat Cikgu Siti Hajar turut sama menyanyikan lagu tersebut bersama-sama Linda. Kita juga dapat melihat Linda bersungguh-sungguh mendapatkan lagu tersebut. Selama saya menonton Konsert Akademi Fantasia, tidak pernah sekali ada pelajar yang membuat persembahan sambil duduk. Entah mengapa tiba-tiba idea ini datang. Saya merasakan lebih sesuai jika Linda membuat persembahan sambil duduk di atas sebuah kerusi.
Mas : Yakin Diri
Cara nyanyian Mas sudah betul. Masalah utama Mas ialah keyakinan diri. Tanpa keyakinan diri, agak sukar bagi Cikgu Siti Hajar untuk memperbetulkan kesilapannya. Langkah pertama, beliau harus mendapatkan keyakinan dirinya itu. Selain sebutan, lagu ini bukanlah lagu yang agak susah untuk dinyanyikan. Lirik ulangan dan persembahan ber”attitude”.
Zarina : Pulangkan
Sengau merupakan masalah yang ingin dibaiki oleh Cikgu Siti Hajar terhadap Zarina. Saya melihat nyanyian Zarina agak baik. Teknik-teknik dan stail vokalnya agak menyerlah. Cara memegang pembesar suara juga diajar. Beliau perlu ada keinginan untuk melontar vokalnya supaya tidak sengau. Yang penting pada lagu tersebut ialah cara beliau membawakan rasa pada lagu tersebut. Zarina perlu mendapatkan melodi lagu tersebut. Ada kedengaran out-of-beat pada beberapa bahagian.
Nurul : Keluarkan Lagi !
Seperti Liza di Akademi Fantasia I, Nurul masih malu-malu untuk memberikan persembahan yang bertenaga. Beliau sebenarnya mampu untuk memberikan yang terbaik. Sewaktu latihan, low tone vokalnya telah keluar. Berbeza dengan sebelumnya. Teknik-teknik yang perlu dibuat telah dipraktikkan. Penghayatan pada lagu tersebut perlu diberikan agar mesejnya sampai kepada penonton.
Menuju Puncak
Agaknya kerana sudah biasa dengan Corrie, para pelajar sudah dapat menangkap setiap langkah tarian dengan baik dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Sebuah koreografi yang menarik dan lebih sync.
Tipah Tertipu
Saya dapat merasakan Adam tidak menghadapi masalah untuk menari dalam lagu ini. Pergerakan yang dicipta oleh Corrie juga agak sukar dan menarik. Saya melihat ada perbezaan dalam tarian pada Akademi Fantasia I dan II. Memang jauh benar perbezaannya. Pergerakan kali ini lebih sukar tetapi menarik.
Zarina dan Pulangkan
Sebuah lagu berhantu nyanyian Misha Omar untuk Zarina. Beliau cuba untuk mencorakkan lagu tersebut mengikut gayanya. Sebuah persembahan yang bakal menarik. Cuma di dalam kepala beliau harus fokus agar tidak terkeluar vokal sengaunya.
0 komen