Konsert VIII Akademi Fantasia : Bukan Salah Mas !
Dejavu Konsert VII Akademi Fantasia I berulang kembali. Penonton tidak dapat menerima keputusan yang Mas masih berada di atas dan menyaksikan Linda meninggalkan Akademi Fantasia pada Konsert VIII. Kelalaian penonton mengundi pelajar lain sehingga melupai pelajar yang berada di kedudukan teratas merupakan kesilapan lama yang diulang-ulang kembali sejarahnya. Tidak ada satu pengajaran pun yang dipelajari oleh pengundi dari Akademi Fantasia I. Semuanya berulang kembali.
Party Like This
Persembahan bermula dengan baik menerusi lagu Party Like This. Sebuah persembahan yang terkawal dan berhati-hati. Penampilan pelajar juga cantik. Tunjang utama Party Like This ialah Zahid, Adam, Kaer, Linda dan Farah. Mereka inilah yang paling menyerlah terutama dalam nyanyian, showmanship dan keyakinan diri untuk menyanyikan lagu tersebut. Penipuan-penipuan biasa yang dilakukan oleh Mas sewaktu menyanyikan lagu Inggeris ini memang tidak mengejutkan. Memandangkan ini persembahan berkumpulan, maka beliau tidak banyak menyanyi atau lebih tepat berpura-pura menyanyi.
Kedudukan Sebelum Konsert
Linda 15%
Bob 15%
Zahid 14%
Mas 14%
Kaer 14%
Adam 14%
Farah 14%
Pengkritik Profesional
Anuar Zain telah memberikan kritikan yang bagus terutamanya dalam bidang muzik dan vokal. Rata-rata memberikan pujian yang bagus sesekali diselitkan dengan perkataan tapi untuk menjaga hati pelajar. Saya lebih menyukai kejujuran Erma Fatima dalam memberikan komen. Beliau menggunakan kelebihan yang beliau ada dalam bidang lakonan untuk memberi makna rasa, ekspresi dengan tepat. Kudsia Kahar pula pada minggu ini banyak mengulangi ayat-ayat yang sama kerana kesalahan-kesalahan yang sama dilakukan oleh mereka.
Persembahan Pelajar
Mas – Yayadan 6.9/10
Persembahan Mas bermula dengan baik. Walaupun tanpa liputan Diari Akademi yang meluas pada minggu ini dan penonton tidak dapat melihat sesi latihan beliau, Mas bangun membuktikan yang beliau mampu mempertaruhkan bakatnya untuk memberikan persembahan yang baik kepada penonton. Penghayatannya jelas cemerlang untuk lagu ini. Saya akui saya lebih menggemari nyanyian beliau untuk lagu ini berbanding lagu-lagu untuk konsert yang sebelumnya. Interaksi beliau dengan penyanyi latar juga sederhana dan kena pada masa. Mesej lagu tersebut dapat saya dengar satu-satu dan turut sama menghayati maksud lagu tersebut. Ia disampaikan dengan bersahaja dengan penuh ikhlas. Beliau harus memperbaiki lagi mutu vokal beliau kerana pelajar lain lebih hebat dari segi vokal. Jangan pemalas. Beliau harus pilih yang mana pilihan beliau sama ada untuk menjadi penyanyi rakaman yang boleh menipu mutu vokal mereka ataupun penyanyi yang hebat menggunakan kekuatan vokal mereka secara langsung di pentas. Persembahannya sudah bagus pada malam itu tetapi beliau tidak menggunakan segala kekuatan vokal beliau semaksimum yang mungkin. Menurut Anuar Zain, Mas mempunyai vokal yang bagus tetapi itukah hasil terbaik yang boleh diberikan oleh seorang penyanyi yang mempunyai vokal yang bagus ? Ini bermakna beliau masih mempunyai ruang untuk memperbaikinya bukan cukup setakat itu sahaja. Beliau harus membuang sifat malas itu untuk memperbaiki vokal beliau kerana Akademi Fantasia bukan pertandingan down syndrome yang meraih simpati tetapi pertandingan nyanyian.
Zahid – Semusim 8/10
Sebelum memulakan persembahan, Zahid diminta meniru cara nyanyian Awie, Zamani, Jamal Abdillah, Salem dan juga salah seorang pengkritik iaitu Anuar Zain. Satu percubaan yang baik dan menghiburkan.
Keyakinan beliau untuk lagu ini agak bagus walaupun pada mulanya kurang selesa dengan lagu tersebut. Beliau bijak mengawal lontaran vokal beliau disertai dengan teknik pernafasan yang berpadanan dengan melodi dan vokal lagu tersebut. Kekurangan pada minggu ini ialah cara penguasaan pentasnya yang agak kaku dan terbatas. Beliau jenis yang lebih gemarkan lagu yang agak rancak. Hasilnya interaksi dengan kamera beliau juga agak tidak meyakinkan. Beliau memberikan nyanyian yang hebat. Teknik falsetto digunakan untuk mencantikkan lagu tersebut. Beliau menyampaikan lagu tersebut dengan bersahaja tetapi mesejnya sampai kepada penonton. Menurut Anuar Zain, vokal beliau semuanya cukup. Beliau juga telah menyampaikan lagu tersebut dengan rasanya yang tersendiri.
Farah – Bebas Berlari 8.5/10
Belum menjadi artis beliau sudah mendapat peluang untuk menjadi topik utama dalam rancangan Cit Cat Azwan. Tentunya ia juga menjadi kejutan buat Aznil sendiri kerana sewaktu mengumumkan kejutan tersebut Aznil mengumumkan yang ada kejutan dari Penghibur No Satu Malaysia. Saya merasakan pihak Penerbit tidak memberitahu Aznil terlebih dahulu berkenaan dengan kejutan tersebut. Sesuai dengan konsep rancangan Cit Cat iaitu sebuah rancangan gosip, perkara utama yang ditanya oleh Azwan kepada ibu-bapa Farah tentunya berkenaan dengan Adam. Satu cubaan mewujudkan telenovela baru yang dibuat dengan bersungguh-sungguh oleh pihak Penerbitan.
Persembahan Farah sempurna. Bermula dengan duduk beramai-ramai dan menyanyi, Farah melontarkan vokal beliau dengan cemerlang. Showmanship beliau juga semakin bertambah baik. Penguasaan pentasnya juga sederhana tetapi kena dengan lagu tersebut. Saya menyukai interaksi beliau dengan penyanyi latar dan beliau bijak mengawal situasi di atas pentas dengan bilangan pelajar yang ramai pada satu-satu masa. Lontaran vokal beliau amat mengkagumkan dan bahagian tinggi lagu tersebut berjaya disampaikan dengan cemerlang. Lebih mengkagumkan lagu tersebut disampaikan dengan rasanya yang tersendiri. Perubahan beliau dari minggu pertama ke minggu kelapan memang besar. Farah sewajarnya dijadikan contoh oleh pelajar lain yang lemah tetapi masih pemalas. Saya menerima Farah untuk memasuki senarai Pilihan Lima Terbaik saya.
Adam – Kasih 7/10
Sebuah persembahan yang menghiburkan dari segi showmanship tetapi beliau harus menambahkan ilmu beliau dalam teknik vokal beliau. Beliau mempunyai vokal yang sederhana tetapi diminati ramai. Sayang sekiranya beliau tidak menggunakan kelebihan tersebut untuk memperbaiki serta meningkatkan ilmu teknik vokal beliau. Nyanyiannya mendatar pada bahagian permulaan kerana tidak bijak mempelbagaikan teknik nyanyian pada bahagian tersebut. Penguasaan pentas serta showmanship beliau amat cemerlang. Beliau mempunyai satu tarikan untuk membuatkan penonton menonton persembahannya sehingga selesai. Beliau mengulangi lagi kesilapannya pada minggu lepas iaitu tidak berjaya menutup panik beliau apabila terlupa lirik. Kelihatan cacat sedikit persembahan beliau. Beliau harus melakukan sesuatu untuk vokal beliau kerana Akademi Fantasia bukan pertandingan tarian tetapi pertandingan nyanyian.
Linda – Syurga Idaman 6.8/10
Saya kurang menggemari persembahan Linda kerana kesungguhan rakan-rakannya boleh saya pertikaikan. Saya merasakan mereka kurang serius dan banyak main-main unutk lagu ini. Persembahan Linda nampak kacau dan pertolongan rakan-rakannya tidak banyak membantu. Penguasaan pentas Linda baik dan bijak menggunakan keseluruhan pentas untuk mencantikkan persembahannya. Beberapa bahagian nyanyian kedengaran agak sumbang. Saya tidak merasakan ini satu persembahan yang menghiburkan. Linda mempunyai vokal yang baik tetapi tidak memberikan tumpuan kepada mutu vokal beliau. Sebuah lagu rancak ini memerlukan stamina yang tinggi. Ada beberapa bahagian beliau termengah-mengah. Saya merasakan sekiranya persembahan Linda diiringi oleh penari latar profesional tentunya persembahan Linda lebih meyakinkan. Saya merasakan tumpuan Linda terganggu kerana situasi di atas pentas yang agak kacau.
Bob – Alhamdulillah 6.7/10
Bob mempunyai vokal yang baik. Sebutannya jelas walaupun lirik lagu tersebut agak berjela-jela. Kesilapan tidak menghafal lirik lagu tersebut boleh saya bertolak-ansur kerana dalam masa seminggu sememangnya sukar untuk menghafal semua lirik lagu tersebut. Farah membantu dengan puisi yang dibacakan oleh Dian Sastrowidoyo. Adam turut membantu walaupun membawa kertas lirik di atas pentas. Zahid turut cuba membantu tetapi lirik lagu tersebut yang agak pantas dan panjang memang menyiksakan.
Selesai persembahan, Anuar Zain menyerahkan kek Selamat Hari Lahir kepada Bob. Anuar Zain ialah penyanyi kegemaran Bob.
Kaer – Mentera Semerah Padi 9.9/10
Semangat Kaer untuk bertemu dengan keluarganya dimatikan oleh Aznil sebelum Kaer memulakan persembahan. Situasi tersebut boleh merosakkan persembahan Kaer kerana emosinya diganggu oleh Aznil. Tetapi ia tidak berlaku, sebaliknya Kaer telah memberikan persembahan yang lebih bersemangat. Beliau berjaya mengawal emosinya kerana gangguan tersebut untuk meneruskan persembahannya. Vokal beliau sedap didengar. Ini persembahan terbaik Kaer. Saya sudah boleh melupakan soal konsep tariannya kerana ia telah disiapkan untuk persembahan tersebut. Saya melihat persembahan secara keseluruhan. Showmanship beliau amat cemerlang. Sebuah persembahan yang amat bertenaga dari Kaer. Segalanya sempurna. Kaer mengawal dinamik lagu tersebut bermula pada note pertama sehingga tamat. Kemunculan Tam Spider sebagai kejutan juga tidak mampu menggugat tumpuan Kaer. Kaer terus mencuri bintang tersebut dari Tam Spider dan tidak membenarkan Tam Spider mencuri perhatian kepadanya. Saya merasakan jika M.Nasir sekalipun yang muncul pada malam tersebut, ia tidak akan mampu menggugat persembahan cemerlang Kaer. Nyanyian Kaer menarik. Ekspresi wajahnya amat cemerlang sesuai dengan maksud lagu tersebut. Seperti kata Kudsia Kahar, ada fighting spirit pada wajahnya untuk berperang dengan emosinya. Beliau membawakan lagu tersebut dengan gayanya yang tersendiri. Menurut Erma Fatima, dari segi stail beliau rasakan Kaer sudah berjaya, tetapi berdasarkan dari mesej lagu tersebut, masih banyak kekurangan. Persembahan Kaer dinilai dari segi showmanship dan bukan mesej lagu tersebut. Saya melihat persembahan Kaer sebagai seorang pahlawan Melayu. Pahlawan Melayu bukan sekadar bersilat dan berbaju Melayu. Dengan imej berseluar celoreng sudah cukup menggambarkan kepahlawanan Melayu itu. Beliau sudah kembali untuk memberikan saingan sengit kepada pelajar lain.
Selesai menamatkan persembahannya, Kaer diberi peluang untuk turun ke bawah untuk bertemu keluarganya. Membawa sejambak bunga untuk diserahkan kepada ibunya. Umum mengetahui kisah yang melanda keluarganya, kebenaran untuk turun ke bawah bertemu merupakan satu semangat untuk meneruskan keharmonian sebuah keluarga. Kejutan ini merupakan kejutan yang melawan arus dan Kaer merupakan pelajar pertama di dalam Akademi Fantasia yang dibenarkan turun ke bawah pentas. Terlalu banyak kejutan yang dilakukan untuk menaikkan semangat Kaer dan ternyata berhasil.
Medley Joget
Medley Joget dendangan pelajar agak menarik walaupun penghayatannya tidak seberapa. Keikhlasan penonton memberikan tepukan bukannya lahir kerana terhibur dengan lagu tersebut tetapi didorong oleh arahan Penerbit. Setiap pelajar bersungguh-sungguh menghiburkan penonton dengan medley tersebut. Namun demikian, persembahan ini masih belum dapat menyamai kehebatan Memories.
Menuju Puncak
Pasti Berjaya Di Akademi Fantasia. Pasti berjayakah pelajar selepas menuntut di Akademi Fantasia ? Keputusan telah pun dibuat. Linda yang mempunyai pesona bintang akhirnya pulang setelah mendapat undian terendah. Satu dewan gempar dengan keputusan tersebut, tetapi tidak di luar sana kerana di luar sana mereka menyokong perjuangan Mas. Apalah kalau mahu dibandingkan pembenci Mas di dalam dewan dengan penyokong Mas di luar sana. Jumlahnya nyata besar.
Khabarnya, telah menjadi satu fenomena di bandar Tawau. Ada yang meminta saya untuk terbang ke Tawau untuk meninjau keadaan di sana. Katanya seperti pilihanraya atau lebih hebat dari itu. Jika Simon Cowell pernah meminta Jasmine Trias mengucapkan Terima Kasih kepada seluruh penduduk Hawaii, Mas juga wajar melakukan demikian tetapi bukan sekadar penduduk bandar Tawau tetapi seluruh rakyat Malaysia amnya yang mengundi beliau. Rakyat Malaysia memang menyukai telenovela, dan telenovela janda beranak dua bukan satu yang asing.
Penyingkiran Linda bukan penamat dan berterusannya masa Mas di Akademi Fantasia bukan bermakna beliau akan terus berada di persada seni. Terlalu berasa selesa dengan kedudukan sebelum konsert mungkin menjadi salah satu faktor yang menyebabkan penyingkiran Linda. Tentu tidak ada siapa yang menyangka, pelajar yang berada di kedudukan pertama menjunam ke tempat terakhir dan seterusnya terbang pulang ke Ranau.
Pilihan Lima Terbaik SM
Zahid
Kaer
Farah
Bob
Adam
Persembahan Terbaik SM
Kaer – Mentera Semerah Padi 9.9/10
Farah – Bebas Berlari 8.5/10
Zahid – Semusim 8/10
Adam – Kasih 7/10
Mas – Yayadan 6.9/10
Linda – Syurga Idaman 6.8/10
Bob – Alhamdulillah 6.7/10
0 komen