Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 12 July 2004

Novel Bersiri Akademi Impiana: Bahagian 22



“Zaast! Satu-satu kena marah dengan Ramlee O.S.” Ujar Gundutz. Wajahnya nampak puas.

“Baguslah tu nok. Memang performance konsert diorang yang lepas macam hanjs. Yang bagus si Zaidi, si Zurina dan si Boboy.” Sambut Linus dengan selamba. Kadang-kala dia akan melemparkan pandangannya ke arah Timah, peminat setia Fyrul yang belum hilang rasa sedihnya lagi. Kini Timah kelihatan terkebil-kebil apabila melihat Khir dimarahi.

“Si Khir pon satu nyeh... takde improvement langsung. Kalau hem bagi lagu dangdut pon dia nak R&B kan. Perlu ker?”

“Tak perlu sundels. Adik-adik jer yang nak R&B kan segala--”

“Alah, dia nak bagi nafas baru kat lagu-lagu yang dia terima lah!” sampuk Timah.

Linus dan Gundutz buat-buat tak dengar. Mereka menumpukan perhatian mereka ke kaca TV.

“Hem suka betul dengan style Ramlee O.S. ni. Straight forward dia marah si Sia dengan yang lain-lain tu. Tapi betul lah. Si Sia tu takde improvement langsung. Slow pulak tu.”

“Mak suka cara dia jadikan Zaidi sebagai pelajar contoh.” Linus menggigit kuku jari telunjuk kanannya. “Macam itulah caranya. Pelajar yang baik dijadikan contoh!”

Kemudian mereka bertiga melihat Zaidi memberitahu kepada pelajar-pelajar lain bahawa walaupun dia kelihatan sering berjenaka dan bermain-main, tujuan utamanya ke Akademi Impiana adalah untuk belajar dan untuk mendapatkan ilmu.

“Baguslah tu nok, mak pon berkenan tengok dia menang... Lagipun dia masuk AI ni bukan untuk bercinta ke apa. Dia serius nak belajar.” Ucap Linus kepada Gundutz. Si Gundutz mengangguk setuju walaupun Timah seperti tidak puas hati. Menurut pendapat Timah, tidak adil bagi Ramlee O.S. mengetepikan pelajar-pelajar yang beliau anggap lemah (terutamanya Khir yang sangat-sangat diminatinya) dan menjadikan pelajar yang dianggapnya baik sebagai contoh. Timah teringatkan kembali zaman persekolahannya apabila perkara yang sama berlaku...

Si Leha anak pak imam di kampungnya yang selalu sahaja dijadikan pelajar contoh di kampungnya kini sedang melanjutkan pelajarannya dalam bidang kedoktoran di Ireland. Di sekolah dahulu, si Leha hanya menumpukan perhatiannya kepada pelajaran dan langsung tak ada masa untuk berkasih mesra dengan pelajar-pelajar lelaki sepertinya - yang boleh dianggap popular di kalangan pelajar-pelajar lelaki...

*


“Apa dah jadi kat awak ni?” tanya Timah. Matanya tepat kepada rambut Rahmat yang kini kelihatan kemas itu dan lebih pendek dari sebelumnya.

“Potong rambut lah.” Jelas Rahmat.

“Awak warnakan sekali ke?”

“Alah, highlight jer sikit.” Rahmat menaikkan suaranya.

“Isk!”

“Eh, budak lembut awak minat sangat tu... Siapa nama dia... Fyrul. Dengan kalerkan rambut dan tocang macam janda tua awak tak kisah!”

“Fyrul tu artis... Awak tu apa?” Timah bernada sinis.

“Saya apa? Mat rempit kerja kilang?”

“Dah lah saya tak nak gaduh.” Kata Timah sambil menjeling. Dia mengambil roti canai bungkus yang dipesannya tadi. Perutnya rasa lapar. Kalau boleh dia mahu makan di gerai mamak itu juga. Tetapi memandangkan dia lebih senang makan di kantin kilang dengan rakan-rakannya sambil berbincang mengenai Akademi Impiana, Timah lebih suka jika roti canainya itu dibungkus.

“Tak... Awak kena jawab soalan saya tadi. Hina sangat ke saya ni bawak motor kapcai... Kerja pun tak seberapa.” Rahmat meminta penjelasan.

“Kan saya kata saya tak nak gaduh-gaduh!” Timah menempelak. Cepat-cepat dia bergerak ke arah motor Rahmat lantas meminta Rahmat membawanya ke kilang. Dia tidak mahu lambat masuk ke shif malamnya.

Rahmat terdiam. Dia tiba-tiba memikirkan kembali pengalamannya pada hari Sabtu yang baru lepas bersama Salina...

**


Salina telah memberi Rahmat alamatnya melalui SMS. Beliau telah meminta Rahmat agar pergi ke apartmentnya yang terletak di Bukit Kiara. Rahmat hampir-hampir tersesat kerana beliau tidak biasa dengan kawasan tersebut.

“Maaflah, saya lambat.” Ucap Rahmat tersipu-sipu. “Tak pernah datang ke sini. Awak suruh saya cari Starbucks pun saya tak tahu kat mana.”

“Tak apa...” Salina tersenyum. Dia mula sedar bahawa Rahmat tidak lagi ber “I dan you” dengannya. Salina kini berpaling ke arah sebuah apartment mewah di belakangnya. “Saya duduk di tingkat 14. Di sebelah sana... Yang banyak pokok gantung tu.”

“Awak duduk dengan siapa? Dengan keluarga ke?” tanya Rahmat kembali.

“Tak... Dulu saya duduk di sini dengan adik perempuan saya. Dia belajar di HELP Institute. Sekarang dia dah sambung belajar ke UK. Jadi saya duduk sorang jer.” Salina menjelaskan. Dia merapatkan dirinya kepada motor yang dibawa Rahmat.

“Tak takut ke?”

“Nak takut apa?”

“Entah... Takut hantu ke... Buaya ke.” Rahmat sengaja berseloroh. Salina ketawa mendengarkan kata-kata Rahmat tadi.

“Hantu saya tak takut. Buaya saya takut.” Kata Salina sambil bercekak pinggang.

Rahmat berhenti ketawa. Dia menyerahkan topi keledarnya kepada Salina.

“Wah! Wangi helmet ni... Siapa punya? Awek awak punya ke?” tanya Salina sebelum menyarungkan topi keledar tersebut dengan tangkas ke kepalanya.

Rahmat serba salah menjawab soalan yang dikemukakan oleh Salina. Beliau mengambil sedikit masa untuk menjawab soalan dari Salina itu.

“Ya... Awek saya.” Ujar Rahmat perlahan. Dia menghidupkan enjin motornya. Dia memastikan Salina selesa di atas motornya sebelum dia mula bergerak. “Kita nak ke mana ni?” tanya Rahmat sambil melihat ke wajah Salina melalui cermin motornya.

“Awak nak makan apa?” tanya Salina kembali.

“Apa sahaja pun boleh. Saya tak kisah.”

“Kita pergi ke Bangsar boleh ke? Lagipun Bangsar bukannya jauh sangat.” Saran Salina. Rahmat bersetuju.

Mereka tiba di Bangsar. Kawasan di Jalan Maarof seperti biasa sibuk dengan pengunjung-pengunjungnya. Rahmat meletakkan motornya berdekatan dengan Devi's Corner.

“Malam ini saya belanja, ya!” Salina mengingatkan. Rahmat sekadar mengangguk. “Sebelum tu, boleh kita ke Silverfish Books dahulu?”

“Untuk apa?”

“Saya nak beli buku.” Ujar Salina. “Kawan saya kata... Ada beberapa judul buku Indonesia di sana.”

Rahmat mengangguk setuju, lantas mereka berjalan ke arah kedai buku Silverfish yang letaknya agak bersebelahan dengan Devi's Corner. Untuk ke Silverfish, mereka terpaksa menaiki tangga ke tingkat dua, lantas masuk ke dalam sebuah kedai buku kecil yang dalamnya dipenuhi buku berbagai jenis dan bentuk. Kedai tersebut nampak seperti sebuah perpustakaan kecil yang pastinya akan menarik minat sesiapa sahaja yang minat membaca.

“Irman... Mana buku-buku dari Indonesia yang kau kata ada stok tu?” tanya Salina kepada Irman yang bertugas menjaga kedai buku tersebut. Sememangnya Salina kenal benar dengan Irman kerana Salina sering menghabiskan masanya di kedai buku ini.

Irman membetulkan cermin matanya lantas menjuihkan bibirnya ke arah rak buku di hadapannya. Dia tersenyum sebelum kembali membaca sebuah buku tebal mengenai falsafah dekonstruksi Derrida.

“Awak memang minat membaca ke?” Tanya Rahmat kepadanya dengan suara berbisik. Sesekali dia akan memandang ke arah Irman, seolah Irman adalah seorang pengawas perpustakaan.

“Memang minat saya membaca.” Sambut Salina. “Kalau tak membaca... Saya rasa macam ada saja benda yang tak kena. Macam awak lah, kalau tak merokok, tak boleh, kan?”

Rahmat tersengih sambil tersenyum. “Buku Sjuman Djaya... 'Aku' pun ada?” katanya kemudian sambil mengambil buku tersebut dari rak buku.

“Macam pernah dengar jer tajuk buku ni...”

“Awak pernah tonton filem Ada Apa Dengan Cinta?”

“Oh baru saya ingat... Buku mengenai Chairil Anwar, kan?”

“Betul... Sjuman menulis buku ini dalam bentuk layar perak berdasarkan kepada kisah hidup penyair besar Indonesia itu. Tetapi filem tentang Chairil Anwar yang hendak dibuatnya, tak sempat dibuatnya kerana dia meninggal dunia. Tetapi karya tulisannya ini telah membuatkan dia dianggap sebagai salah seorang penulis besar Indonesia. ” Jelas Rahmat dengan panjang lebar kepada Salina.

“Awak pasti dah baca buku ini...”

“Sudah... Ketika masih belajar dulu, Pak Usu saya yang minat membaca galakkan saya baca buku-buku seperti ini.”

“Jadi awak memang minat membaca?”

“Memang saya minat... Tapi tak berkesempatan. Lagipun sekarang, saya tak mampu nak beli buku-buku baru--”

“Saya ada banyak buku di rumah... Awak boleh pinjam buku-buku saya.”

Rahmat mengangguk perlahan. Dia tidak menjawab. Dia dapat melihat bahawa Salina mengambil buku “Aku” tulisan Sjuman Djaya yang dinyatakan Rahmat tadi, lantas meletakkan buku tersebut di atas kaunter. Irman meneliti buku tersebut lalu menerima wang dari Salina, sebelum dia memasukkan buku tersebut ke dalam beg kertas Silverfish.

“Kita ke La Bodega, ya? Kita makan sahaja di sana.” Saran Salina. Dia melambaikan tangannya kepada Irman dengan manja. Irman tersenyum nakal sambil terus menelaah bukunya.

“Macam tempat mahal jer.”

“Alah, kan saya cakap saya belanja... Kita lepak-lepak kat sana dan berbual. Tak apa kan? Kalau awak tak selesa, kita makan tempat lain. Kat Lotus atau di warung. Saya tak kisah jika kita makan di sana--”

“Tak apa. Saya boleh makan di mana-mana.” Suara Rahmat jelas tegas. Dia melihat pakaian yang dipakai Salina yang nampak agak ranggi dan bergaya. Agak pelik juga jika Salina kelihatan makan bersamanya di warung, fikirnya di dalam hati.

Mereka berdua kini duduk di La Bodega. Di tingkat atas berdekatan dengan rak-rak buku yang ada di sana. Rahmat nampak selesa duduk bersama Salina, walaupun dia terpaksa mengambil beberapa ketika untuk membiasakan dirinya berada di sebuah tempat eksklusif seperti itu. Nasib baiklah dia mendengar kata-kata Linus agar meminjam dan memakai pakaiannya agar dia nampak lebih kemas dan bergaya ketika keluar makan malam dengan Salina - jika tidak, pasti dia akan merasa kekok berada di dalam restoran ini.

“Awek awak tu tentu cantik...” kata Salina dengan tiba-tiba.

Tercengang Rahmat apabila dia ditanya soalan begini oleh Salina. “Boleh tahan lah. Cantik jugak.” jawab Rahmat tersekat-sekat.

“Dia di mana sekarang?”

“Di rumah kawan... Gundutz namanya.”

“Buat apa?”

“Petang tadi dia belajar buat kek dengan Gundutz. Kemudian mereka tonton rancangan Akademi Impiana bersama-sama... Abang Linus pun ada sekali.”

“Awak nak tahu apa?”

“Apa dia?”

“I thought you and Linus are lovers!” Salina tersenyum malu.”Ye lah, the first time I saw you guys, that's what I thought... Sehinggalah you kata helmet yang you bagi I pakai tu helmet awek you--”

“Eh takdelah. Kita kawan jer.” Beritahu Rahmat membalas senyuman Salina. “Tapi kenapa awak fikir begitu?”

“You are so... Goodlooking that I thought you are either taken or you're gay... So you're taken. Untung girlfriend you tu.”

Rahmat menarik nafasnya. Kemudian dilepaskan dengan perlahan. Dia sedang memikirkan tentang Timah. Pastinya Timah sedang berada di rumah Gundutz pada waktu ini sambil menonton rancangan Akademi Impiana.

“Kenapa awak tak ikut tonton rancangan tu dengan dia?”

“Dengan siapa?”

“Awek awak tu... Siapa nama dia?”

“Fatimah binti Faisal... Panggil saja Timah.”

“Timah...” Salina senyum sambil menongkat dagunya dan mendengar penjelasan Rahmat dengan penuh minat. “Kan lebih baik awak temankan Timah menonton rancangan Akademi Impiana dengannya.”

“Dah saya janji nak keluar makan dengan awak... Lagipun saya tak suka sangat nak tonton rancangan tu. Tak ada faedah langsung!”

“Kalau awak cakap siang-siang kat saya pasal Timah kan bagus. Boleh saya jemput Timah makan sekali.” Kata Salina dengan jujur.

“Dia tak minat nak keluar sejak kebelakangan ini. Dia nak tonton TV sahaja.”

“Rancangan Akademi Impiana tu ke?”

“Ye lah, rancangan apa lagi...”

“Tak apalah... Dah minat dia. Awak layan je lah.” Ujar Salina. Dia tersenyum melirik. Rahmat memandang ke dalam wajahnya dalam-dalam. Ada sesuatu tentang diri Salina yang cukup-cukup disenanginya. Dan ada sesuatu tentang diri Salina yang membuatkannya mahu merapatinya dan mengenalinya dengan lebih dekat lagi.