Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 30 July 2004

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 08-09-10

Fikiran terlalu tepu setelah menonton Teater Demi Zaitun sebentar tadi sehingga tidak mampu untuk mencernakan minda sekali lagi untuk Diari Akademi Fantasia. Demi Zaitun distrukturkan dengan paduan (fusion) antara bahasa yang dilafazkan bersama apa yang tersirat, dan ‘bahasa’ yang digerakkan bersama sub-teksnya. Terlalu tinggi untuk saya dari pemikiran Sasterawan Negara Noordin Hassan. Saya sempat menelah teksnya tetapi tidak sub-teksnya.

Medley Joget
Sebuah lagu yang panjang dan lirik yang juga banyak. Apabila minggu bertambah, maka cabaran untuk mereka juga semakin bertambah. Menerima medley lagu joget dari kalangan lagu-lagu joget yang terkenal memang agak mencabar bagi mereka. Kalau pun lagu itu boleh sedikit mengurangkan rasa tertekan mereka kerana melodinya yang agak rancak dan mampu membuat mereka rasa gembira. Mereka harus membuang rasa tertekan bila menyanyikan medley lagu tersebut agar persembahan mereka hidup. Kerjasama yang ditunjukkan dalam koreograf tarian juga wajar dipuji. Adam dan Zahid banyak bertindak membetulkan mana yang silap.

Farah dan kawalan vokal
Perubahan minggu membuatkan saya semakin suka dengan karenah Farah serta kualiti vokal beliau. Vokal beliau bertambah baik serta rasa merasakan setiap lagu yang beliau dendangkan pada saban minggu kena dengan kesesuaian vokal beliau. Setidak-tidaknya beliau bijak mengawal vokalnya. Untuk lagu Bebas Berlari saya dapat merasakan lemak dalam vokal beliau. Lenggoknya kena dengan melodi lagu tersebut.

Tempo Kaer
Masalah utama yang bakal menggugat persembahan Kaer Sabtu ini ialah koreograf tarian beliau. Beliau akan menumpukan separuh daripada perhatiannya kepada koreograf tariannya dan mengabaikan penghasilan vokal yang lebih sesuai dengan lagu tersebut. Tumpuannya akan terjurus kepada setiap langkah dan membuatkan beliau terlalu berhati-hati. Di dalam fikirannya hanyalah pengiraan langkah. Ia bakal lari dari tempo jika fikirannya terlalu mendesak untuk mengira langkah seterusnya. Secara keseluruhan saya sudah mula menyukai kelantangan vokal beliau tetapi masih belum cukup untuk menjantankan lagu tersebut. Setakat itu sahaja kekuatan vokal yang Kaer mampu tonjolkan.

Adam Masih Mendatar
Nyanyiannya masih mendatar terutama pada hujung-hujung baris lagu. Kekuatan persembahannya ialah pergerakan tubuhnya yang kena dengan lagu tersebut itupun jika beliau tidak terlalu malu untuk menyerlahkannya. Masalah utama nyanyiannya ialah pitching dan tidak dinamik. Vokalnya agak mendatar kecuali pada beberapa bahagian.

Farah & Boyfriendnya
Percintaan Farah dan Johnny memang bukan rahsia. Setelah satu-satu cubaan telenovela yang cuba dirancang gagal kerana penyingkiran mengejut pelajar, maka hanya tinggal Farah dan Johnny untuk meneruskannya. Walaupun percintaan itu antara manusia dan kamera tetapi ia adalah satu yang menyeronokkan dan sedap mata memandang. Keletah Farah menjadi dan ekspresi wajahnya bersungguh-sungguh.

Menuju Puncak
Kalau kita perhatikan berlaku perubahan pada Cikgu Corrie apabila membetulkan koreograf lagu Menuju Puncak. Beliau menjadi semakin fleksibel dan mudah didekati oleh pelajarnya. Ini mungkin kerana setiap pelajar menunjukkan kesungguhan mereka memperbaiki tarian Menuju Puncak dan lagu itu jugalah satu-satunya lagu yang akan ditarikan pada setiap minggu. Tidak banyak yang perlu diubah oleh Cikgu Corrie kecuali membetulkan posisi. Ini berbeza dengan sifatnya yang agak tegas apabila mengajar untuk lagu-lagu baru mereka. Untuk Menuju Puncak, hanya sekali ajar mereka sudah tahu apa yang perlu dibuat. Perkara yang sama kita lihat pada minggu lepas bila mana Corrie tidak memandang secara serius sesi latihan Menuju Puncak.

Joe Too Phat Datang Membantu
Pada mulanya Zahid akan membawakan bahagian yang dinyanyikan oleh Joe tetapi telah dihalang oleh Ramli MS. Memang sukar untuk membawakan lagu ini lebih-lebih lagi dalam satu nafas. Joe memberikan teknik untuk Bob membawakan lagu tersebut. Zahid sebagai penyanyi latar diminta untuk membantu, bukan semua tetapi pada hujung-hujung lirik lagu tersebut. Setidak-tidaknya dapat membantu Bob mengingati lirik lagu seterusnya lagu tersebut. Satu idea yang sangat bernas.

Kemunculan Joe banyak membantu Bob serta menaikkan semangat Bob. Menurut Joe beliau mula rap di atas pentas sejak berumur 12 tahun. Zaman-zaman KRU. Beliau mula serius pada sekitar umur 16 tahun. Bertemu dengan Malique enam tahun lepas dan mereka kekal sehingga kini. Idolanya berbeza dari zaman ke zaman. Bermula dengan Fresh Prince dan Jazzy Jazz sehinggalah kepada nama-nama yang saya sendiri tidak kenal. Anda masih ingat Fresh Prince of Bel Air ? Sitkom mengenai anak saudara kurang berada seorang hartawan yang pertama kali menjejakkan kaki ke daerah Bel Air. Itu zaman-zamann saya membesar. Saya membesar dengan Fresh Prince of Bel Air, Doogie Howser MD, The Jeffersons, I Love Lucy, Family Ties, Diff'rent Strokes, I Dream of Jeannie, Ferris Bueller dan macam-macam lagi.

Sewaktu mereka sama-sama menyanyikan lagu Alhamdulillah, saya perhatikan Linda berdiri jauh sangat. Mas menghampiri beliau beberapa ketika selepas itu. Kenapa agaknya.

Adam dan Temboknya
Adam mula menyerlahkan diri walaupun tanpa pelajar lain di hadapan. Adam juga mula mendapat tumpuan kamera secara berseorangan. Jarang kita dapat melihat Adam sebegini. Bukan bermakna beliau suka menyendiri tetapi sekadar beliau lebih konfiden di dalam kumpulan. Selain bercakap mengenai Adam, saya harus bercerita mengenai Mas. Pada minggu ini beliau agak low-profile. Tidak banyak mendapat tumpuan kamera serta sesi latihannya yang hanya dapat kita tonton pada hari terakhir minggu kelapan. Pergaulannya dengan pelajar lain juga agak terbatas. Bukan mudah untuk menjadi bintang. Hidup menjadi seorang artis bukan sekadar dilimpahi puji-pujian dan disaluti emas permata sahaja. Cabarannya lebih besar dari apa yang mereka hadapi di dalam Akademi Fantasia. Mereka harus sedar itu.

Bersama Pengetua
Vokal Kaer mula menyerlah. Kelantangan vokal beliau dapat kita dengar. Beliau perlu melebihkan semangatnya untuk lagu ini. Seperti kata Ramli MS, lagu ini lagu semangat. Tanpa semangat dan penghayatan yang betul-betul, lagu ini akan menjadi tiada rasa. Walaupun Kaer nampak terseksa membawakan lagu ini tetapi itu wajar kerana range vokal beliau tidak besar dan membawakan lagu sebegini memerlukan kekuatan vokal yang agak tinggi.

Tone vokal Farah beliau amat sedap. Saya berani katakan lebih sedap dari Linda dan Zarina. Suaranya lemak dan teknik pernafasan beliau sudah semakin baik. Teknik nyanyiannya masih boleh dibaiki untuk mencantikkan lagu tersebut dengan cresendo dan vibrato. Teknik-teknik inilah yang akan lebih menyerlahkan vokal beliau serta membawa rasa baru dalam nyanyiannya. Saya kurang menggemari nyanyian Zahid. Beberapa masalah pitching pada falsettonya agak ketara. Memang sukar untuk Zahid menyanyikan lagu sebegini lebih-lebih lagi beliau perlu betul-betul mengawal pernafasannya dengan betul.

Masalah tempo ialah masalah utama Linda. Beliau perlu beri punching hit pada lagu tersebut agar tidak lari tempo. Penghayatan beliau terhadap lagu tersebut perlu jelas dan dibuat dengan baik. Begitu juga dengan Adam. Nyanyiannya mendatar. Beliau perlu menambahkan ad-lib serta vibrato pada lagu tersebut agar tidak terlalu mendatar. Mas telah menyanyikan lagu tersebut dengan biasa. Lagu ini penghayatannya perlu diberi dengan bagus agar mesejnya sampai kepada penonton. Mas tidak menghadapi banyak masalah untuk mendapatkan penghayatan kerana itu kekuatan utama beliau. Bob masih belum menghafal lirik lagu ini sepenuhnya kerana tiada keyakinan diri. Memang nampak sengsara Bob menyanyikan lagu tersebut.

Party Like This memang begitu harmoni sekali nyanyian mereka. Saya kira sewaktu di pentas nanti barulah mood party itu keluar. Dengan keluasan tempat latihan yang ada serta melibatkan semua pelajar tentunya penghayatan mereka masih belum diperolehi.

Happy Birthday Bob
Bob menerima hadiah pulut kuning sempena hari lahirnya. Happy Birthday BOB !

Ramalan
Berdasarkan kedudukan terkini setakat 10.47 pagi
Linda 16%
Zahid 15%
Adam 14%
Mas 14 %
Kaer 14%
Bob 14 %
Farah 14%

Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Pada kedudukan semuanya 14%, apa sahaja boleh berlaku. Bob dan Farah tidak mempunyai asas pengundi yang kukuh. Pengundi mereka tidak bersungguh-sungguh mahu mempertahankan mereka. Ini berbeza dengan Mas dan Kaer yang mempunyai asas pengundi yang agak kukuh terutamanya Mas. Ada sesetengah pengundi akan cuba untuk mengundi sewaktu konsert selepas menonton persembahan pelajar sebagai bonus. Ini juga menjadi salah satu faktor pengundian tetapi amat tidak boleh dipakai untuk Akademi Fantasia kerana integriti sistem yang masih boleh dipersoalkan. Kini, semuanya bergantung kepada giliran persembahan dan mutu persembahan. Melihat kepada sisipan artikel dalam Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk Ramli MS komen Mas oleh Muzlina Abu Bakar, ia bakal mempengaruhi pengundi seperti mana Barisan Nasional menggunakan media untuk melancarkan perang psikologi terhadap pengundi atas pagar. Pengaruh media sememangnya sudah lama digunakan untuk mempengaruhi pengundi. Jika Barisan Nasional boleh, mengapa Ramli MS tidak boleh.