Imbasan Akademi Fantasia V
Pendapat Zainal Alam Kadir dan Ramli MS
Pada minggu-minggu awal beliau agak sinikal dengan Akademi Fantasia. Ia merupakan program realiti nyanyian yang pertama di Malaysia. Bukan hanya beliau sahaja, saya merasakan satu Malaysia merasakan perkara yang sama. Pada minggu-minggu awal Akademi Fantasia I, tidak ramai yang menontonnya. Saya sendiri mula mengulas pada Konsert II pada musim lalu. Dari minggu ke minggu, momentum Akademi Fantasia semakin memuncak. Terutamanya selepas tersingkirnya Rosma, Akademi Fantasia menjadi fenomena di Malaysia. Satu Malaysia dilanda demam Akademi Fantasia dan tidak kebah-kebah sehingga Akademi Fantasia II.
Rata-rata penonton terkeliru dengan konsepnya. Ada dua aspek utama pada rancangan ini. Pertama bakat, kedua personaliti. Akademi Fantasia lebih kepada popularity contest. Kelebihannya adalah human bit yang ada pada rancangan ini. Rancangan ini sebuah pertandingan yang melibatkan emosi penonton. Penonton turut sama mengambil bahagian dalam skrip rancangan program ini.
Sebagai manusia biasa, tentunya kita mempunyai emosi. Merasa kasihan, sedih, benci, dendam, duka, gembira ada pada setiap manusia. Oleh yang demikian, strategi menyelamatkan pelajar tentunya berlaku. Saya sendiri pernah menyelamatkan Liza sewaktu lagu Bunga Bunga Cinta seperti Alam menyelamatkan Nana. Apa yang ditonton oleh para penonton agak bermusim berpandukan apa yang ditonton pada minggu tersebut. Rancangan seperti Akademi Fantasia merupakan sebuah drama yang ada tangisan, gelak, ketawa, jenaka, bimbang, risau, dan segala macam karenah. Setiap pelajar ada perwatakan masing-masing.
Kesilapan utama Fitri pada minggu terakhir beliau di Akademi Fantasia ialah kerana terlalu menyerlahkan fashionable yang sukar diterima. Pada pendapat beliau tentang mengapa Edlin boleh tersingkir ialah tentunya kerana bersandarkan gelaran anak Dato’ tentunya walaupun tanpa Akademi Fantasia, beliau mampu untuk mendapatkan pengajian vokal secara berbayar. Kini kereta Chevrolet telah pun menjadi milik Edlin walaupun menjadi pelajar pertama tersingkir dari Akademi Fantasia.
Mas masih berada di Akademi Fantasia kerana simpati penonton. Sebagai seorang ibu tunggal yang menyara dua orang anak secara tidak langsung mengundang simpati penonton.
Selain faktor simpati, faktor kenegerian turut memainkan peranan yang penting dalam faktor pengundian penonton. Mas, Linda dan Adam merupakan pelajar dari Sabah. Ia sesuatu fenomena yang agak mengecewakan tetapi di sebuah negara yang demokrasi, penonton berhak untuk memilih apa yang ingin mereka tonton. Mas mempunyai perwatakan seorang yang lurus dan kemunculan beliau di Akademi Fantasia tidak dianggap sebagai pencabar yang kuat. Tetapi sebagai manusia, penonton cepat dan mudah terpengaruh dengan sentimen-sentimen emosi. Penonton Melayu sukakan filem Hindustan. Baik dari zaman Antara Dua Darjat sehinggalah ke era Sembilu, penonton Melayu sering disogokkan dengan airmata. Itu realiti dan kebenaran yang harus diterima.
Menurut Ramli MS, Mas seorang yang jujur. Walaupun beliau menjadi Juara Akademi Fantasia, realiti sebenar Akademi Fantasia hanya akan muncul selepas semuanya berakhir. Sepatutnya sebagai penonton dan pengundi bertauliah, mereka harus melihat lebih ke hadapan.
Menurut Ramli MS sendiri, pengundi tidak melihat bakat. Ada pelajar yang berbakat tetapi merangkak-rangkak di kedudukan di bawah dan tidak naik-naik. Rasanya semua sedar apa yang dimaksudkan oleh beliau. Pada minggu-minggu awal, memang Zahid, Zarina, Bob terkial-kial hampir kelemasan di bahagian bawah. Ini berbeza dengan pelajar yang biasa tetapi masih kekal di tempat teratas kerana undi simpati penonton.
Menurut Zainal Alam Kadir, Nurul masih berada di Akademi Fantasia kerana beberapa faktor. Beliau seorang yang cute, lemah dan berasal dari Sarawak. Tetapi harus disedari yang Nurul semakin menyerlah pada minggu lepas.
Apa yang diperkatakan oleh Aznil sewaktu Imbasan secara kebetulan sama seperti perenggan terakhir ulasan Konsert V. Adakah Nurul bakal menjadi seperti Liza yang menjadi Survivor dan terus kekal sehingga Konsert Akhir. Semuanya bergantung kepada undian penonton.
Bersama Anding Yang Merendah Diri
Entah mengapa, muzik iringan dalam episod kali ini agak menyentuh perasaan. Anding, kalau bukan semalam pasti akan tersingkir juga. Saya melihat emosi Anding yang benar-benar jujur. Wajahnya tidak seceria sewaktu ditemuramah Aznil sebelum setiap persembahan Konsertnya. Beliau lebih jujur dan tidak hipokrit. Ada sesetengah pelajar yang lebih gemar menyembunyikan emosi sedihnya tetapi tidak Anding. Anding menerima keputusan penonton dengan redha. Beliau seakan-akan sudah mengagak akan terkeluar pada minggu tersebut.
Beliau nyata berbangga dengan persembahannya. Namun demikian, beliau tidak puas menimba ilmu di Akademi Fantasia. Itu adat pertandingan di Akademi Fantasia. Cara beliau menjawab setiap soalan oleh Aznil juga amat bijak dan setiap jawapan diberikan dengan baik. Beliau berfikir sebelum bercakap. Bukan sekadar lepas cakap.
Saya nampak kejujuran pada wajah beliau. Jawapan-jawapan yang diberikan amat merendah diri dalam nada yang tersekat-sekat menahan emosinya. Wajahnya kelihatan agak sugul. Beliau cuba untuk mengawal emosinya dan hasilnya amat baik sekali. Kesedihannya boleh dirasai oleh penonton. Yang paling saya tabik kepada Anding ialah nada merendah dirinya yang amat menyerlahkan sifat bistarinya.
Kedudukan Selepas Konsert
Zahid 12%
Kaer 11%
Mas 10%
Farah 10%
Nurul 10%
Adam 10%
Linda 9%
Zarina 9%
Bob 9%
Anding 8%
Selepas Konsert V tamat, undian untuk Nurul masih tinggi melewati Adam, Linda, Zarina dan Bob. Jika Pengetua Akademi Fantasia sendiri kecewa dengan cara pengundian para penonton, apa lagi yang perlu diperkatakan.
Nota: Sila beri lagu Survivor kepada Nurul untuk Konsert VI.
0 komen