Diari Akademi Fantasia 08-05-06
Kelas Seni Persembahan
Bukan senang untuk meniru gaya artis yang telah tiada. Seniwati Mak Enon perlu ditiru oleh mereka. Kebanyakan pelajar Akademi Fantasia adalah pelajar yang lahir era 80an. Ada yang mengenali Mak Enon, ada juga yang tidak mengenalinya. Bukan sesuatu yang mustahil jika mereka tidak mengenalinya. Seperti Kaer, mungkin gemar menonton filem-filem Melayu lama tentunya beliau lebih mengenali siapa itu Mak Enon. Mak Enon lebih dikenali dalam filem-filem komedi era 80an. Zaman itu zaman kegemilangan filem-filem komedi ala Badul. Meniru gaya Mak Enon seperti yang dilakukan oleh Kaer satu yang menarik. Cumanya sikap Farah yang terlalu kebudak-budakkan adakalanya menyiksakan pandangan mata. Farah seperti berusaha terlalu gigih untuk kelihatan comel.
Pukul Berapa Datuk Harimau
Kelas sebegini sepatutnya dikendalikan oleh Penasihat Pelajar dan Penasihat Motivasi untuk meringankan sedikit beban mereka. Sudah seperti silap konsep apabila ia dilakukan di dalam kelas Seni Persembahan Cikgu Fauziah Nawi.
Sekali –sekala melihat pelajar menjadi kanak-kanak memang seronok. Macam-macam gelagat ada. Kaer tiba-tiba menjadi kanak-kanak yang tidak mahu duduk di belakang. Beliau lari ke depan. Pelajar-pelajar lain menjerit tidak puas hati. Melihat mereka mendapat seorang ibu besar yang menjaga keselamatan mereka dari terkaman harimau. Tentu sahaja masa kecil-kecil dahulu, siapa yang badan besar sudah tentu akan menjadi penjaga. Seingat saya, kali terakhir saya main permainan ini sewaktu di kampung. Kampung halaman ada padang yang luas bukan seperti rumah-rumah di bandar sekarang. Tiada halaman. Kalau apartmen adalah halaman luas sekangkang kera. Kasihan melihat Adam yang diheret oleh Datuk Harimau setelah mati diterkam Datuk Harimau. Adam pula berlakon dengan real sehingga sanggup berlakon mati dan membiarkan dirinya diheret Zahid.
Promosi Arnieza
Kenal Arnieza ? Saya tidak kenal siapa Arnieza sehinggalah beliau muncul dalam Akademi Fantasia hari ini. Kelas Cikgu Adnan hari ini banyak mengajar tentang technical vocal. Vokal ada macam-macam jenis. Ada pelbagai teknik nyanyian. Mujur ada Arnieza untuk memberikan sedikit demonstrasi. Tidaklah sedap mana pun. Mungkin macam yang pernah Cikgu Siti Hajar katakan, ada penyanyi yang bersuara sedap tetapi teknikal kosong. Ada penyanyi yang bersuara biasa tetapi penuh dengan teknikal. Mungkin Arnieza jenis yang kedua.
Koreografi Adam untuk lagu Kasih masih ada elemen-elemen hip-hop. Berkali-kali Cikgu Linda Jasmine mengingatkan beliau tentang melupakan elemen tersebut dalam lagu tersebut. Memang sukar lebih-lebih lagi Adam sudah sebati dengan irama sedemikian. Adam pula diajar langkah yang agak sukar. Melakukan pusingan arah jam dengan berdiri menggunakan lutut. Memang sukar lebih-lebih lagi untuk tubuh lelaki seperti Adam. Yang sudah agak keras, berbeza dengan Cikgu Linda yang bertubuh agak lembut. Zahid seperti biasa, pantang melihat Adam. Kena gelak lagi Adam. Cikgu Linda menyuruh Zahid pula yang melakukan perkara yang sama. Banyak pula alasan Zahid.
Zahid juga seharusnya lebih berhati-hati agar tidak mencederakan Adam. Beliau harus lebih teliti dalam melakukan sesuatu arahan agar pelajar-pelajar lain tidak menjadi mangsa gurauannya. Bergurau tidak salah, saya seronok melihat pelajar bergurau senda tetapi janganlah sampai berlebihan. Benjol kepala Adam. Muka Adam pun macam hendak menangis.
Selesai latihan, Cikgu Linda mengarahkan pelajar naik bersembahyang dan kemudian menyambung semula latihan.
Sesi Motivasi
Saya menerima banyak komen tentang Mas. Kata mereka, tenaga pengajar berlaku tidak adil kepada Mas. Mas seorang pelajar yang lemah tetapi tiada usaha yang dilakukan untuk memperbaiki kelemahan Mas. Sebaliknya Mas dimarahi. Kata mereka, mana pergi guru kaunseling yang seharusnya mengkaunseling Mas dalam saat-saat sebegitu. Mas sewajarnya diberikan kaunseling tetapi tiada.
Setidak-tidaknya, semalam adegan sesi bersama Penasihat Motivasi dan Penasihat Pelajar ditayangkan untuk semua. Sekaligus membuktikan yang sesi tersebut ada dijalankan cuma tidak ditayangkan. Adegan sebegini bagus untuk kita lebih mengetahui kelemahan dan kebaikan setiap pelajar agar pengundi dapat memberikan pilihan terbaik kepada undian mereka.
Saya bersifat biasa dengan nyanyian Kaer dengan lagu Mentera Semerah Padi. Masih kosong. Kekentalan semangat lagu ini masih lemah. Penjiwaan lirik lagu tersebut masih tiada. Mesej lagu tersebut belum sampai kepada saya. Kaer perlu menghayati lirik lagu tersebut yang begitu mendalam terhadap perjuangan bangsa Melayu. Jiwa Melayu lagu tersebut begitu keras. Nilai artistik lirik lagu tersebut begitu tinggi. Kaer perlukan emosi dan penghayatan yang sebenar-benarnya untuk lagu sedemikian.
Adam menyanyikan lagunya dengan agak baik. Saya merasakan dengan gaya persembahan yang menarik dari Adam tentunya akan lebih mencantikkan lagu tersebut. Lagu ini tidaklah sukar dan mencabar kemantapan vokal Adam. Saya merasakan yang lagu ini agak mudah buat Adam. Vokal Adam sesuai dengan lagu sebegini.
Jika dihayati sebenar-benarnya, saya menyangka Nora yang sedang menyanyikan lagu tersebut. Vokal Farah ada sedikit persamaan dengan vokal Nora. Kelantangannya serta sebutan Farah yang jelas juga menjadi identiti Nora. Farah masih kurang attitude untuk lagu ini dan Farah menyedarinya. Keceriaan Farah di luar waktu latihan tidak dibawa ke dalam lagu tersebut. Saat sepatutnya beliau bermain, beliau tidak bermain. Lagu Bebas Berlari sebuah lagu yang ceria dan emosi Farah tidak menggambarkan keceriaan. Ia masih boleh dibaiki.
Party Like This
Latihan nyanyian Party Like This agak baik. Mungkin kerana tiada Mas. Nyanyian Linda dan Farah agak harmoni dan kena dengan lagu tersebut. Kaer pun kita lihat begitu bersemangat. Maklumlah kerana lagu-lagu urban bercorak hip-hop dan R&B. Kaer seperti selamba sahaja melontarkan vokal beliau jauh berbeza sewaktu beliau melontarkan vokal untuk lagu Habis Sudah Umpanku. Keyakinan Kaer mendendangkan lagu berentak R&B dan lagu bukan berentak R&B memang berbeza. Tidak perlu tipu.
Lagu medley Joget juga menyeronokkan. Sebuah persembahan yang saya tunggu-tunggu. Lebih-lebih lagi dengan Joget Lambak di penghujung medley. Vokal Zahid kedengaran agak berbeza dari biasa untuk disesuaikan dengan nada lagu tersebut.
Standing In The Eyes Of The World
Enam tahun yang lalu lagu Standing In The Eyes Of The World sering kedengaran di corong-corong radio dan peti televisyen. Setelah tirai Sukan Komanwel 98 dilabuhkan jarang kita mendengar lagu ini. Lagu tersebut boleh dianggap lagu motivasi dari Ella untuk pelajar Akademi Fantasia. Jika dihayati lirik lagu tersebut tentunya memberikan makna yang amat mendalam kepada setiap pelajar. Farah dan Kaer lebih mengetahui dan menghafal sedikit-sedikit lirik lagu tersebut.
Saya tabik dengan keputusan Ella untuk tidak terus berlakon. Lakonan Ella dari Bayangan Maut sehinggalah Hanya Kawan tidak menunjukkan peningkatan. Beliau menyedari kekurangan tersebut dan mengambil keputusan untuk tidak berlakon. Respek lagi. Seperti kejutan-kejutan yang lain, mereka akan banyak menekankan tentang keyakinan diri, bagaimana mengatasi kegugupan, begitu juga Ella. Sesekali bila Ella kilas rambutnya yang panjang itu, memang menyerlahkan imej seksi beliau. Mata Zahid dan Adam pun tidak lekang dari memandang Ella.
Kehadiran Ella nampak seperti kejutan untuk Encik Julian kerana beliau yang bersemangat bertanyakan macam-macam soalan untuk Ella. En Julian juga semacam tahu setiap perkembangan karier Ella dan membawa pelajar menyusur galur sejarah karier Ella. Pelajar tidak banyak bertanya, kalau bertanya pun hanya sekadar “Umur Ella berapa ?” Soalan-soalan lazim pemberita Melodi yang sering bertanya “Bila nak langsung ?”.
Quote of The Day
"Teknik growling, teknik yang Rem popularkan." Cikgu Adnan Abu Hassan
0 komen