Diari Akademi Fantasia 05-05-06
Mata Ayah
Puisi Sasterawan Negara Usman Awang diberikan jiwa oleh setiap pelajar Akademi Fantasia. Dari sehari ke sehari perkembangan mutu lakonan mereka berjaya memberikan jiwa kepada puisi tersebut.
Mereka diberikan satu senario dan harus melakonkan adegan tersebut. Mereka sahabat lama yang telah lama tidak berjumpa dan kemudian telah bertemu di satu tempat yang pernah menjadi tempat kesukaan mereka. Mereka kemudiannya harus menceritakan perasaan mereka tentang ayah dan masing-masing merasainya. Ini antara lakonan terbaik mereka. Ia akan lebih menarik sekiranya tempo puisi tersebut tiada pause yang menyebabkan penonton tertunggu-tunggu.
Zahid berjaya membawakan wataknya dengan baik sekali. Selaku pelakon utama, beliau bijak mencipta emosi awal dan dapat menjadi panduan kepada para pelajar lain untuk sama-sama terbuai dengan emosinya. Zarina yang tersenyum seakan-akan faham makna baik puisi yang sedang beliau baca. Mas dalam bersahaja membacakan bait puisinya. Kaer tertunduk menghabiskan barisnya. Saya dapat melihat emosi yang terhasil dari bacaan puisi ini.
Mata Ayah
Kujabat mesra tangan ayah
urat-urat daging-daging tua keras terasa
mataku tersenyum, matanya menyapa
anak yang pulang disambut mesra.
Tapi matanya, mata yang menatapku
kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi
garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram
suatu kelesuan yang tak pernah dipancarkan dulu.
Kelibat senyum matanya masih jua ramah
akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri
bagai dalam suratnya dengan kata-kata riang
memintaku pulang menikmati beras baru.
Anak yang pulang disisi ayahnya maka akulah
merasakan kepedihan yang tercermin di mata
meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk
dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.
Usman Awang
Gurindam Alam, 1994.
Dipetik dari http://malique.blogdrive.com
Merisik Khabar Anding
Jiwa Merisik Khabar masih belum tercapai oleh Anding. Emosi lagu tersebut masih rendah dan belum sampai kepada saya. Beliau masih menghadapi masalah pitching yang besar. Cikgu Adnan menasihatkan beliau agar menumpukan kepada melodi lagu tersebut dari baris ke baris, dari rangkap ke setiap rangkap.
Habis Sudah Umpanku Kaer
Memang tinggi lagu ini. Memang nampak jelas beliau kelihatan tidak selesa dengan lagu tersebut. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan lagu-lagu jenis R&B yang banyak falsetto, makanya beliau sedikit tidak yakin dengan lagu ini. Itu belum showmanship yang perlu beliau tampilkan untuk lagu ini. Mampukah beliau melakukan pusingan spinning acro seperti yang pernah dilakukan oleh Azizi di Kemuncak Konsert musim lepas ?
Adam dan Tipah Tertipu
Semua menyangka Adam tiada masalah membawakan lagu rap ini. Adam menggemari rap, tetapi belum tentu beliau boleh membawakan lagu ini dengan baik. Nasihat dari Cikgu Adnan, Adam harus menjaga tempo lagu tersebut. Stamina juga perlu beliau jaga, lebih-lebih lagi beliau perlu menari untuk lagu ini.
Linda Puteri Bunian
Linda perlu menyanyi dengan lembut dan bukan sengau. Sukar untuk saya membayangkan persembahan Linda.
Nurul
Setelah melihat latihan Nurul, Cikgu Adnan menyarankan agar nada dinaikan half key. Agak rendah buat Nurul.
Casa Impian bersama Camelia
Persiapan dilakukan dan rakaman dibuat dalam mode move shot technique. Saya perlu merujuk Linus, videographer OPs OPHELIA kerana kami pernah melakukan teknik yang sama sewaktu mengemas dewan dan props setelah selesai pementasan. Kamera diletakkan di satu sudut dan dibiarkan “on” sehingga kerja selesai. Perkara yang sama dilakukan oleh Akademi Fantasia untuk segmen Casa Impian.
Mereka menyiapkan ruang makan dan dekorasi mengikut tema dari negeri Sarawak. Setelah selesai menyiapkan ruang makan tersebut, para pelajar dikehendaki menyiapkan diri. Waktu itu, Camelia datang ke Akademi. Bersiap-siap di hadapan kamera dan mengumumkan tentang rakaman Casa Impian di Sekolah Akademi Fantasia.
Camelia seorang selebriti yang membuat homeworknya sama seperti Jalaluddin Hassan di Akademi Fantasia I. Beliau tahu nama pelajar seorang demi seorang. Kesemua pelajar seronok dapat berjumpa salah seorang wanita tercantik Asia itu. Nurul turut mengingatkan beliat tentang pertemuan mereka di Cuti Cuti Malaysia sewaktu di belakang pentas. Camelia sendiri mengakui yang beliau ialah peminat pelajar Akademi Fantasia. Tetapi bukan peminat nombor satu. Hahahahahahhaah
Beliau turut menghadiahkan Anding, Zahid, Zarina dan Linda sepersalinan pakaian suku kaum Iban dan Melanau.
Sambil makan, mereka berbual-bual. Adam bertanya kepada Camelia akan masalah yang dihadapi oleh Kaer. Kaer terlalu memikirkan masalah lagu yang bakal dibawakannya di konsert akan datang. Camelia menasihatkan beliau agar tidak terlalu memikirkan masalah tersebut kerana jika masalah tersebut terus bersarang di dalam kepala, hasilnya nanti ia akan terus menjadi masalah. Kita harus yakin dengan diri kita sendiri dan berkata kepada diri sendiri yang kita akan melakukan yang terbaik.
Mas bertanya tentang kecantikan yang ada pada Camelia. Menyedari yang Fitri pernah menyuarakan hasratnya untuk mereka pakaian untuk Camelia, maka beliau tidak keberatan untuk menempah pakaian dengan Fitri sebagai satu dorongan untuk beliau. Murah rezeki Fitri nampaknya. Mereka kemudiannya sama-sama menari keliling dewan.
Di penghujung, Camelia harus mengundurkan diri. Camelia turut menitiskan air mata. Dalam sekejap waktu, hubungan erat itu sudah nampak terjalin. Keakraban jelas di antara mereka. Ini adalah antara kejutan terbaik yang pernah hadir ke Akademi Fantasia. Pengalaman-pengalaman sebeginilah yang amat diperlukan oleh para pelajar. Berkongsi hati dan perasaan dengan selebriti yang telah pun mencipta nama di pesada seni.
Lagu Ayu nyanyian para pelajar menjadi lagu yang mengiringi kepulangan Camelia yang kelihatan turut menitiskan air mata kesedihan dan kegembiraan kerana berpeluang bertemu sepuluh pelajar Akademi Fantasia.
Saya pasti jika Camelia ada bertanding dalam mana-mana pertandingan yang memerlukan undian penonton seharusnya beliau akan menang mudah kerana emosi penonton telah berjaya diruntun oleh adegan tersebut. Syabas ! Kejutan yang paling melodrama.
Fungsi Encik Julian
Setelah hampir 5 minggu kita bersama di Akademi Fantasia, fungsi Encik Julian selain daripada mengambil sukatan berat badan pelajar, beliau turut memastikan pelajar menulis nama pada botol mineral. Itu sahaja yang disiarkan kepada penonton. Ketegasan beliau kurang menyerlah berbancing Cik Baha pada musim lepas. Ini jelas dapat kita dengar apabila sedang Encik Julian memberikan nasihat, beberapa pelajar masih leka mengadap hidangan makanan mereka.
Kelas Vokal Cikgu Siti Hajar
Kelas pada hari ini banyak mereka pelajari tentang teknik nyanyian. Zarina mengalah sebelum berjuang. Beliau seakan-akan menyerah kalah. Nurul mencuba dan akhirnya berjaya. Sewajarnya, setiap pelajar mempunyai daya saing seperti Nurul. Tetap mencuba untuk melakukan sebaik mungkin.
Masalah utama Mas yang menjadi masalah utamanya sejak minggu pertama ialah fokus. Menyanyi bukan hanya sekadar menyanyi. Asal buat sahaja. Menyanyi memerlukan tumpuan untuk menghasilkan vokal yang betul dan baik. Fokus akan membolehkan penghayatan diperolehi. Penghayatan akan memberikan impak besar kepada penonton. Sayangnya, Mas tidak menggunakannya. Beliau mempunyai rasa yang cukup tetapi tidak memanafaatkannya. Sukar untuk beliau saya letakkan dalam Pilihan 5 Terbaik saya, kerana saya mahukan penyanyi yang berilmu dan bersungguh-sungguh dalam karier mereka. Mas harus tunjukkan perubahan mental dan sikap jika mahu maju. Perwatakan sahaja tidak cukup untuk menjadi penyanyi yang baik.
Mas telah banyak berusaha untuk perkara yang sama setiap minggu. Dibetulkan oleh Cikgu Siti Hajar, sehari kemudian salah kembali. Betul lagi, salah balik. Betul lagi, salah balik. Jadi, ilmu apakah yang terserap di dalam kepalanya ? Tenaganya itu perlu dijanakan dengan bersungguh-sungguh. Bukan main-main.
Bob Mengamuk dengan Akar Dan Bumi
Sebuah lagu yang sukar untuk Bob. Satu kelebihan Bob ialah kelunakan vokal beliau membolehkan lirik lagu tersebut kedengaran jelas pada vokalnya. Dalam kelantangan, vokalnya masih jelas. Yang pasti beliau harus tahu kedudukan bunyi-bunyi tersebut dan beliau mampu untuk melontarkan vokal beliau. Saya melihat kesungguhan dalam diri beliau. Berkali-kali beliau mencuba untuk mendapatkan kedudukan yang betul untuk beberapa patah perkataan pada lirik lagu tersebut. Beliau bersorak gembira apabila berjaya. Cari apa yang Cikgu Siti Hajar maksudkan.
Kaer : Habis Sudah Peluangku
Kaer mempunyai penampilan yang baik untuk mendapat undian dari para penonton. Kelebihan beliau ialah mampu juga untuk menyanyi dengan baik. Beliau menerima ajaran Cikgu Siti Hajar. Tetapi semasa diajar, sebagai seorang pelajar, kita harus mendengar dengan baik dan seboleh-bolehnya senyap. Beliau banyak memberi idea tentang cara pengajaran Cikgu Siti Hajar. Bagus. Tetapi hormati guru anda. Tunggu sehingga beliau selesai memberi pengajaran kepada anda.
Beliau harus fahamkan tempat penghasilan bunyi tersebut dan kemudian barulah cari stailnya. Cikgu Siti Hajar banyak memberi idea kepada beliau tentang corak persembahannya. Lebih garang lebih bagus. Beliau harus mengelakkan falsetto yang lemah. Yang banyak angin. Beliau mampu menyampaikan melodi lagu tersebut dengan rasanya sendiri. Tidak perlu mencorakkan lagu tersebut ke arah R&B.
Kenangan Atie dan Vince
Melihat adegan Anding mengajar Mas tentu mengingatkan saya kepada adegan Atie mendapatkan tunjuk ajar dari Vince sewaktu beliau harus menyanyikan lagu Save The Best For Last. Kali ini giliran Anding pula mengajar Mas. Memang Mas nampak bingung. Mas nampak ikhlas tidak tahu. Boleh timbul rasa simpati apabila melihat addegan tersebut.
Farah : Tenda Biru
Sebuah lagu yang agak tinggi. Cikgu Adnan berpuas hati dengan persembahan Farah. Ekspresi beliau sudah ada. Nada yang tinggi tiada masalah sumbang. Beliau turut mencadangkan agar ada lakonan untuk lagu tersebut. Sama ada beliau sebagai watak dalam lagu tersebut atau pun pencerita. Sekiranya beliau sebagai pencerita, beliau harus menggunakan tiang pembesar suara.
Nurul : Bersamamu, Sampai Bila ?
Saya melihat beliau seakan tiada masalah membawakan lagu tersebut. Nada rendahnya juga sudah boleh jelas. Tapi itu sewaktu latihan. Kita tunggu bila hari konsert Sabtu ini. Cikgu Adnan memberikan satu teknik untuk “menipu” penonton. Betul, teknik tersebut jika dipraktikkan akan berjaya menutup kelemahan diri sendiri. Mulakan menyanyi dengan menjauhkan pembesar suara. Apabila tiba low tone, dekatkan pembesar suara ke arah mulut. Maka low tone tersebut akan lebih jelas. Jika pada awal nyanyian sudah dekat, maka bila tiba low tone, makin tidak dengar. Sekurang-kurangnya, low tone dan normal tone akan seimbang. Bijak !
Zahid
Saya kurang menangkap apa yang diperkatakan oleh Cikgu Adnan. Tapi nampaknya seperti beliau bergembira dan berpuas hati dengan persembahan Zahid. Hanya sekadar menambah tokok idea kepada persembahan Zahid. Sewaktu latihan, saya melihat ada unsur-unsur Yusry dalam nyanyiannya. Beliau harus menggunakan nasihat Kudsia tentang menjadikan lagu tersebut miliknya dan bukan hanya sekadar separuh daripada lagu tersebut. Zahid harus men”Zahid”kan lagu tersebut seawal minit pertama. Macam bola sepak pula.
Kaer Tertekan
Seperti dapat merasakan yang kedudukan beliau semakin menurun sejak Konsert IV, beliau mendapatkan Dr Sher Kawi. Beliau kurang berpuas hati dengan persembahannya. Beliau telah menghampakan ramai orang. Buat telah cuba untuk melakukan yang terbaik. Lebih merisaukan Kaer ialah lagu Habis Sudah Umpanku. Lebih-lebih lagi di bahagian korus.
Dr Sher Kawi menasihatkan beliau agar jangan membiarkan tekanan menguasai dirinya. Beliau harus memberikan fokus kepada lagu tersebut. Berlatih lebih giat lagi untuk lagu tersebut dari menjadikan tekanan satu halangan.
Beliau sedar akan bagaimana perasaan penonton dan bagaimana untuk memberikan yang terbaik kepada penonton. Kaer sedar ruang. Bagus. Tetapi tidak harus menjadikannya sebagai halangan untuk membantutkan latihan persembahannya.
Siapa Ajar Siapa ?
Jika sebentar tadi Mas gigih berusaha mempelajari lirik lagu tersebut. Kali ini kita dapat melihat bagaimana Anding sendiri seakan bingung dan tergamam melihat gelagat Mas. Beliau lebih banyak bergelak ketawa. Mungkin untuk menghilangkan perasaan gemuruh dan takutnya kepada lagu tersebut. Sekurang-kurangnya dapat meredakan tekanannya. Saya melihat adegan ini sebagai satu adegan yang gelaknya lebih natural. Di hampir penghujung, Mas pula yang mengajar Anding. Cuba bayangkan jika anda berada di tempat Anding. Bagaimana perasaan anda. Tentu di dalam hati anda berkata, budak ini aku mahu ajar dia gelak pula. Tidak sedar diri.
0 komen